Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Selasa, 29 November 2011

November 29, 2011

Mini Cerita -Kebetulan yang Indah 1


p/s : ni cerita pendek yg saja2 shima tulis.. tak siap lagi.. so shima akan postkan skit2..coz dah seminggu blog ni kosong.. kena laa masuk entri ya...


Masak lemak daun kesum ikan keli dan puyu benar-benar membangkitkan seleranya. Telah lama dia tidak menikmati masakan ini. Jadi tanpa menoleh kiri dan kanan, Shaiful terus menarik kerusi dan duduk di meja makan itu. Tanpa menunggu orang lain, dia menceduk nasi ke dalam pinggannya.
“Anak bertuah ni, balik-balik kerja terus terkam ke meja makan. Kot iya pun pergi mandi dan solat maghrib dulu.” Tegur Puan Hasni yang menatang dulang minuman dari arah dapur.
“Laparlah umi. Sekejap lagilah. Kena makan dulu nanti tak kusyuk solat” usai berkata, tangan Shaiful pantas menceduk kuah lemak kuning itu tetapi tak sempat kerana tangannya dipegang kejap oleh Puan Hasni.
“Jangan nak mengada-ngada. Pergi solat dulu. Bukannya budak-budak lagi. Umur dah masuk 30 tahun kena tegur jugak ke?” Jegil Puan Hasni. Anak bertuah ni memang tak makan saman. Lebih-lebih lagi apabila ternampak lauk kegemarannya.
Kemarahan Puan Hasni tidak mendatangkan kesan pun ke atas Shaiful tetapi diturutkan juga arahan uminya. Dia bingkas bangun dan menuju ke tingkat atas untuk mandi dan bersolat. Sejak kebelakangan ini seleranya agak tumpul. Dia telah jemu menjamu selera di restoran mahupun gerai. Lidahnya teringin merasai masakan kampung seperti masak lemak daun kesum ikan keli dan puyu. Telah lama dia mengidam dan telah lama juga dia meminta umi masakkan untuknya. Baru hari ini lauk itu menjadi hidangan makan malam mereka. Dengan langkah yang besar-besar, Shaiful pantas memasuki biliknya dengan senyuman terus terukir di bibirnya.
.*****
Puan Hasni leka memerhati anak lelakinya menikmati hidangan. Nampak berselera dengan dua kali menambah nasi. Sejak berpisah dengan Suraya, selera Shaiful langsung tiada. Hidupnya pula merangkumi pejabat dan rumah sahaja. Wajahnya kian cengkung dan tidak berseri. Walaupun dia sentiasa tersenyum, namun sebagai ibu, Puan Hasni dapat melihat kedukaan dan kesedihan di sebalik senyuman itu. Hati ibu mana yang tidak bersedih dengan nasib yang menimpa anaknya itu.
Perpisahan kekal abadi itu telah meragut keceriaan di wajah Shaiful. Walaupun tidak kelihatan setitis air mata membasahi pipi itu, namun dia tahu, di jiwanya tetap merintih pilu. Siapa sangka, Suraya, menantu kesayangannya yang ceria dijemput terlebih dahulu oleh pencipta-Nya. Rupa-rupanya selama ini dia bijak menyembunyikan penyakitnya. Tidak seorang pun yang mengetahui bahawa dia mengidap barah usus. Patutlah Suraya amat memilih makanan. Hanya makan makanan yang direbus dan panggang sahaja. Hanya menggunakan rempah ratus tanpa perasa kimia di dalam apa juga masakan yang disediakan. Hati Puan Hasni bergetar. Hatinya juga disapa rindu apabila mengingati arwah menantunya.
