Mini Cerpen : Bibah debab 7 (edited version)



"Perangai tak pernah berubah-ubah. Bila marah, tidur!" Bisik Azam sambil geleng kepala.
"Yang kau pergi pecat dia kenapa?"
"Dah si Adam tu yang suruh Azam pecat dia, pecatlah," balas Azam perlahan. Takut-takut didengari oleh Bibah yang sedang lena.
"Mana Adam? Kata dah sampai ke Malaysia minggu lepas, tapi batang hidung pun tak nampak? Tak kasihan kat Bibah langsung budak nih," leter Cik Maz geram.
Azam meletakkan jari telunjuknya ke bibir apabila mengesan pergerakan Bibah.
"Kejap lagi dia sampai," bisik Azam.
"Adam tu nak Bibah ingat apa yang dia janjikan. Tapi sampai sekarang selamba badak Azam tengok si Bibah ni. Tak ingat-ingat lagi? Azam rasa kepala si Bibah ni kena pergi servis Cik Su, tengok bahagian memorinya, tang mana yang tercabut wayar," bebel Azam berbisik.
Cik Maz menahan tawa. Tak boleh pakai langsung si Azam ni. Selamba je kutuk adik sendiri. Padahal dia tak tahu, Si Bibah ni jadi macam tu sebab dia sedang pujuk diri sendiri yang menyesal kerana tidak pergi ke Sydney tu. Nak tarik balik perjanjian yang dibuat, malu. Jadi bertahanlah si Bibah ni di sini selama tiga tahun. Sebab itulah badannya makin naik, bagai dipam-pam.
"Kau tak tahu baik diam, Azam. dengar dek Bibah dia lenyek kau nanti. Mulut tu makin tak ada insurans. Suka suki mengata orang," marah Cik Maz dalam senyuman tertahan.
Manalah dia boleh marah lama anak-anak saudaranya ni, ada-ada je loyar buruk yang keluar dari mulut mereka. Azam macam ni, Bibah macam tu. Kadang-kala tu pening juga, teringat abang kakaknya di Mekah, bagaimanalah mereka boleh tahan dengan perangai anak yang pelbagai ragam ni. Nasib baik anak-anaknya tiada terikut-ikut perangai abang dan kakak sepupu mereka ni.
"Betullah cik Su. Bini orang lain tak macam si Bibah ni. Ada suami tak nak ikut. Dahlah baru kahwin seminggu. Jika bini orang lain meraung nak ikut si laki dia ke mana sahaja. Bibah ni buat lawak antarabangsa betul, boleh bagi syarat, Bibah tunggu Adam balik tiga tahun lagi, pada tarikh seperti hari ini. Sampai masa dia lupa," bebel Azam sebal.
"Ni nasib baik, mama dan papa tak ada pergi umrah. Jika mereka ada, kena leter siang malamlah Bibah ni. Suami sendiri balik pun tak tahu bila," bisik Azam lagi.
Cik Maz geleng kepala. Betul apa yang Azam cakapkan tu. Tapi nak buat macam mana? Si Bibah ni degil, dia tidak akan sesekali menarik balik apa yang telah dilafazkan biarpun dia menyesal. Sukar mana pun, akan ditelan semuanya.
Tok.. tok..
Pintu bilik diketuk dan dibuka dari luar.  Adlina menjengukkan kepalanya. Bulat matanya apabila melihat Bibah sedang tidur berbantalkan paha Cik Maz.
'Debab ni memang tak tahu malu. tidur bagai nak rak macam rumah sendiri. Tapi kenapa Cik Maz buat tak kisah je, siap dibantalkan lagi dengan pahanya' bebel hatinya
"Kenapa Adlina?"
"Errr..Haa.. ada seorang lelaki hensem nak jumpa dengan Encik Azam," beritahu Adlina tergagap-gagap. Bagaimana tak gagap, jika dalam hati tengah mengutuk!
"Dah sampai kot. Suruh dia masuk sinilah" Arah Azam.
"Tapi Encik Azam, Bibah de.. oopps.. Bibah kan tengah tidur tu. tak senonohlah," bantah Adlina.
"Biarkan. Awak panggil dia masuk jika nama dia Adam. Jika tak awak suruh dia tunggu kat bilik saya.  Kejap lagi saya keluar," arah Azam.
Sebaik sahaja pintu ditutup, matanya tertumpu pada puteri hati yang sedang lena. Bibirnya terus menarik senyum. Menatap wajah bulat isterinya di skype tidak mampu melenyapkan angin rindu di dalam hati. Tangan dihulurkan kepada abang iparnya dan seterusnya mak saudara isterinya. Tanpa sepatah kata, Adam dan Cik Maz bertukar tempat. Namun Bibah sedikitpun tidak terganggu.
Azam geleng kepala. Bibah nilah. Jika bangunan ni runtuh, memang penyek kena hentam dek konkrit ni takkan sedar-sedar sampai bila-bila, kutuknya lagi.
"Kau ni kena sampuk dek hantu mana pulak, terangguk-angguk, tergeleng-gelang," tegur Cik Maz.
Azam tarik muncung ke arah Bibah yang masih lena.
"Tengok tu cik Su, bangunan runtuh memang takkan sedar-sedar. Orang dok sok sek sok sek pun tak terkuit langsung. Malu aku nak mengaku adik. Nasiblah kau dapat bini macam ni Dam," bisik Azam. Suara tetap direndahkan walaupun dia masih lagi hendak mengutuk adiknya.
Pang... sebuah tamparan hinggap di bahu Azam.
"Mulut kau ni kang, tak habis-habis mengutuk. Sama je kau dengan tiga orang kat luar tu. Ada je yang tak kena bila sebut pasal Bibah," ujar Cik Maz geram.
"Hisyy.. Mana sama Cik Su. Saya mengutuk sebab sayangkan Bibah. Diorang mengutuk sebab menyampah dengan Bibah. Niat tu dah lain. Tak sama, tak sama." Azam membela diri.
"Adam, lainkali cili sikit mulut abang ipar kamu ni. Sejak balik ke sini, mulutnya tak habis-habis mengutuk dan menyakat adik sendiri. Di rumah tu dah jadi medan perang. Kemudian dibawanya ke pejabat. Tak tahu Cik Su nak kata apa lagi dah."
"Tak pe Cik Su, biar bertambah pahala si Bibah ni. Nak cili pun, orangnya memang kuat makan cili, tak jadi jugak," Jawab Adam separuh menyindir. Tersenyum-senyum.
Azam menjungkit keningnya sebelah apabila mendengar kata-kata adik iparnya. Nampak gayanya pembela Bibah telah pun kembali.
"Kau tak bagitahu kat Bibah bila balik?" Soal Azam.
"Tak. dia tak tanya, jadi pun tak cakap, saja nak bagi dia kejutan," jawab Adam. Tangannya mula leka membelai kepala Bibah yang berlapik.
Melihat susuk tubuh Bibah yang sedikit kembang, Adam menggeleng kepala. Lepas ni kena buat operasi menguruskan badan ni. Tu lah, hari tu jual mahal tak nak ikut, bagi syarat pula, tak boleh balik dalam tiga tahun ni. Balik bila dah tamat belajar. Ada ke bini orang lain buat syarat macam tu pada suami yang baru menikahinya? Tak ada kan? Jadi Bibah mencatat sejarah nombor satulah.
Tahu alasan apa? Kata Bibah dia takut terlebih rindu bila suaminya yang jauh balik selang dua tiga bulan sekali. Jadi memandangkan mereka tidak pernah berpisah sejak berkawan baik ni, kononnya menurut Bibah inilah masanya mereka menguji perasaan masing-masing. Adakah rindu dan cinta itu wujud di dalam hati. Dan diakan seorang suami yang baik, ikut jelaa...Hahaha.. sekarang tengok siapa yang terkena akibatnya?
"Kita keluar dululah Cik Su, takut nak lihat orang yang kena lenyek dengan bininya sendiri"
"Bukan ke kau berbulu nak tengok romantika de amour diorang nih?" Perli Cik Maz.
Azam terus melangkah ke pintu.
"Tak ada maknanya Cik Su oi.. Buang masa je. Aku takut diorang yang jeles tengok aku beromantik dengan isteri aku nanti" Balas Azam, tak ingin mengalah.
Macam-macamlah budak-budak nih.
Adam sengih. Bibah terus lena. Dalam lenanya dia tersenyum.. Mimpinya teramatlah indah.

*****

Ulasan