Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Selasa, 14 Disember 2010

7:54:00 PG

Sengsara Mangsa Fitnah..

Aku tertarik dengan luahan perasan dalam kolum Dang Setia dalam harian metro ahad lepas. baca petikan kat bawah erk...semoga jadi pedoman buat semua...


SAYA lelaki berusia 20-an yang kini menuntut di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan bakal menamatkan pengajian Mei tahun depan.
Saya ada niat untuk berumah tangga. Namun saya ditinggalkan kekasih yang langsung tidak lagi memikirkan masa depan kami.

Pada mulanya saya seorang yang taat pada agama, manakala kekasih saya, H, bertudung dan menutup aurat. H juga menuntut di IPTA. Saya diperkenalkan dengan H oleh seorang teman rapat pada awal 2009.
Setelah sekian lama berkenalan, kami bercinta. Sepanjang bercinta kami hanya asyik membincangkan mengenai perkahwinan, kami masing-masing setuju hendak berkahwin. Kami tidak pernah berjumpa lagi ketika itu, cuma bercinta jarak jauh.

Ditakdirkan setelah beberapa bulan, kami bertemu di ibu kota dan ketika pertemuan awal, tiada apa-apa terjadi antara kami.

Namun pada satu pertemuan, H mengajak saya melakukan hubungan terlarang. Disebabkan desakan nafsu, saya gagal mengawal diri saya.

Pada mulanya kami menyesal, tetapi keterlanjuran kami berlarutan dan setiap kali bertemu, pasti kami melakukannya. Jika tidak yang berat, kami akan melakukan yang ringan-ringan, hinggakan kami turut melakukan di dalam kereta dan rumah H sewaktu ketiadaan ahli keluarganya.

Pernah kami hampir ditangkap tetapi sempat melepaskan diri, dan sejak itu kami bertaubat tidak akan mengulangi perbuatan terkutuk itu lagi. Nak dijadikan cerita, saya berniat melamar H untuk mengelak berterusan melakukan dosa.

Saya sanggup bekerja lebih masa untuk mencari wang demi perkahwinan kami, dan sehingga kini pun, walaupun masih belajar, saya melakukan kerja luar demi menanggung pelajaran dan berniat untuk berkahwin.

Ditakdirkan tuhan, pada Ogos 2009 saya dan H mengikat tali pertunangan. Kemudian saya sekeluarga melawat keluarga H bagi membincangkan soal perkahwinan kerana bapa saya ingin segerakan pernikahan kami, tetapi keluarga H menolak kerana H masih belajar.

Daripada segi kemampuan, saya mampu menanggung H dengan kudrat sendiri. Keluarga saya faham keadaan itu. Sepanjang ikatan pertunangan juga, kami sering keluar bersama memandangkan saya menetap di ibu kota, hampir dengan tempat H belajar.

Namun tabiat kami yang sering melakukan maksiat membawa kami hingga sanggup menyewa hotel demi mengelakkan daripada ditangkap. Sejak itu hinggalah September lalu kami sentiasa ke hotel untuk bermanja, kehidupan kami seperti suami isteri yang tiada batasannya. Setahun lebih kami hidup bersekedudukan seperti suami isteri. Ibu bapa saya dan ibu bapa H tidak tahu hal sebenar yang terjadi antara kami.

Ditakdirkan seminggu selepas tarikh terakhir kami menyewa hotel, H meminta perpisahan kerana tidak tahan lagi dengan sikap saya. Saya kesal kerana apa yang terjadi bukan kesalahan saya tetapi fitnah.

Saya difitnah menjalin hubungan dengan wanita lain, sedangkan saya menunjukkan bukti saya tidak pernah curang dan H mempercayai pada mulanya. Namun setiap kali bergaduh H mengungkit hal sama.

Hal lain yang menyebabkan H hilang kepercayaan kepada saya ialah apabila rakan serumah saya menyalahgunakan akaun laman sosial Facebook saya.

Masalahnya sekarang, saya menyayangi H dan saya teraniaya. Mungkin ada kalanya cara saya menegurnya kasar dan menyebabkan H terasa dan selalu meminta perpisahan.

Saya menegurnya atas silapnya juga, bukan saya sengaja menegur. H juga selalu berfikiran buruk terhadap saya dan menuduh saya yang bukan-bukan sedangkan perkara itu tidak benar. Dia juga suka mengandaikan jika berkahwin nanti saya tidak akan membahagiakan dia.

Dia suka memperbesarkan masalah kecil, dan bila berunding saya selalu mengalah. Daripada keputusan perpisahan itu, saya dalam keadaan tertekan hinggakan saya mengadu kepada ibu bapa H dan ibu bapa saya mengenai keterlanjuran kami dan minta kami dinikahkan segera. Malangnya H tidak mahu mengaku.

Dia berbohong kepada orang tuanya yang dia tidak akan melakukannya bersama saya. Saya juga mempunyai kurang bukti, hanya ada resit daftar penginapan hotel yang tertera nama H. Saya tidak ada bukti seperti rakaman video atau apa pun berupa media demi menjaga maruah H, yang saya fikir hanya untuk saya. Kami melakukannya untuk kepuasan kami.

Ibu bapa H seperti tidak mempercayai saya, dan H menuduh saya mereka-reka cerita. Saya kesal dengan keputusan H dan keluarganya memutuskan pertunangan kami.

Hal ini turut diketahui beberapa rakan H, dan mereka juga tidak mempercayai saya kerana mendakwa mengenali H lebih lama berbanding saya, dan tidak percaya H melakukan perbuatan terkutuk itu, sedangkan mereka tahu H selalu keluar malam bersama saya.

H hanya menutup semua itu di sebalik tudung dan pakaian sopan dia, hakikatnya dia berbohong pada semua orang. Saya kesal dengan keputusan itu.

Lebih membuatkan saya kesal adalah saya sangat menyayangi H, segala permintaannya saya tunaikan, tetapi beginikah balasan H kepada saya.

Dipendekkan cerita, selang sebulan selepas perpisahan kami, saya dapat tahu H sudah ada pengganti. Begitu juga saya tapi hanya bertahan dua minggu kerana hati masih terlalu sayangkan H.

Apa pendapat Dang Setia mengenai perkara ini? Apa perlu saya lakukan? Saya bukan setakat sayangkan H, malah turut memikirkan masa depan saya, bakal isteri dan anak saya.

Adakah patut saya terus memujuk H dan berbincang mengenai hal ini atau membiarkan tuhan yang mengadili?

PAKWE SENGSARA
Kuala Lumpur


Daripada apa yang saudara luahkan, nyata H membuat keputusan nekad meninggalkan saudara kerana berasakan hati dan perasaannya dipermainkan.

Dalam soal ini, Dang Setia tidak mahu menyebelahi sesiapa. Mungkin saudara di pihak benar iaitu perpisahan berlaku akibat difitnah atau mungkin juga H ada bukti kukuh sebelum membuat keputusan ‘gila’ tapi penting demi masa depannya.

Yang Dang Setia ingin tegaskan di sini, punca kepada masalah saudara adalah soal hati. Justeru, saudara perlu memikirkan langkah paling sesuai untuk memujuk H jika masih berhasrat memperisterikannya.

Pujukan itu perlu dilakukan secara halus tanpa wujud unsur paksaan. Paling penting, jika benar difitnah, buktikan kepadanya saudara tidak bersalah. Rasanya di zaman serba moden ini, saudara boleh menggunakan pelbagai cara untuk berbuat demikian sama ada bersemuka, menerusi surat, e-mel, telefon dan laman sosial.

Perkara pokoknya, mesej itu perlu sampai kepadanya dan jangan sesekali membiarkan diri menjadi mangsa keadaan. Fitnah itu lumrah dalam kehidupan manusia sejak zaman berzaman, justeru saudara sebagai individu berpelajaran harus bijak menanganinya.

Dalam satu kes, ada lelaki mengadu kepada Dang Setia dia musykil bagaimana seorang rakan perempuannya yang akrab secara tiba-tiba menjauhinya. Sebelum itu mereka boleh ‘bergayut’ di talian hingga berjam-jam membicarakan diri masing-masing.

Mereka tidak bercinta tapi boleh dikatakan berkenan di antara satu sama lain biarpun pada masa sama sudah mempunyai teman.

Lelaki itu cuba memujuk tapi wanita berkenaan tidak memberinya peluang memperjelaskan keadaan sebenar. Beberapa tahun selepas kedua-duanya berkahwin, lelaki itu mengetahui dirinya menjadi mangsa fitnah, kononnya ingin mempermainkan perasaan wanita terbabit.

Berbalik kepada kes saudara, saudara sebenarnya bernasib baik kerana masih belum terlambat. Yang perlu dilakukan adalah menawan semula hati H.

Apa yang Dang Setia dapat rasakan, luka H terhadap saudara sangat dalam hingga sanggup mengambil risiko memutuskan pertunangan biarpun pernah terlanjur.

Apabila luka itu dalam, pasti ia mengambil masa lama untuk sembuh, begitu juga H. Saudara perlu berusaha meyakinkan H bahawa saudara adalah calon terbaik untuk dijadikan suami, dan bukan teman lelakinya sekarang.

Percayalah, saudara masih ada harapan memiliki semula H jika kena gayanya. Daripada segi fizikal, Dang Setia percaya kamu berdua tiada masalah dan berkenan di antara satu sama lain.

Namun, pada masa sama saudara tidak boleh menyimpan harapan terlalu besar, khuatir membawa binasa kepada diri. Berusahalah setakat mana yang terdaya untuk memilikinya, tapi beri ruang kepada diri untuk menerima kegagalan.

Mungkin saudara boleh tetapkan tempoh tertentu untuk mengatasi masalah berkenaan, sebagai contoh enam bulan, tapi andai gagal, nasihat Dang Setia lupakan H kerana bunga bukan sekuntum.

Saudara sudah berusaha memujuknya semula dan menjadikannya isteri demi menebus dosa silam. Sekurang-kurangnya saudara dapat mengatasi perasaan bersalah terhadap H kerana perpisahan itu berlaku kerana kehendaknya.

Jumaat, 10 Disember 2010

12:40:00 PTG

Layang-layang bertali kaca-norhayati berahim.


Manja, si anak kecil Tengku Shariman yang dikurung dalam sangkar emas sering bermimpi dapat bermain layang-layang sepuas hati. Apabila dia mendapat peluang dengan bantuan Pak Jusuh, pemandunya, kesempatan itu digunakan sepenuh hati. Sesekali dia melihat layang-layang itu mundur dan sesekali maju. Kadangkala dia terkejar-kejar dan kadangkala dia cuma berdiri tegak. Ketika itu

Rabu, 8 Disember 2010

9:42:00 PG

Masih setia -Aisya Sofea


Sinopsis : MASIH SETIA
Miera - Gadis biasa yang hidup serba sederhana. Ada rupa, ada pelajaran, ada cita-cita. Dalam menjalani kehidupan seharian, teman lelaki tidak pernah terlintas di fikiran. Sehinggalah dia dipaksa memikirkannya atau dia tiada pilihan!

Rabu, 1 Disember 2010

10:26:00 PG

Rindu kian berbunga...

kita bersatu
kita bersama
dan kita beriringan
melayari bahtera kehidupan ini
putik rindu mula tumbuh.
aku  dan dia
saat ini bersama
melakar memori indah
mencoret impian hati
putik rindu kian bercambah.
sesekali datang unggas
cuba untuk mencuri kemanisannya
Namun tidak terluak sedikit
walau berkali unggas datang
menuntut.
putik rindu kian menguntum
menyatukan hati dua insan
yang ditakdirkan bersama
berkongsi sebuah bahtera kehidupan.
putik rindu yang kian menguntum
membentuk sekuntum bunga indah
menjadi hiasan di dalam hati.