Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Isnin, 28 November 2016

November 28, 2016

Bab 18 : Si Adik Manja Dengan Menantu Pilihan Abah




Nur mendengar bunyi kereta berhenti di hadapan rumah, macam biasa sangat bunyinya. Tanpa membuang masa dia menjenguk ke halaman rumah. Bibirnya terus tersenyum lebar apabila melihat dua gadis cilik membuka pintu kereta dan berlari ke arahnya. Hari tu sekejap sangat jumpa kerana mereka terpaksa balik ke rumah mereka. 

"Cik su…cik su..ascalamualaikum….yeah... cik su ada lagi," jerit Umairah seronok. sorak kanak-kanak camel itu. Nur mendepangkan tangannya untuk memeluk mereka setelah bersalaman. Ketidakceriaan dua tiga hari lepas terubat dengan kehadiran mereka. 

"Waalaikumussalam..cium sikit..cepat…"gesa Nur sambil menyuakan pipinya.

Umairah dan Batrisya serentak mencium pipi Cik Su mereka di kiri dan kanan. Rindu Nur terubat. Kak long dan Abang Long tersenyum melihat gelagat mereka. Macam budak-budak. Mereka pulang ke rumah mereka pada hari Nur sampai ke rumah Abah. Anak-anaknya tak sempat hendak bermanja dengan Nur tempoh hari. Sebab itulah mereka pulang lagi ke sini hari ini. Boleh dikatakan tiap-tiap hari Umairah dan Batrisya bertanya bila mereka akan balik kampung lagi. Mereka mahu bermain dengan Cik Su mereka. 

Sudah tentu kepulangan anak saudaranya dinantikan.Sejak Abah menyuarakan hasratnya, Nur menjadi pendiam. Dalam dia dia memberontak. Baginya berdiam diri lebih baik daripada berkata sesuatu yang akan menyinggung perasaan Abah. Lagipun keputusan Abah sudah tidak dapat diganggu gugat lagi. 

Nur tidak pasti sama ada Kak Long sudah mengetahui perkara ini. Harapnya jika Kak Long tahu, dia akan menyebelahinya dan setidak-tidaknya bercakap dengan Abah agar menangguhkan perancangan tersebut. 

Nur senyum manis. Dia tidak kekok melayani mereka. Nur telah menjaga mereka sejak mereka masih kecil. Umairah dan Batrisya serasi bersamanya. Kak Long pun suka dia rapat dengan anak-anaknya. Lagipun hanya mereka yang dia ada untuk dimanjakan. Selama dia yang selalu dimanjakan. Dulu hatinya teringin mempunyai adik, tetapi Umi sudah tidak dapat melahirkan anak lagi. Jadi dengan adanya anak-anak saudara inilah dia dapat merasa bagaimana perasaannya apabila mempunyai adik. Dia suka melayani kerenah mereka. Ada masanya dia juga suka membuli mereka.

"Bila dah jumpa Cik Su, mana nak ingat mama dan papa ni," sindir Kak long. Umairah dan Batrisya tersengih-sengih.

"Mama dan papa kami jumpa setiap hari, Cik Su pula baru hari ni jumpa. We miss her so much mama. Jadi kami tak boleh lepaskan peluang ini untuk bermain dengan cik su." Balas Umairah.

“Tipulah, baru beberapa hari lepas jumpa cik sukan?” sakat Kak Long. 

“Jumpa tapi tak sempat nak main. Lainlah mama.” Jawab Umairah lagi.

"Hesy.. mulut. Ada saja jawapannya. Eloklah tu korang jumpa Cik Su korang. Sama je mulut tu. Asyik menjawab cakap orang, "sindir Kak Long sambil menjuihkan bibirnya.

"Anak buah Cik Su kan, mestilah sama. Kalau tak mana nak tumpah kuahnya,kan, "balas Nur sambil mendukung Batrisya masuk ke dalam rumah.

"Eh..Cik Su kalau tumpah kuah. Habislah kotor meja. Nak tumpah ke mana lagi," soal Umairah hairan. Berkerut-kerut dahinya. Tak faham apa yang Cik Sunya cakapkan.

Nur ketawa mendengar ulasan anak saudaranya itu. Aduh ada saja benda yang ingin dikatanya. Selagi dia tak faham selagi itu dia akan bersoal jawab dengan orang. 

Sehari dua rajinlah Cik Su nak layan korang, setiap hari, tak adanya Cik Su nak layan lagi. Penat mulut Cik Su nak menjawabnya, bebel hati Nur.

"Dik, kau jawablah apa yang anak saudara kau tanya tu, kak long tak larat nak menjawab dah. Sejak naik kereta sampailah ke rumah abah ni, mulutnya tak berhenti-henti bercakap. Ada saja benda yang ditanya, sampaikan aaku dan abang long tak larat nak jawab, " jelas Kak Long sambil melangkah masuk mencari Umi. Abang Long pula telah pun menghilang ke dalam bilik untuk menyimpan beg pakaian. 

"Cepatlah Cik Su. Kuah tumpah ke mana?" soal Batrisya pula.

"Mana lagi.. atas mejalah. Macam yang kakak cakap tu. Betullah yang kakak cakap tu,” sengih Nur memberikan jawapannya.

"Jom cari mak tok. Petang nanti kita pergi jalan-jalan tepi pantai pulak, nak tak?" soal Nur.

"Nakk... Yahoo..." sorak Umairah dan Batrisya serentak. Batrisya di dalam dukungannya minta dilepaskan. Mereka kemudiannya berlari ke dapur mencari mak tok. Nur pula mengekor dari belakang. 

Di dapur Kak Long dan Abang Long sudah mengambil tempat di kerusi di meja makan sambil menjamah makanan yang disediakan oleh umi. 

"Kakak ... Mama tak malukan, datang terus masuk dapur dan makan. Masak tidak. Suka sangat makan yang mak tok masakkan?" bisik Nur kepada Umairah, anak sulung kakak itu. Apa lagi…berbunyilah mulut mak cik kecik ni. Tak padan dengan umur baru berusia 6 tahun, mulutnya mak oi... macam orang tua.

"Elok sangatlah korang berdua ni. Bergossip lepas tu ketawa tak tentu pasal. Berdosa tau mengata orang kakak.”

“Mana ada. Kami tak mengata oranglah mama. Kami cuma mengata mama je. Tapi memang betul pun, mama ni balik sini terus masuk dapur buka saji, cari makanan yang mak tok masak. Tak mengatakan mama?”

Bulat mata Kak Long mendengarnya. Nur menutup mulut menyembunyikan ketawanya.

“ Adik..meh sini makan, tak payah kawan dengan kakak dan Cik Su," panggil kak long. Sebaliknya Batrisya menghampiri Nur dan meminta duduk di atas ribanya. Nur tersengih-sengih sambil angkat kening.

Kak Long mencebik bibir. Tak kisah langsung bila anak-anak tak hiraukannya. Lega sikit dapat berehat seketika daripada melayan karenah anak-anak. 

Tak berapa lama kemudian, muncul abah dari balik pintu dapur bersama setandang pisang kapas yang diambil dari kebun, di belakang rumah. Abang Long terus mendekati abah untuk menolong menurunkan tandan pisang itu dari atas bahunya. 

Kak Long melihat Abah sambil geleng kepala. Baru je sihat sudah masuk kebun. Orang suruh berehat di rumah, tak hirau langsung. Abah... Abah.. Dia ingat tubuhnya sihat macam waktu muda dulu ke? Bebel Kak Long dalam hati. 

Hendak membebel depan Abah, dia takut dimarahi pula. Ataupun Abah merajuknya. Dia pula yang akan rasa bersalah pula nanti. 

"Ada yang masak sesikat ni, bolehlah umi buat kek pisang," beritahu Abang Long. Sempat lagi dia meminta Umi membuat kek pisang kesukaannya. 

"Abang ni saja nak menyusahkan umi, saya pun boleh buatkan," cepat-cepat Kak Long jawab. Bukannya dia tak pandai buat kek pisang ni. Dia pun sama terror macam umilah. 

"Awak buat tak sama rasa dengan umi buat, tak sesedap Umi buatkan," selamba saja Abang Long membandingkan kek buatan Umi dengan kek isterinya.

“Tak sedap pun, habis jugak abang makan kan? Perut pun dah macam orang mengandung lima bulan.” Balas Kak Long pula. Dia tidaklah pula rasa marah. Dia lagi suka suaminya menyukai masakan Umi seperti mana dia suka. Masakan umilah yang terbaik. Dan dia akan berusaha untuk masak sesedap masakan Umi juga. 

"Haha.. Betul tu mama, perut papa buncit macam ada baby kan,"celah Umairah. Turut sama menggelakkan papanya.

"Ewah anak papa ni, suka sangat nak kenakan papa ya. Tak apa.. tak apa. Meh sini papa nak sayang sikit!” Abang Long sengaja berwajah garang. Sengaja dia mengacah untuk mencubit Umairah.

"Ampun pa..Tak naklah.. Sorry-sorry. Papa hensem banyak tau walaupun perut buncit," ampu Umairah. 

Namun hati Nur tak seceria hati ahli keluarganya. Memandang wajah Abah pun sekilas. Dia benar-benar terasa hati dengan Abah. Inkah Abah yang faham dia selama ini. Yang selalu mendengar ceritanya dan yang selalu memanjakannya. Kenapa dia perlu bernikah awal, sedangkan diatelah merangka banyak untuk berbakti kepada Abah dan Umi terlebih dahulu.



Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Khamis, 24 November 2016

November 24, 2016

Bab 17 : Si Adik Manja Dengan Menantu Pilihan Abah



Nisa senyap-senyap menyelusup masuk ke bilik abangnya. Hisyam menghentikan bacaan setelah mendengar bunyi pintu bilik di buka perlahan. Nisa tersengih-sengih masuk tanpa dipelawa. 

"Ada apa?" Tegur Hisyam.

“Tak ada apa-apa. Saja je. Takkan Nisa saja – saja nak sembang dengan abang tak boleh,” balas Nisa tersengih-sengih.

“Macamlah abang dah balik berbulan. Belum sampai seminggu lagi cik adik oi.”

“Tentu banyak benda abang kena uruskan!”

Nisa mencebik.

“Banyak benda konon, padahal pasal kahwni tu je. Tak menyempat abang ni. Sian kat Nur tau bang.” Perli Nisa.

Hisyam menarik nafas. Buku yang sedang dibaca ditutup. Menyentuh soal kahwin ni, hatinya pun serba salah. Tapi permintaan Pak Teh tidak boleh dipandang ringan. Dan dia juga tidak mahu kehilangan Nur. Pertama kali melihat wajah Nur setelah tujuh tahun berlalu, hatinya jatuh cinta. Nur lebih cantik dari yang dia mampu bayangkan selama ini. 

“Nur dah tahu ke?”

Nisa angkat bahu. Ketika melepak bersama tadi, tak ada pula Nur buka mulut pasal kahwin. Tapi wajahnya tak ceria. Lebih banyak termenung dari bercakap.

“Abang serius ke ni nak kahwin dengan Nur?”

Hisyam angguk.

“Tapi tak boleh ke tunggu sampai dia habis belajar dulu?”

“Abang sebenarnya serba salah juga. Tapi Pak Teh nak nikahkan kami kalau boleh secepat mungkin.”

“Abang pujuklah Pak Teh tu. Minta tangguh sampai Nur habis belajar di Universiti.”

Hisyam terdiam.

“Abang dah pujuk. Ayah pun pujuk tapi Pak Teh, takkan kau tak kenal dia. Mana boleh orang bangkang cakap dia.”

Nisa mencebik.

“Dah abang pujuk-pujuk ayam je.”

Hisyam jegil mata. Pandai-pandai je cakap.

Nisa sengih. 

“Sian Nur, belum apa-apa lagi dah kena ikat.”

“Sian apa pulak. Kahwin ni best apa?”

Nisa mencebik. 

Lelaki? Tak ada benda lain nak fikir. Kahwin... Kahwin.. Kahwin. Best?

“Jangan nak fikir yang bukan-bukan ya. Tanggungjawab seorang lelaki lebih berat apabila berkahwin. Kahwin bukan hanya berkisarkan nafsu sahaja. Banyak benda lain lagi yang perlu diambil berat...”

“Yela.. yela.. Tak yah abang bagi ceramah, Nisa tahulah,” cepat-cepat Nisa potong kata Hisyam sebelum lagi panjang ceramah diberikan.

Hisyam geleng kepala. 

“Nisa baik dengan Nur. Jadi Nisa tentu tahu banyak tentang Nur kan?” 

“Haa.... nak korek rahsia kena bayar pengerasnya dulu,” cepat-cepat Nisa menjawab. 

“Tak cukup lagi jubah lima pasang yang abang bagi tu?”

Nisa mengherot bibirnya. 

“Abang tak adil. Nisa Cuma dapat lima pasang. Lagi sepuluh pasang dalam kotak tu semuanya untuk Nurkan? Gelang tangan, cincin berbatu delima dan banyak lagi tu semuanya untuk Nur. Mana adil!”

“Untuk Nisa abang kirimkan setiap tahun. Nur mana ada? Adilkan?”

“Mana...”

“Nur dah ada teman lelaki ke?” Hisyam memintas kata-kata Nisa yang ingin memprotes.

“Mana Nisa tahu. Abang tanya dia sendirilah!” 

“Nisa!” Hisyam memandang adiknya tajam.

"Okeh.. Okey... Setahu Nisa tak ada lagi. Rasanya dia rindukan ‘Abang’ dia.” Kata-kata Nisa terhenti seketika. 

“Yelah ‘abang’ dia tu mungkir janji. Kata nak sentiasa hantar surat pada dia. tapi tiba-tiba senyap. Tujuh tahun menghilangkan diri. Nisa rasa dia berdendam kot. Sebab itulah dia tolak bila ada budak lelaki ingin berkenalan dengan dia.” jelas Nisa lagi. Perkataan abang sengaja ditekankan.

“Pandailah Nisa karang cerita.”

“Abang juga yang tanya. Dan Nisa cakap apa yang Nisa tahu dan perhatikan. Abang pun tahukan, selepas abang pergi Nur demam teruk sehinggakan Pak Teh melarang semua orang menyebut nama abang depan Nur. Mak Teh terpaksa minta baju abang untuk mengubat demam Nur. Lepas Nur sembuh. Dia jadi tak ceria. Puas jugaklah keluarga Pak Teh memujuk dia. Nur sembuh seperti biasa tetapi dia mengambil masa yang lama untuk ceria semua. Dan Nur hari ini bukan seperti Nur yang abang kenali dulu.” terang Nisa. 

Hisyam maklum tentang perkara ini. Angah juga ada menyebut ketika mereka berjumpa di pantai tempoh hari. 

“Takkan dia tidak ada sedikit pun sebut tentang abang? Kenangan kami bersama dulu?” Soal Hisyam lagi.

“Tak ada.”

“Pernah juga Nisa cuba bawa cerita pasal abang dekat dia. Tapi dia langsung tak nak tahu. Siap tukar topik lain setiap kali Nisa sebut nama abang. Nisa rasa dia memang marah betul kat abang.”

“Masa jumpa tepi pantai tadi, ada dia sebut pasal rancangan Pak Teh ni?”

Nisa geleng. 

“Tak ada. Tapi dia nampak tak gembira sangatlah. Tak banyak cakap dan lebih banyak mendengar dan termenung. Nisa tak adalah tanya kenapa. Takut pulak nanti dengan Nisa dia boikot, kot-kot dia tak suka apa yang Pak Teh rancang untuk dia.”

Hisyam diam. 

“Jadi Nisa rasa abang patut pujuk Pak Teh supaya tangguh dulu. Sampai Nur belajar terima abang semula.”

“Abang kena usaha dekati adik abang tu balik!”

***** 

Selesai solat isya’ Pak Teh dan Hisyam tidak bersegera pulang ke rumah. Hisyam yang meminta Pak Teh menunggunya. Mereka perlu berbincang tentang hasrat Pak Teh tempoh hari. Sebetulnya hati Hisyam melonjak gembira dengan hasrat Pak Teh. Tetapi setelah dia berfikir buruk dan baiknya, dia rasa pernikahan ini perlu ditangguhkan sehingga Nur bersedia menjadi isterinya. 

Dia juga telah meminta pendapat ayah dan ibunya. Mereka berdua setuju. Mereka tidak patut memaksa Nur berkahwin buat ketika ini. Biarlah Nur menghabiskan pelajarannya dulu. Nur masih terlalu muda untuk dibebankan dengan tanggungjawab sebagai seorang isteri walaupun mereka tahu Hisyam akan menjadi suami yang baik untuk Nur. 

Hassan meninggalkan Hisyam bersama dengan Pak Teh agar mereka boleh berbincang. Dia yakin anaknya akan dapat meyakinkan Pak Teh agar menangguhkan hasrat tersebut.

“Kau sudah fikirkan tentang perkara tersebut?” Soal Pak Teh merujuk kepada pernikahan Nur dengan Hisyam. Suaranya tenang tadi tiada siapa yang tahu apa yang ada di dalam lubuk hatinya.

Hisyam tidak terus menjawab. Sebaliknya mengambil masa seketika. Dia tidak mahu Pak Teh kecewa atau silapfaham dengan apa yang akan dikatakannya nanti.

“Saya rasa kita patut tangguhkan dulu Pak Teh, sehingga Nur habis belajar.” Tenang Hisyam menyuarakannya. 

Pak Teh pula terdiam. Dia renung wajah anak muda di hadapannya. Tujuh tahun berlalu mendewasakan Hisyam. Ilmu agama dan dunianya sudahcukup sebagai bekalan untuk dia menempuhi kehidupan ini.

“Pak Teh tahu kau akan minta tangguh. Pak Teh tahu Nur tu masih budak-budak. Baru lapan belas tahun. Muda sangat. Kakak-kakak dia semuanya Pak Teh nikahkan ketika berumur dua puluh tahun lebih.”

“Bukan sebab Pak Teh sakit saja Pak Teh nak nikahkan Nur cepat-cepat dengan kau. Ada beberapa sebab lagi.”

“Pak Teh tahu hidup dan mati kita bukan kita yang tentukan. Allah s.w.t yang telah tetapkan segalanya. Jika esok dah tetap Pak Teh pergi, tak ada siapa yang boleh minta tangguhkan, betul tak?”

“Tapi soal nikah ni, Pak Teh boleh berusaha agar dipercepatkan. Jika takdir cakap kau bukan jodoh Nur Pak Teh nak cakap apa lagi.”

“Erk.. Pak Teh.. bukan itu maksud saya. Pak Teh tahukan, sejak dulu lagi saya sayangkan Nur.”

“Saya bukan tak nak kahwin dengan Nur.”

“Kalau macam tu kau ikut cakap Pak Teh. Kahwin dengan Nur selepas dia habis belajar matriks!” tegas Pak Teh.

Hisyam terkedu di situ. Dia tidak berjaya mengubah pendirian Pak Teh. 






Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Isnin, 21 November 2016

November 21, 2016

Bab 16 : Si Adik Manja Dengan Menantu Pilihan Abah



"Assalaamualaikum……Assalamualaikum…." 

"Waalaikumussalam"… jawab Nur sambil menjenguk pintu depan rumahnya itu.

"Haaa Siti.. masuklah," jemput Nur apabila melihat Siti berada di halaman rumah.

"Tak payahlah. Depan ni sudahlah. Kau tengah buat apa?" soalnya.

"Tak buat apa-apa pun, tengah menonton TV," jawab Nur malas dan melabuhkan punggungnya di atas tangga. Siti datang menghampirinya dan juga duduk di situ.

"Jomlah kita pergi melepak tepi pantai, macam dulu-dulu. Dah lama tak melepak sambil bergossip ni."

“Hanya kita berdua ke?” Tak cukup geng lagi ni. Tak berapa hangat pula.

"Nanti kita singgahlah rumah Nisa dan Misah. Ajak mereka sekali," cadang Siti.

Nisa? Mendengar nama tersebut. Teringatkan perbualan terakhir mereka pada malam kenduri dulu. Rupanya Nisa telah tahu awal-awal tentang perkara ini. Patutlah diacakap jodohnya akan sampai dulu. Tapi tak patut betul dia rahsiakan hal ini daripadanya. 

Tak patut!

“Aku... tak ada mood nak melepak-lepak ni!” keluh Nur. 

“Apasal pulak? Jomlah... bukannya selalu dapat jumpa. Ketika cuti ni lah kita dapat berkumpul bersama. Kau tahu... Masa tidak akan menunggu kita. Takkanlah kita hendak membiarkan persahabatan ini semakin renggang disebabkan jarak dan masa terhad,” ujar Siti lagi. Dia sayangkan persahabatan yang terjalin sejak kecil ini. Jadi kalau boleh, setiap masa yang ada dia mahu mereka sentiasa berkumpul bersama. Sekejap pun jadilah asalkan persahabatan ini sentiasa erat.

Dia tahu mereka telah semakin dewasa. Punya matlamat dan cita-cita yang perlu digapai. Akan punya kehidupan sendiri. Jadi di setiap kesempatan yang masih ada ini, mereka patut menghabiskan masa bersama. Mengimbau dan mencipta kenangan. Agar masa yang mencemburui mereka ini tidak terus menenggelamkan persahabatan ini.

Nur termenung jauh. Kata-kata Siti menusuk ke hatinya. Betul apa yang Siti katakan. Seandainya Siti tahu, dia tidak berapa lama lagi akan bertukar status, persahabatan ini tidak akan seperti dulu lagi. Akan kekalkah keakraban mereka? 

Tapi... Kata-kata abah semalam seperti mematahkan semangat jiwa remajanya. Buat ketika ini dia mahu sendirian. Memikir dan terus memikir nasib diri. Bersediakah dia menjadi isteri orang? Bersediakah dia untuk melupakan kemanisan dunia remaja dan kebebasan hidup seorang gadis. Walaupun dia mawar terjaga, dia juga punya keinginan melakukan apa yang dilakukan oleh kawan-kawan sebayanya tanpa memikirkan tanggungjawab seorang isteri. 

Jiwanya memberontak dalam diam. Hari ini Nur menjadi pendiam. Tiada lagi usikan dan celoteh menjanya bersama Umi. Dia benar-benar terpukul dengan keputusan Abah walaupun dia pasrah. Dia perlukan masa untuk menerimanya. 

" Ajak Nisa dan Misah melepak di sinilah," saran Nur. Sebenarnya dia tidak mahu keluar rumah dan terjumpa dengan Hisyam. Buat ketika ini dia mahu mengelak berjumpa dengannya. 

"Tak bestlah. Kau ni kenapa? Takkan cuti seminggu ni kau nak berkurung di rumah je..Sesekali keluarlah melepak seperti dulu. " bebel Siti. 

Nur menekur.

"Kenapa kau ni? Ada apa-apa masalah ke? Macam tak de semangat aku tengok. Hari tu okey," omel Siti. Perasan dengan perubahan emosi Nur.

Hmmm… Tanpa sedar Nur mengeluh. Nak cerita? Baik tak payah lagi. Nanti kecoh satu kampung pulak sebelum masanya. Lagipun mungkin... Mungkin Abah boleh tangguhkan hal ini. Mungkin juga Kak Long atau Kak Chik boleh memujuk Abah agar soal perkahwinannya ditangguhkan sehingga dia habis belajar. Dia tidak patut membiarkan soal ni mengambil keceriaan dan kebebasannya. Lagipun... Takkanlah Hisyam tidak mempunyai pilihan lain. Dia kan belajar di Mesir. Patutnya berjumpa dengan gadis yang LEBIh BAIK darinya. 

"Hey... kau ni kenapa? Dari tadi lagi asyik mengeluh, lepas tu termenung. Aku tanya bukan nak cakap pun." Siti menolak bahu Nur dengan bahunya.

"Aku ada masalah NEGARA sekarang nih!. Kau takkan faham!”

"Masalah negara ke, masalah negeri ke, Marilah kita pergi pantai… Masalah takkan selesai dengan mengeluh atau termenung sahaja. Sebaiknya tenangkan fikiran. Fikirkan yang positif. Reset minda kita, masalah itu sebenarnya salah satu proses untuk mematangkan diri kita. Tanpa masalah kita takkan belajar untuk menangani kehidupan ini dengan lebih baik.” Spontan Siti menasihati Nur. 

Hidup tanpa masalah ibarat ting kosong. Tiada isi untuk digunakan atau dimanfaatkan. Begitulah kehidupan ini. Masalah adalah satu proses pembelajaran secara tidak langsung. Allah s.w.t memberikan masalah atau ujian hidup kepada manusia supaya manusia boleh menikmati hidup. Mencari diri-NYA di dalam setiap ujian itu. Agar insan semakin mendekati-Nya dan menghargai setiap masa yang mereka miliki. 

Siti terpandangkan pohon mangga berbuah lebat. Kecur air liurnya melihat buah yang sedang ranum itu. 

"Boleh kalau kau kaitkan buah mangga tu, makan colek tepi pantai sedap ni," Siti memuncungkan mulutnya ke arah sebatang pokok mangga yang perhatiannya. 

"Boleh tapi kau yang kait, aku buat colek, okey," balas Nur.

"Eh…Sama-sama kaitlah. Aku seganlah!"

"Kau nak segan kat siapa? Abah aku? Umi? Macamlah baru sehari kenal,” cemuh Nur. 

“Lagipun buah mangga tu kau boleh capai dengan tanganlah. Bukannya tinggi mana pun!” suruh Nur.

"Yelah…Nanti jangan lupa plastik dan pisau sekali.”

"Baik, Mek Siti," balas Nur sambil melangkah masuk ke dalam rumahnya. 

Setengah jam kemudian, mereka beriringan menunggang basikal menuju ke rumah Nisa dan juga Misah yang selang beberapa buah rumah dari rumah Nur. Dan jalan tersebut akan terus menuju ke pantai. Sesekali mereka berselisih dengan motor yang dinaiki oleh budak-budak muda dari kampung sebelah. Apalagi bersiullah mereka mengusik mereka berdua. Tetapi Nur mahupun Siti telah biasa dengan keadaan itu, malah kenal sangat dengan pemuda yang mengusik mereka tadi. Petang-petang seperti ini, sudah tentu mereka akan menuju ke pantai untuk bermain bolasepak. Itulah tempat kegemaran anak-anak muda di kampung mereka untuk menghabiskan masa pada waktu petang.

Hari ini memang ramai orang di tepi pantai. Di hujung sebelah kiri kelihatan, sekumpulan anak muda sedang bermain bolasepak pantai. Di gigi air pula, anak-anak kecil sedang bermandi manda sambil ditemani oleh ibu dan juga ayah mereka. Kelihatan juga kelompok gadis yang sebaya dengan mereka berempat sedang melepak dan melihat orang bermain bolasepak. Sesekali terdengar sorakan dari mereka apabila gol disumbat masuk.

Nur, Misah, Siti dan Nisa mengambil tempat duduk tak berapa jauh dari situ. Nisa membentangkan tikar yang dibawanya dari rumah. Misah pula meletakkan sebotol air sirap dan cawan plastik. Begitu juga dengan Siti meletakkan buah mangga dan juga colek yang di bawanya.

"Lepas ni tak ada dah masa nak lepak-lepak macam ni kan," Suara Nur memecahkan kesunyian. Masing-masing sedang enak menikmati mangga cicah colek buatan Nur itu. masam, manis masin dan pedas. Belacan pulak menambahkan lagi aromanya. Memang tak angkat muka makan. Makan pula ramai-ramai. Sepuluh biji mangga pasti tak cukup. Sebab itulah Siti ambil seplastik buah mangga untuk dinikmati bersama.

"Minggu depan korang dah balik kolej, aku dengan Nisa pula mesti sibuk dengan kelas tambahan dan tuisyen. Tak de masa dah nak lepak-lepak macam ni lagikan," tambah Misah pula.

"Rindu pula masa zaman sekolah kan. Tiap-tiap hari mesti datang lepak kat sini sambil tengok orang main bola.” Sambung Siti pula sambil menghala pandangan ke arah anak muda sedang bermain bola.

"Eh... Itu abang kamil? Bila dia balik Nisa?" Soal Siti hairan. Rasanya sekarang bukan time IPTA cuti kan. Kenapa pula dia ada kat kampung. Patutnya berada di UIA.

"Manalah aku tahu. Kau tanyalah dia sendiri," balas Nisa sambil lewa.

"Laaa... kaukan awek takkanlah tak tahu pula!" Kata Siti lagi sambil mengangkat keningnya. Nisa tersengih sambil mencebik.

"Bila masa pula aku dideclarekan menjadi awek dia ni? Kami kawan je laa…macam aku kawan dengan koranglah." Pantas Nisa menyangkal. 

