Bab 5 : Cinta Asma dan Ferhad



Masing-masing membisu. Asma pandang jauh ke tengah sawah. Ferhad juga turut sama memandang ke tengah sawah yang menghijau. Sesekali matanya melirik Asma yang duduk berjarak di sebelahnya. 

Teringat nasihat neneknya tentang nikah express ini. Walaupun express nenek tetap mahukan dia merealitikan perkahwinan ini dalam erti kata sebenarnya. Zahir dan batin. 

“Nenek tahu, permintaan tak masuk akal nenek ni merupakan paksaan. Nenek tahu kau memang tak nak kahwin pun. Tapi sebab kau sayangkan nenek dalam paksa rela kau menurut,” ujar nenek sebagai pembuka bicara. 

Mereka berjalan beriringan menuju ke rumah Asma. Sesekali berpapasan dengan penduduk kampung, mereka ramah bertanya khabar. Muafakat hidup di kampung tak sama dengan hidup di bandar. Di bandar jiran tetangga pun tak kenal. Masing- masing sibuk dengan urusan masing-masing tanpa mahu ambil masa bermesra dengan jiran tetangga. 

“Dalam paksa rela pun, hakikatnya tugas seorang suami ni besar. Tanggungjawabnya besar. Jika suami ni pincang, maka pincanglah rumahtangga yang dibina. Jika suami ni tahu erti peranannya dalam berumahtangga dan tanggungjawabnya terhadap isteri maka bahagia dan ketenanganlah dia akan nikmati.”

Ferhad diam mendengarnya.

“Nenek tak tahu apa perancangan kau selepas nikah ni. Tapi nenek nak lepas nikah kau layan Asma selayaknya sebagai isteri. Jangan pulak kau kenakan syarat yang mengarut macam drama dalam TV tu. Dah jadi isteri kau, nak ulit, nak uli macam mana pun dah jadi hak dan tanggungjawab kau. Asalkan sama-sama menikmatinya.”

“Dari situ kau akan merasai nikmat alam rumahtangga ni. Akan timbul cinta dan kasih terhadap pasangan. Sebab itulah perbezaan hidup bujang dengan berkahwin.”

Dia ketika itu hanya mampu mendengar tanpa mencelah. Nak bantah pun, segala nasihat neneknya itu betul.

“Jangan sesekali fikir nak buat macam kahwin kontrak. Korang usaha pupuk kasih sayang, masa depan nanti biarlah masa yang tentukan.”

Baru je nak bukak mulut terpaksa tutup balik. Baru nak cakap pasal kahwin kontrak dah kena basuh dengan nenek. Dia pun naik hairan, nenek ni nama je duduk kampung tapi pemikiran kalah nenek yang duduk di bandar. Macam opah sebelah mamanya. Kolot. Ada-ada sahaja cucunya buat serba tak kena di matanya. 

“Betul ke awak nak kahwin dengan saya?” 

Suara halus itu mencantas memori perbualannya dengan nenek ketika berjalan menuju ke rumah Asma ini.

“Abang. Bukan awak. Beza umur Asma dengan abang sepuluh tahun.”

“Ok, abang. Betul ke abang nak kahwin dengan Asma, budak kampung ni. Baru lepas sekolah.”

Ferhad angguk.

“Dah termaktub jodoh abang dengan Asma sejak dari alam roh lagi. Jadi siapa abang nak tolak jodoh ini.”

“Tapi kita tak pernah kenal pun. Tiba-tiba kena kahwin. Tak rasa pelik ke?”

“Asma, orang dulu-dulu kahwin lagi pelik. Macam nenek dengan atuk dulu. Tak pernah tengok muka pun, lepas akad nikah baru tengok dan kenal pasangan. Jadi kes kita ni tak pelik pun sebab kita dah kenal. Dah jumpa sebelum nikah.”

“Tapikan.. takkan abang tak ada girlfriend, senang-senang je terima cadangan Nek Som,” ujar Asma lagi. Ada rasa di sebahagian hatinya, bersalah. Kalaulah kerana dia Ferhad terpaksa berpisah dengan kekasihnya.

‘Siapa kata senang. Aku pun tak fikir pun soal kahwin ni sebelum umur mencecah 30,’ gumam Ferhad dalam hati.

“Tak ada tapi-tapi lagi. Soal tu biar abang yang uruskan. Asma tak perlu tahu.”

“Yang paling penting persediaan Asma sebagai isteri abang. Abang cuti sebulan. Jadi abang mahu habiskan masa sebaiknya dengan isteri comel abang ni. Kita ada masa 2 minggu sebelum Asma daftar UPM. Dalam tempoh tersebut abang nak kita nikmati nikmat alam rumahtangga.”

