Cerpen : Terima kasih, Ramadan (02)

Psst.. Last Entri hari raya ya!




Wajah yang basah dengan airmata itu tidak pernah dilupakannya. Dulu dia hanyut. Merasai barangan terlarang membuatkan dirinya terasa berkuasa. Hebat. Dia tidak peduli perasaan orang lain asalkan apa yang dihajatinya dapat dimiliki dan dirasai.
Malam itu, dia tidak peduli. Digunakan sepenuhnya peluang yang ada.
“Jangan menangis sayang. I akan bagi layanan first class untuk sayang. Apa sahaja I akan lakukan asalkan sayang seronok dan menikmatinya. Malam ini, malam kita. Jadi jangan menangis sayang.” Diusap air mata yang mengalir di pipi mulus itu. Kemudian ditarik ke dalam pelukannya. Ada rontaan, dia menguatkan lagi pelukannya sehingga merasai setiap lekuk badannya. Keinginannya tiba-tiba memuncak. Dan dia sudah tidak peduli lagi, tangisan, jeritan dan air mata itu.
“Aku sumpah kau laknat! Kau boleh buat apa sahaja tapi mulai malam ini hidup kau takkan aman bahagia. Kau akan mendapat balasannya di atas apa yang kau lakukan pada aku,”
Biarpun perlahan suara sendu itu, tapi cukup terkesan di hati. Bila nafsu menguasai diri, tika itu dia sudah tidak peduli, asalkan dapat melepaskan hajatnya selama ini.
Sesal?
Mengingati malam itu, air mata lelakinya menitik lagi. Sungguh dia amat malu dengan dirinya sendiri. Terlalu mengagungkan kekayaan dunia sehingga sanggup melakukan apa sahaja. Terasa diri amat berkuasa bila dapat menguasai orang lain. Merasai hak orang lain. Mempergunakan orang lain demi kepentingan diri.
“Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku. Aku hamba-Mu yang penuh dosa. Hampir menjadi hamba syaitan.”
Dan sumpahan itu memakan dirinya. Dia kehilangan orang-orang tersayang dalam sekelip mata. Dia kehilangan seluruh keluarganya dalam kemalangan jalan raya. Terngadah! Menyesal.
Kerana detik hitam itulah mengheret dia ke pangkal jalan. Dia kembali menyusuri asal usulnya, kembali kepada ajaran agama. Tapi untuk kembali dapatkan apa yang hilang dia tidak mampu. Bersungguh-sungguh dia bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah s.w.t.
‘Kazim telah meninggal dunia, kemalangan jalan raya. Dia membawa kereta dalam keadaan mabuk bersama dengan seorang wanita, Encik Farhan. Jadi projek di Nusajaya itu, terpaksa ditukarkan kontraktor, syarikatnya hampir bankrap.”
“Isterinya turut meninggal dunia ke?”
“Isteri? Setahu saya, Kazim meninggal dunia bersama dengan kekasihnya. Dia sudah kahwin ke?”
Kisah dua tahun lalu berlegar di ingatannya. Selang seminggu dia kehilangan keluarga, dia dikejutkan pula dengan kemalangan yang menimpa Kazim. Kawan baiknya merangkap kontraktor yang menjalankan projek pembinaan apartment di Nusajaya. Terasa kerdil dirinya.
“Kau boleh memiliki tubuh aku, tapi kau kena tahu tubuh ini haram buat kau. Walaupun kau dapat kebenaran dari tuan di dunia ni, tapi kau tetap tidak mendapat kebenaran tuan yang sebenarnya, iaitu Allah s.w.t. Jadi tunggulah kau, Allah akan bayar cash setiap titis air mata aku ni!” perlahan tapi cukup mengejutkan hatinya.
Niat untuk menikmati lagi nikmat dunia terbantut. Dia tersandar di kepala katil. Terselit penyesalan di hati. Gerun. Dipandang wajah basah itu. Dipanjang juga ke bujur tubuh tanpa alas itu. Sempurna tapi dialah yang telah mengotorkannya.
“Malam ni Bro, kau akan dapat apa yang kau idamkan. Aku dah boring. Sudahlah kaku di ranjang, lepas tu banyak pulak ceramahnya. Kau nak? aku bagi free sebagai balasan projek besar yang kau beri ini.”
“Gunalah selama mana kau nak guna. Aku memang dah nak buang dah. Perempuan ni dah macam kain buruk. Aku pun tak tahu, tang mana yang kau suka sangat kat bini aku tu.”
Matanya dipejam rapat-rapat. Perbualan terakhir bersama arwah Kazim terngiang-ngiang di dalam mindanya. Sukar untuk dilupuskan sepertimana sukarnya dia membuang rasa bersalah. Dulu sedaya upaya dia mencari balu Kazim. Ingin dipohon kemaafan. Tetapi tidak diketemui. Maha Suci Allah, di bulan mulia ini, dia menemui apa yang dicari. Basah matanya. Betapa kerdilnya diri ini.
“Terima kasih Ya Allah kerana makbulkan doaku. Terima kasih Ya Allah kerana temukan aku dengannya sekali lagi.”
“Aku sumpah kau laknat! Kau boleh buat apa sahaja tapi mulai malam ini hidup kau takkan aman bahagia. Kau akan mendapat balasannya di atas apa yang kau lakukan pada aku,”
Kata-kata inilah yang sentiasa menghantuinya. Membuatkan dia menyesal sehingga kini. Juga membuatkan dia berubah 360 darjah.
 “Mama… Han rasa, Han sudah bertemu dengan jodoh Han.”
“Tapi mahu ke dia terima Han ni? Manusia laknat yang memusnahkan hidupnya.”
Mama senyum.
Mama.. bila masa tidak pernah senyum padanya. Senyuman mama penawar hatinya. Senyuman mama juga pemangkin semangatnya. Sentiasa menenangkan hatinya. Kalaulah mama tahu, hatinya ini tidak pernah pudar dari rasa bersalah. Kalaulah mama tahu, dia terlalu ingin memutarkan masa agar dia dapat memperbetulkan segala kesilapan dan kejahilannya dulu.
‘Mama, tidak pernah menyalahkan Han. Silap mama juga membuatkan Han tenggelam dan mabuk dengan keindahan duniawi. Di sebalik peristiwa itu, mama bersyukur Han telah sedar. Allah telah makbulkan doa mama. Jadi hiduplah baik-baik. Itu sudah cukup untuk membuktikan keinsafan Han. Allah s.w.t sentiasa memberikan peluang untuk hambanya bertaubat. Jadi, manfaatkanlah sebaik-baiknya.’
Tanpa sedar air matanya menitis. Kata-kata akhir mama sentiasa bermain-main dijiwanya. Mama.. Han rindu mama.
‘Jika rindu, peluklah Al-Quran, bacalah ia agar mama dapat merasai kerinduan itu, sayang.’
Air matanya terus membasahi pipinya. Sungguh rindu ini menjadikan dirinya semakin kerdil. Insaf. Kerana kerakusannya menikmati duniawi, dia kehilangan segalanya.
Dan dia terus tenggelam dalam lautan rindu yang amat dalam.
*****
“Pandai kau jual diri ya, Hanan. Terus dapat tangkap lelaki hensem macam tu. Kaya pulak tu,” sinisnya.
Hanan tersenyum tawar. Setahun menjadi teman serumah, Kartika tidak pernah pun bercakap baik-baik dengannya. Ada saja kata-kata yang menyakitinya. Dia geleng kepala. Kebisuan dan keselambaan Hanan mencarik hatinya. Sakit hatinya bertambah.
“Huh.. dasar pelacur!”
Air liur yang ditelan terasa pahit. Dia tidak tahu apa salah dirinya. Dia juga tidak tahu kenapa Ika berubah seratus peratus. Memusuhi dirinya. Padahal dia tidak pernah menyakiti hatinya. Dunianya cuma kerja dan rumah. Sesekali bila ada kesempatan dia ke masjid, berjemaah dan mendengar ceramah agama. Dunianya terbatas. Sungguh dia takut, sisa-sisa silam mengekorinya.
“Ika, saya tidak tahu apa salah saya dengan awak. Boleh awak cakapkan kat saya kenapa awak benci sangat dengan saya?”
Huh… Kartika mendengus.
“Kau tu hipokrit. Depan aku, kau tunjuk alim. Tapi belakang aku kau cuba goda tunang akukan?”
Hanan geleng kepala.
“MasyaAllah… wallahi.. tak pernah sekali pun saya pandang muka tunang awak tu. Sekali je saya terjumpa dengan dia depan pintu pagar rumah kita ini. Itu pun sebab dia cari awak.”
“Konon.. yang korang berpeluk bagai tu. Tak sengaja?”
Hanan segera teringat. Ya.. dia hampir jatuh tersadung batu. Nasib baik sempat dipegang oleh tunang Kartika. Tapi di lengan.
“Awak silap faham. Hari itu saya hampir terjatuh, tersadung batu. Nasib baik tunang awak sempat tarik. Kalau tak memang saya jatuh tersemban dah.”
“Saya minta maaf. Saya memang tak sengaja. Jika awak tak percaya cakap saya, awak kena percaya cakap tunang awak.”
Kartika terdiam.
“Ika, saya sayangkan persahabatan kita. Tak mungkin saya akan merampas tunang sahabat saya sendiri. Cukuplah sekali saya lalui pengalaman menyakitkan itu. Saya minta maaf jika saya ada buat silap. Sebetulnya, memang saya hampir terjatuh masa tu. Tiada niat langsung hendak memikat tunang awak.” Hanan menarik nafas. Sesak dadanya.
“Saya berada di sini sebab mahu mulakan hidup baru. Langsung tak terfikir untuk mencari teman hidup.”
Kartika terdiam. Wajah basah sahabatnya dipandang. Terjentik rasa kesal dihati kerana terburu-buru menuduh. Bukan dia baru kenal Hanan. Hampir 15 tahun mereka bersahabat. Sejak dari zaman sekolah lagi. Setiap apa yang berlaku di dalam hidup Hanan dia tahu A hingga Z. Tapi kenapa hatinya sungguh rasa tidak selamat. Cemburu melaut. Patutnya dia bersyukur.
“Hanan… Maafkan saya.”
“Entahlah Nan, terus terang saya cakap. Saya cemburu dengan awak. Awak cekal walaupun hidup awak penuh ranjau. Awak selalu dapat perhatian daripada lelaki yang saya suka.”
Hanan pantas geleng kepala.
“Sikit pun saya tak ada niat hendak menarik perhatian mereka. Tapi saya tak boleh halang apa yang mereka fikirkan. Apa yang mereka nak rasa pada saya. Kalau awak nak tahu sikit pun saya tak sukakan mereka.”
“Saya sayangkan awak. Kita sudah lama berkawan. Banyak yang telah kita kongsikan bersama. Kita bergaduh, bertekak, cemburu, iri hati, kata mengata antara satu sama lain. Tapi akhirnya kita tetap bersama. Awak sentiasa ada di sisi di saat saya memerlukan bahu. Walaupun kata-kata awak selalu sinis, tapi saya tahu awak sayangkan saya. Takkanlah awak tak faham lagi hati saya macam mana. Takkanlah awak tak percayakan saya selama ini?”
Kartika mengetap bibir. Ada satu rahsia hatinya yang Hanan tidak tahu.
“ Saya juga cintakan Kazim!”
“Tapi dia pilih awak!”
Hanan terpanar. Terdiam seketika. Nama yang cuba diluputkan dari memorinya. Nama yang membuatkan dia trauma sampai sekarang. Lelaki yang menghancurkan hidupnya. Lelaki yang telah menjual maruah dirinya. Rahsia ini tiada siapa pun yang tahu.
“Nasib baik dia tidak pilih awak, Ika. Awak bertuah. Jika tidak awak akan lalui apa yang telah saya lalui,” ujar Hanan perlahan. Dalam maksudnya.
“Maksud awak?” Dahi Kartika berkerut.
Hanan geleng.
“Orangnya telah tiada di dunia ini. jadi biarlah saya simpan kemas-kemas kisah hidup kami berdua.”
Bukan Kartika tidak tahu, ketika kemalangan yang menimpa Kazim. Dia bersama dengan perempuan lain. Dengar cerita kekasihnya. Dalam diam, dia bersyukur jodohnya bukan Kazim walaupun lelaki itu cinta pertamanya. Mungkin jika dia berada di tempat Hanan, hatinya tidak setabah Hanan, menerima perkhabaran yang menghancur lumatkan perasaannya.
“Awak bertuah, Ika. Jadi saya harap awak percepatkan pernikahan awak. Jangan tangguh-tangguh lagi. Syaitan memang akan sentiasa buat hati awak ragu-ragu. Meniup api cemburu. Yakinlah dia adalah pemilik hati awak,” nasihat Hanan.
Kartika angguk. Insaf. Dia terlalu mengikut kata hatinya. Cemburu tidak bertempat. Walaupun sudah berkali-kali tunangnya menjelaskan perkara sebenar, namun hatinya tetap tidak tidak yakin. Sebab itulah dia asyik menangguhkan pernikahannya. Rasanya jika lelaki lain, sudah pasti dia ditinggalkan. Bergenang air matanya.
“Maafkan saya.”
“Maafkan saya jugak.”

*****

Ulasan