Bab 4 : Ku Pilih untuk Setia (tajuk sementara)

Bila jodoh datang menyapa. Tanpa salam dan tanpa kenal,
Kitakan bersama.


“Assalamualaikum...”

“Assalamualaikum.... Ani Oo Ani..

“Asma..” panggil Nek Som. Dia naik tangga rumah. Pintu depan terbuka sebelah pintu.

‘Alamak.. Nek Som dah sampai..’ Asma kalut. Dia yang baru sahaja nak terlelap, terkejut dan bingkas bangun. Dia yakin Nek Som ada depan pintu rumahnya. Kelam kabut dia menuju ke pintu rumah. Muka penuh dengan masker buatan sendiri tidak dihiraukan. 

“Waalaikumussalam Nek...” tak sempat habis ayat dia terus berlari masuk ke dalam memanggil ibunya.

“Ibu.. ibu, Nek Som datang. Cepatlah..” dia termengah-mengah. Nasib baik dia pakai masker, kalau tidak mesti ibu akan perasan wajahnya merah macam udang kena bakar. 

“Laa.. ajaklah dia masuk,”

“Nek Som datang dengan cucunya. Malulah Asma kalau dia tengok muka penuh dengan telur dan timun ni,” rungut Asma. 

Rohani ketawa kecil sambil mengambil tudungnya. Dia terbatuk-batuk kecil. 

“Pergi basuh muka lepas tu buat air,” arah Rohani. Dia melangkah keluar. Diekori oleh Asma dibelakang yang berselubung dengan tuala. 

Rohani menuju ke ruang tamu. Nek Som telah selesa duduk di atas kerusi rotan. Di ambang pintu pula seorang pemuda sedang duduk bersila sambil memandang keluar. Angin petang menyerbu masuk ke dalam rumah, mengurangkan haba panas matahari. Asma selalu suka buka semua jendela dan pintu depan agar rumah mereka berangin. Biasanya Asma suka baring-baring di atas kerusi rotan itu sambil dengar radio. Rumah mereka mengadap sawah padi dan membelakangi jalan kampung. Pintu dapur sengaja dibuat menghala ke sawah padi juga. Jadi kalau ada orang datang bertandang perlu berjalan mengeliling rumah dulu sebelum sampai ke pintu utama. 

Sebenarnya rumah ini kecil sahaja. Dua bilik tidur, dua bilik air, satu ruang kerja Asma dan ibunya, dapur dan ruang tamu. Walaupun kecil tapi cukup selesa untuk mereka dua beranak. Laman rumah dan tepi rumah pula ada ruang yang agak lapang. Jadi Asma manfaatkan sepenuhnya dengan menanam sayur-sayuran, pokok bunga dan pokok herba. Dia memang minat berkebun. Itu caranya menghabiskan masa secara sihat apabila boring mengadap kanvas di studio kecilnya. Studio milik arwah ayahnya dulu. 

“Kenapa duduk atas lantai tu. Mari duduk sini,” tegur Rohani sambil menghampiri Nek Som. Dia menghulur tangan dan mencium belakang tangan Nek Som dengan penuh kasih.

“Tak apalah Mak Cik. Best duduk depan pintu ni. Angin kuat,” balas Ferhad. 

“Biarkan dia Ani. Pandai-pandai lah Ferhad tu nak duduk mana.”

“Mana Asma. Terkejut Mak Som tadi. Ingatkan siang hari pun ada hantu.”

“Nasib baik Mak Som tak ada sakit jantung.”

Rohani ketawa. Teringat gelagat Asma yang terburu-buru menerjah masuk ke dalam biliknya tadi. 

“Asma cakap semput kau datang lagi..”

Rohani senyum tawar. Ada sendu dihujung senyumnya.

“Aku datang ni bawa hajat. Hajat yang aku cakap minggu lepas,” Nek Som tukar cerita. Wajah sendu Rohani sudah menceritakan apa yang tersirat di lubuk hatinya. Dia kalau boleh tidak mahu tengok wajah sendu Rohani. Nanti dengan dia sekali berwajah sendu. 

“Saya banyak susahkan Mak Som,” perlahan Rohani tuturkan. 

“Kau dah aku anggap macam anak aku. Asma tu cucu aku. Jika bukan aku yang kau nak susahkan, siapa lagi?” balas Nek Som. Dia tidak suka bila Rohani bermelodi sedih. 

“Aku akan cuba sedaya upaya tolong kau. Jadi kau pun kena tolong diri kau juga. Kuatkan semangat, tabah lawan sakit tu. Demi Asma. Asma tu mentah lagi. Dia masih perlukan bimbingan dari ibunya,” nasihat Nek Som.

“Jadi macam mana dengan hajat aku tu. Kau dah cakap dengan Asma?”

