Bab 1 : Ku Pilih Untuk Setia (tajuk sementara)

Salam Ahad, 
Ada yang tunggu cerita ni ke? Okey saya up bab 1... Korang boleh berkenalan dengan lebih dekat dah dengan Ferhad dan Nek Som dulu. Lepas tu baru Asma ya.

Ini kisah mereka. Kesetian dan cinta perlu bersatu untuk mengukuhkan ikatan perkahwinan. Berkahwin bukan untuk mereka bercinta tapi sebab itulah JODOH yang telah Allah taala tetapkan.  


“Ferhad bangun!.”

“Kejap lagilah nek, awal lagi ni,” jawab Ferhad malas. Dia baru sampai dalam pukul 5 pagi. Selepas subuh baru tidur dan belum pukul 8 nenek dah kejut bangun. Kepala pun rasa berpusing-pusing ni. Tak cukup tidur. Jetlag lagi. 

“Bangun. Temankan nenek pergi pasar. Balik nanti kau boleh sambung tidur.”

Hmmm... Ferhad masih belum mahu buka mata. Baru tadi dia sampai ke alam mimpi. Ada bidadari cantik mengalukan kedatangannya ke taman bunga nan indah. Baru saja nak menyambut huluran tangan, dah memetir suara nenek kejutkan dia bangun. Dia mengeluh kuat. Ditekup bantal ke mukanya. 

“Ferhad!” lantang suara Nek Som menjerit namanya.

“10 minit nek. Nanti Ferhad bangun.”

“Tak ada 10 minit. 10 saat je nenek bagi. Sekarang bangun! Cepat pergi, cepat balik.” 

“Ok.. Ok.. Ferhad bangunlah ni,” dengus Ferhad. Nak tak nak dia bangun jugak. 

“Bagi Ferhad 10 minit, nak mandi.”

“Cepat sikit.” Gesa Nek Som lagi. Bukan dia tak kasihan. Tapi kalau lambat pergikan, habis semua ikan-ikan segar tu. 

Pagi masih lagi terasa udara sejuknya, walaupun matahari galak memancarkan cahayanya. Pasar pagi seperti biasa, sibuk dengan orang ramai membeli barang-barang keperluan harian. Ferhad menarik nafas panjang sebelum menghembuskan semula. Keluhan dilepaskan apabila dia melepaskan nafasnya. Satu perkara yang dia cukup tidak suka apabila datang ke pasar adalah baunya. Pelbagai bau dapat dihidu. Bau hanyir ikan meloyakan dirinya. Bau sayur-sayuran bercampur tanah membuatkan dia terimaginasi dalam satu mangkuk sayur ada beberapa cacing tanah berenang. Sebab itulah dia tidak suka makan sayur. Tak berselera walaupun Tiffany selalu membuat salad semangkuk besar. Disuakan kepadanya jauh sekali mahu disentuh. 

Hari ini dia mencemar duli mengikut neneknya ke pasar harian. Jarang sekali dia membantah setiap ajakan neneknya secara terus terang walaupun mulutnya mereka berbagai alasan. Dia kasih dan sayangkan neneknya. Satu-satunya nenek yang dia ada untuk bermanja. Nenek yang sentiasa menasihati dan jauh sekali memarahinya walaupun dia pernah melalui detik silam. 

“Allah Taala sentiasa bersedia dengan tangan terbuka untuk memaafkan setiap hambanya yang berdosa. Jadi mengapa tidak kita sebagai hambanya juga bersedia memaafkan mereka yang telah insaf dan kembali ke pangkal jalan. Sebab kita sebagai manusia tidak pernah sekali terlepas dari melakukan kesilapan. Ia adalah ujian dari-NYA. Ia juga adalah ilmu dan ilmu kehidupan agar kita berubah menjadi lebih baik.” 

Itu kata-kata nasihat yang nenek tuturkan kepadanya ketika dia dipulaukan di atas kesalahan yang tidak sengaja dilakukan ketika dia senang menunggu keputusan SPM sepuluh tahun lalu. Terjebak dalam parti liar dan ditangkap polis, sudah tentu memalukan keluarganya. Dia hampir lunyai dibelasah oleh papanya yang sentiasa pentingkan maruah. Neneklah yang menahan dan melarang daripada dia terus dibelasah. Neneknya yang menjaga dan merawatnya. Jadi dia amat berterima kasih dan terhutang budi dengan nenek. 

Hampir 5 tahun tidak pulang ke Malaysia, jadi rumah neneklah yang menjadi tempat hinggap pertamanya. Namun dia tetap memberitahu mama tentang kepulangannya. Mungkin seminggu dua lagi dia pulang ke rumah ke dua ibu bapanya di Sg. Buloh, Selangor. Itu pun kalau moodnya okey. Dia tak berapa suka balik ke sana. Istana hinggap yang kosong. Mama dan papa sibuk 24 jam. Disebabkan peristiwa 10 tahun lepas juga dia jarang bercakap dengan papanya. Sakitnya masih lagi terasa. 

“Cepat sikit tu jalan. Jangan nak berangan lagi. Nenek ada banyak barang nak beli ni.”

Ferhad sengih. Jauh benar dia menggali kisah hidupnya dulu. Bagaimana dia suka berada di rumah nenek. Neneknya seorang yang berfikiran terbuka dan faham jiwa mudanya walaupun dia tinggal di kampung. 

“Ikan Aya ni 2 ekor. Potong dan siang. Udang sekilo dan Sotong sekilo.”

