Thursday, 14 June 2012

Pelarian kasih - 5


Auni memandang Aazad yang sedang makan. Tertib dan amat menarik untuk diperhatikan. Mesti dia anak orang kaya yang diajar agar sentiasa bersopan ketika makan. Bukan sepertinya, bukanlah hendak kata dia makan gelojoh, atau tidak tertib, makannya sopan tetapi tidak sesopan Aazad makan. Auni tersenyum, seronok pula melihatnya. Auni juga perasan semenjak mereka masuk ke dalam restoran ini, ada mata-mata yang setia memerhati tingkah laku mereka. Untuk menghilang rasa kekok, sebab itulah Auni memandang Aazad yang sedang menjamu selera. Dia pula sekadar memesan jus epal asam boi.
“Awak kenyang ke lihat saya makan sampai tak berkelip-kelip”
Auni tersentak. Isyyy.. bikin malu je.. desis hatinya.
“Eh.. tak..tak” Kalut Auni menjawab.
Aazad tertawa kecil. Ingatkan sentiasa tenang je minah ni, rupanya ada kalut kalibut juga.
Auni menjeling, sengaja hendak membuat dia termalulah tu. Isyy.. tapi kenapa hati ini tak marah pun, makin suka pulak. Adakah dia gadis bertuah dapat menemani dan berkawan dengan jejaka kacak ini. Sejak pertemuan lepas, tidak habis-habis dia memikirkan di mana pernah terserempak atau terlihatkan Aazad ni, rupa-rupanya Aazad adalah seorang model. Banyak juga gambar terpampang di majalah meragakan pakaian. Bangga? Tentulah terasa sangat-sangat bangga sebab seorang lelaki kacak sudi menghulur salam perkenalan. Dan hari ini menemaninya pula makan.
“Awak tahu cara awak makan menepati cara makan Rasulullah s.a.w. duduk dengan tegap dan tidak menyandar, menggunakan tangan kanan, mulai makan dari yang dekat dan tidak memenuhi mulut dengan banyak makanan, tidak berbunyi ketika mengunyah dan menikmati makanan tanpa menghiraukan orang lain, tapi....”
Aazad tersenyum lebar mendengarnya. diletakkan sudu dan garfu di dalam pinggan dan mengesat mulutnya dengan tisu sebelum bersuara.
“Tapi apa?” Dijungkitkan kening sebelah.
Auni mencebik. Setiap orang suka dipujikan? Lelaki di hadapannya pun sama juga. Sudah nampak riak terlukis di wajahnya. Pantang orang pujilah, sudah mula merasa bangga.
“Tapi awak tidak mulai dengan doa makan atau sekurang-kurangnya dengan lafaz bismillah. Jadinya syaitan turut sama menikmati makanan yang awak makan. kemudian awak pakai sudu garfu, tak ikut sunnah jugak sebab Rasullullah makan menggunakan tangan dan menjilat setiap jemarinya”Auni menoktahkan kata sambil memandang wajah Aazad.
“Kemudian disudahi dengan alhamdulillah” Sambungnya sedikit lagi. Kemudian dia tertawa perlahan sambil menutup mulutnya. Melihat reaksi Aazad ketika ini amat kelakar.
“Oooh.. awak kenakan saya kan?” Tanya Aazad sambil mendekatkan kepalanya ke arah Auni. Auni pula mula kalut melarikan wajahnya. Tawa tadi terus termati. Kalut dengan reaksi Aazad yang tetiba terromantik ini. Isyss.. di tempat awam pula ni, mati aku kalau orang yang aku kenal melihat telatah Aazad ni, bebel Auni.
Oleh sebab mereka duduk bersebelahan Auni tidak dapat melarikan wajahnya jauh. Manakala Aazad semakin mendekatkan wajahnya ke wajah Auni. Matanya pula terus terpaku memandang wajah Auni yang kian berubah pucat. Tidak sampai hati mengenakannya lama-lama Aazad tiba-tiba menarik wajahnya kembali. Sengihan mula melebar di bibirnya.
“Hahahaha.. takut? Kalut?” Ejeknya. Seronok menyakat.
Auni mencebik dan sponta dia menjelir. Sudah menjadi tabiatnya apabila merasa geram, dia akan menjelir kepada orang yang digeramkan.
“Tak takut. Seronok sangat. Kalau tahu macam ni seronok, tak nak saya temankan awak makan” Marah Auni. Seolah-olah mereka telah lama kenal san berkawan. Auni selamba memarahinya.
“Hahhahaa... Saya lagi seronok melihat wajah merah awak. Buat saya tak tidur malam nanti” Selamba Aazad mengusik.
Auni menjeling ke arah Aazad namun lelaki itu tetap selamba memanggil pelayan untuk membuat bayaran. Aazad masih lagi murah dengan senyuman.
“Awak nak tahu tak, awak telah menceriakan hari saya yang suram. Kalau hari-hari bersama awak, dua pinggan spageti ni tak cukup tau. Sudah lama saya tidak merasa makanan terasa sesedap ini”
Auni terkedu dan terus memandang wajah Aazad. Ada maksud lain di sebalik kata- kata yang boleh dikatakan pujian itu. Apa maksudnya? Takkanlah selama ini tak pernah makan makanan yang sedap?
“Jom...” Ajak Aazad setelah selesai membuat bayaran. Auni mengikut. Rutin mingguannya berubah pada minggu ini. Rutin baru, menemani jejaka kacak makan dan melayan bual dengannya.
“Nak pergi mana ni?” Soal Auni setelah mereka berjalan dan berjalan di dalam Suria KLCC tanpa arah tuju.
Aazad mengangkat bahu.
“Awak nak pergi mana?” Soalnya kembali.
“Nak balik” Spontan Auni menjawab. Matanya ditala ke hadapan tanpa melihat reaksi orang disebelah.
“Cepatnya. Awak tak suka berjalan dengan saya?” Soal Aazad lagi.
“Bukan tak suka tetapi janggal”
“Kenapa pulak?” Soal Aazad lagi. Ingin tahu. takkanlah berjalan renggang-renggang macam ni pun terasa janggal. Kena berjalan himpit-himpit berpeluk bahu baru tak janggal?
“Sebab saya tidak pernah berjalan berduaan dengan lelaki yang tiada hubungan persaudaraan dengan saya?”
“Dengan kawan lelaki pun tak pernah?”
Auni pantas menggelengkan kepalanya. Dengan Hasif pun tak pernah. Biasanya pertemuan mereka di kafe ataupun perpustakaan sahaja. Tidak pun berjalan bersama-sama disertai oleh rakan-rakan yang lain. Sebab itulah dia tidak pernah ada peluang untuk meluahkan perasaan. Menunggu dan terus menunggu sehingga tanpa disedari peluang itu telah pun terlepas.
Pergaulannya dijaga supaya tidak terlalu terbuka dan juga tertutup. Penampilannya pun sama walaupun dulu dia hampir terbabas gara-gara ingin menarik perhatian Hasif. Kemudian apabila mendengar pengakuan Hasif, serta merta dia kembali ke Auni Saffiya yang asal. Dan bagaikan terlepas beban yang berat, hatinya mampu menarik nafas lega. Menjadi gadis biasa amat sesuai untuknya, bukan sebagai gadis yang terlalu menonjol. Itu bukan dirinya yang sebenar.
“Kenapa? Takkanlah awak tidak ada kawan lelaki langsung?” Soal Aazad ingin tahu. Semakin hatinya tertarik mahu mengenali gadis di sebelahnya kini.
“Ada... siapa kata tak ada. Tapi tak semestinya saya perlu keluar dengan mereka untuk membuktikan saya berkawan dengan merekakan. Dulu keluar berjalan pun dalam kumpulan. Kekadang ada juga member lelaki sorang dua tersesat ikut sekali kononnya sebagai pengawal peribadi” Auni tersenyum-senyum. Kenangan belajar di Matrikulasi dulu amat indah untuk dikenang.
“Awak tak pernah bercinta?” Soalan tanpa diduga keluar dari bibir Aazad
“Awak pula tak pernah bercinta ke?” Soal Auni kembali. Rasanya dia tidak perlu menjawab soalan berbentuk peribadi itu. Lagipun mereka baru kenal dan ini kali ke dua pertemuan mereka, takkanlah sebegitu mudah mendedahkan soal peribadi diri sendiri.
“Saya tanya awak dulu”
“Kemudian saya tanya awak pula, sebab seeloknya awak yang bercerita tentang diri awak terlebih dahulu. Baru saya pertimbangkan sama ada ingin memberitahu atau tidak tentang diri saya” Auni bermain kata. Membalas setiap ucapan yang keluar dari bibir Aazad.
Aazad tersenyum senyum. Menarik bercakap dengan Auni ni. Berjalan bersama-sama pun berjarak. Bukan melekat macam sesetengah gadis yang dikenalinya. Lagi menarik perhatiannya, setiap kali berselisih dengan orang lain dan orang itu memandangnya, Auni tidak lokek dengan senyuman. Malahan sempat memberi salam. Dia semakin selesa berjalan dengan Auni. Dua tiga kali pusing Suria KLCC ni pun tak apa, asalkan ditemani oleh Auni.
“Saya pernah bercinta dan sedang bercinta. Tetapi...” Aazad berhenti sejenak dan sekilas menoleh ke sebelahnya memandang Auni. Auni tidak menyampuk atau ingin bertanya. Dia menunggu sambungan kata-kata Aazad tanpa menoleh ke arah lelaki itu.
Agak lama menunggu barulah dia menoleh dan mengangkat keningnya seolah-olah bertanya. Aazad tersenyum lagi sebelum menyambung.
“Tetapi tidak pernah jumpa atau bercinta dengan gadis seperti awak. Nampak biasa sahaja tetapi rupanya terserlah kelebihan dan keistimewaan apabila mula mengenali awak. Saya harap agar persahabatan yang baru bermula ingin menjadi permulaan ke arah persahabatan yang lebih istimewa” Ikhlas dan yakin Aazad menuturkannya.
Auni terpesona seketika. Segan, malu dan kembang hati setaman pun juga terasa. Tidak pernah sejak dia mula remaja ada seorang lelaki yang mengungkapkan kata-kata ini padanya.
“Awak ni terlalu berlebihan. Kenal baru seminggu, berjumpa baru dua kali. Mana awak tahu kelebihan dan keistimewaan saya? Agaknya bila kenal lama-lama nanti, nampak banyak yang buruk pulak” Auni membalas dan menindakkan kata-kata Aazad.
“Salah ke?” Soal Aazad sambil lewa. Dia meluahkan apa yang dirasakan, ikhlas dari lubuk hatinya. Bukannya dia mengarang ayat-ayat itu semalam, tetapi terjelma di dalam hatinya apabila hampir sejam menghabiskan masa bersama Auni. Kegembiraan dan kegirangan yang tidak pernah secara mutlaknya dirasai, dalam hanya sejam bersama Auni dia mampu merasainya. Jadi tidak salah dia menghargai Auni dengan kata-kata itu.
“Salah... sebab tentu ada niat lain di sebalik kata-kata awak tu” Auni terus membantah kata-kata itu. Hatinya tidak suka dan rasa di dalam hati telah berubah perasanya membuatkan dia sedikit takut.
“Awak tahu tak? Kenapa orang melayu ni tak boleh maju dan terkehadapan?” Soal Aazad serius.
“Siapa kata? Ramai orang melayu yang dah berjaya dan lebih berjaya dari bangsa lain” Auni menjawab.
“Ok.. silap kata. Awak tahu tak kenapa sebahagian orang melayu sentiasa di tindas dan terkebelakang dari kaum lain di Malaysia ini?” Soal Aazad lagi. Memperbetulkan ayat sebelumnya.
“Sebab mereka tidak berani dan terlalu bergantung kepada ihsan kerajaan. Terlalu manja dengan ketuanan di tanah melayu ini”
“Betul apa yang awak cakap tu. Satu lagi sebab mereka tidak bangga dengan kelebihan yang mereka miliki dan selalu memandang rendah kepada kelebihan yang ada pada diri mereka. Selalu berfikiran tertutup dan menganggap setiap pujian yang diberikan ada maksud tertentu di sebaliknya”
“Salah kalau awak fikir macam tu. Budaya kita, adat kita kaya dengan sikap merendah diri dan bersopan santun. Bukan berbangga diri. Sebab sifat bangga dan bongkak itu bukan sesuatu yang perlu dibanggakan”
“Salah awak fikir begitu. Sebab menerima pujian di atas kebolehan diri bukanlah satu sikap membangga diri tetapi melambangkan keyakinan diri. Yakin dengan kebolehan diri dan mengekploitasikan kelebihan itu untuk terus maju.” Aazad meneruskan hujahnya.
“Merendah diri itu memang satu sikap yang baik tetapi perlu kena pada tempatnya. Macam yang saya kata tadi, awak istimewa dan keistimewaan awak tiada di dalam diri gadis lain yang saya temui. Pujian itu ikhlas dan tak ada niat apa-apa melainkan berharap persahabatan kita ini akan berpanjangan” Aazad menjelaskan maksudnya yang sebenar.
Auni terdiam. 

Layan sekejap...

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Disukai ramai