Rohani geleng kepala. Dia tidak tahu susun ayat untuk memberitahu agar anaknya faham dan terima tanpa syak wasangka. Nek Som geleng kepala. 

“Ginilah, biar aku yang bagitahu. Lagipun aku dah cakap dekat Imam Mat, minta dia uruskan majlis jumaat ni. Esok Ferhad akan uruskan semua borang yang perlu diisi.”

Rohani tak terkata. Dia angguk dalam diam. Cekap dan teliti Mak Som aturkan perancangannya. 

“Tak ke cepat sangat tu Mak Som. Ferhad setuju ke tak?” soal Rohani. Matanya dihalakan ke arah Ferhad yang asyik memandang ke luar. Tapi dia tahu telinga Ferhad menangkap setiap butir kata perbualannya dengan Mak Som. 

Ferhad beralih pandang. Dia pandang wajah nenek yang penuh harapan dan wajah sendu Rohani. Bibirnya ukir senyum. Dia tidak mampu mengelak lagi. Jadi dia akan cuba sedaya upaya menerima apa yang bakal berlaku dengan redha. Ini adalah terbaik untuk semua pihak.

“Saya setuju mak cik,” ringkas sahaja jawapannya. 

“Kau dengar tu. Kau tak perlu risau. Aku yakin Ferhad dapat jaga Asma dengan baik,” ujar Nek Som. Matanya menjeling Ferhad. Lepas kahwin nanti pandai-pandailah Ferhad uruskan. Paling penting masa depan Asma terjamin dah. 

“Nek Som, maaf lambat buat air. Asma pergi ambil limau kasturi dulu. Petang-petang ni sedap minum air asam boi sejuk. Ni Asma buat special untuk Nek Som,” ujar Asma ceria. Dia meletakkan dulang di atas meja dihadapan Nek Som. 

“Pandai kau ambil hati aku. Tahu je apa yang aku nak minum petang-petang ni,” balas Nek Som. 

“Sini Ferhad. Minum air ni,” panggil Nek Som. tangannya mencapai gelas berisi air asam boi dihadapannya. Sekali teguk habis separuh gelas. Sedap. Memang kena dengan seleranya. 

“Mari duduk sebelah Nenek ni Asma. Nenek ada benda nak cakap.”

Asma baru nak labuhkan punggung di sisi ibunya, tak jadi. Tak teragak dia bangun dan duduk di sebelah kanan Nek Som. Ferhad pula duduk di sebelah kiri Nek Som. 

“Kau dah tengok keputusan masuk Universiti ke belum? Aku dengar si Gayah tu cakap keluar hari ni,” tanya Nek Som.

“Dah Nek. Asma dapat diploma pertanian, UPM,” beritahu Asma dengan sengih lebar. Dia dapat pilihan pertama. Tentu sekali hatinya melonjak suka. 

“Kenapa tak ambil kursus lain?” soal Ferhad tiba-tiba. 

“Dah saya suka berkebun. Saya nak jadi petani moden,” jawab Asma cepat. Dia bangga dengan cita-citanya yang akan digapai nanti. 

“Orang perempuan, bukannya elok pun bertani. Itu kerja lelaki,” omel Ferhad. Bakal isterinya bakal jadi petani. Tentu sekali dia tak boleh terima. 

“Lelaki atau perempuan sama saja. Berbakti pada tanah. Lagipun petani sekarang ni bukannya macam petani dulu-dulu. Membanting tulang empat kerat. Sekarang teknologi dah maju. Tanpa cemarkan tangan pun saya boleh jadi petani yang berjaya,” Asma tetap pertahankan cita-citanya.

“Ferhad biarkan Asma dengan cita-cita dia tu. Lagipun nenek dah tengok Asma berkebun. Tangannya sejuk. Tanamlah apa pun pasti akan tumbuh subur,” bela Nek Som. 

“Jadinya bila nak daftar ?”

“Lagi 3 minggu Nek Som. Tapi..” Asma pandang ibunya. Dia tak sampai hati nak tinggalkan ibunya sendirian. 

Nek Som ikut pandang Rohani.

“Pasal ibu kau, jangan risau. Nenek ada temankan. Yang penting kau kena belajar bersungguh-sungguh.”

Asma angguk.

“Jumaat ni Nenek akan buat kenduri kesyukuran sempena kau masuk UPM dan sempena perkahwinan kau dengan Ferhad.”

Senyum yang terhias di bibir Asma tadi terus hilang. Dia silap dengarkan?

“Apa Nek Som?” soal Asma namun matanya dihalakan ke arah ibunya.

“Jumaat ni kau dan Ferhad akan bernikah.”


Fikirannya kosong. Tak mungkin.



Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. 
Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. 
Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. 
 Hidup baik-baik. 
Islam itu Indah. 
Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan