“Khalisa…masuk
bilik saya sekejap”
“baik
encik”
Tuk ..tuk..
“Masuk …”
kedengaran suara dari dalam menyuruh Khalisa memasuki bilik serba sederhana
milik Encik Kamarulzaman. Entah mengapa setiap kali melangkah masuk ke bilik
tersebut hatinya berdenyut lebih cepat dari kebiasaannya. Terutamanya ketika
ini, dia tahu Encik Kamarulzaman mempunyai tetamu ketika ini dan menjadi luar
biasa kerana dia turut dipanggil untuk menyertai mereka. Bagaikan pesalah yang
menanti hukuman dijatuhkan, begitulah perasaan Khalisa ketika ini. Seolah-olah
dia telah diadili dan bakal dijatuhi hukuman yang bakal mengubah kehidupannya
mulai dari saat ini.
Khalisa
menundukkan kepalanya tanda hormat kepada tetamu yang berada dibilik bosnya
itu.
“Ada apa
Encik panggil saya ni” Tanya Khalisa sopan.
“duduk dulu
Khalisa, kita berbual-bual sikit dan ini saya kenalkan Tan Sri Badrul Syah,
kawan saya dan dialah orang disebalik tabir kewujudan syarikat kita ini
sekarang” terang En Kamarulzaman.
Khalisa
tersenyum sambil menganggukkan kepalanya tanda hormat kepada Tan Sri Badrul
Syah.
“Apa khabar
Tan Sri”
“Baik,
Alhamdulillah, eh duduklah, jangan segan-segan dengan saya ini. Saya sebenarnya
banyak mendengar cerita pasal awak dari bos awak ni, itulah tergerak hati nak
kenal macam mana orangnya” ucap Tan Sri Badrul Syah berbahasa.
“Dari yang
saya nampak ni, betullah apa yang diceritakan kat saya, orangnya manis, sopan
santun, kecik molek dan lemah lembut” Puji Tan Sri Badrul Syah sambil tersenyum
memerhati Khalisa.
Serba tak
kena Khalisa dibuatnya. Pipinya terasa berbahang. Entah cerita apa yang
disogokkan oleh bosnya sehingga mendapat pujian yang melambung daripada Tan Sri miang keladi ini. Huhhuhu
dasar orang tua tak sedar diri. Kubur kata mari, dunia kata pergi, nak
menggatal lagi kerjanya. Kutuk Khalisa dalam hatinya. Tak senang menghadapi
situasi seperti ini. Lagipun, selama dia bekerja, tak pernah lagi dia
menghadapi keadaan sekarang ini. Khalisa mendiamkan diri tanpa mahu memberikan
apa-apa reaksi di sebalik pujian – pujian Tan Sri itu. Hatinya telah rasa mual
dan meluat dengan pujian tersebut. Tak puji pun tak apa, dia lebih kenal siapa
dirinya yang sebenar.
“Haa
Khalisa.... Mesti awak sedang mengutuk saya sehingga berkerut-kerut dahi tu kan?”
“Mesti kata
saya ni orang tua gatalkan” lagi Tan Sri Badrul Syah menyambung kata.
Terkejut
dengan sergahan itu, Khalisa hanya mampu tersenyum sumbing. Telahan Tan Sri itu
memang tepat sekali. Memang itulah yang sedang bermain-main di dalam fikirannya
sekarang.
“Eh tak de
lah Tan Sri, saya cuma heran je, yelah ni kali pertama kita jumpa dan Tan Sri
pula siap puji sampai melangit saya ini, ada apa-apa yang perlu saya tolong ke?
Takkan percuma je pujian itu, mesti diminta balasan kan?” Khalisa cuba
menafikan dengan mempersoalkan tentang tujuan disebalik pujian itu. Takkanlah
hendak mengaku pulakan. Biarlah kata hatinya tersimpan di dalam hati. Mungkin
sebab itulah kot wujud kata-kata mulut cakap lain, hati cakap lain. Sama
seperti keadaan dia sekarang ni.
“Haa kau
dengar tu Bad, kan betul aku cakap. Dengan Khalisa ni kau tak boleh puji
lebih-lebih, otak dia ni akan terlebih fikir yang bukan-bukan. Kita cakap
ikhlas, dia fahamnya lain, kata kita ini gatal, ada udang di sebalik mee lah,
kadok naik daunlah… macam-macamlah peribahasa yang akan keluar dari mulut dia
nanti.” Celah Encik Kamarulzaman sambil ketawa. Tan Sri Badrul Syah juga ikut
ketawa. Khalisa tidak terasa dengan sindiran itu. Memang betul pun apa yang dia
kata. Realitinya memang macam itu.
“Betullah
apa yang saya cakapkan tu. Orang lelaki KL ini bukan boleh percaya sangat.
Tua-tua pun masih lagi gatal, tak macam orang tua kat kampung saya tu. Mereka
itu memang saya respectlah sebab apa
yang mereka cakapkan ikhlas. Tak ada niat tersembunyi dan tak perlu ragu-ragu”.
Pertahan Khalisa dengan apa yang dikatakan sebelum ini.
“Kenapa
awak cakap macam tu? Bukan semuanya sama sahaja. Orang tua patut awak hormati
bukan meragui apa yang diucapkan. Mereka lebih lama hidup daripada awak tau.
Dah masak dengan sepak terajang di dunia ini”. Kata Tan Sri lagi.
“Errrrr..memanglah.
Tidak dinafikan. Tapi kenalah tengok tempat mana mereka tinggal, tahap sosial
mereka dan pergaulan mereka. Macam di KL ini memang tidak dinafikan segelintir
mereka boleh dikatakan gatal dan oleh kerana sejak saya bekerja di KL ini, yang
selalu saya jumpa adalah lelaki-lelaki gatal yang tak sedar diri. Patutnya
mereka treat saya sebagai anak mereka
atau patut bersikap dengan sikap yang boleh kita hormat pada dia. Bukan
bersikap gatal, macam tak sedar diri tu dah tua.” Bukan main bersemangat lagi
Khalisa mempertahankan hujahnya. Pantang orang nak berbahas, dengan penuh yakin
dia akan menegakkan pendapatnya.
“Ada
hatilah nak mengorat kita, ajak pergi tengok wayanglah, karaokelah,
jalan-jalanlah. Nak ajak pun agak-agaklah orang tu macam mana. Bukan orang yang
macam saya ini. Biarpun kaya mana pun, tak adanya saya heranlah. Nak bagi saya wang beribu pun saya tak nak. Itu semua
akan saya dapat dengan usaha saya sendiri.” Sedikit meninggu diri. Bukan mahu
menunjukkan sikap sombong tetapi lebih untuk memberitahu tentang prinsip
hidupnya.
“Tak perlu jalan singkat. Perempuan lain
bolehlah tapi bukan macam saya ini” Sambungnya lagi dengan penuh perasaan.
Seolah-olah dia meluahkan perasaan geram yang terbuku dalam hatinya selama ini. Sudah jenuh dia
menangkis godaan yang tak masuk dek akal itu. Jadinya, jika Tan Sri yang berada
di hadapannya ini nak menggatal juga, baik diberi amaran awal-awal lagi supaya
tidak hilang hormat kepadanya yang memang terpengaruh di dalam dunia korporat
ini.
Tan Sri
Badrul Syah dan Encik Kamarulzaman berpandangan sesama sendiri sebelum berkata.
“Man..aku respectlah staff kau ini. Memang betul
kata kau, dia memang calon yang sesuai dan dicari-cari selama ini”.
Khalisa
tercengang-cengang memandang keduanya. Dengan pandangan seribu pertanyaan.
Calon apa? Takkan calon jadi isteri muda kot. Maaak…. Lis tak nak kawin dengan
orang tua ini. Jerit hati Khalisa.
“Haaaa apa
yang awak menungkan tu Khalisa? Tentu awak fikir awak tercalon jadi isteri muda
sayakan?” Serkap Tan Sri Badrul lagi sambil ketawa panjang beradu dengan En
Kamarulzaman.
Khalisa hanya mampu tersengih-sengih menutup
kegusaran hatinya. Dia tidak mampu untuk meneka dia menjadi calon apa
sebenarnya. Macam manalah muka aku sekarang ini. Mesti dah merah menyala kot. Sudahlah
aku ini darah gemuruh, cepat sangat panik dan mudah sangat darah naik ke muka.
Lebih-lebih lagi jika berada di dalam situasi yang serba pelik macam ini. Yang
dia tidak tahu hujung pangkal gelak ketawa dua orang lelaki yang dihormati ini.
Rasanyalah, dia yang menjadi bahan ketawa. Tetapi mengapa? Apa yang geli hati
sangat sebenarnya. Khalisa betul-betul blur.
Rasa ingin keluar sahaja dari bilik ini. Tapi tak manis pula merempuh keluar
tanpa kebenaran bos ni.
Setelah
beberapa detik kemudian, kedua lelaki ini mulai reda gelak tawanya. Sambil
menyapu hujung mata yang sedikit berair. Teruk sangat gelakkan dirinya sampai
berair mata. Selang beberapa saat kemudian. Tan Sri Badrul Syah kembali tenang
dan berwajah serius dan berkata.
“Khalisa.. awak
tak perlu takut dan fikir yang bukan-bukan. Tadi tu saya cuma bergurau sahaja.
Saya ingin tahu awak ini macam mana orangnya. Dan ternyata benar apa yang bos
awak beritahu saya selama ini. Awak ini seorang yang lurus dan jujur. Ada
pendirian sendiri serta tegas pula. Sesuai untuk jadi calon menantu saya
sebenarnya.” Tan Sri Badrul Syah berterus terang tentang maksudnya yang sebenar.
“Saya
tengah mencari calon isteri untuk anak sulung saya. Apabila bos awak bercerita
tentang diri awak, saya cuba analisa dan perhatikan dari jauh. Dan setelah
berpuashati barulah saya datang sini untuk berjumpa dengan awak hari ini. Untuk
menjadi menantu saya, seseorang itu mestilah berpendirian dan mempunyai asas
agama yang kukuh. Macam awak ni. Barulah dapat menundukkan pemuda seperti anak
saya itu.”terangnya lagi.
“Saya Tan
Sri?” ujar Khalisa sambil jari telunjuknya menunjuk pada dadanya. Diri sendiri.
Tercengang-cengang. Apa yang lebihnya dia? Dan apa yang mampu dia lakukan
nanti?
“Kenapa Tan
Sri kata saya layak? Isssyyy saya tak sesuailah, bos saya dah silap menilai
saya ini. Saya ini kolotlah. Not very
open minded. Not fashionable. Pendek kata mesti tak sesuai untuk anak Tan Sri. Saya
pasti dia tentunya mempunyai pilihan sendirikan? Lagipun saya ini anak orang
kampung. Tak masuk langsung kalau nak digandingkan dengan anak Tan Sri ini”
jelas Khalisa merendah diri. Tidak sangka dirinya dipilih untuk menjadi menantu
kepada Tan Sri Badrul Syah. Dilamar sendiri oleh Tan Sri Badrul Syah untuk
anaknya. Of courselah anak dia takkan
pilih aku. Detik hati Khalisa.
Memanglah
selama ini Khalisa tidak berkira dalam soal jodoh. Malah tak terfikir pun untuk
bercintan-cintun ini. Semuanya dia serahkan pada keluarga. Segala yang baik dan
buruk pilihan keluarga dia terima. Itu lagi baik daripada mencari sendiri
jodoh, yang belum tentu dia tahu baik buruknya lelaki tersebut. Masa bercinta
semuanya kelihatan baik, selepas kahwin lain pula jadinya. Oleh sebab itu,
baginya adalah lebih berkat hidup ini jika jodoh itu keluarga yang tentukan.
Dan hati dan cintanya hanyalah untuk diserahkan pada seorang lelaki yang telah
sah bergelar suaminya. Biarlah dia belajar dari A mencintai seorang lelaki yang
sah berbanding belajar mencintai lelaki yang belum tentu lagi jodohnya. Itulah
yang sebaiknya.
“Tak layak
apanya. Awak lebih dari layak untuk menjadi menantu saya. Saya ini jenis yang
tak kisah sesiapa pun jadi menantu saya asalkan dia seorang yang mempunyai
pengetahuan agama yang baik, berpelajaran dan ada pendirian macam awak ini.
Lagipun saya rasa anak saya yang tak layak untuk awak sebenarnya. Itulah silap saya terlalu memewahkan dan memanjakan
dia sangat. Sampai rosak akhlaknya”. Jelas Tan Sri Badrul Syah lagi sambil
mengeluh mengenangkan tindak tanduk anak sulung kesayangannya. Anak lelaki
tunggal yang bakal menerajui empayar perniagaan yang diusahakan selama ini. Ini
adalah usahanya yang terakhir dalam menyelamatkan akhlak dan akidah anaknya
yang hampir terpesong dan untuk menyedarkan anaknya tentang tangggungjawab yang
perlu digalasnya.
Dengan
berat hati, Tan Sri Badrul Syah menceritakan perihal anak terunanya itu.
Khalisa mendengar dengan penuh perhatian. Astafirullah halazim…sampai macam tu
sekali. Khalia beristiqfar banyak kali
sepanjang mendengar penjelasan Tan Sri Badrul Syah. Sayu hatinya mendengar
luahan seorang bapa yang sayangkan anak dan mahu menyelamatkan anak itu kembali
ke pangkal jalan.
“ini adalah
usaha saya yang terakhir Khalisa. Harap awak dapat bantu saya. Sejak dahulu
lagi kita akui, disebalik kelemahan lelaki penyebabnya adalah wanita dan di
sebalik kekuatan lelaki sumbernya adalah datang dari seorang wanita juga. ‘
Rayu Tan Sri Badrul Syah lagi. Sejarah dunia membuktikan perkara ini. Lihatlah
perjuangan Nabi Muhammad s.a.w, di sebaliknya berdiri teguh Siti Khadijah r.a
memberikan semangat dan harta bendanya untuk Nabi terus berjuang mengembangkan
syiar islam ke seluruh alam. Begitu juga dengan kejatuhan Hitler adalah
disebabkan oleh seorang wanita. Jadi apa yang diperkatakan oleh Tan Sri itu
tidak perlu dipertikaikan lagi.
Hmmmmm....
Khalisa memandang keduanya yang seolah-olah mahukan jawapannya sekarang. Tetapi
Khalisa tidak dapat berfikir apa-apapun apatah lagi memberikan jawapannya. Dia
masih lagi buntu. Apa yang harus diperkatakanya. Sebahagian dari hatinya
menyuruh dia menolong Tan Sri untuk menyelamatkan kehidupan anaknya. Namun
sebahagian lagi menyatakan tidak sanggup menanggung tugasan ini. Jika dia
menerimanya bererti dia mempertaruhkan seluruh kehidupannya kepada seorang
lelaki yang belum tentu dapat membimbingnya ke arah kehidupan yang bahagia.
Yang diredhai oleh Allah s.w.t. Sudah tentu dia yang perlu membimbing lelaki
ini. Beratnya tugasan ini.
“Tan Sri,
berikan saya masa untuk membuat keputusan. Bagi saya tempoh seminggu boleh?
Biarlah saya melakukan solat istiqarah terlebih dahulu agar saya dapat membuat
keputusan yang tidak akan saya kesali seumur hidup nanti. Lagipun saya perlu
memberitahu mak ayah saya tentang perkara ini sebab soal jodoh sebenarnya telah
saya serahkan sepenuhnya kepada mereka. Saya takut nanti mereka sudah ada calon
yang sesuai untuk saya.”
“Khalisa,
sebenarnya kami telah pun pergi ke rumah ibu bapa awak. Merisik awak. Mak dan
ayah awak menyatakan perkara ini terpulanglah pada awak sama ada ingin terima
lamaran ini atau tidak. Mereka menerima sahaja keputusan awak.” Ucap En
Kamarulzaman setelah sekian lama menjadi pemerhati dan pendengar di antara
mereka bertiga.
“Oooooo
bila encik pergi ke sana?” soal Khalisa hairan. Dan tidak pula diberitahu oleh
ibunya walhal setiap hari mereka bercakap melalui telefon.
“Minggu
lepaskan saya outstation tak masuk
pejabat selama dua hari. Ketika itulah saya ke sana bersama Tan Sri dan
isterinya. Sebelum itu pun saya dah telefon keluarga awak dahulu. Lagipun saya
dah pastikan awak memang tidak ada teman lelaki buat masa sekarang?” terang En
Kamarulzaman lagi.
Khalisa
tiada alasan lain untuk diberikan lagi. Sekarang terpulanglah kepada dirinya
untuk terima atau tidak.
“Oklah Tan
Sri dan encik Kamarul, berikan saya tempoh seminggu kemudian saya akan beritahu
jawapannya.” Putusnya. Dia perlukan masa juga.
“Hmmmm… kalau tiada apa lagi saya keluar
dahulu”. Ujar Khalisa meminta kebenaran untuk keluar dari situ setelah tujuan
sebenar pertemuan ini diketahuinya.
“Khalisa
saya harap sangat awak terima lamaran ini. Hanya awak sahaja harapan saya”. Rayu
Tan Sri Badrul lagi.
“Insyaallah
Tan Sri, bagi saya masa untuk fikirkan perkara ini”. Putus Khalisa seraya
melangkah keluar dari bilik bosnya.
Dia perasan
beberapa mata di situ memandangnya penuh dengan persoalan. Tetapi dia buat dek
jer. Hanya melemparkan senyuman sambil mengangkat bahu. Tidak ingin menjelaskan
apa-apa lagi. lagipun ini melibatkan masa depannya dan mereka semua tidak perlu
tahu.
Tiba di
mejanya, dia terus membuat kerja-kerja yang terbengkalai tadi. Cuba difokuskan
kepada kerja-kerja tersebut biarpun kata-kata berupa harapan seorang ayah
bagaikan berlagu di telinganya.