Suraya seorang menantu yang baik. Amat menghormati dirinya dan juga seorang anak yang patuh. Isteri yang didambakan oleh seorang suami. Shaiful memang bertuah kerana memperisterikan Suraya. Dan dia juga menumpang tuah itu kerana dikurniakan seorang anak perempuan yang selama ini diidam-idamkan. Empat orang anaknya adalah lelaki. Jadi apabila Shaiful berkahwin dengan Suraya, Puan Hasni bagaikan dikurniakan seorang anak perempuan, apatah lagi Suraya yang pandai membawa diri dan mengambil hatinya.
“Nek.. nak nasik lagi” Pinta Suhaila sambil menggoncangkan tangan Puan Hasni.
Puan Hasni tersentak dari lamunan dan terus menoleh di sisi.
“Oooo nak nasi lagi. Sedap tak lauk hari ini?” Aju Puan Hasni kepada si kecil yang berusia lima tahun itu.
“Sedap nek. Hari-hari nenek masak lagi ya” Pintanya lagi.
“Hari-hari jemulah. Sesekali boleh.”
Suhaila menarik muncungnya. “ Hari-harilah nek. Ila nak makan dengan papa. Kalau nek tak masak macam hari ni, nanti papa tak nak makan sekali dengan Ila lagi” rayu Suhaila lagi. Suaranya kedengaran sayu.
Puan Hasni, Shaiful, Shahmi dan juga Encik Sahak tersentak. Permintaan tulus dari satu-satunya cucu mereka membuatkan yang lain terhenti menyuap makanan. Puan Hasni menjeling kepada Shaiful. Ada sayu menggigit tangkai hatinya. Sampai bila rumah ini akan terus berkabung. Suraya telah hampir dua tahun pergi meninggalkan mereka semua. Kehilangannya bagaikan baru semalam. Semenjak kehilangan itu, rumah ini kehilangan serinya. Segalanya kelihatan suram dan muram. Semuram hati mereka semua.
“Sudah sampai masanya kita berhenti meratapi pemergian Sue. Shaiful.. abah harap kau dapat luangkan masa bersama –sama dengan Ila. Kasihan dia. sikap acuh tak acuh kau ni membuatkan hatinya sedih dan terasing. Dia berharap sangat dapat makan bersama dengan papanya setiap hari” Ujar Encik Sahak.
Sudah sampai masanya dia bersuara. Bukan hanya Shaiful yang kehilangan isteri, malah dia turut sama merasai kehilangan menantunya itu. Lebih-lebih lagi isterinya yang rapat dengan arwah. Shaiful menundukkan kepalanya. Sebak terasa sesak di dada. Bagaimana dia boleh terlupa, permata hatinya itu. Kerana ingin merawat lara di hati, dia mengabaikan permata hatinya. Maafkan papa sayang. Matanya tunak merenung wajah polos anaknya yang sedang makan itu. Belas hatinya. Anak yatim yang kehilangan ibu dalam usia yang baru menjangkau lima tahun. Kasih papa pula turut menghilang sama dengan kehilangan kasih ibu. Namun nasib baiklah, di sisinya ada nenek dan datuk yang sentiasa mengambil berat dan mencurahkan kasih sayang mereka. Rasa sesal mula menguasai dirinya. dalam diam Shaiful berjanji akan memberikan lebih perhatian kepada anaknya itu. Ralit dia memerhati Suhaila yang makan dengan berselera. Tingkah lakunya amat mirip dengan sikap mamanya, dan pantas membuatkan hati Shaiful terus mengenang wanita kesayangannya itu.
*******
Shaiful mengusap kepala Suhaila yang sedang tidur berbantalkan pahanya. Belas melihat wajah polos anaknya itu. Wajah yang saling tidak tumpah wajah mamanya. Sedikit sebanyak mempengaruhi tingkah lakunya mengabaikan permata hati mereka.  Melihat wajahnya, membuatkan rindu kian berputik di hati. Sesak nafasnya. Rindu itu terlalu dalam sehingga dia mengabaikan diri sendiri. Terus bekerja tanpa memikirkan perkara lain kerana ingin dilenyapkan kesakitan yang mencengkam jiwanya.
Memori semalam bermain-main di pinggir memorinya. Masanya seperti ketika ini. Ketika itu, yang berbaring beralaskan pahanya adalah Suraya. Wajahnya asyik menatap wajah Shaiful yang sedang fokus membaca. Sesekali tangan halus itu sengaja mengusap lembut dadanya. Menggaru-garu di situ. Sengaja Shaiful mengabaikan biarpun ada rasa telah mengocak ketenangan hatinya. Ada keinginan yang timbul. Sesekali tangan itu mengusap perutnya yang sedikit tinggi dari dadanya. Senang hati kerana mengahwini Suraya membuatkan dia sentiasa berselera. Lebih-lebih lagi masakan isterinya, terutamanya masak lemak daun kesum ikan keli. Pertama kali merasai gulai lemak itu, dia mulai jatuh cinta pada masakan itu. Sebelum ini tidak pernah dia merasakan  itu dan Surayalah yang mengajarnya untuk merasai keenakkannya.
“Abang..”di tarik tangan Shaiful dan dikucup belakang telapak tangan itu.
“Kalau Sue pergi dulu, abang janji akan kahwin lain ya” pinta Suraya ikhlas. Dahi Shaiful berkerut.
“Kenapa cakap melalut ni. Sue nak pergi mana? Tempat Sue kan di sisi abang” Soal Shaiful lembut. Rambut isteri kesayangannya dibelai-belai.
“Abang salah. Tempat Sue di sisi abang hanyalah sementara. Tempat kekal Sue adalah di sisi Allah s.w.t” pintas suara halus itu. Shaiful tajam merenung wajah di atas pahanya. Ada rasa tidak enak mengetuk pintu hatinya. Dia tidak suka orang membicarakan tentang kematian, walaupun orang islam disarankan supaya sentiasa mengingati kematian.
Suraya tersenyum. Namun ada misteri di sebalik senyuman itu. Seringkali Shaiful tertanya-tanya. Puas sudah dia bertanya kepada isterinya, adakah perkara lain yang tidak diberitahu lagi. Apa juga perkara yang dia perlu tahu. Jawapannya hanyalah sebuah senyuman dan ciuman di pipinya. Dan persoalan yang sering bermain-main di fikirannya terus berlalu pergi biarpun sesekali ia datang mengetuk pintu hati dan inginkan jawapannya.
Suraya, seorang gadis yang penuh lemah lembut. Kerana senyuman yang sentiasa terukir di bibirnya membuatkan hati Shaiful jatuh kasih pada pandangan pertama ketika gadis itu datang untuk temuduga sebagai penyambut tetamu syarikatnya. Selepas temuduga, sebaliknya yang berlaku, Suraya lulus sebagai calon isterinya. Tanpa menunggu lama, dia terus meminta umi meminang Suraya untuknya. Pinangan pertama di tolak. Siapa yang tak kecewa. Namun dia tetap tidak berputus asa. Pinangan ke dua pula menyusul, Suraya tiada lagi alasan untuk menolaknya.
Tiga tahun hidup bersama, Shaiful terlalu bahagia. Suraya pandai mengambil hatinya dan juga hati kedua ibu bapanya. Dia disayangi oleh semua ahli keluarganya. Tapi hari yang indah tidak selamanya indah. Tiba-tiba Suraya jatuh pengsan dan koma. Saat itu barulah mereka mengetahui tentang penyakit barah usus yang dideritainya.
Ada air jernih bertakung di sudut matanya. Shaiful kembali ke alam realiti. Kenangan bersama Suraya terlalu indah sehinggakan kadang-kala dia tidak ingin kembali lagi. Ingin terus hidup bersamanya di dalam ilusi indahnya. Namun dia sedar, dia masih punya permata hati untuk diberi perhatian. Dia masih punya tanggungjawab sebagai insan di dunia ini.

Isnin, 21 November 2011

November 21, 2011

Melayan Jiwa : Kemesraan itu.. Sahabat.


"Member kita semua apa khabar? Dah lama tak jumpa. Aku selalu teringat. aku selalu juga rindu kat diorang"

"Bukan kau je.. Aku pun sama. teringat kisah kita dulu-dulu. Rindunya kemesraan pada alam persekolahan dulu. Kini bila dah ada kehidupan masing-masing, apabila semua dah dok jauh dari kampung, setahun sekali belum tentu dapat jumpa. Padahal rumah orang tua dekat je"

"Nak buat macam mana. Kadang kala tu dia balik, kita tak balik. Apabila semua balik, masing-masing ada kerja. ada komitmen dengan keluarga. Keluarga kena didahulukan. dulu lain, sekarang lain"

"Apa yang lain. Aku tetap seperti dulu. mana ada pernah berubah. Sungguh aku rindukan sahabat-sahabat kita. Kenangan manis tika di sekolah amat kuat melekat di sanubariku."

"Bukan kau saja.. aku pun sama. ingat tak kita sama-sama kejar bas. Sama-sama lewat datang ke sekolah tetapi boleh buat selamba je apabila Cikgu Bidah menjeling"

"A'aah tak pun kau ingat tak selepas PMR dulu. kita bermain banjir kat sekolah. bergambar dalam hujan. Seronok kan dulu. Bergelak tawa. bagaikan tiada apa yang merisaukan hati kita"

"A'aah kenangan lebih 15 tahun yang lepas. Ooooh cepatnya masa berlalu.

"Aku rindukan kita-kita yang dulu. Yang masih lagi comot dan gelap. yang sentiasa je ada agenda nak buat. bukan agenda belajar tapi agenda lain. hahahaa..."

"Masih ingat lagi kekasih lain. Pak we masa muda-muda dulu?"

Ada tawa yang bergema. Ada lucu mencuit hati. tak sangka dalam usia di awal belasan tahun sudah pandai melayan jiwa. Sudah pandai berkasih- kasihan. tapi kami tetap tahu batasan. tetap ada tembok yang menghalang. tidak ada yang melanggar peraturan alam apatah lagi adat dan agama. Orang kata berkasihlah biar satu, berkawanlah biar seribu. Walaupun berkasih cuma satu, namun kehormatan diri dan maruah tetap nombor SATU!.

"tapi yang pelikkan. Orang yang berkasih sayang masa sekolah dulu tak ada satu pun bersatu. Yang bermusuh dan berperang mulut time sekolah dulu boleh pula bersatu. Macam Yus dengan Ijam. Haa.. aku tak tahu, tiba-tiba pula dapat kad walimatulurus. Alahai.. hidup ni macam bola. bulat.. tak lurus. dan kita tak tahu apa yang menunggu di hadapan kita. kan?"

"Betul tu? Siapa sangka.. geng dulu semuanya berjaya. Geng dulu yang hot kini berjaya di dalam hidup masing-masing. punya kerjaya dan keluarga yang boleh dibanggakan"

"itulah Orang tua berpesan sebelum mengata orang, lebih baik mengata diri sendiri dulu. Walaupun orang tu hebat di sekolah dulu, belum tentu hebat juga hidupnya. Walaupun orang tu hantu di sekolah dulu, belum tentu dia akan jadi hantu selama-lamanya.Seperti perpatah .. Iman tak boleh diwarisi, betul tak?"

"Aik apa kaitan pula dengan iman?"

"Hahahahaa.. aku pun tak tahu..terlintas kat kepala aku ni perpatah tu"

Kemudian.. gelak lagi bergema.. walaupun begitu ada sayu bergayut di ulu hati. Aku rindu kemesraan dulu. AKu rindu pada temanku dulu. AKu rindu saat kita bersama dulu.

Jangan salah sangka. di dalam hati setiap kawan ada rasa rindu pada musim-musim lalu. Saat diri masih lagi polos, naif dengan kehidupan ini, sahabatlah tempat jatuh bangun bersama. Saat-saat diri masih lagi mencari jalan.. mencari arah.. sahabatlah orang yang setia bersama. Mana mungkin dilupakan, sedang tempat yang jauh lagi di kenang, inikan pula sahabat yang seiring bersama.

Sebenarnya masa telah mengubah segalanya, jika dulu kita hanya memikirkan diri sendiri, kini kita kena berfikir untuk orang lain, keluargan, anak-anak dan juga suami. Jika dulu kita bebas ke mana-mana bila-bila masa, kini kebebasan itu telah tiada. Ada keluarga perlu di dahulukan. Ada kerjaya perlu diutamakan. Masa sebenarnya telah melarikan segala-galanya. Menyusuri masa, mengikuti arusnya membuatkan kita perlu berkorban rasa, berkorban masa lalu. Lalu dijadikan memori indah untuk diingati.

Fahamilah wahai sahabat... Hati siapa yang tak terasa.. yang dekat terasa jauh.. yang jauh lagilah jauh. Sampai masa... yang jauh akan dekat.. yang dekat bertambah dekat. :D

Jumaat, 18 November 2011

November 18, 2011

Melayan Jiwa- Kemesraan dulu 1

Melihat dalam banyak-banyak status update kat Facebook wall, shima tertarik dengan status adik sedara shima.....


"tgh bce yassin td..tetibe t'pikir cmne k'hidupan akn dtg..supo po loni ko..cmne nge hubungan my sibling..adakah se'close' loni n seceria loni ble b'kumpul..or msing2 sibuk nge k'hidupan masing..xsempat nk b'tnye kaba,gurau,usik m'gusik n gelak sme2...doa2 semoga keadaan ceria ni kekal sapa ble2 sehingga tiba mse bertemu illahi..wlpn usia menginjak dewasa,masing2 dah ada tnggungjwb masing2 n duk jauh2..Ya Allah..peliharalah kami dan tautkan hati2 kami dgn kasih sayang..pertemukanlah kami dan ibubapa kami dsyurgaMu...ameen..♥.."



Membuatkan shima terfikir juga... Masa telah sedikit demi sedikit melarikan kemesraan itu. Dulu.. sebelum shima kahwin dan sebelum adik-adik sedara mengikut jejak melangkah ke alam perkahwinan.. kami mesra. berjauhan dengan keluarga mengeratkan hubungan kami. Dulu kalau nak ke mana -mana, jika tak ada teman, shima akan ajak adik sedara shima. Mereka teman.. kami berkongsi cerita.. tawa.. dan juga rahsia hati.. Saling ingat mengingati... Saling bantu membantu...

Kini.. kemesraan itu kian jauh. dek terpisah oleh masa dan juga jarak. Pertemuan pula terjadi setahun atau dua tahun sekali.  Itu dalam masa yang singkat sebab masing-masing ada komitmen lain yang perlu didahulukan. Apabila sendirian.. kala mendengar lagu dan melayan jiwa.. rindu adakalanya menusuk kalbu. Kini.. hanya facebook menjadi penyambung hubungan.. itu pun tak selalu. Percaya atau tidak.. kian kita menginjak usia.. menempuhi cabaran demi cabaran kehidupan ini.. kian kita meninggalkan kemesraan dulu. Teman kala meniti usia kanak-kanak dan remaja. 

Tetapi.. semua itu sebenarnya bukannya terjadi di atas kerelaan kita. Masa menghanyutkan kita jauh dari segala  keindahan yang dikecapi dulu. Kalau diberi pilihan tentunya kita semua mahu keadaan seperti dulu. Masa lalu yang memberikan seribu kemanisan. Tanp dibebani dengan masalah kehidupan. Namun kehidupan manusia terus bergerak ke hadapan. Meneruskan perjalanan mengikut haluan dan jalan yang dipilih. Sedar atau tidak.. itulah takdir yang tertulis di dalam diari kehidupan kita. Masa akan terus berlalu. Sesekali.. apabila hati dirusuh gelisah.. memori manis pahit semalam akan ditelusuri. dibelek satu persatu ingatan dulu, yang duka jadi cerita, yang kelat, jadi manis. Ajaibnya masa adalah mampu mengubati kesakitan dulu dan dikenang sebagai satu di atas seribu kemanisan itu. Yang benci jadi rindu.. Yang terluka telah diubati.

Jadi.. kenangilah saat indah dulu. Yang pahit jadikan ia manis.. Yang sedih jadikan ia gembira., Yang duka Jadikan ia suka. Kerana masa telah mengubah dan mengubati segala. Iringkan hari-hari berlalu dengan sebuah doa agar hari yang sedih dapat dikenangi sebagai hari yang teristimewa. Katakanlah pada diri sendiri.. Semalam adalah kenangan. Hari ini adalah kenyataan.. Esok adalah sebuah Impian.



"Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian,
Kecuali orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan,
dan saling berwasiat pada yang benar, dan saling berwasiat untuk bersabar. 
(103:1-3)

"Dia menjadikan malam memasuki ke dalam siang,  dan menjadikan siang memasuki ke dalam malam.
Dia mengetahui apa yang di dalam dada."
(57:6)


Selasa, 1 November 2011

November 01, 2011

Tangan Ibu




Cuba anda hayati cerita ini





ketika ibu saya berkunjung, ibu mengajak saya untuk shopping bersamanya kerana dia menginginkan sepasang kurung yg baru. Saya sebenarnya tidak suka pergi membeli belah bersama dengan orang lain, dan saya bukanlah orang yang sabar, tetapi walaupun demikian kami pergi juga ke pusat membeli belah tersebut. 

Kami mengunjungi setiap butik yang menyediakan pakaian wanita, dan ibu saya mencuba sehelai demi sehelai pakaian dan mengembalikan semuanya. Seiring hari yang berlalu, saya mulai penat dan kelihatan jelas riak2 kecewa di wajah ibu. Akhirnya pada butik terakhir yang kami kunjungi, ibu saya mencuba satu baju kurung yang cantik . Dan kerna ketidaksabaran saya, maka untuk kali ini saya ikut masuk dan berdiri bersama ibu saya dalam fitting room, saya melihat bagaimana ibu mencuba pakaian tersebut, dan dengan susah mencuba untuk mengenakannya. Ternyata tangan-tangannya sudah mulai dilumpuhkan oleh penyakit radang sendi dan sebab itu dia tidak dapat melakukannya, seketika ketidaksabaran saya digantikan oleh suatu rasa kasihan yang dalam kepadanya. Saya berbalik pergi dan cuba menyembunyikan air mata yang keluar tanpa saya sedari. Setelah saya mendapatkan ketenangan lagi, saya kembali masuk ke fitting room untuk membantu ibu mengenakan pakaiannya. 

Pakaian ini begitu indah, dan ibu membelinya. Shopping kami telah berakhir, tetapi kejadian tersebut terukir dan tidak dapat kulupakan dari ingatan . Sepanjang sisa hari itu, fikiran saya tetap saja kembali pada saat berada di dalam fitting room tersebut dan terbayang tangan ibu saya yang sedang berusaha mengenakan pakaiannya. Kedua tangan yang penuh dengan kasih, yang pernah menyuapi, memandikan saya, memakaikan baju, membelai dan memeluk saya, dan terlebih dari semuanya, berdoa untuk saya, sekarang tangan itu telah menyentuh hati saya dengan cara yang paling berbekas dalam hati saya. Kemudian pada malam harinya saya pergi ke kamar ibu saya mengambil tangannya, lantas menciumnya ... dan yang membuatnya terkejut, saya memberitahunya bahwa bagi saya kedua tangan tersebut adalah tangan yang paling indah di dunia ini. Saya sangat bersyukur bahwa Tuhan telah membuat saya dapat melihat dengan sejelasnya, betapa bernilai dan berrharganya kasih sayang yang penuh pengorbanan dari seorang ibu. 

Saya hanya dapat berdoa bahwa suatu hari kelak tangan saya dan hati saya akan memiliki keindahannya tersendiri. Dunia ini memiliki banyak keajaiban, segala ciptaan Tuhan yang begitu agung, tetapi tak satu pun yang dapat menandingi keindahan tangan Ibu...

Sumber Facebook