Mini cerpen : Bibah debab 3 (edited version)




Alicafe 3 in 1 diambil dan dikoyak sedikit hujungnya, kemudian dituang isinya ke dalam air panas di dalam mug. Diambil pula susu pekat manis marigold bebas kolestrol di dalam peti ais, satu sudu kecil dan dikacau perlahan-lahan sehingga sebati. Kemudian dia letakkan di atas meja yang terletak di tengah pantri itu.
Tidak lama kemudian, Bibah keluar dari pantri menuju ke kubikelnya. Manakala Encik Azam yang baru keluar dari bilik air terus menuju ke pantri. Mug berisi alicafe panas sudah tersedia di atasnya, encik Azam tersenyum. Tanpa berfikir panjang dia terus mengambil mug tersebut dan menuju ke biliknya. Hari ini agak sibuk sedikit memandangkan tempoh perakaunan syarikat telah berakhir bulan lepas. Oleh sebab itu dia perlu segera menyediakan laporan pengurusan kepada pihak atasan untuk disemak dan seterusnya menyediakan set lengkap akaun syarikat kepada juruaudit.
Encik Azam menjeling ke arah Bibah yang sedang ralit bekerja. Spontan dia menggeleng perlahan. Bibah... Bibah...
“Bibah, tengahari ni kau turun beli makanan kan?” Soal Adlina yang tiba-tiba muncul di kubikelnya.
“Tak tahu lagi, kenapa?”
“Kau turun beli makanan untuk aku, Mona dan Sherry sekali. Lauk macam biasa tiga jenis, nasi sikit dan ulam banyak sikit. Kau guna duit kau dulu, lepas beli aku bayar,” arah Adlina. Tanpa sempat mendengar balasan dari Bibah, dia terus berlalu.
Bibah terkebil-kebil memandang belakang Adlina. Hendak panggil takut dijerkah pula. Perlahan Bibah mengeluh. Setiap kali hujung bulan, dialah yang dikerah membeli makanan untuk mereka bertiga. Beli tak jadi masalah tetapi duit yang diguna untuk membeli makanan tersebut adalah duitnya dan sesen pun tidak dibayar. Gajinya pun bukan banyak sangat. Cukup-cukup makan je. Bibah meramas tangan sendiri. Sambil bila dia nak bersabar ni. Sentiasa dibuli.
Mood melakukan kerja terus hilang. Diambil beg tangannya dan dikeluarkan beg duit untuk melihat baki duit yang masih tinggal. RM100 je. Gaji lagi dua minggu. Mana cukup ni. Makanan yang mereka pesan pun lebih kurang RM20. Habis tu aku nak makan apa nanti? Soal hati Bibah.
Buzzz... Yahoo mesengernya berbunyi.
Lionking : teman abang makan hari ni?
Bibah89 : taklah kot.. bos bagi kerja banyak. Tapi bibah nak turun jap beli makanan.
Lionking : Isyy teruknya bos bibah ni :P
Bibah89 : tahu tak pe. Mentang-mentanglah dia orang hensem, suka suki je nak buli bibahkan?:P
Lionking : Iya hensem sangat ke bos bibah tuh? Mana hensem dari abang ni?
Bibah89 : Jap bibah fikir...hmmmmm
Bibah89 : hensem bos Bibah lebih sikit kot dari abang. Sebab dia selalu pakai smart. Abang pula selalu pakai kain pelikat je kat rumah.
Lionking : Hahahahaha... Bibah.. bibah..
Bibah89 : :D
Gurauannya menceriakan hati yang walang. Walaupun jauh, hati mereka tetap satu. Bibah akan terus sabar menanti. Menyesal pun ada. Jika dia tak ikutkan hati sangat dulu, entah-entah kini mereka bahagia. Perlahan Bibah mengeluh.
“Weh debab! Cepatlah pergi beli makanan. Nanti habis pulak lauk kat kafe tu. Kami dah lapar ni. Bukan macam kau, lapar pun ada lemak lebih nak bakar!” Jerkah Mona yang tiba-tiba menjengukkan kepalanya di hadapan Bibah.
Geram dengan Bibah yang sengaja berlengah. Perutnya sudah menyanyi lagu rock kapak. Dasar debab, semuanya benda jadi lembap, bebel hati kering Mona.
“Iya.. aku pergilah ni,” tergesa-gesa Bibah bangun dan menuju ke pintu keluar. Diketap bibir. Disabarkan hati. Allah Taala sentiasa bersama dengan orang yang sabar!
Selalu terhegeh-hegeh. Hati Mona terus menyumpah Bibah.
“Ehemmm.. Bibah mana?” Soal Encik Azam dari belakang. Bukan dia tak dengar apa yang Mona tuturkan tadi, malah jelas dan terang. Ada juga kes buli di pejabat? Ingatkan di sekolah atau universiti je. Hatinya yang tenang pun jadi bergelora. Rasa nak telan hidup-hidup perempuan depan dia ni.
“”Eh Encik Azam...” Mona tersenyum manis.
“Bibah biasalah.. pergi beli makanan Encik Azam. Kan dah pukul 12.30 ni. Bibah tu kuat melantak. Sebab itulah masuk je lunch hour terus menonong keluar. Maklumlah takut sangat lemak dia dibakar,” jelas Mona lebih kepada mengutuk Bibah.

Encik Azam menahan sabar. Mulut orang yang sentiasa memakan daging manusia ni memang sentiasa berbau busuk!

Ulasan