Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Khamis, 3 November 2016

November 03, 2016

Bab 10 : Cinta Asma dan Ferhad

Ihsan encik google


“Lambat bangun hari ni, Asma?” tegur Rohani.

Asma pandang wajah ibunya sambil sengih-sengih. Pagi ini dia terlajak tidur. Sebabnya dekat pukul 4 pagi baru tertidur, solat subuh pun terasa diawangan kerana tak cukup tidur. Selepas subuh dia tumbang lagi. 

“Tak dapat tidur semalam ibu. Dekat pukul 4 baru rasa ngantuk.”

Rohani geleng kepala. 

“Kenapa tak datang bilik ibu?” 

“Kasihan kat ibu pulak. Lagipun ibu baru nak sihat. Nanti tak cukup tidur, sakit lagi. Asma pulak yang risau,” balas Asma. 

Sebenarnya semalam dia ada jenguk ibu. Nak tumpang tidur. Tapi bila tengok ibu lena, tidur pun berdengkur, dia tak jadi kacau. Biarkan ibu berehat. Lagi pun dah hampir seminggu ibu batuk malam. Malam tadi baru okey. 

“Tak dapat tidur sebab hari ini Asma akan jadi isteri orang?”

Asma diam. Dia tuang teh O panas ke dalam cawan. Dia tenung air tersebut. Hatinya terasa berat. Betul ke ini keputusan yang tepat untuknya. 

“Ibu, Asma takutlah,” Asma gigit bibirnya. 

Rohani tarik kerusi di sebelah anaknya. Dia duduk dan pandang Asma di sisinya. Dia faham perasaan anaknya sekarang. Apa yang dialami oleh Asma juga pernah dialaminya hampir 20 tahun lalu. Ketika itu dia sebaya Asma sekarang.

“Ibu pun kahwin umur 18 tahun. Malam nak nikah tu, satu malam ibu tak dapat tidur langsung. Ibu kena kahwin sebab nak langsaikan hutang bapak ibu. Ibu langsung tak kenal ayah Asma pun ketika itu. Sebab nak selamatkan bapak ibu. Ibu akur.”

“Ayah Asma pun kena paksa juga. Akhirnya kami kahwin. Malam pertama itu ayah Asma terus terang dengan ibu. Dia tertarik dengan islam. Lepas ni dia akan peluk agama islam. Dia tak paksa ibu ikut dia. Tapi sebab ayah Asma dah jadi suami ibu. Kacak dan gagah pulak tu, ibu jatuh cinta pandang pertama. Ibu cakap ibu akan ikut dia sebab dia dah jadi suami ibu. Susah senang ibu akan lalui dengan dia.”

“Jadi seminggu selepas itu kami diam-diam larikan diri dari kampung. Datuk Asma belah ayah ni terkenal dengan bengis dan garangnya. Dia pantang anak-anak tak ikut cakap dia. Dia dah rancang siap-siap hidup anak-anaknya. Ayah Asma patutnya mewarisi harta dan pangkat datuk Asma. tapi Ayah Asma tolak. Dia cakap dia nak tinggalkan budha dan masuk islam. Mengamuklah orang tua tu. Ayah Asma kena kurung. Ibu beranikan diri lepaskan dia dan kami lari ke sini mulakan hidup baru. Kahwin semula dan tukar nama.”

Asma terlopong. Inilah kali pertama dia mendengar kisah ayah dan ibunya. 

“Ibu tak menyesal?”

Rohani senyum sambil geleng kepala.

“Ayah Asma seorang suami dan kekasih yang baik. Kami saling menyintai selepas berkahwin. Kami belajar mengenai diri masing-masing selepas kahwin. Banyak masam manis, pahit maung kami lalui bersama dan itu yang menguatkan cinta kami. Asma lahir hasil cinta kami. Anugerah terindah buat ibu dan ayah.”

“Ibu yakin jika ayah masih hidup sekarang, tentunya dia lah paling gembira. Anak manjanya akan jadi isteri orang. Kemudian akan bergelar pelajar Universiti juga.”

“Kami yakin Asma akan jadi seorang isteri solehah. Bersemangat tinggi. Sudah sampai masanya Asma membina hidup sendiri. Tapi ibu tetap ada di sini jika Asma inginkan nasihat ataupun telinga untuk mendengar setiap luahan hati Asma. Namun paling penting jaga hati suami, hormat dia, cinta dia dengan sepenuh hati Asma. In shaa allah... Asma akan memperolehi bahagia nanti.”

“Terima kasih ibu.” Asma peluk ibunya. Hatinya lega. Jika ibu mampu bahagia dengan ayah. Dia juga mampu bahagia dengan Ferhad. Ketidakpastian itu, adalah cabarannya. 

“Assalamualaikum...”

“Assalamualaikum... Asma..”

“Oo.. Asma..”

“Pergi tengok siapa yang datang tu.”

“Rasanya macam suara Aida, ibu.”

Asma pantas menuju ke pintu utama rumahnya. 

“Waalaikumussalam.” Sebaik sahaja pintu dibuka wajah Aida terus dilihatnya.

“Nasib baik aku sempat brake tangan aku ni, kalau tak benjol muka kau. Tak lawa dah nak naik pelamin nanti,” Aida terus menyerang Asma. 

“Mana kau tahu aku nak kahwin hari ini. Ingatkan sekejap lagi nak pergi rumah kau. Nak ajak kau temankan aku malam nanti.”

Aida juih bibir. 

“Ginilah kawan. Perkara sebesar ni, malam ni nak jadi bini orang, pagi ni baru nak cari aku.”

“Weh... Aku pun kelam kalibut ni. Baru 2 hari lepas Nek Som dan ibu bagitahu aku. Semalam seharian pergi cari baju nikah. Mana sempat aku nak cari kau. Bercerita segala-galanya pada kau,” terang Asma. 

“Jadi betullah ni, kau nak nikah dengan abang Ferhad? Cucu Nek Som yang hensem tu?”

Asma berkerut dahi. 

“Bukan ke kau cakap semua cucu lelaki Nek Som ni hensem belaka ke?”

“Abang Ferhad ni extra-extra hensem tau. Arkitek pulak tu. Duduk overseas. Bertuah kau.. Lepas ni ikut dia ke overseas.” Macam bertih pulak mulut Aida pagi ni. Pot pet tak berhenti. Asma kemam bibir nak ketawa. Kemudian dia muncungkan bibirnya. 

“Tak ada maknanya aku ikut dia. Kan hujung bulan ni kita akan sambung belajar. Mana boleh aku ikut dia. Lagipun aku tak sanggup tinggal jauh beribu batu dengan ibu.”

“Habis pun kenapa kau nak kahwin dengan dia?” soal Aida hairan. Yela dah kahwin mestilah ikut suami. Ni suka hati Asma pulak tak nak ikut. 

“Kami kahwin sebab nak tunaikan permintaan Nek Som. Dia nak sangat tengok Ferhad ni kahwin dengan aku. Dia nak aku betul-betul jadi cucunya.”

“Sayang betul Nek Som kat kau ya.”

“Tapi kan, kau memang bertuahlah. Tak kisahlah kahwin sebab apa, asalkan Ferhad jadi suami kau yang sah.”

“”Jeles aku.” sengih Aida. Cemburu tu ada sikit. Tapi dia turut tumpang bahagia jika Asma bahagia. Asma seorang kawan yang baik. Asma tidak berputus asa membantunya mengulang kaji pelajaran. Jika tidak kerana Asma sudah tentu dia tidak akan merasa menyambung pelajaran ke Universiti. Alhamdulillah, dia berjaya mendapat tempat di Uitm. 

“Kau kena temankan aku tau malam ni, jangan tidak..”

“Iya, aku temankan. Akad nikah kat masjid kan? Siapa jurusolek kau? Baju pengantin mana aku nak tengok?” Aida terjenguk-jenguk melihat ke dalam bilik Asma. Ketika ini pintu bilik Asma terbuka luas. 

“Akad nikah dekat rumah Nek Som. Jurusolek Achik Zana, anak saudara Nek Som.”

“Yang ada butik pengantin dekat Kubang Kerian tu ke? Weh mahal giler tau upah dia. Baju pun ambil dengan dia juga ke?” 

Asma angguk. 

“Cayalah kau. Dia mekap cantik. Kak long aku pun ambil dengan dia juga. Ambil pakej pengantin dengan dia. Tu pun paling murah RM3,000. Tapi bukan dia yang jadi jurusolek. Pekerja dia.”

“Aku tak tahu berapa. Semuanya Nek Som yang uruskan,” keluh Asma.

“Tak kisahlah berapa, Asalkan kau jadi pengantin paling cantik malam ni.”

“Lupa pulak, tema warna apa?”

“Aku nak pakai baju warna apa?”

“Tema putihlah. Kau pakailah warna apa pun tapi yang pasti aku nak kau temankan aku. Lagipun majlis ni untuk saudara mara je.”

“Saudara mara pun, dekat 200 orang jugak tau. Satu kampung ni ada bau-bau bacang dengan Nek Som tau.”

Terkejut Asma mendengarnya. Alamak! Ni bukan majis kecil-kecil lagi. 

“Aku kena pergi rumah Nek Som tengahari ni. Kau kena ikut aku sekali tau. Kena temankan aku. Jangan tinggalkan aku. Aku tak kenal anak cucu Nek Som yang lain. Aku takutlah.”
“Isyy.. tak ada apalah. Abang Ferhadkan ada.”

“Tak ada. Nanti tengahari dia akan tumpang sementara rumah Pak Ali. Nak akad nikah malam nanti baru dia ada.” 

“Kau kena temankan aku. Jangan tinggalkan aku.”

“Iya.. Iya laa aku temankan.”

“Aku kena balik dulu cakap kat mak aku dan ambil barang. Nak pilih baju mana paling cantik nak pakai malam ni.”



Asma angguk. Dia tarik tangan Aida dan genggam erat. Dia berterima kasih sangat. Selain ibu, ada Aida temankannya malam ini.


Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.
November 03, 2016

Bab 9 : Cinta Asma dan Ferhad



“Ferhad, lepas ni jumpa papa.”

Ferhad angguk. 

Fatin Nur pandang dengan ekor mata papanya menghilang di sebalik pintu bilik. Yang lain-lainnya turut sama beredar meninggalkan dia dan Ferhad. Fatin Nur cuit lengan abangnya. 

“Apa cerita? Bukan ke Tiffany tu kekasih abang?” 

“Tiffany tu kawan, bukan kekasih.”

“Kawan?” Fatin Nur angkat kening.

“Kawan tidur sebilik, sekatil?”

Syyuuuh... Ferhad letak jari telunjuk di bibirnya. 

“Kau nak semua orang dengar ke?”

Fatin Nur ketawa sinis. Dia tahu sisi gelap Ferhad.

“Pandai pulak bila nak kahwin pilih perempuan baik-baik,” sinis Fatin Nur. 

“Kalau kau tak tahu apa-apa, baik diam,” marah Ferhad dengan nada tertahan. 

“Abang, tak payah nak berlagak baiklah depan nenek bila setiap rahsia abang kat sana dalam poket Fatin.”

“Rahsia apa? Apa yang kau tahu? Jika kau rasa rahsia-rahsia aku dalam poket kau tu berbaloi kau bagitahu nenek, pergilah cakap. Abang tak kisah. Tapi bila jadi apa-apa kat nenek, kau yakin ke kau mampu bertanggungjawab,” bidas Ferhad. Sakit hati mendengar ugutan adiknya. 

Fatin Nur bungkam. Tajam matanya memandang abangnya yang tersenyum sinis. 

“Abang buat ni untuk nenek. Nak gembirakan hati nenek. Terpulang pada kau nak cakap apa pun pasal abang. Asalkan nenek tetap gembira akhirnya.” Usai berkata, Ferhad meninggalkan Fatin Nur sendirian. Dia mencari papanya. 

“Ada apa papa nak jumpa saya?”

“Duduk dulu Ferhad,” arah Fakrul. 

Ferhad bergerak mendekati papanya. Dia mengambil tempat di kerusi di hadapan Fakrul. Angin malam bertiup agak kuat. Membuatkan tubuh mereka agak kedinginan. Jam sudah menjangkau pukul 10 malam. 

Fakrul larut dalam fikirannya sendiri. Rumah ini tempat dia lahir dan dibesarkan. Namun sejak dia berusia 13 tahun dia telah meninggalkan rumah ini. Tinggal di sekolah berasrama penuh, seterusnya melanjutkan pelajaran ke Australia dalam bidang perakaunan. Jadi tidak banyak kenangan di usia remaja terukir di sini. Seterusnya dia membina hidup di Kuala Lumpur. Kampung halaman hanya dijengah dua atau tiga kali setahun. 

“Betul ke kau nak kahwin esok. Kau pasti dengan keputusan yang kau buat ni?”

“Saya pasti papa. Lagipun ini adalah permintaan nenek. Saya mahu menggembirakan nenek.”

“Jangan sebab kau nak gembirakan nenek, kau rosakkan hidup anak orang. Papa tahu apa yang kau buat di U.K. Papa tahu siapa Tiffany.”

Ferhad terdiam. Dia tarik nafas sebelum menjawab. Wajah serius papa menggambarkan dia tidak setuju dengan perkahwinan ini. 

“Ferhad tahu apa yang Ferhad buat.”

“Pasal Tiffany, itu cerita Ferhad di U.K. tiada kaitan langsung dengan perkahwinan ini. Lagipun Asma tak perlu tahu wujudnya Tiffany. Tiffany pula tak perlu tahu wujudnya Asma.”

“Kau seolah-olah nak permainkan mereka.”

“Tak. Ikhlas saya katakan, saya dah mula sukakan Asma. Tiffany pula ada teman saya di U.K. Kami tidak pernah terikat dengan sebarang perasaan.”

“Mudahnya kau cakap. Pernah tak kau fikirkan kesan di atas setiap perbuatan kau tu.”

Ferhad geleng kepala.

“Kenapa papa tiba-tiba ambil berat tentang hidup saya? Selama ini ada papa tegur setiap kesalahan saya lakukan? Tak ada bukan. Tanpa beri saya peluang papa halau saya ke rumah nenek. Jadi papa tidak ada hak nak persoalkan apa yang saya buat.”

“Selamat malam papa.”

Ferhad melontarkan tubuhnya ke katil. Biliknya telah berhias cantik. Malam esok Asma akan menemaninya. Majlis akad nikah akan diadakan di rumah ini selepas solat isyak. Kemudian sesi bergambar dan jamuan makan. Nenek tak ajak ramai. Cuma jiran tetangga terdekat, saudara mara yang tinggal berdekatan dan orang masjid. Itu pun sebagai mewar-warkan pernikahan mereka. 

Dia pandang lelangit kelambu yang baru di pasang petang tadi. Sekuntum bunga mawar tergantung di tengah-tengahnya. Ketika lampu ditutup mawar tersebut akan bercahaya.

Lama dia memerhati mawar itu. Terbias di dalam mindanya wajah Asma dan Tiffany. Dua orang yang berbeza rupa dan personaliti. 

Asma yang baru dikenali dan bakal menjadi isterinya seorang yang ceria dan berfikiran positif. Bibirnya sentiasa tersenyum. Kadang kala berani membalas renungannya walaupun malu. Dengannya dia seolah-olah baru menemui bidadari. Asma si dara pingitan yang baru mahu mengenal dunia. Dia matang dari usianya yang sebenar kerana kehidupan yang dilaluinya. 

Tiffany pula gadis bermata biru yang galak dan berani. Seksi dan berfikiran terbuka. Perhubungan mereka tidak terbatas walaupun hanya berteman. Mereka bebas melakukan apa sahaja. Tiffany yang banyak membantu dan menemaninya ketika kesunyian di rantau orang. Tiffany teman yang telah hampir 10 tahun dikenalinya sejak dia bergelar mahasiswa. Tiffany yang dapat membaca gerak geri dan apa yang terlintas di dalam fikirannya. Sebab itulah mereka serasi. Tiffany tidak pernah mendesak. Tapi dia tahu Tiffany mengharapkan sesuatu dari perhubungan teman tapi mesra mereka. Cuma hatinya tidak pernah terdetik rasa cinta. Perhubungan mereka baginya hanya sahabat dan nafsu.

Dalam melayani perasaan sendiri, Ferhad tertidur. 

Asma pandang kipas yang ligat berputar. Malam semakin dingin. Matanya masih lagi terkebil-kebil memandang ke atas. Sejam berlalu namun matanya masih lagi berdegil. Dia pandang jam loceng di atas meja sisi katilnya. Sudah hampir satu pagi. Jarang dia tidur selewat ini. Biasa pukul sepuluh malam dia sudah pun terlena dan akan bangun pukul 4.30 pagi. Itulah rutinnya sejak ayahnya meninggal dunia. 

Resah dan takut menunggu hari esok. Inilah yang mengganggu fikirannya sehinggakan dia tidak mampu lena. Dia pasrah dengan jodohnya datang cepat. Tapi di dalam hati masih wujud ketidakpastian. Seperti ada sesuatu yang bakal berlaku selepas ini. Persoalan yang timbul, mampukah dia melaluinya dengan hati tenang dan tabah. 

Ferhad lelaki matang. Bakal menjadi suami dan imannya. Dia lelaki yang hampir sempurna di matanya. Terasa diri amat kerdil jika dibandingkan dengannua. Dia si gadis kampung, penjual sayur. Tiada rupa yang hendak dibanggakan. Apa lagi harta kekayaan. Pelajaran pula tiada. 

Tidak banyak yang dia tahu tentang Ferhad. Ferhad bekerja sebagai arkitek di U.K. Ferhad telah menetap di sana hampir 5 tahun. Ferhad anak sulung kepada anak sulung Nek Som. dia mempunyai 4 beradik, seorang adik lelaki dan 2 orang adik perempuan. Asma cuma kenal dengan Farah Nur yang dipanggil kak Farah. Adik- beradiknya yang lain dia tak kenal. Malah ke dua bakal mertuanya pun tidak pernah jumpa selain melihat gambar keluarga di rumah Nek Som. 

Nek Som pula telah dianggapnya seperti nenek sendiri. Bilamana ibu tidak pernah bercerita tentang ahli keluarganya. Menurut ibu, dia dan ayah merupakan anak yatim piatu. Berasal dari kampung bersempadan dengan Thailand di Rantau Panjang. Cukup ringkas sehinggakan Asma tidak mampu membuka mulut bertanya lebih lanjut sebab mata ibunya telah berair. Ada cerita sedih yang ibunya tidak mahu ceritakan kepadanya. Jadi cukuplah dengan maklumat yang sedikit itu. Dia sudah cukup bahagia dengan kasih sayang ibu dan ayah. Ditambah pula kasih sayang Nek Som seperti neneknya. 

Asma berkalih badan. Jam terus berdetik. Matanya terus segar tanpa tanda-tanda mengantuk. Dia mengalah. Lantas bangun dan berlalu ke bilik air. Mungkin dengan bersujud kepada-NYA mampu menjadi penawar keresahannya. Apa pun yang berlaku hari esok dan masa depan, dia mahu terus gagah menghadapinya. Dia tidak akan sesekali mengalah. Bahagia adalah impiannya. Orang kata, nak bahagia kena usaha. Nak kejayaan juga perlukan usaha. Dia mahu keduanya. Kebahagiaan dan kejayaan. 

Dia mahu inilah jodohnya yang pertama dan terakhir. 








Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Selasa, 1 November 2016

November 01, 2016

Bab 8 : Cinta Asma dan Ferhad

Ihsan Encik Google


“Pelamin siapa tu mak? Ada orang nak kahwin ke?” Soal Fadhilah, anak ke dua Nek Som. 

“Ferhad. Esok akad nikah,” beritahu Nek Som. Anak cucunya semuanya telah sampai kecuali Fahim, adik Ferhad yang sedang belajar di Australia dan keluarga anaknya Fatimah. Sudah lama Fatimah tak balik kerana kecil hati dengan sikap Nek Som yang melebihkan Rohani dan Asma. 

Semuanya tercengang dan keliru.

“Kahwin dengan siapa? Tiffany ke? Bila dia peluk islam?” tanya Fatin Nur, adik Ferhad.

“Siapa Tiffany?” Soal Nek Som dan Fakrul serentak. 

Fatin Nur gigit bibir. Tak sengaja membocorkan rahsia abangnya. 

“Kawan saya di U.K,” jelas Ferhad ringkas. Sebolehnya dia tidak mahu keluarganya tahu tentang kewujudan Tiffany.

“Habis tu Ferhad nak kahwin dengan siapa? Orang mana? Bila pergi meminang? Kenapa mama tak tahu pun?” Soal Mariana kecil hati. 

“Tak ada siapa yang tahu. Ni semua rancangan aku. Permintaan terakhir sebelum aku tutup mata. Ferhad saja cucu aku yang paling rapat. Selalu telefon aku tanya khabar walaupun duduk di seberang benua nuh.”

Semua orang terdiam. 

“Ferhad juga cucu aku. Kau tak boleh paksa dia kahwin dengan pilihan kau,” tegas Mariam, mak Mariana. 

“Aku tak paksa. Dia juga suka dengan budak tu,” jawab Nek Som tegas. 

“Siapa nama dia? Aku nak kenal?”

“Nama dia Asma opah. Ferhad yakin bila opah jumpa dia, opah juga akan suka.”

“Asma? Anak Rohani tu ke?”soal Fadhilah inginkan kepastian.

“Betullah tu.”

“Mak... budak tu masih sekolah lagilah mak. Mak sedar tak apa yang mak buat ni,” keluh Fadhilah. 

“Mana kau tahu dia tu masih sekolah? Tahun bila? Tahun lepas ke?” 

“Asma dah habis sekolah. Hujung bulan ni sambung belajar kat UPM.” 

“Samalah tu Mak. budak lagi tu. Satu apa pun tak tahu lagi. Macam mana mak boleh fikir nak nikahkan diorang ni.”

“Siapa yang tak tahu apa? Macam anak kau yang tak tahu satu apa pun. Tahunya suap nasi terus ke mulut. Tahunya belek-belek muka di cermin 24 jam. Kemas rumah pun tak tahu. Tak pun tahu perabih duit beli entah apa-apa yang tak guna tu. tak reti nak fikir lagi,” sindir Nek Som.

“Alaa... macamlah Si Asma tu tahu sangat,”bebel Fatin Nur perlahan. Dia cukup tak suka bila neneknya mula mengungkit tentang kelemahannya dan sepupu-sepupunya yang lain. Muda lagi, banyak masa lagi nak belajar. Lagipun apa guna ada pembantu rumah kalau segala kerja rumah kena buat sendiri. 

“Bila aku cakap, tahu pulak nak menjawab. Aku tak pernah ajar anak-anak aku menjawab bila orang tua bercakap.” tajam Nek Som menjeling Fatin Nur.

“Fatin, jangan nak kurang ajar dengan nenek.”

“Biarkan budak tu jawab. Dia ada mulut nak pertahankan diri. Jangan sebab dah suka sangat dengan budak tu, yang busuk baunya wangi.”

Nek Som terdiam. Hatinya pedih. 

Ferhad kasihan melihat neneknya. 

“Saya tak kena paksa pun. Saya sendiri yang rela kahwin dengan Asma tu. Nantilah mama, papa, mak ngah dan opah kenal dia, tentu akan suka dia.”

“Farah kenal Asma tu. Dia cantik mama,” celah Farah Nur. rasanya dia pernah bertemu dan berbual dengan Asma ketika datang bercuti awal tahun baru-baru ini. 

“Dia tolong maknya jual sayur dekat pasar kan, abang Ferhad?” 

Ferhad angguk. 

“Betullah. Dia buat kek coklat moist sedap. Hari tu semasa Farah datang bercuti, kebetulan birthday Farah. Dia yang buatkan kek tu.”

“Eleh, entah-entah beli dekat kedai.”

“Beli apa pulak. Dia memang buat. Depan mata Farah lah.”

“Tunggu kejap. Farah ada bukti.” dia buka galeri photo I phone 3 nya, mencari gambar yang sempat dirakamkan pada hari itu. Rasanya banyak juga yang dia ambil pada hari itu. 

Haa.. jumpa pun. Lalu diserahkan I phone 3 kepada Mariana. 

“Lawa orangnya,” puji Mariana.

“Lawa pun budak lagi. Orang kampung pulak tu. Entah-entah bila kahwin dengan Ferhad jadi lupa diri,” cemuh Maria. 

“Mak ayah dia orang siam. Merantau ke mari,” beritahu Nek Som tanpa ambil endah dengan cemuhan besannya.

“Dia tidak ada saudara mara ke dekat sini?”

“Setahu aku tak ada. Aku nilah keluarga mereka sejak mereka pindah sini semasa Asma dalam kandungan mak dia. Lima tahun lepas ayah Asma meninggal dunia sebab kemalangan jalan raya.” 

“Aku bukannya main suka-suka tangkap muat. Aku pilih yang terbaik untuk cucu aku.”

“Terbaik apa kalau tak tahu asal usul. Bukan asal orang beragama islam pun,” cemuh Maria lagi. 

“Lagi baik orang yang baru peluk islam dari islam sejak lahir. Nama saja islam tapi perangai mengalahkan orang bukan islam. Dah tua-tua masih tak sedar diri,” sindir Nek Som sambil jeling besannya. 

‘Dah tua tapi tak tahu nak letak kain atas kepala. Masih lagi berlagak muda dengan pakai pakaian mengikut fesyen semasa. Aku tengok pun malu nak mengaku besan. Nasib baik Mariana, menantunya tidak ikut perangai maknya.’

“Saya tahu mak. Tapi sebagai ibu bapa dia, saya pun berhak juga nak kenal siapa bakal jadi menantu saya. Latar belakang keluarganya.” 

“Aik tahu pulak peranan kau sebagai mak dia. Selama ni, selepas dia buat silap besar dulu, ada kau ambil berat tentang dia? Sakit sihat dia? Tak adakan? Sebab kau ikut sangat cakap anak lelaki aku tu, konon nak mengajar anak. Tapi menjahanamkan anak!” marah Nek Som. 

Terdiam Mariana dibuatnya. 

“Mak..., perkara tu dah lama dah. Ferhad ni dah berjaya. Tak perlulah mak nak ungkit-ungkit lagi,” keluh Fakrul kesal. 

Dulu dia pernah buang Ferhad kerana Ferhad terlibat dengan pil ecstasy. Ditangkap polis dan hampir-hampir dipenjarakan. Dia menghukum Ferhad tanpa memberinya peluang membela diri. Kononnya nak mengajar Ferhad, dia halau Ferhad dari rumah. Dihantar balik kampung. Ketika itu Ferhad baru berusia 16 tahun. Sejak hari itu Nek Somlah yang menjaga Ferhad. Hubungan kekeluargaan mereka renggang sehinggalah Ferhad membuktikan dia tidak bersalah dengan keputusan cemerlang SPM. Ferhad kembali ke rumahnya namun hubungan mereka tidak serapat dulu. 

“Nek, saya pun dah lupa dah Nek,” ujar Ferhad pula. Dia tidak mahu keluarganya bertengkar kerana perkara yang lepas. Lagipun dia lelaki, tidak ada istilah paksaan dalam hal ini. Memang mulanya dia mahu bantah. Tapi bila dah melihat dan kenal Asma, dia sudah mula dapat menerima Asma sebagai bakal isterinya. 

“Jadi, jangan nak pertikaikan apa yang aku buat. Aku tahu apa yang terbaik untuk cucu aku,” tegas Nek Som sebelum beredar masuk ke dalam biliknya. 

Namun langkah kakinya terhenti, “Makanan yang korang makan malam ni semuanya Asma yang masak.”

Masing-masing terdiam. Ayam masak merah yang cukup segala rasa, Air asam ikan bakar cukup menyelerakan, gulai lemak daging salai cukup memikat. Sambal belacan cukup rasa. Masing-masing dua kali tambah. Jadi mereka diam tak terkata. 


Dalam diam Ferhad senyum sinis.


Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan.
 Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. 
Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. 
 Hidup baik-baik. 
Islam itu Indah. 
Membaca jambatan Ilmu.