"Mana ada istilah kawan antara lelaki dan perempuan?"soal Nur sambil mengangkat kening dan tersengih.

"Adalah.. Kenapa tak ada pula. Habis tu takkanlah tak boleh berkawan dengan lelaki," sangkal Nisa.

"Setakat kenal-kenal je boleh. Sebabnya persahabatan berlainan jantina tidak berapa digalakkan kerana mesti ada di antara salah seorang daripada mereka yang akan tergelincir nanti."Nur memberikan pendapatnya.

"Dan aku rasa Nisa telah pun tergelincir dari ‘kawan je" tu?" sambung Misah pula sambil tersengih-sengih.

"Pandailah korang nak menyakat aku. Macamlah korang tak de kawan dengan lelaki kan?" pertahan Nisa pula.

"Aku memang tak de kawan lelaki. Member sekelas adalah tapi skemalah. Tak ada yang boleh dijadikan calon ‘kawan’ ," jawab Siti pula.

"Nur?" Soal Nisa lagi.

"Aku pun macam tu gak. Malaslah nak fikir dan involve dalam soal lelaki nih. Lagipun hidup kita ni ditentukan oleh orang tua kita. Kalau mereka dah tetapkan siapa yang patut kita kawan, Dari makan hati nanti. Baik tak payah terlibat.. " ulas Nur panjang lebar. Ada makna tersirat di sebalik kata-kata tersebut. Nisa lebih maklum hal ini. Dan dia tidak pula ingin membalasnya. 

Siti dan Misah berpandangan antara satu sama lain. Kenapa lain macam mereka merasakan ada sesuatu yang Nur sembunyikan. Macam dia pasrah saja!

"Kenapa? Kau dah ada pak we ke dan Abah kau tak suka?" serkap Misah.

"Kau ni merepeklah. Mana aku ada pak we. Tak de masa nak layan semua lagilah!" jawab Nur cepat - cepat. 

Lain yang dimaksudkan, lain pula yang mereka fikirkan!




Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Khamis, 17 November 2016

November 17, 2016

Bab 15 : Si Adik Manja Dengan Menantu Pilihan Abah




Mak Teh dan Pak Teh sedang berehat-rehat sambil menonton program Tanya asyraf di saluran oasis. Manakala Nur sejak dari lima belas minit yang lalu asyik bergayut dengan angah. Padahal baru pagi tadi angah pergi. Dekat asyik nak bercakar je. Jauh pulak asyik bergayut. Ada-ada je cerita dua beradik ini. Sesekali kedengaran Nur ketawa. Tak tahulah apa yang kelakar sangat. Dan ketika itu jugalah abah menjeling. Nur buat tak reti saja.

Teringat angah, teringat perbualan ringkas mereka sebelum angah pergi. 

“Umi.. bukan angah tak suka adik kahwin dengan Hisyam. Tapi pada pandangan angah adik tu muda lagi. Bagilah dia peluang belajar hidup berdikari dulu. Dulu adik dapat tawaran MRSM, abah tak bagi pergi. Ni baru je belajar kat Matrikulasi, abah dah plan nak kahwinkan adik.”

“Hmm.. Umi pun ada pujuk abah, tapi angah tahulah perangai abah tu. Sekali dia buat keputusan, tak dapat diubah. Tak apalah. Umi yakin Hisyam dapat jaga adik. Bukan orang lain dengan kita. Lagipun dia dah masak dengan perangai adik tu.”

“Itu angah tahu umi. Tapi...”

“Dah.. dah.. tak ada tapi-tapi lagi. Angah perlu doakan agar adik terima dengan baik apa yang abah telah putuskan untuk dia.” 

Hilang kisah pagi tadi. Adik masih lagi bergayut di telefon.

"Sudahlah tu dik, umi dah abah ada benda nak cakap ni," Tegur Umi.

"Cerita korang tak pernah habis-habis. Dah letak telefon tu, ada benda umi dan abah nak cakapkan ni," keras suara Mak Teh. Tandanya itu adalah arahan. Bukan boleh dipandang ringan. 

"Okeylah angah, umi dah jeling-jeling tu, esok adik telefon lagi. Janji cerita siapa nama gadis bertuah yang bakal jadi kakak ipar adik nanti ya," pinta Nur.

"Kalau angah teringatlah. Tak janji," balas Angah sambil lewa.

"Ok..assalamualaikum..." sambil diletak gagang telefon.

Nur menghampiri abah dan umi. Mana lagi tempat duduknya kalau bukan di tengah -tengah umi dan abah. Macamlah rumah abah ni sempit. Tak boleh duduk tempat lain. 

"Hesy... Budak ni, kan banyak kerusi kosong tu, nak juga himpit umi dan abah,"tegur Mak Teh sambil menolak Nur supaya bangun.

"Tak naklah..kerusi lain tak best. Duduk antara umi dengan abah lagi best. Sebelah kanan abah. Sebelah kiri umi. Lenguh belah kanan,boleh bersandar belah kiri pulak," jawab Nur sambil tersengih. 

"Duduklah tempat lain.. Rimas umi tau... Sejak balik ni asyik nak menghimpit je, macam budak-budak," marah Mak Teh lagi.

"Alaaa mi, anak umi ni kan budak-budak lagi. Jadi perangai memang sebijik macam budak-budaklah! Lagipun perangai budak-budak adik ni dengan umi dan abah je," pandai Nur menjawab. Tak pernah nak kalah. Ada-ada saja jawapannya.

"Haaaa…dengar tu abahnya, perasan lagi budak tapi dah layak jadi mak budak dah."

"Inilah akibatnya, manjakan sangat dia, mulut tu suka sangat menjawab. Ada-ada je jawapannya," adu Mak Teh. Sebak terasa. Cepat benar adik besar. Tak lama lagi dah nak jadi isteri orang. 

"Alaa umi ni, hanya time cuti macam ni lah adik boleh manja-manja dengan umi dan abah. Bila dah balik kolej, tak dapat dah. Kena tunggu cuti tiga bulan lagi baru boleh," pantas adik bersuara. 

Tanpa mempedulikan teguran umi tadi, Nur tetap dengan selambanya duduk di tengah-tengah sambil memeluk lengan uminya. 

"Tadi umi cakap ada benda yang abah nak bagitahu, apa dia bah?"soal Nur sambil berpaling memandang abah yang berada di sebelahnya. 

Abah memandang Nur dengan penuh kasih sayang. Keputusan yang dibuat ini adalah untuk kebaikan anak kesayangannya ini. Bukan untuk dia tetapi untuk kebahagiaan dan masa depan anak bongsunya. 

Perlahan Mak Teh hulurkan sebuah bekas baldu merah kepada Nur. Nur tercengang, namun bekas tersebut di ambil juga. Lalu dibukanya. Sebentuk cincin belah rotan tersimpan di dalamnya. 

“Cincin apa ni umi, abah?”

“Cincin adik. Hisyam bagi tujuh tahun lepas.”

Dahi Nur berkerut. Tak faham. Tujuh tahun lepas? Tapi kenapa sekarang baru diberikan kepadanya. Nur belek cincin itu seketika sebelum diserahkan kembali kepada umi.

“Umi bagi balik kat dia. Adik tak nak,” tegas Nur. Sakit hati masih terasa. Jika tujuh tahun lepas dia bagi cincin, lepas tu ghaib ditelan pasir di padang pasir. Baik tak payah. Tak kebulur dia dengan cincin tersebut. 

“Cincin ni, cincin tanda. Umi simpan lama dah untuk adik. Jadi sekarang ni umi nak serahkan kepada adik.”

“Cincin tanda apa? Tak faham adik. Dia dah lupakan adik lama dulu. Umi ni nak buat cerita pun agak-agaklah,” rungut Nur. Tak percaya dengan apa yang umi cakapkan. 

Mak Teh dan Pak Teh saling berbalas pandang. Tak surut lagi marah Nur. Padahal bukan salah Hisyam. Pak Teh memberi isyarat mata kepada Mak Teh agar menceritakan hal yang sebenarnya. Dia serahkan hal ini kepada Mak Teh. 

“Cerita ni tujuh tahun lepas. Sebelum Hisyam pergi ke Mesir, dia ada datang jumpa abah. Umi tahu Hisyam sayangkan adik. Jadi sebelum dia pergi dia nak ikat adik dulu.”

“Tak fahamlah!”

“Adik benci dia sebab dia mungkin janji. Poyo-poyo je cakap nak tulis surat setiap minggu. Telefon setiap bulan tapi habuk pun tak de,” geram teringatkan janji palsu Hisyam.

“Tak baik tuduh dia yang bukan-bukan. Adik patut tanya dia kenapa dia tak tulis surat. Telefon adik, bukannya main tuduh je.”

“Buat apa. Mesti dia sampai sana. Jumpa awek cun. Terus lupa adik. Lagipun orang yang pergi belajar ke Mesir ni semua gatal-gatal. Ramai yang tak sempat habis belajar, dah kahwin. Hisyam tu belum sampai seminggu balik dah sibuk nak kahwin.”

“Mana adik tahu Hisyam nak kahwin.”

“Nisa yang cakap masa malam kenduri tu.”

“Adik tahu dia nak kahwin dengan siapa?”

Nur angkat bahu. Entah. Tak ambik tahu pun. Namun hatinya sakit. Hisyam telah benar-benar lupakan dia!

“Dia nak kahwin dengan adik!”

Nur tersentak. Bekas cincin terjatuh dari tangannya. 

“Tipulah umi. Tak mungkinlah.”

“Cincin ni cincin tunang adik dengan dia. Dia dah jadi tunang adik tujuh tahun lepas.”

“Jadi, sebaik adik habis belajar matrikulasi nanti, abah akan kahwinkan adik dengan dia.” 

Hampir terlompat mendengar kata-kata abah itu. Terkejut dan tidak pernah soal kahwin menerjah ke benaknya sebelum ini.

“Tak nak. Adik muda lagi. Baru lapan belas tahun!” bantah Nur pantas. Tak perlu berfikir panjang. Tak perlu menganalisa perasaannya sendiri. 

Dia dan Hisyam telah menjadi dua orang asing. 

“Adik.. dengar abah nak cakap dulu.”

Nur geleng kepala. Matanya berair. Mendengar perkataan kahwin pun sudah menakutkannya. Teringat gurauan Fatihah sebelum balik bercuti dulu, masin mulut Fatihah. Abah kini sedang merancang pernikahannya.

“Adik muda lagi bah. Bagilah adik habis belajar dulu. Lepas tu abah nak kahwinkan adik pun adik tak kisah. Please bah,” rayu Nur. 

Dia tidak mahu walau sedikit pun memikirkan soal perkahwinan ini. Dia mahu menumpukan perhatian kepada pelajarannya terlebih dahulu. 

Mendengar rayuan Nur, wajah abah berubah tegang. Dia tidak suka anak-anak membantah cakapnya. Dia telah fikirkan semasaknya perkara ini. Lagipun apa susahnya? Orang suruh kahwin! Bukannya buat kerja tak elok. Hatinya juga yang senang.

“Keputusan abah muktamad! Adik kena nikah dengan Hisyam selepas habis belajar matrikulasi nanti. Abah dan umi akan aturkan semuanya!”

“Tapi bah... adik tak nak kahwin lagi.”

“Nak tak nak bukan hak adik. Hak abah yang tentukan bila adik akan kahwin dan dengan siapa!” tegang suara abah memutuskannya. Tiada lagi kemesraan ditonjolkan. 

Selesai berkata, abah terus masuk ke dalam biliknya. Tinggalkan Nur dengan uminya. 

“Umi...” Nur mendakap tubuh umi.

Umi menggosok belakang Nur. Cuba mententeramkanya.

“Umi.. tolonglah adik. Pujuk abah. Adik tak nak kahwin lagi!” tersedu-sedu Nur menuturkannya. 

“Adik kan tahu abah tu macam mana orangnya. Kak Long dan Kak chik dulu pun kahwin ketika masih belajar juga. Tak ada masalah pun.”

“Kak Long dan Kak Chik lain. Mereka kahwin dengan orang yang mereka cinta. Bukan macam adik!” Bentak Nur.

“Betul ke, adik dah tak sayang dengan abang Syam?”

Laju Nur mengangguk.

Umi pula tersenyum. Di dakap bahu Nur. 

“Tanya hati adik kembali, ingat saat-saat adik bersama dengan abang Syam dulu. Apa yang adik rasa? Umi yakin, dalam hati adik ada satu ‘rasa’ yang adik sendiri tidak tahu apakah ia yang sebenarnya. Jadi berikan peluang pada hati adik, mencari makna ‘rasa; itui.”

Nur terkedu. Kata-kata Umi tepat terkena hatinya. Memang ada ‘rasa’ asing menyelubungi hatinya sejak pertemuan pertama dengan abang Syam selepas beberapa tahun. Erti kata pertemuan pertama mereka setelah dia menjadi gadis remaja. Gelora rasa itu membuatkan dia tidak tidur lena. Wajah abang Syam sentiasa mengunjungi mimpinya, membuatkan dia takut terlelap. Puas cuba dihalau jauh, namun hati keinginannya berlawanan. 

“Tak mungkin, Umi.”

“Umi.. tolonglah cakap kat abah tu, biarlah adik sendiri yang tentukan jodoh adik. Lagipun mana adil, Kak Long dan Kak Chik boleh kahwin dengan pilihan sendiri. Adik pula Abah yang tentukan.”

Umi diam. Dia memandang wajah polos anak dara bongsunya. Kasihan pun ada tapi suaminya tetap mahu menggunakan kata vetonya. 

“Maafkan umi sayang... Sebelum adik minta pun umi dah cuba pujuk abah. Tapi tak jalan jugak.” 

Nur mengeluh. 

Disandarkan kepalanya di bahu umi. Hatinya resah tetapi usapan lembut umi di kepalanya seakan penawar, meleraikan kekusutan hatinya. Biarkan masa berlalu mengubah hatinya menjadi ikhlas menerima takdir ini. Dipejamkan matanya, terasa usapan lembut di kepala. Ada sendu berlagu di hati. Takkanlah dalam usia muda dia terpaksa kahwin. Dia pun ingin merasa hidup bebas. Merasa pegang duit sendiri, merasa hang out dengan kawan-kawan. Dan yang paling penting dia ingin merasa hidup tanpa apa-apa tanggungjawab dulu. Biar dia puas menikmati hidup sebagai gadis single. 

Namun kata-kata abah tadi, bagaikan menenggelamkan apa yang dia ingin nikmati. Kenapa cepat sangat abah membuat keputusan untuknya. Bukankah dia anak kesayangan abah. Patutnya abah berikan dia kebebasan untuk melakukan apa yang dia mahu. Termasuk soal jodoh ini. Dia baru je 18 tahun. Tak ke cepat sangat untuk dia memasuki alam perkahwinan ini.



"Adik kena redha dan terima dengan hati yang terbuka, bukan mengeluh macam ni," tegur umi perlahan. 

Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Isnin, 14 November 2016

November 14, 2016

Bab 14 : Si Adik Manja Dengan Menantu Pilihan Abah




Pagi yang hening, kokokan ayam jantan abah masih lagi nyaring kedengaran. Bingit. Bunyinya hampir sangat dengan jendela biliknya. Ditarik bantal lalu ditekup telinganya, namun masih juga kedengaran. Nur mendengus, geram. Misinya membuta pagi ini gagal. Arrrgg... Aku nak tidur pun tak senang! Siap kau jebat, nanti aku tangkap buat gulai! Membebel Nur tak sudah. 

Dengan langkah malas, Nur mengambil tuala mandi dan terus keluar dari biliknya menuju ke dapur. Terlihat umi sedang asyik menggoreng sesuatu di atas dapur. Tercetus idea nakalnya, mengusik umi. Jadi berdekit-dekit Nur menghampiri umi. 

"Selamat pagi umi" bisik Nur di telinga kanan umi dan terus melarikan wajahnya ke sebelah kiri pula. 

Terkejut dengan bisikan itu, Mak Teh terus berpaling ke kanan tetapi tak nampak pula wajah yang dicari. Dari suara itu pun, dia sudah tahu siapa gerangannya. Tidak ada anak lain di dalam rumahnya sekarang melainkan si anak bongsunya. Terkekeh-kekeh Nur melihat gelagat uminya itu. Spontan Nur terkena habuan tangan Mak Teh.

"Aduh sakitlah umi, tak pasal-pasal cubit orang," Nur mengaduh manja sambil mencebikkan bibirnya. Tanganya pula menggosok bekas cubitan sayang umi tadi.

"Haa… Itu ubat mengusik umi tadi. Tak habis-habis dengan perangai budak kecik dia. Nasib baik tak terkena senduk panas ni haa. Nanti tak bermenantulah umi."

"Huh…. Umi ni, usik sikit pun nak marah. Dah lah adik baru balik. Mestilah nak usik umi, biar Umi rindu bila adik tak ada nanti," balas Nur. Saja dilagukan suaranya. 

"Haaa..tak usik pun memang Umi akan rindukan adik. Anak manja Umi ni takkanlah Umi tak rindu. Sudahlah, pergi mandi dulu. Lepas tu nak usik Umi pun usiklah. Umi tak kisah. Sekarang ni Umi kisah sebab busuk bau air liur basi adik tu,” Umi pula mengusiknya. 

Nur tersengih. 

“Mana ada, Umi ni! Adik dah gosok gigi masa bangun solat subuh tadi,” sangkal Nur. Tangannya sudah berlingkar di pinggang Umi. Kepalanya pula disandarkan di belakang Umi membuatkan Umi sukar bergerak.

“Adik!” Umi menepuk tangan Nur. 

“Pergi mandi!” Tegas Mak Teh mengarah.

Dia tidak mahu melayan melodrama yang cuba Nur lakarkan pagi ini. Dia faham sangat perangai anak manja ini. 

"Umi ni tak sportinglah"cebik Nur kemudian berlalu menuju ke bilik air yang terletak dihujung dapur. 

Umi memandang tubuh Nur hilang disebalik pintu bilik air sambil menggelengkan kepala. Teringat perbincangannya dengan Abah Nur. Hatinya berat mahu mengikut perancangan suaminya. Tapi hendak dibantah, dia tahu suaminya mahukan yang terbaik untuk anak manja mereka ini. Melihat tingkah laku anak bongsu kesayangannya itu, hatinya ragu-ragu. Mampukah adik menjadi seorang isteri yang baik dalam umur yang baru mencecah 18 tahun ini. Perangainya masih keanak-anakan. Memasak pun tak pandai. Apatah lagi mahu melayan suami. 

Nur berbeza dari anak-anaknya yang lain. Along, angah dan Acik sejak kecil lagi diajar berdikari. Seawal 13 tahun mereka telah dihantar belajar sekolah berasrama penuh. Jadi hidup mereka sejak dari awal remaja lagi telah tahu menguruskan diri sendiri. Berbeza dengan adik. Dia tidak pernah lepas dari pandangannya. Tidak pernah jauh. Cuma baru sekarang, setelah dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat matrikulasi, dilepaskan anak bongsu kesayangannya itu. Itu pun di hati tetap diselubungi kebimbangan. Sering hati tertanya-tanya, bolehkah Nur hidup berdikari dan menyesuaikan diri dengan tempat baru? 

Hari pertama berpisah, boleh dikatakan setiap masa terluang Nur akan menelefon ke rumah. Sebak hatinya. Tetapi sengaja tidak ditunjukkan. Kalau tidak sampai bila-bila pun Nur takkan membiasakan diri berjauhan darinya. Silap haribulan Nur buat perangai mahu berhenti belajar dan kembali ke rumah. Sebab itulah suaminya berkeras agar sakitnya dirahsiakan dari pengetahuan Nur. Alhamdulillah sehingga kini, setelah dua bulan berlalu, Nur semakin dapat membiasakan dirinya. Panggilan telefon sudah tidak sekerap di awal perpisahan dulu.

Baru sahaja dia membiasakan diri hidup berdua dengan suaminya, dia dikejutkan pula dengan rancangan suaminya. Dia tahu tentang lamaran Hisyam sebelum sambung belajar dulu. Dia juga tiada halangan menerima Hisyam sebagai menantunya. Tapi adik masih mentah lagi. Belum matang untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Kalau dilihat kepada pendirian suaminya kali ini, memang sebarang bantahan tidak akan diterima. Alasan sakit menjadi alasan kukuh kenapa Nur perlu dinikahkan dalam usia muda. 

Dia sebenarnya tidak kisah siapa yang bakal menjadi menantunya asalkan anak-anak hidup bahagia. Dia pun akan turut merasa bahagia di atas kebahagiaan anak-anaknya. Yang jadi masalah sekarang, macam mana hendak memberitahu kepada empunya diri. Benda ini bukan masalah kecil. Tetapi masalah besar. Dia dapat mengagak adik takkan bersetuju dengan risikan ini. Dia faham sangat dengan kerenahnya. Memang manja dan jika dia tidak mahu, mati-matian akan ditentangnya. Dia juga tahu Nur berjauh hati dengan Hisyam.

Kalau ikutkan suaminya, dalam masa terdekat ini mahu dinikahkan Nur dengan Hisyam. Tidak mahu bertangguh lagi. Lagipun suaminya melihat Hisyam lelaki ideal untuk anak bongsunya. Yang dulu sabar meladeni karenah manja Nur. Yang berpegang pada janji dan sanggup berkorban untuk kebahagiaan Nur. Jadi dia tidak ragu-ragu untuk melepaskan Nur ke dalam jagaan Hisyam.

Yang menjadi masalah sekarang, anak kesayangan mereka itulah. Kepalanya memang ikut seratus peratus kepala abahnya. Kalau yang ini sependapat tak apalah juga. Perkara ini sudah pasti berlawanan pendapat. 

Umi termenung jauh , tanpa menyedari anak kesayangannya telah siap mandi. Dengan hanya melilit tuala di badannya, Nur berjalan perlahan-lahan mendekati umi yang sedang termenung, mungkin juga berangan, fikirnya. Terus dicium pipi ibu kesayangannya itu secepat mungkin dia menyusup masuk ke dalam biliknya. Suara ketawanya bergema di dalam bilik. Kuat. 



Umi terkejut dan hilang kata dengan sikap nakal Nur. Senyum dan gelang kepala je lah. Nur ada-ada je telatahnya nak menyakat orang. Masih lagi bersikap keanak-anakan. Jadi hatinya sedikit risau untuk melepaskan anak itu ke tangan orang lain, bila mana hatinya masih lagi menganggap anak ini masih kecil. Dalam diam umi mengeluh. Hatinya risau.

Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Khamis, 10 November 2016

November 10, 2016

Bab 13 : Si Adik Manja Dengan Menantu Pilihan Abah



"Errrhhh" 

"Alhamdulillah…" ucap Nur.. 

Syukur di atas nikmat yang diberikan. Berada di kampung amat membahagiakan. Selera makannya bertambah. Tidak seperti ketika berada di kolej, semua makanan tidak kena dengan seleranya. Dia makan pun sebab terpaksa. Kalau tidak macam mana hendak mendapatkan tenaga untuk memanjat tangga ke tingkat tiga ke biliknya atau mendaki bukit dan juga berkejar ke kuliah.

Itu pun kak long tidak sudah-sudah membebel. Setiap kali telefon itulah yang ditanya terlebih dahulu, adik sudah makan? Vitamin makan tak? Banyak lagi ke vitamin? Minum air banyak tak? Segala benda akan disoal bagi memastikan dia tidak lupa setiap pesanannya. Mentang-mentanglah dia seorang doktor. Semua percakapannya mesti berkaitan dengan ubat. Tidak pun pasal kesihatan diri. Tahulah dia menjaga dirinya sendiri. Lagipun dia bukannya adik kecil Kak Long lagi.

Nasib baik Kak Long telah pulang ke rumahnya di Kubang Kerian semalam. Jika tidak dia pasti disoal siasat tentang pengambilan vitaminnya. Nasihat percuma akan diberikan tentang penjagaan kesihatan ketika di kolej. Rimas. Kak Long ni tidak habis-habis dengan sikap terlebih ambil berat mengenai kesihatan diri. 

Nur bersandar kekenyangan. Lagaknya seperti ular sawa yang baru lepas menelan seekor kambing. Di depan umi dan abah, dia tidak pernah jaga kelakuannya. Sebab itulah dia selalu dimarahi oleh umi. Namun sikit pun tidak diambil kisah. Bahkan bebelan umi bagaikan lagu merdu di telinganya. Dan dia tetap akan tabiat yang sama.

Terlintas ular di dalam kepalanya, Nur teringat mimpi-mimpi yang hadir beberapa minggu lepas. Hampir tiga malam berturut dia diburu mimpi tersebut. Seekor ular yang sederhana besar, tidak tahulah ular jenis apa, menunggunya di sisi katil. Ular itu mendekatinya lalu tidur bersamanya. Setiap kali ular itu menyusup masuk ke dalam selimutnya pasti dia akan terjaga. Bagaikan terasa kelicinan badan ular yang kian membelitnya. Sehingga dia fobia untuk melelapkan mata kembali. 

Jadi, untuk mengatasinya dia akan mengambil wuduk dan membaca tiga Qul sebanyak tujuh kali. Diletakkan juga surah yassin di tepi bantal tidurnya. Barulah dia dapat tidur lena. Mimpi ini tidak pernah diceritakan kepada sesiapapun. Tidak pada umi, tidak juga pada kak long dan kak chik. Abah pun sama. Dia hanya mendiamkan diri sahaja kerana kegiatannya di waktu siang hari tidak terjejas. Takutnya hanya ketika ingin tidur sahaja.

"Tak elok anak dara bersandar begitu. Duduk biar elok sikit, dik," tegur Umi. Pantas tangan Umi menepuk pahanya. Tepukan sayang namun terasa juga kepedihannya. Dia tersenyum-senyum. Suka apabila duduk berhimpit dengan Umi. Jadi dibetulkan duduknya. Dipaut tangan Umi sambil kepalanya bersandar ke bahu Umi. Ketika ini dia, umi dan abah sedang berehat-rehat selepas makan malam di ruang tamu sambil menonton cerita yang disiarkan di televisyen. 

Hanya tinggal mereka bertiga saja malam ini. Angah juga telah pun kembali ke Kuala Lumpur setelah bercuti seminggu. Senang hatinya apabila Angah tiada. Dekat mereka sentiasa bertengkar. Jauh elok pun mereka berbual-bual di talian. Ada saja yang ingin dimintanya dan Angah tanpa banyak soal akan memasukkan duit ke dalam akaunnya. 

Dari hanya bersandar di bahu Umi, Nur kini merebahkan kepalanya ke atas riba umi. Sudah lama tidak bermanja dengan. Kesempatan cuti ini akan digunakan sepenuhnya. 

"Eh..tidur pulak budak nie. Bangun!”

“Baru lepas makan mana boleh terus baring, nasi pun tak sempat turun ke perut lagi. Tak elok untuk tubuh badan kita," bebel Umi sambil mengangkat kepala adik supaya bangun dan duduk elok- elok di kerusi panjang itu.

"Alaa umi ni, orang nak bermanja sikit pun tak boleh. Dah lah adik sudah lama terpisah dengan umi. Nak tidur atas riba umi sekejap pun tak boleh,” Nur merajuk manja.

"Bukan tak boleh, tadikan baru lepas makan. Mana boleh baring lagi, nanti sakit perut pulak. Lagipun tak elok terus berbaring selepas makan. Lemak akan mudah berkumpul di bahagian perut. Adik nak ke perut adik buncit macam orang mengandung?” Soal Umi lembut.

Nur pantas geleng kepala. Hesy.. tak naklah.. Perut buncit kerana mengandung nampaklah lawa. Tapi perut buncit kenapa lemak, nampak sangat buruknya. 

“Haa tahu pun... bila perut buncit, maknanya adik dah gemuk. Nanti jadi pemalas pula sebab badan terlebih berat.” 

Tersenyum Pak Teh mendengar pujukan isterinya itu. Adik sudah memuncung mulutnya. Lagi tambah panjang muncungnya apabila melihat abah senyum-senyum memandangnya. Wajah Abah kelihatan merah sedikit berbanding semalam. Suka dia melihat Abah tersenyum. 

"Abah pun sukalah umi marah adik ni. Tahulah umi dan abah dah tak sayang kat adik lagi" rajuk adik.

"Laaa ke situ pulak! Abah sayanglah. Tapi betullah apa yang cakap umi tu." pujuk Pak Teh pula.

Lalu Mak Teh memeluk bahu Nur di sisinya. Sebuah ciuman hinggap di pipi Nur. 

“Sayang Umi jugakk...” Nur pula memeluk Umi erat. 

"Inilah intan payung, buah hati umi. Takkanlah umi nak marah kat adik. Lagipun adik dah besar panjang. Dah mula belajar hidup berdikari di tempat orang. Sesekali balik mestilah umi tegur. Teguran umi tu bukan bermaksud marahkan adik, tak sayang adik. Tetapi sebagai peringatan, sebagai nasihat. Sebagai pedoman untuk adik nanti. Tak elok diamalkan selepas makan terus tidur. Malah tak elok untuk pernafasan kita, akan menyebabkan kita mudah sesak nafas. Tidak elok juga untuk sistem pencernaan kita sebab makanan tidak dapat dihadam dengan betul. Mudah sakit perut nanti.” jelas Mak Teh panjang lebar. 

Nur terdiam mendengarnya. Umi ni, setiap larangan dan tegurannya ada alasannya yang tersendiri. Sebenarnya dia tahu untuk kebaikan dirinya juga. Haha...bukannya dia tak tahu, dah tahu sangat. Tapi ya lah... Sudah namanya anak manjakan? Anak bongsu penghibur lara umi dan abah. Mesti adanya benda hendak dibuat rajukkan? Sengaja nakkan perhatian lebih daripada umi dan abah. Nur tersenyum lalu memeluk uminya, diberikan kucupan kasih ke dua belah pipi umi dan direbahkan kepalanya ke dada umi pula. Umi tersenyum dan membalas pelukannya.

Pak Teh melihat sahaja kelakuan dua beranak itu lalu mengusik mereka.

"Peluk umi je? Abah tak nak peluk ke?"

Senang hatinya melihat anak bongsu di depan mata. 

Mendengar Abah berkata begitu, Nur cepat-cepat mendapatkan abah pula. Lalu dicium pipi abah dan memeluknya seperti dia memeluk Umi tadi.

"Abah...Malam ni adik tidur dengan abah dan umi ya?” Bodek Nur.

"Aduh...Pengacau dah kembali uminya." Perli Pak Teh. Mak Teh tersenyum mendengarnya.

"Adik dah besar panjang. Dah belajar jauh pun. Mana boleh tidur dengan umi dan abah lagi. Bagilah can untuk abah bermanja dengan umi pulak."

"Mana boleh! Abah kan dah puas bermanja dengan Umi semasa adik tak ada. Bagilah peluang untuk adik tidur peluk umi pulak. Alaa bah, malam ni je... Kasian adik tau," pujuk Nur. 

Pak Teh geleng kepala tanda tak bagi. Wajahnya sengaja diseriuskan.

"Abah tak kasiankan adik ke?" Suara Nur mula mendayu. Cuba meraih simpati daripada Abah.

"Tak"

"Mana boleh ambil bantal peluk abah ni. Nak bantal peluk, adik kena cari lah," ujar Pak Teh berkias. Mak Teh geleng kepala. Dia tahu, sebelum Nur kembali ke kolej, mereka perlu memberitahu perkara sebenarnya. Cincin tanda yang telah lama berada di dalam simpanan perlu diberikan kepada Nur. 

Cuma dia takut, reaksi Nur. Sikap keras kepala Nur saling tak tumpah dengan abahnya. Hitam katanya, hitamlah. Putih katanya, putihlah. Tapi dia tahu disebalik sikap degil Nur, perasaan sayang dan hormat kepada kedua orang tua akan membuatkan Nur mengikut cakap mereka. Aturan yang telah abahnya tetapkan. Sebagai umi, dia sentiasa berdoa agar Nur dan anak-anaknya yang lain akan hidup bahagia bersama pasangan masing-masing. 

"Tak nak, nak tidur peluk umi jugak.." Nur juga turut berkeras. Abah ni kedekut betullah. 

Wajahnya bertukar muram. Dia ingin sekali tidur bersama dengan Umi dan Abah. Satu malam pun tak apa, asalkan dia tidur bersama dengan mereka. 

Pak Teh ketawa melihat wajah cemberut anak manjanya. Tak berubah-ubah. Menempel je kerjanya. 

"Bolehlah Abah... Malam ni je adik nak tidur dengan Umi dan abah. Malam esok dan seterusnya adik tidur dalam bilik adik."

“Jawapan abah tetap tidak boleh!” tegas Pak Teh. 

Muncung Nur semakin panjang. Dia tahu, permintaannya tetap tidak akan ditunaikan apabila suara abah berubah menjadi tegas. 






Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Isnin, 7 November 2016

November 07, 2016

Bab 12 : Si Adik Manja Dengan Menantu Pilihan Abah




“Aku tak tahu pulak kau dah bertunang dengan adik aku.”

Hisyam garu kepala. Senyum. Dia juga tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan keadaan sebenarnya. Serba salah dan terasa bersalah. Salahnya sebab dulu terburu-buru membuatk keputusan. 

“Bila korang bertunang?” Soal Thaqif lagi. Tak puashati. Marah? Siapa dia hendak menindakkan kuasa abah ke atas anak perempuannya. 

“Aku tak tahu nak jelaskan macam mana....”

“Make it simple. Yang penting aku tahu pangkalnya,” sampuk Thaqif.

Selepas perbincangan hangat tadi, dia terus tarik tangan Hisyam mengikut. Mereka berjalan tanpa tujuan. Tujuannya hanya satu. Ingin tahu cerita sebenar disebalik pertunangan yang berusia tujuh tahun. Thaqif yakin, kak long dan kak chik tidak tahu. Empunya diri sudah tentu tak tahu langsung. Angin malam kuat bertiup. Bunyi ombak menghempas pantai jelas kedengaran. 

“Hmmm... sebelum aku berangkat ke Mesir, aku jumpa abah kau. Kami bercakap-cakap tentang masa depan. Tentang Nur. Abah kau tanya aku. Aku sayangkan Nur tak?” Hisyam tarik nafas. Mengimbau kembali perbualannya dengan Pak Teh pada malam terakhir sebelum dia bertolak ke Mesir. 

“Aku terus terang dengan Pak Teh. Dalam masa sepuluh tahun lagi, aku mahu jaga Nur.”

“Sayang aku bukan setakat abang adik. Sayang aku lebih daripada tu. Jadi bila aku nak pergi jauh, aku takut adik lupakan aku.”

“Tapi kau jugak yang buat adik aku ada alasan lupakan kau. Bencikan aku. Siap gelar kau orang munafik lagi.”

Hisyam senyum tawar. 

“Aku terpaksa buat-buat lupa janji aku tu.”

“Sebab?”

“Itu syarat abah kau.”

Thaqif terdiam.

“Tak faham aku, kenapa abah aku buat syarat tu.”

Hisyam angkat bahu.

“Teruk adik aku demam sebab rindukan kau.”

“Aku tahu, mak aku ada cerita. Aku pun demam teruk kat sana.”

“Demam sebab perubahan cuaca. Demam sebab rindukan adik jugak.”

“Adik aku berubah selepas baik demam.”

“Tapi sebab apa?”

“Orang tua angah. Sebab dia tentu munasabah.”

“Tapi setiap perkembangan adik kau, aku tahu. Nisa si tukang cerita. Semua hal berkenaan dengan adik kau, yang dia tahu, dia akan cerita dalam email.”

“Tapi adik aku jugak, tak tahu apa-apa pasal kau.”

“Dia bencikan kau sekarang ni.”

“Aku tahu. Tadi aku tegur pun dia buat tak tahu. Seolah-olah aku ni dia tak pernah kenal.”

“Hahaha... Degil dia tu sebijik ikut abah aku. Nasib kau laa nak tackle dia macam mana.”

Hisyam garu kepala. 

Dia juga buntu. Reaksi Nur walaupun telah dijangkakan, namun cuak juga hatinya. Nampak gayanya dia perlu lancarkan rancangan untuk tackle hati Nur semula. 

“Ermm.. adik dah ada boyfriend?”

Thaqif angkat bahu. “Tak ada pulak dia bercerita pasal lelaki kat aku. Tapi tak tahulah kalau dia berkongsi cerita dengan kak chik atau kak long.”

“Haa... tadi aku nampak Azim. Dia tu saudara kau ke?”

“Azim? Kau kenal budak tu? Anak sepupu ayah aku. Budak KL,” beritahu Hisyam.

“Kenal tu taklah kenal sangat tapi budak tulah yang teman adik aku balik dua tiga hari lepas.”

“Dan....” Thaqif terhenti seketika menarik nafas. Dijeling Hisyam disebelah. Tiada perubahan emosi di wajah sahabatnya. 

“Azim ni mengaku sukakan adik aku. Siap minta kebenaran aku nak kawan dengan adik aku tu.”

“Owh... Jadi dia tu..”

“Adik aku tak suka dia. Dia cakap Azim ni over perasan. Confident sangat adik aku nakkan dia jugak,” potong Thaqif sebelum sempat Hisyam habiskan ayatnya.

Hisyam sengih. Hati.. walaupun cuba ditenangkan agar tidak curiga sebelum ini, tetap juga merasa lega. Dia sebolehnya tidak mahu meletakkan Nur dalam keadaan serbasalah. 

“Kau jangan risau. Benci adik aku tu tanda rindu. Marah dia tanda sayang. Lagipun aku rasa selama ni dia tunggu kau.”

“Harap macam tu lah.”



Dalam diam Thaqif senyum. Rasanya dia dapat agak kenapa abah beri syarat kat Hisyam.


Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Khamis, 3 November 2016

November 03, 2016

Bab 10 : Cinta Asma dan Ferhad

Ihsan encik google


“Lambat bangun hari ni, Asma?” tegur Rohani.

Asma pandang wajah ibunya sambil sengih-sengih. Pagi ini dia terlajak tidur. Sebabnya dekat pukul 4 pagi baru tertidur, solat subuh pun terasa diawangan kerana tak cukup tidur. Selepas subuh dia tumbang lagi. 

“Tak dapat tidur semalam ibu. Dekat pukul 4 baru rasa ngantuk.”

Rohani geleng kepala. 

“Kenapa tak datang bilik ibu?” 

“Kasihan kat ibu pulak. Lagipun ibu baru nak sihat. Nanti tak cukup tidur, sakit lagi. Asma pulak yang risau,” balas Asma. 

Sebenarnya semalam dia ada jenguk ibu. Nak tumpang tidur. Tapi bila tengok ibu lena, tidur pun berdengkur, dia tak jadi kacau. Biarkan ibu berehat. Lagi pun dah hampir seminggu ibu batuk malam. Malam tadi baru okey. 

“Tak dapat tidur sebab hari ini Asma akan jadi isteri orang?”

Asma diam. Dia tuang teh O panas ke dalam cawan. Dia tenung air tersebut. Hatinya terasa berat. Betul ke ini keputusan yang tepat untuknya. 

“Ibu, Asma takutlah,” Asma gigit bibirnya. 

Rohani tarik kerusi di sebelah anaknya. Dia duduk dan pandang Asma di sisinya. Dia faham perasaan anaknya sekarang. Apa yang dialami oleh Asma juga pernah dialaminya hampir 20 tahun lalu. Ketika itu dia sebaya Asma sekarang.

“Ibu pun kahwin umur 18 tahun. Malam nak nikah tu, satu malam ibu tak dapat tidur langsung. Ibu kena kahwin sebab nak langsaikan hutang bapak ibu. Ibu langsung tak kenal ayah Asma pun ketika itu. Sebab nak selamatkan bapak ibu. Ibu akur.”

“Ayah Asma pun kena paksa juga. Akhirnya kami kahwin. Malam pertama itu ayah Asma terus terang dengan ibu. Dia tertarik dengan islam. Lepas ni dia akan peluk agama islam. Dia tak paksa ibu ikut dia. Tapi sebab ayah Asma dah jadi suami ibu. Kacak dan gagah pulak tu, ibu jatuh cinta pandang pertama. Ibu cakap ibu akan ikut dia sebab dia dah jadi suami ibu. Susah senang ibu akan lalui dengan dia.”

“Jadi seminggu selepas itu kami diam-diam larikan diri dari kampung. Datuk Asma belah ayah ni terkenal dengan bengis dan garangnya. Dia pantang anak-anak tak ikut cakap dia. Dia dah rancang siap-siap hidup anak-anaknya. Ayah Asma patutnya mewarisi harta dan pangkat datuk Asma. tapi Ayah Asma tolak. Dia cakap dia nak tinggalkan budha dan masuk islam. Mengamuklah orang tua tu. Ayah Asma kena kurung. Ibu beranikan diri lepaskan dia dan kami lari ke sini mulakan hidup baru. Kahwin semula dan tukar nama.”

Asma terlopong. Inilah kali pertama dia mendengar kisah ayah dan ibunya. 

“Ibu tak menyesal?”

Rohani senyum sambil geleng kepala.

“Ayah Asma seorang suami dan kekasih yang baik. Kami saling menyintai selepas berkahwin. Kami belajar mengenai diri masing-masing selepas kahwin. Banyak masam manis, pahit maung kami lalui bersama dan itu yang menguatkan cinta kami. Asma lahir hasil cinta kami. Anugerah terindah buat ibu dan ayah.”

“Ibu yakin jika ayah masih hidup sekarang, tentunya dia lah paling gembira. Anak manjanya akan jadi isteri orang. Kemudian akan bergelar pelajar Universiti juga.”

“Kami yakin Asma akan jadi seorang isteri solehah. Bersemangat tinggi. Sudah sampai masanya Asma membina hidup sendiri. Tapi ibu tetap ada di sini jika Asma inginkan nasihat ataupun telinga untuk mendengar setiap luahan hati Asma. Namun paling penting jaga hati suami, hormat dia, cinta dia dengan sepenuh hati Asma. In shaa allah... Asma akan memperolehi bahagia nanti.”

“Terima kasih ibu.” Asma peluk ibunya. Hatinya lega. Jika ibu mampu bahagia dengan ayah. Dia juga mampu bahagia dengan Ferhad. Ketidakpastian itu, adalah cabarannya. 

“Assalamualaikum...”

“Assalamualaikum... Asma..”

“Oo.. Asma..”

“Pergi tengok siapa yang datang tu.”

“Rasanya macam suara Aida, ibu.”

Asma pantas menuju ke pintu utama rumahnya. 

“Waalaikumussalam.” Sebaik sahaja pintu dibuka wajah Aida terus dilihatnya.

“Nasib baik aku sempat brake tangan aku ni, kalau tak benjol muka kau. Tak lawa dah nak naik pelamin nanti,” Aida terus menyerang Asma. 

“Mana kau tahu aku nak kahwin hari ini. Ingatkan sekejap lagi nak pergi rumah kau. Nak ajak kau temankan aku malam nanti.”

Aida juih bibir. 

“Ginilah kawan. Perkara sebesar ni, malam ni nak jadi bini orang, pagi ni baru nak cari aku.”

“Weh... Aku pun kelam kalibut ni. Baru 2 hari lepas Nek Som dan ibu bagitahu aku. Semalam seharian pergi cari baju nikah. Mana sempat aku nak cari kau. Bercerita segala-galanya pada kau,” terang Asma. 

“Jadi betullah ni, kau nak nikah dengan abang Ferhad? Cucu Nek Som yang hensem tu?”

Asma berkerut dahi. 

“Bukan ke kau cakap semua cucu lelaki Nek Som ni hensem belaka ke?”

“Abang Ferhad ni extra-extra hensem tau. Arkitek pulak tu. Duduk overseas. Bertuah kau.. Lepas ni ikut dia ke overseas.” Macam bertih pulak mulut Aida pagi ni. Pot pet tak berhenti. Asma kemam bibir nak ketawa. Kemudian dia muncungkan bibirnya. 

“Tak ada maknanya aku ikut dia. Kan hujung bulan ni kita akan sambung belajar. Mana boleh aku ikut dia. Lagipun aku tak sanggup tinggal jauh beribu batu dengan ibu.”

“Habis pun kenapa kau nak kahwin dengan dia?” soal Aida hairan. Yela dah kahwin mestilah ikut suami. Ni suka hati Asma pulak tak nak ikut. 

“Kami kahwin sebab nak tunaikan permintaan Nek Som. Dia nak sangat tengok Ferhad ni kahwin dengan aku. Dia nak aku betul-betul jadi cucunya.”

“Sayang betul Nek Som kat kau ya.”

“Tapi kan, kau memang bertuahlah. Tak kisahlah kahwin sebab apa, asalkan Ferhad jadi suami kau yang sah.”

“”Jeles aku.” sengih Aida. Cemburu tu ada sikit. Tapi dia turut tumpang bahagia jika Asma bahagia. Asma seorang kawan yang baik. Asma tidak berputus asa membantunya mengulang kaji pelajaran. Jika tidak kerana Asma sudah tentu dia tidak akan merasa menyambung pelajaran ke Universiti. Alhamdulillah, dia berjaya mendapat tempat di Uitm. 

“Kau kena temankan aku tau malam ni, jangan tidak..”

“Iya, aku temankan. Akad nikah kat masjid kan? Siapa jurusolek kau? Baju pengantin mana aku nak tengok?” Aida terjenguk-jenguk melihat ke dalam bilik Asma. Ketika ini pintu bilik Asma terbuka luas. 

“Akad nikah dekat rumah Nek Som. Jurusolek Achik Zana, anak saudara Nek Som.”

“Yang ada butik pengantin dekat Kubang Kerian tu ke? Weh mahal giler tau upah dia. Baju pun ambil dengan dia juga ke?” 

Asma angguk. 

“Cayalah kau. Dia mekap cantik. Kak long aku pun ambil dengan dia juga. Ambil pakej pengantin dengan dia. Tu pun paling murah RM3,000. Tapi bukan dia yang jadi jurusolek. Pekerja dia.”

“Aku tak tahu berapa. Semuanya Nek Som yang uruskan,” keluh Asma.

“Tak kisahlah berapa, Asalkan kau jadi pengantin paling cantik malam ni.”

“Lupa pulak, tema warna apa?”

“Aku nak pakai baju warna apa?”

“Tema putihlah. Kau pakailah warna apa pun tapi yang pasti aku nak kau temankan aku. Lagipun majlis ni untuk saudara mara je.”

“Saudara mara pun, dekat 200 orang jugak tau. Satu kampung ni ada bau-bau bacang dengan Nek Som tau.”

Terkejut Asma mendengarnya. Alamak! Ni bukan majis kecil-kecil lagi. 

“Aku kena pergi rumah Nek Som tengahari ni. Kau kena ikut aku sekali tau. Kena temankan aku. Jangan tinggalkan aku. Aku tak kenal anak cucu Nek Som yang lain. Aku takutlah.”
“Isyy.. tak ada apalah. Abang Ferhadkan ada.”

“Tak ada. Nanti tengahari dia akan tumpang sementara rumah Pak Ali. Nak akad nikah malam nanti baru dia ada.” 

“Kau kena temankan aku. Jangan tinggalkan aku.”

“Iya.. Iya laa aku temankan.”

“Aku kena balik dulu cakap kat mak aku dan ambil barang. Nak pilih baju mana paling cantik nak pakai malam ni.”



Asma angguk. Dia tarik tangan Aida dan genggam erat. Dia berterima kasih sangat. Selain ibu, ada Aida temankannya malam ini.


Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.