Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Khamis, 29 Disember 2016

11:38:00 PG

Bab 2 : Hati Yang Kau Sakiti





“Awak dah cakap dengan dia?”

Hafiz angguk. Kenapa dia terasa perit dalam hati ini. Hafiz pandang Lisa dengan senyuman paksa. Gadis ini yang menjadi pilihannya kini. Kenapa perlu bersedih. Lisa sepuluh kali lebih lawa dan seksi berbanding Ami. Lisa tidak lokek seperti Ami. Dia telah dapat apa yang dia mahukan.

“Jadi kenapa awak pulak yang macam kena tinggal?” rungut Lisa. Dia duduk di sebelah Hafiz dan memeluk lengannya. 

“Errk.. Saya kasihankan dia.”

Lisa cebik bibir. Ye laa sangat.

“Hmmm..”

“Dia nangis semasa saya cakap nak putus. Merayu-rayu supaya tak tinggalkan dia.”

“Saya rasa saya ni kejam sangat. Padahal dia baik.”

“Habis tu? Saya tak baiklah?” rajuk Lisa. Dia lepaskan pelukan dan bersilang ke dua tangan di dadanya. Dia duduk tegak dan menjauh sedikit dari Hafiz. 

“Dear... Awak baik sangat. Sebab itulah saya pilih awak dan tinggalkan dia.”

“Janganlah merajuk,” pujuk Hafiz. Dia merapatkan jarak mereka kembAali. 

Namun wajah tanpa perasaan Amina Nabila bermain-main di matanya.

“Betul ni..”

Hafiz angguk. Dia tarik bahu Lisa dan tarik rapat ke dadanya. Lisa pula tersenyum gembira. Rupanya senang je nak pikat hati lelaki ini. Bagi peluk dan raba-raba sikit dah cair. Tak ada cabaran langsung. Huhu...

Cepatlah aku boring nanti, sela hati kecil Lisa. 

Dia sengaja menekan dada rapat ke sisi tubuh Hafiz. Tergerak-gerak halkum Hafiz menerima perbuatan Lisa itu. Darah terasa mengAalir laju ke bawah. Dalam diam bibir Lisa terjungkit senyum sinis. Dia perasan ada orang ambil gambar mereka. Jadi dia melebih-lebih. Sengaja buat orang anggap mereka adalah sepasang kekasih yang saling mencintai dan bahagia. 

Ehemm... Tak boleh jadi ni. Lagi lama rapat begini, tentu sahaja dia sukar mengawal perasaan dan perbuatannya nanti. 

“Dear.. wayang dah nak mula ni. Jom kita masuk dulu.”

Hafiz tegakkan badannya. Lalu bangun. Dia hulur tangan kepada Lisa. Dengan senang hati Lisa menyambutnya. Mereka bergandingan tangan menuju ke panggung wayang. Perbuatan mereka itu tanpa sedar dirakam oleh seseorang. 

“Aku menang!” 

Dia toleh kepada kawannya di sebelah sambil tadah tangan. Minta duit pertaruhan mereka. Kawannya mencebik. Mencik! Si Hafiz ni pun lelaki lalang. Geser-geser dan manja-manja sikit dah tangkap leleh. Dia mendengus geram sambil berjalan pergi dari situ.

“Eh kau nak ke mana. Duit aku mana?”

“Aku nak pergi ambil duitlah ni. Boleh tak kau sabar sikit.”

“Aku bagilah nanti.”

Kawannya dah sengih sampai ke telinga. Duit tu boleh buat enjoy malam nanti. Selamat duit poketnya. Hatinya tersenyum puas. Lebih baik Ami kecewa sekarang daripada kemudian hari. Hafiz bukan lelaki sesuai untuk dia. 

“Tapi betul ke apa yang kita buat ni?” 

“Benda dah berlaku, menyesal pun tak ada guna. Aku harap suatu hari nanti Ami berterima kasih dekat kita.”

“Hahaha.. mendajalkan percintaan dia? Kau ingat dia akan berlapang dada ke terima semua ini?”

“Kan aku dah kata Hafiz tu bukan lelaki baik. Kau tengok tadi tu, macam ulat bulu naik ke daun. Itu baru kena geser sikit-sikit.”