Asma alih pandang ke tengah sawah. Mukanya sudah bersemu merah. Malu bila fikirkan tentang tanggungjawab seorang isteri.

Ferhad ambil kesempatan itu untuk memandang Asma. Kulitnya mulus dan cantik. Walaupun tak secerah warna kulitnya putih kemerahan, warna kulit Asma seperti warna madu, sangat-sangat membuatkan dia mahu merasainya. Bibirnya merah semula jadi dan lembap itu membuatkan dia mahu melumatnya.

‘Ah belum apa-apa lagi fikiran aku dah meraban ke lautan asmara, parah.’

Ehemmm... Ferhad berdeham. Tekaknya terasa kesat. Mulutnya terasa kering. Dia tidak nafikan, apabila berada dekat dengan Asma ni, dia mahu terus melekat dengannya. Seperti ada tarikan magnet. 

“Esok kita pergi cari baju nikah.”

Asma berpaling melihat Ferhad. Dia ingin berkata tapi segan. Dia mana ada duit nak beli baju mahal-mahal. Lainlah kalau tempoh pernikahan mereka jauh lagi. Tentu sempat nak cari duit beli kain dan minta ibu jahitkan.

“Abang nak pengantin abang cantik ketika akad nikah nanti. Walaupun kita tidak ada banyak masa tapi abang mahu cuba menyempurnakan majlis kita ini sempurna mungkin.”

“Asma pakai baju sedia ada boleh tak? Baru je pakai sekali. Warna putih berlabuci pink. Baru lagi.”

Ferhad geleng kepala. 

“Kita cari yang baru. Biar sedondong nanti. Semuanya abang tanggung. Asma tak perlu risau. Asma akan jadi tanggungan abang selepas ini. Jadi mulai hari ini segala perbelanjaan abang keluarkan,” ikhlas Ferhad tuturkan. Dia sudah bersedia untuk menerima Asma di dalam hidupnya. 

Asma tunduk. Tidak sangka itu yang terluah dari bibir bakal suaminya. 

“Asma minta maaf sebab susahkan abang. Kalau abang nak berundur boleh lagi. Nanti Asma cakap dengan nenek.” perlahan Asma bersuara. Dia mahu menghilangkan rasa bersalah yang bermusim di dalam hatinya sejak Nek Som menyuarakan hasratnya tadi. 

Dahi Ferhad berkerut apabila mendengar kata-kata Asma itu.

“Asma rasa terpaksa sangat ke ni sampaikan sanggup jumpa Nenek nak tolak hasrat nenek tu,” soal Ferhad semula. Terasa kecil hati pulak dia bila dengar Asma mahu tolak hasrat neneknya. Sedangkan dia dah mula ajar hati menerima Asma sebagai pengantinnya.

“Eh.. bukan. Bukan itu maksud Asma. Asma takut abang yang tak boleh terima Asma. Tapi sebab tak sampai hati tolak hasrat nenek abang terima. Jadi Asma boleh tolong abang tolak hasrat nenek tu. Sebab Asma rasa bersalah. Nenek nak tolong Asma tapi abang terlibat sekali.”

“Jadi Asma sanggup kecewa kan nenek, macam tu?”

Pantas Asma geleng kepala. Nek Som dah seperti neneknya sendiri. Dia pun tidak mahu neneknya bersedih sebab dia. Tapi dalam masa yang sama dia juga tidak mahu orang lain kecewa sebab dia juga. 

“ Jangan sesekali fikir nak batalkan pernikahan ini. Abang nak Asma jadi isteri abang. Titik.” tegas Ferhad. 

Asma tunduk. 

“Esok kita pergi cari baju nikah. Bawa nenek sekali. Kemudian kita cari SPA kecantikan cari pakej pengantin untuk majlis nanti. Abang mahu pengantin abang berseri dan cantik masa nikah nanti.”

“Asma boleh mekap sendiri. Mandi bunga nanti ibu boleh tolong buatkan.”

“Jangan susah kan ibu. Abang mampu nak hantar Asma pergi SPA. lagipun ibu kan tak sihat. Abang mahu ibu sihat tika majlis nanti.”

‘Hmm.. belum ada ikatan lagi dah tunjuk kuasa vetonya. Tapi aku suka. Terasa macam dilindungi pulak,’ eh apasal aku ni.

“Okey. Asma ikut je. Boleh tak biar Asma yang pilih baju nikah nanti.”

“Boleh, dengan syarat abang berkenan jugak.”

“No problem,” sengih Asma lebar kepada bakal suaminya. 

Senyum manis Asma itu membuatkan Ferhad berkali-kali menelan liur. Sah, balik nanti kena mandi air sejuk. Lama.



Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. 
Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. 
Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. 
 Hidup baik-baik. 
Islam itu Indah. 
Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan