Kisah Mak Cik Tua...

Sebenarnya telahh lama saya hendak berkongsi cerita ini. Kisah kehidupan seorang mak cik tua bersama dengan suaminya (terkena serangan strok) berumur dalam lingkungan 90 tahun serta anaknya berumur 30 tahun (ada penyakit mental) selalu keluar masuk HKL.

Sebelum saya berpindah ke pejabat baru, telah beberapa kali juga terjumpa dengan mak cik ni. Tapi biasalah bila terjumpa di jalanan saya tak berapa ambik kisah. Lagipun orang di KL ni ada macam-macam kasih di sebalik wajah. Tambah pula area pejabat lama tu ramai sangat orang asing berkeliaran seolah-olah tempat mereka.

Apabila berpindah ke pejabat baru, Alhamdulillah kawasannya tenang dan tidak sesibuk kawasan pejabat lama. Suatu petang tu, suami saya tunggu saya di restoran di tingkat bawah pejabat saya. Ketika saya menghampiri nya ada juga seorang mak cik tengah makan. Saya lemparan senyuman. Dan mak cik itu tanpa ditanya ramah bercerita.

"Kuih ni tok manis, lembut pulak, sene nak make, mak cik tak gigi nak mamoh" Begitulah permulaannya.

Suami dan saya pun ringan bertanya.

"Mokcik mari mano?"

"Dari pasar borong, jupo sain-sain lama, bulih jugak serial dua ya," Saya dengan suami berpandangan.

"Pok cik ken, kena strok tak leh bangun, kena pakai pampers sokmo. Kalu tak pakai gak, tak cekak laa nak basuh. Habis duit beli pampers mok cik tubik laa jale kok ni. Dapat duit lepas beli pampers tak po doh."

Dan dia terus bercerita. Dia asal orang pasir puteh kelantan. Suaminya orang laloh. Telah lama berhijrah ke Kuala Lumpur ini. Dulu ketika mereka sihat, mereka bekerja sebagai buruh kasar di pasar borong selayang. Mula mereka menyewa berhampiran pasar borong selayang dengan belas ehsan orang-orang yang mereka kenal di pasar tersebut. Apabila tuan rumah hendak rumah tersebut mereka berpindah ke rumah lama DBKL area Kepong (saya lupa nama taman dan jalannya).

Nasib baik, rumah, air dan elektrik tak perlu dibayar. Mereka mempunyai seorang anak lelaki tetapi ada penyakit mental dan menjadi penghuni tetap wad di HKL. Dalam hati kami jatuh kasihan. Mak cik ni kalau boleh tak ingin meminta sedekah. Ada kerja dia mahu kerja dengan kudrat yang ada.

Petang itu saya dan suami membelanjanya makanan dan bungkus. Kami juga menghantarnya pulang. Esoknya kami kunjungi lagi rumahnya dengan sedikit barang-barang keperluan. Ketika kami sampai mak cik  dan anaknya (pulang ke rumah untuk mengundi) tengah bekerja membersihkan kawasan sekitar. Menurutnya ada seorang tauke datang ke rumahnya dan memintanya membersihkan kawasan tersebut dengan upah (tak tahu berapa banyak). Melihat mak cik dan tenaga tuanya menarik tong sampah hijau besar, saya insaf. Saya belum tentu ada tenaga sekuatnya untuk menarik tong tersebut. Dia berusaha dengan kudrat yang ada untuk mencari sesuap nasi. Dia tidak ingin meminta tetapi keadaan yang membuatkan dia terpaksa meminta.

Saya pernah tanya, kenapa tak balik kampung je. Ada saudara mara tak?.

Jawabnya balik kampung buat apa? Tak ada tanah dan adik beradik pun dah tak ada. Ada saudara-mara pun bukan boleh tumpang. Hendak bertanya khabar pun jauh sekali.

Saya terdiam. Ini adalah salah satu kisah duka di kotaraya ini. Semoga kisah mak cik ini mendapat perhatian dari mereka yang prihatin.

(Maaf, gambarnya tak sempat nak ambil).

Saya ada tanya kakak di restoran (bawah pejabat saya) bila dah tak nampak mak cik tu datang. Menurut akak tu, ada, petang-petang dia datang....Nampaknya selagi ada kudratnya dia akan berusaha mencari sesuap rezeki....