“Tapi mana tahu, bila dia bersama Ami, dia akan berubah jadi baik!”

Dia sengih sinis. Mengarut dan tak mungkin. Kalau jadi baik, dah lama dah.

****

“Maaf, saya lambat. Jalan sesak teruk dekat Sungai Buloh,” pinta Amru Hafiz setelah ambil tempat di hadapan kekasihnya. 

Bella mendengus. Sakit hatinya apabila terpaksa tunggu sampai setengah jam. Dia tahu bila Amru balik ke rumah keluarganya pasti dia akan lambat datang. Alasan basi, jalan sesak. Padahal mak dia yang selalu cari alasan tak bagi Amru keluar. Wajah lelah Amru dipandang sekilas. Sikit pun tidak kasihan. Dia lebih kasihankan diri sendiri yang macam orang bodoh tunggu dekat sejam di sini. Malu usah cakaplah. Ditebalkan hati semata-mata kerana kekasih hatinya ini. Tapi bila alasan jalan sesak diberikan, dia rasa nak siram Amru dengan jus di depannya. Tidak ada alasan lagi ke? Sekurang-kurangnya hatinya terubat sikit. 

“Hey.. honey.. I’m sorry key.”

“Nak pergi shopping?” pujuk Amru Hafiz. Sudah tahu kekasih hatinya sedang marahkannya. Asalkan dapat sejukkan dia, Amru sanggup berhabis duit. Janji mereka boleh berbaik semula. 

Muka Bella masih lagi cemberut. Dia silang tangan di dadanya. Marahnya masih lagi bersuhu tinggi. Kali ini dia tidak mampu bersabar lagi. Padahal selama ini dia paling benci menunggu. Sia-sia masa terbuang. Pujukan Amru dia buat tak layan. Disedut jus di hadapannya. Dia kumpul sabar yang hampir bertebaran pergi. Wajah Amru yang kembali tenang itu dipandang tajam. Kali ini, biar apa pun jadi, dia tidak akan bergoyang pendirian lagi. Amru bukan lelaki tepat untuknya. 

“Kita putus!” Tanpa nada dan matanya tepat memandang mata Amru. 

“Pardon?” soal Amru Hafiz. Takut dia tersalah dengar. Keliru. Kenapa pula tiba-tiba nak putus. Sedangkan mereka baik-baik sahaja selama ini. Sayang jika percintaan tiga tahun ini berakhir di sini. 

“Saya cakap kita putus,” tegas Bella. Di matanya terbayang wajah Nik Danial yang baru dikenalinya dua minggu lepas. Dalam diam lelaki itu telah mula mengambil alih tempat Amru di hatinya. Nik Danial lebih hebat dari Amru. 

“Kenapa tiba-tiba?” Amru Hafiz masih tidak terganggu dengan permintaan Bella. Sebab dia tahu sangat, Bella ni bila marah macam-macam benda yang merepek akan keluar dari mulutnya. Dia yakin sangat lepas ini gadisnya akan menyesal.

“Sebab saya dah muak dengan perangai awak yang lebihkan mama awak tuh. Ini belum kahwin lagi. Bila dah kahwin tak tahulah apa nasib saya. Barangkali setiap apa yang mama awak suruh awak akan ikut tanpa bantahan. Tinggalkan saya macam orang bodoh. Saya tak boleh hidup dengan orang macam ni,” kasar suara Bella menjelaskannya. Entah kenapa dia jadi semakin bosan bersama Amru. Sudah matikah tarikan kimia antara mereka? Wajah Amru sudah tidak mendebarkan hatinya lagi. Kosong tanpa rasa. 

Amru Hafiz terdiam mencerna apa yang Bella katakan. Menyirap darahnya. Dia pandang wajah Bella tajam. Bisa kata-kata yang keluar dari mulut Bella itu. Sudah acap kali. Kali ini dia bersedia jika itu yang Bella mahukan. Dia pun dah bosan mengadap kerenah tak matang Bella. Lambat sikit, muncung dah panjang sedepa. Tak ikut cakap dia, marah-marah macam budak-budak tidak dapat mainan. Dia jadi pening, apa lagi yang tak kena. Apa lagi perkara yang dia boleh lakukan agar si pujaan hati ini bergembira dan bahagia. Jika perpisahan ini memberikan bahagia, baik, dia terima. 