“Siapa ni Mak Som?”

“Ferhad. Takkan kau tak ingat. Baru sampai pagi tadi.”

Ferhad hulur senyum. 

“Assalamualaikum Pak Ali.” 

“Waalaikumussalam.” Pak Ali ketawa. 

“Hampir aku tak jam kau. Dulu kurus sekarang ni makin tegap. Makin putih sejak kerja di negara orang putih ni. Kau sampai bila?”

“Baru subuh tadi Pak Ali.”

Dia kenal dengan Pak Ali ni. Semasa dia kena pulau dulu, dengan Pak Alilah dia belajar mengaji Al-Quran. Melaksanakan solat dengan betul. Tapi sejak kerja di U.K dia mula alpa. 

Ferhad angkat tangan kanan bersalam.”

“Tak payah- tak payah. Tangan Pak Ali ni busuk dengan ikan,” mesra Pak Ali menolak huluran tangan.

“Tak apa Pak Ali. Air ada tu, boleh basuh.” 

Pak Ali ketawa senang. 

“Ayah kau tak balik sekali ke?”

“Tak Pak Ali. Saya sorang je,” balas Ferhad rendah.

“Budak Ferhad ni baru balik dari U.K. 5 tahun kat sana belajar dan terus kerja. Jadi bila balik sini terus datang rumah aku. Rumah bapaknya kat KL pun tak balik lagi,” cerita Nek Som. 

Pak Ali terangguk-angguk. 

“Berapa lama cuti?” 

“Sebulan Pak Ali. Alang-alang cuti, ambil cuti lama sikit. Lepas rindu kat nenek ni.” 

“Baguslah. Tak adalah nenek kau sunyi tinggal sorang. Ada anak cucu macam tak ada anak. Sakit pening sendiri kena tanggung.” Mendalam maksud Pak Ali. 

“Kau ni Ali membebel kalahkan Milah. Aku ni sihat walafiat lagi. Tak perlukan orang jaga. Temankan. Dema semua sibuk cari rezeki. Aku pulak tak nak susahkan sesiapa. Bukannya mereka tak ajak aku tinggal sekali tapi aku ni sayang nak tinggalkan rumah aku tu.” 

Pak Ali pandang Ferhad. Seolah-olah cuba menyampaikan sesuatu.

“Sebab itulah Ferhad terus datang sini, temankan nenek. Jadi tak adalah nenek sunyi lagi. Tak membebel lagi setiap kali Ferhad telefon.”

“Saya ajak ikut saya ke U.K dia tak nak Pak Ali. Bila telefon selalu tanya bila nak balik.” 

“Orang tua macam tulah Ferhad. Selalu teringatkan anak-anak. Bila anak ajak tinggal bersama sayang pulak tinggalkan rumah sendiri. Jadi sebagai anak cucu lah kita harus mengalah.”

“Berapa semua ni Ali?” tanya Nek Som apabila pembantu Pak Ali menghulurkan plastik berisi ikan, sotong dan udang yang diminta tadi. 

“40 ringgit Mak Som. Saya jual dengan harga 40 ringgit tunai.”

“Aku beli dengan harga 40 ringgit tunai. Assalamualaikum.” 

Nek Som bergerak pergi. Ferhad mengekor dari belakang setelah berjabat tangan dengan Pak Ali. 

Mereka pergi ke bahagian sayur-sayuran. 

“3 ikat 5 ringgit. Murah-murah...” 

Ramah penjual sayur menegur Nek Som sambil mempromosikan sayur-sayuran yang dijual. 

“Siapa ni Mak Som?”

“Ferhad. Cucu aku,” jawab Nek Som mesra. 

Dia berhenti di sebuah gerai yang penuh dengan sayuran segar.”

“Ibu kau tak menjual hari ni Asma?”

“Nek Som.” gadis itu terperanjat dengan teguran Nek Som yang tiba-tiba. 

Lebar senyuman gadis itu mengalukan mereka.

“Tak. Ibu semput sikit pagi ni. Jadi Asma suruh dia rehat dekat rumah je.”

“Nek Som nak sayur apa?”

“Siapa ni Nek Som?” Soal Asma ramah.

“Ferhad. Cucu aku yang selalu aku dok cerita tu.”

Oooo... hanya itu yang kedengaran keluar dari bibir kecil itu.

Comel. Nampak segar macam sayur-sayuran di sekelilingnya. Entah kenapa mata Ferhad yang hampir layu tadi kembali berseri apabila melihat senyuman Asma. 

“Bagi Nek Som bayam 2 ikat. Cili padi 2 ringgit. Halia dan lobak merah.”

Tangkas Asma mengambil dan menimbangkan sayuran yang diminta. 

Ferhad ralit memerhatikanya. Suka melihat wajah ceria dan comel Asma. Seperti sekuntum bunga mawar di taman nan hijau. 

“Balik nanti singgah rumah Nek Som dulu. Nanti Nek Som buatkan sup sayur untuk ibu kamu.”

Asma sengih. Dia tahu dia tidak mampu menolak sebarang pemberian daripada Nek Som. nanti merajuk pulak. Susah pula dia nak pujuk. Tapi adanya Ferhad, dia jadi segan nak singgah. 

“Dengar tak ni? Jangan tak singgah pulak,” sergah Nek Som.





Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. 
Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. 
Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. 
 Hidup baik-baik. 
Islam itu Indah. 
Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan