Mini Novel : Bibah debab 2 (edited version)



“Habibah, kenalkan ini bos awak yang baru, Encik Azam.” Cik Maz datang ke kubikel Bibah dan memperkenalkan mereka.
Bibah melihat wajah bos sekali imbas dan terus menundukkan kepalanya, tanda perkenalan. Begitulah sikapnya setiap kali berkenalan dengan lelaki bukan muhrim. Bukannya terus menghulur tangan. Jika orang putih kata biadap tidak menghulurkan tangan semasa perkenalan, di dalam islam pula, kurang sopan atau haram bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan bukan muhram.
Encik Azam tersenyum dan mengangguk juga. Dia faham sebab dia pun dilahirkan oleh ibunya warga Melayu. Rasanya jati dirinya lebih kemelayuan berbanding rupanya seperti orang Eropah. Nak buat macam mana gen ayahnya lebih dominan berbanding ibunya. Namun begitu dia bersyukur kerana ibunya seorang yang tegas mendidiknya dalam adat resam melayu dan agama islam.
Encik Azam memerhati Habibah, montel orangnya namun kulitnya putih bersih. Wajahnya menunduk, pemalu. Bukan seperti Adlina, Sherry dan Mona tadi, tanpa sempat senyuman diberikan, mereka telah menghulur tangan tanda perkenalan. Jika diikutkan hati, tak mahunya disambut, tetapi atas dasar tidak mahu memalukan mereka, huluran tangan disambut juga.
Berkali-kali ibu ingatkan dirinya, jaga batas perhubungan antara lelaki dan perempuan. Semoden mana pun kita, batasan dan hukum yang ditetapkan di dalam Islam relevan sepanjang zaman. Hanya umat islam yang cetek pemikiran sahaja yang melabelkannya kolot. Perempuan yang terlalu bebas pergaulan pula adalah perempuan yang menafikan haknya yang sebenar mengikut apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
“Nanti Bibah tolong Encik Azam apa yang patut ya. Berikan apa yang encik Azam mahukan dan ikut segala arahannya.”
“Baik cik Maz.”
“Azam, Bibah ni pemalu sikit orangnya. Jika awak ada perkara hendak dibincangkan dengan Bibah ni, saya harap awak biarkan pintu bilik awak terbuka,” Pesan Cik Maz sambil menggosokkan bahu Bibah. Bibah tunduk.
Azam tersentak dari lamunan, namun masih sempat menangkap ayat-ayat terakhir yang Cik Maz lontarkan.
“Baik Maz, saya faham,” Balas Encik Azam.
Tidak singgah lama ditempat Bibah, mereka berdua pun bergerak menuju ke arah pekerja lain untuk berkenalan.
Tak lama mereka pergi, tiga orang penyibuk itu datang ke kubikel Bibah.
“Weh Bibah, kau jangan dok perasan lepas ni ya. Encik Azam yang hensem tu takkan pandang kau pun. Jadi yang dok tergedik-gedik hendak menggoda.” Adlina memberi amaran.
Terkebil-kebil Bibah melihat mereka bertiga. Tidak faham sungguh dia, kenapa mereka bertiga ni anti sangat dengan dirinya. Sedangkan selama dia bekerja di sini, dia hanya membuat kerjanya dan sesekali menolong menyiapkan kerja mereka bertiga. Apa lagi yang diorang tak puashati ni.
Malas mahu melayan. Bibah diam sambil membuat kerja.
“Heh.. kau dengar tak ni, debab,” jerkah Mona pula.
Bibah angkat wajahnya memandang mereka.
“Dengar. Aku buat kerja aku je. Aku sedar siapa aku. Korang tak payah hendak beri amaran pun aku dah tahu,” senada Bibah menjawab.
“Baguslah. Sedar diri tu sikit,” balas Adlina sinis sebelum mereka berlalu dari situ apabila melihat Encik Azam sedang berjalan menuju ke biliknya.
Bibah pula mula menyibukkan dirinya dengan kerja-kerja yang perlu disiapkan. Akaun syarikat perlu dikemaskini dan menghantar laporan bulanan untuk disemak oleh bos barunya.
Lionking : Assalamualaikum... Bibah ok?
Sapaan ditalian mengejutkan Bibah. Spontan senyuman terukir apabila membacanya.
Bibah89 : Waalaikumussalam. Okey je. Kenapa tak okey pulak.
Lionking : bos baru garang tak?
Bibah89 : A’ah garang...:P
Bibah89 : Bibah nak buat kerja ni, nanti kena marah kat bos pulak.
Lionking : Ok sayang. Waalaikumussalam.

Ulasan