“Okey. Kita putus.” 

Selepas tuturkan tiga patah kata itu, Amru Hafiz bangun dan berpaling pergi. Bella terkaku di tempat duduknya. Tak sangka itu sahaja yang keluar dari mulut Amru. Bukannya nak pujuk pun. Bertambah sakit hatinya. Argh! Bella ketap bibir. 

Huh.. aku pun tak heran. Orang macam dia bila-bila masa sahaja aku boleh dapat nanti. Tapi hatinya sikit menyesal. Bella gigit bibir. Nak kejar Amru, egonya menghalang. Sebab mulutnya yang celupar cakap putus. Hati bila dah marah, dah tak ikut kata akal lagi dah. Semuanya main hentam. Asalkan hati puas. 

“Nik Danial!” Mungkin lelaki ini boleh menghiburkan hatinya sekarang. Persetanlah Amru tu!

Antara kekasih dan mama, tentu sekali aku pilih mama. Ini dah kali ke berapa Bella buat perangai budak tadika. Tak pernah nak faham. Bella patutnya faham. Kedudukan di dalam hati dah ada tempat khas untuknya. Begitu juga mama, ada tempat khas yang orang lain tak boleh usik. Dia tidak akan sesekali membuatkan hatinya terguris dengan sikap dan kata-katanya. Mama tetap ratu hatinya sampai ke akhir hayat. Kekasih atau bakal isteri pula pemilik hatinya. Jadi keduanya ada tempat masing-masing. Tak perlu nak pertikaikan. 

Telefon di dalam poket dikeluarkan. Dicari nama Aali sebelum membuat panggilan. 

“Hello.. Kau buat apa?”

“Membuta!” 

“Tak ada apalah.”



Talian diputuskan. Balik rumahlah, lagi baik!

Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Khamis, 22 Disember 2016

1:13:00 PTG

Bab 1 : Hati Yang Kau Sakiti




“Kita putus.. Saya dah boring dengan awak. Nak pergi tengok wayang berdua tak boleh. Keluar dating malam-malam pun tak boleh. Nak sentuh lagilah, sedepa awak lari. Macamlah saya ni ada penyakit berjangkit. Padahal sentuh sikit je pun. Bukan luak apa pun.”

Ami pandang kekasih hatinya dengan wajah tak percaya. Berkali-kali dia mengerdip mata. Betul ke dekat depan dia ni Hafiz. Orang kuat kolej yang jadi kekasihnya secara rasmi enam bulan lalu? 

“Awak dengar tak apa yang saya cakap ni?”

Tersentak Ami dibuatnya. Tiada lagi suara romantis selama ini. Yang kedengaran di telinganya suara macam guruh. Berdentum-dentum. Menyakitkan gegendang telinganya. 

“Dengar.”

“Awak tak ada nak cakap apa? Ini kali terakhir kita berjumpa.”

“Kenapa?”



“Kenapa? Eh.. telinga awak tu tersumbat dengan tahi telinga ke? Tak dengar apa yang I terangkan tadi?”

“Errrk.. Maksud saya. Kenapa tiba-tiba. Sebelum kita couple awak boleh terima syarat yang saya berikan. Awak jugak yang cakap awak nak simpan semua selepas kita kahwin nanti. Awak juga cakap nak couple secara islamik.”

Huh.. Islamik laa sangat. Aku pun bongok jugak. Mana ada istilah couple dalam islam. Tapi oleh sebab dalam hati dah macam taman bunga, aku tutup mata je terima. Sekarang.. nah padan muka!

“Sebab saya bosan dengan sikap kampung awak tu. Sikit-sikit tak boleh. Lepas tu skema sangat. Saya stress. Ada ke couple macam kita, setiap kali berdating dekat library.”

“Tapi awak jugak yang sanggup dulu.”

“Hahaha... Sebab saya ingat lepas kita couple, Saya bolehlah ubah sikap awak sikit. Biar terbuka sikit fikiran awak tu. Lagipun ketika bercinta inilah kita nak kenal hati budi masing-masing. Tapi awak ni, keras kepala.”

“Belum lagi kahwin saya dah kena ikut cakap awak. Kena ikut stail kampung awak tu. Lainlah Lisa.”

Astaga.. Ami jeling Hafiz yang berdiri di depannya. Tak sangka sempitnya pemikiran lelaki di hadapannya ini. Padahal dia pun berjiwa muda tahu. Teringin dan nak lakukan macam couple lain lakukan. Tapi pesanan ayah tersemat kemas dalam dada ni.

“Belajar elok-elok. Jangan pulak belajar benda yang tak elok. Nak couple atau nak bercinta ke apa ke yang orang muda kata sekarang ni, bawa jumpa ayah dan mak dulu. Kami takkan halang kalau dah jodoh kamu.”

“Jauh dari kami, biar pandai bawak diri. Ami tu perempuan. Perempuan yang baik adalah yang pandai menjaga maruah diri. Meletakkan harga dirinya di tempat paling atas. Tidak sewenang-wenangnya membiarkan lelaki ajnabi menyentuh sesuka hati.”

“Bungkus diri tu kemas-kemas. Biar yang berhak sahaja menerima dan menghargai permata Ami tu.”

Pesanan penuh makna ayah sebelum dia masuk belajar di sini. 

“Sebab awak dah ada Lisa lah awak berubah kan?” soal Ami perlahan. Wajahnya ditundukkan. Matanya terasa panas. 

Tapi aku tak boleh menangis di depan lelaki ini. Aku takkan sesekali tunjukkan yang aku lemah dan merana kerana perbuatan dia. Ini Amina Nabila Ruslan lah. Menangis dalam hati bukan di mata. 

“Memang betul pun.” Akui Hafiz tanpa rasa bersalah. 

“Lisa lebih baik dari awak. Dia lebih fun daripada awak yang susah sangat nak bukak mulut tu. Lagipun dengan dia saya nak pegang-pegang sikit, dia tak kisah. Tak ada banyak pantang larang macam awak ni. Malam-malam boleh keluar enjoy… pergi kelab. Pergi menari… Semua benda yang saya tak boleh buat dengan awak, saya dapat buat dengan dia. Jadi takkanlah saya nak lepaskan dia semata-mata kerana awak ni. Memang dasar perempuan kampung,” hafiz mencemuh. 

Aku sudah boring dengan Ami ni. Seolah-olah macam tak bercinta. Padahal dah enam bulan declare couple. Yang betul-betul macam couplenya, kami tak pernah buat. Jadi buat apa lagi aku nak teruskan hubungan ni. Sudahlah stress dengan study. Ada awek ingatkan boleh juga release stress di hujung minggu. Tapi lagi stress dia. Sebab cemburu dengan kawan-kawan yang lain. Mereka bercouple bahagia. Aku bercouple sengsara.

Sengsara hidup macam tak hidup.. null, tidak ada hiburan langsung. Aku cuma tahu pergi kuliah, bAalik kuliah, makan dan study. Petang-petang main bola dengan kawan-kawan. Hujung minggu pula kawan-kawan keluar berdating dengan awek. Aku pula mengadap dinding. Sebab awek aku lebih selesa berdating di library.

Tetapi sejak berkenalan dengan Lisa, dunianya terasa berseri dan berwarna warni. Lisa seorang yang menghiburkan dan tidak lokek untuk disentuh dan dipegang-pegang. Bukan macam Ami tu, jalan berjarak sedepa, pulak tu tidak boleh bertentang mata lama-lama. Sampai aku naik pelik dengan hati aku ni, macam mana boleh terpikat dulu. Mungkin kerana kelembutan wajah dan suaranya yang merdu kot.

Terpaku Ami mendengar alasan paling logik keluar dari mulut teman lelakinya. Tidak sangka inilah perkara yang penting sangat Hafiz mahu cakap. 

Apa reaksi sepatutnya aku berikan? Terasa macam terhegeh-hegeh pula aku ni. Kejam kerana menyebabkan teman lelaki sendiri menderita. 

Teruk sangat ke apa yang aku buat selama ini? Tapi bukan aku yang kejar dia. Dia yang selama ini mengekor je ke mana aku pergi. Dia juga yang mula dulu. Bila aku bagi syarat macam-macam sanggup terima. Bila hati aku dah terima. Dia buat perangai kata aku macam-macam pulak. Grrr.... 

Ami tatap muka masam Hafiz di hadapannya. Dia masih ingat lagi, sejak di tahun pertama, Hafiz sentiasa mengambil tempat di sebelahnya semasa kuliah. Hafiz selalu mencari peluang untuk mendekatinya. Kini bila namanya mula diukir di dalam hati, kuntum bunga cinta semakin mekar, dia hadiahkan pula kata putus. 

Ewah... senang-senang dia nak buat aku ya. Baik.. kalau itu yang dia nak aku boleh bagi. Jangan jilat bAalik ludah sendiri sudahlah. Aku pun tak adalah nak meraung dan merayu dia supaya tak tinggalkan aku. Aku gadis yang bermaruah tinggi tau. Lagipun aku dah tegaskan dari awal lagi, aku bukan macam gadis lain. Aku ada matlamat yang nak dicapai. Aku di sini membawa harapan keluarga. 

“Ok. Kita putus. Terima kasih kerana bercouple dengan saya. Semoga Lisa kekasih baru awak itu akan membahagiakan hati awak. Hidup awak pasti tak akan boring lagi lepas ni. Saya tak kisah,” tegas Ami berkata walaupun hatinya telah terluka.

Dia sesekali tidak ingin kelihatan lemah di hadapan lelaki ini. dia akan membuktikan tanpa cinta lelaki ini pun dia boleh hidup biasa-biasa. Boleh menjalani kehidupannya dengan sempurna tanpa cinta seorang lelaki.

“Fine.. mulai hari ini kita putus,” ucap lelaki itu dan terus meninggalkan Ami tanpa berpaling lagi.

Lama Ami berada di situ setelah pemergian Hafiz. Ditenung tasik di hadapannya. Air mata mengalir tanpa dia sedari. Laju membasahi pipinya sehingga mengaburi pandangannya. Sakitnya hati ini tidak dapat digambarkan. Dulu.. bermati-matian dia menolak huluran kasih lelaki itu, tetapi bermati-matian juga lelaki itu cuba dan terus mencuba. Sehinggalah hatinya sedikit demi sedikit terbuka untuknya. Mengapa setelah bunga mekar di hati, dia melangkah pergi. Kasih dan cintanya selama ini tidak cukupkah untuk mengikat hatinya setia pada dirinya?



Begitu mudah kasih seorang lelaki beralih arah setelah berjumpa dengan gadis yang cantik dan sexy. Murah sangatkah nilai cintanya sehingga begitu mudah dia memutuskan pertAalian kasih ini? Ami menarik nafas panjang. Dia tidak menyangka, saat hati mula menyayangi lelaki itu, dia ditinggalkan. Sikapnya, nama saja baik, rupanya hanya topeng semata-mata untuk mengelabui mata hatinya supaya tunduk dengan godaan hati untuk berkasih sayang.

Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Khamis, 15 Disember 2016

6:46:00 PG

Prolog : Hati Yang Kau Sakiti

Assalam dan selamat pagi. Ini adalah cerita terbaru saya. Dalam proses pembikinan. Ia adalah kesinambungan daripada Cerpen Hati Yang Kau Sakiti. Boleh Baca dekat Ilham (klik di sini)
********
“Aku menyampah tengok si Hafiz tu. Dia tak sesuailah untuk Ami.”
“Sama.”
“Apa yang Ami nampak dekat dia tu? Aku tak fahamlah.”
“Mata orang bercinta ni buta. Yang buruk pun nampak baik. Yang hodoh pun hensem.”
“Kita kena tolong dia. Jangan biarkan dia terperangkap denga mamat bertopeng baik tu.”
“Habis tu kita nak buat apa?”
“Cari jalan pisahkan mereka.”
“Any idea?”
“Tengah fikir.”



Amina Nabila


Amru Hafiz 





Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Khamis, 8 Disember 2016

7:37:00 PG

Bab 20 : Cinta Asma dan Ferhad

Assalam dan selamat pagi semua... Bab last dalam blog. InshaaAllah kita peluk #AsmaFerhad tahun depan... Manuskrip ini dah lulus penilaian pihak penerbit.. Jadi kita sama-sama tunggu berita daripada penerbit ya.... Terima kasih kerana sudi membaca cerita ini. Memberi dorongan dan galakan supaya saya terus menulis sehingga jumpa perkataan TAMAT. 


Ferhad & Asma
 (gambar encik google)


Dalam perjalanan balik mereka sempat singgah membeli sayur dan buah-buahan untuk ibu dan Nek Som. Asma juga membeli beberapa pokok orkid yang dijual oleh orang asli di tepi jalan. Melihat keadaan mereka, dia mengucap syukur di atas nikmat rezeki yang Allah Taala berikan kepadanya. Walaupun anak yatim, keperluan makan minum, pakainya tetap cukup. Dihantar ke sekolah untuk menuntut ilmu demi masa depan. Jika dibandingkan dengan anak-anak orang asli yang dilihatnya di sepanjang jalan tadi, dia jauh lebih beruntung. Sempat dia berdoa agar setiap anak orang asli itu diberikan peluang untuk menuntut ilmu seterusnya mengubah nasib keluarga mereka. Asma ralit menikmati keindahan alam. 

Sesekali Ferhad menjeling isterinya di sebelah. Wajah berseri Asma membuatkan dia merasa bahagia. Dia mahu wajah itu sentiasa berseri. I phonenya berbunyi.

“Sayang.. Ambil telefon abang dalam poket ni.” pinta Ferhad sambil menunjukkan dengan muncung mulut ke arah poket jeansnya. 

Asma menurut. Agak susah sebab seluar jeans Ferhad ketat. Dia seluk ke dalam sambil tarik I phone tersebut.

“Don’t tease me.”

“Mana ada,” Asma ketap bibir. 

Ferhad sengih nakal. Beberapa kali cuba tarik, akhirnya I phonenya berjaya di keluarkan. Asma sempat pandang nama pemanggil. 

Tiffany!

Minah saleh ni lagi. Tak putus asa telefon, rungut hati kecil Asma. Hatinya diserang ingin tahu. 

Apa dia nak? Rindu sangat dekat Ferhad ke?

“Hello.. Hey...”

“Okey.”

“Next week.”

“See you.. Same.”

“Bye..”

Hanya beberapa patah perkataan yang keluar dari mulut Ferhad. Asma tidak dapat menilai perasaan Ferhad ketika itu. Wajahnya macam biasa. Dia gagal baca perasaan Ferhad. Tapi dari segi percakapannya tadi, dia tahu Ferhad seboleh mungkin tidak mahu berbual panjang. Dia cakap apa yang perlu sahaja. 

“Tiffany.. Kawan abang dekat sana, tanya bila nak balik,” terang Ferhad tanpa ditanya.

Ooooo.... Asma angguk. Dia terima alasan itu tanpa banyak soal walaupun hatinya ragu mahu percaya. 

ihsan encik google


Mereka tiba di kampung dekat maghrib. Mereka singgah di rumah Nek Som dan makan malam di sana. Sepanjang mereka pergi berbulan madu, ibu Asma bermalam di rumah Nek Som. Mereka sebenarnya telah bersepakat. Lusa Asma akan masuk belajar. Jadi Nek Som dan ibu Asma akan tinggal bersama-sama di rumah Nek Som. Waktu siang ibu Asma akan balik ke rumahnya untuk melihat kebun sayur. Malam hari dia akan bermalam di rumah Nek Som. 

Asma senang hati dengan perancangan itu. Jadi dia tidaklah merasa risau sangat meninggalkan dua orang yang dikasihinya. Nek Som dan ibu boleh saling menjaga antara satu salam lain. Lagipun ada Mak Nab, pembantu rumah Nek Som untuk jaga makan minum mereka. 

Malam nanti mereka akan bermalam di rumah Asma. Ini malam pertama mereka di rumah Asma. Jadi sengaja ibu Asma memberi peluang kepada mereka berduaan di rumah itu. Dia akan tidur di rumah Nek Som. 

Asma merajuk. Malam ini dia sebenarnya mahu bercerita dengan ibunya. 

“Asma dah ada suami. Jaga hati suami dulu. Nak bercerita dengan ibu boleh tunggu esok,” pujuk Rohani. 

“Lagipun kasihan dengan menantu ibu tu. Penat memandu, mesti nak bermanja dengan isteri dia.”

Asma tunduk. Dia tarik nafas. Dia jeling Ferhad yang buat-buat tak dengar apa yang ibu cakap.

“Abang...”

“Ikut cakap ibu kau tu Asma. Biar ibu temankan nenek. Korang berdua tidur sana. Esok-esok boleh cerita,” sampuk Nek Som. 

Asma terus terdiam. Ferhad simpan senyum. Tak apa, kejap nanti dia pujuk. 



Pertama kali dia masuk bilik Asma, hatinya tenang. Bilik ini tidak sebesar biliknya di rumah Nek Som. Tapi bilik ini ada bau Asma yang membuatkan dirinya tenang. Wangian lavender menyapa deria baunya. Patutlah Asma teruja di Cameron Lavender hari tu. Ferhad alih perhatian pada lukisan di dinding di belakang kepala katil. Laut dan persisiran pantai dilukis dengan begitu indah seolah-olah mereka akan tidur di tepi pantai. 

“Cantik. Siapa yang lukis tu.”

Asma melihat apa yang sedang Ferhad lihat. Dia senyum dan teringatkan ayahnya. Hasil seni terakhir peninggalan ayahnya. 

“Ayah yang lukis. Ini lukisan terakhir ayah sebelum meninggal,” beritahu Asma. Tapi ayah tak sempat nak siapkan. Hari ayah kemalangan, dia sebenarnya dalam perjalanan balik dari membeli cat untuk siapkan lukisan ini, sambung Asma dalam hati.

Melihat lukisan dia seperti melihat ayah sedang berjalan di tepi pantai berpimpinan tangan dengan ibu. Dia dan adik pula bebas berlari di hadapan mereka. Sebab itu dalam lukisan itu ada empat orang sedang berjalan di tepi pantai. 

“Ayah memang berbakat. Lukisannya nampak hidup. Abang yang arkitek ni pun tak dapat lukis macam ayah lukis,” puji Ferhad. 

Asma angguk. Dia setuju dengan pujian suaminya. Walaupun sebenarnya dialah yang menyambung menyiapkan lukisan itu. 

“Abang rasa macam duduk dalam syurga. Bilik yang cantik dan berbau harum. Ada pula bidadari yang cantik dan seksi temankan abang.”

Asma mencebik. 

“Nak pujuk Asma lah tu. Asma tak makan pujuklah,” cemik Asma. Dia berjalan ke almarinya. Diambil tuala dan diserahkan kepada suaminya. 

“Abang pergi mandi dulu.”

“Malaslah. Abang penat sangat ni. Tapi....” Ferhad rebahkan tubuhnya di atas katil. Semuanya ada bau isterinya. Membuatkan nafsunya bangkit. 

Asma pandang suaminya. Dia tahu Ferhad sengaja nak mengada dan manja-manja. Diakan tengah merajuk dengan suaminya. 

“Kalau Asma nak tolong mandikan, terus hilang penat abang.”

Huh.. Dah agak dah. 

“Asma pun penat. Nak tidur jugak.”

“Okey.. Jom kita tidur sekarang...” 

Ferhad tarik tangan Asma sehingga dia jatuh ke atas badannya. Sengih nakal Ferhad sampai ke telinga. 

Asma cebik mulut. Dia tolak badan Ferhad nak bangun. Tapi Ferhad bertindak pantas menguncinya dalam pelukan.

“Abang... mandilah dulu,” rengek Asma. 

Dia dah tak jadi merajuk dengan gini gayanya Ferhad melayannya. 

“Okey jom.. Kita mandi sama-sama.”

“Tak nak. Malulah.”

“Laa.. takkan malu lagi. Asma dah jadi selimut abang. Abang dah jadi pakaian Asma. Dah tak ada rahsia pun kita ni.”

Asma geleng kepala. Dia tetap berkeras. 

“Okey, tak payah mandi. Kita tidur dulu. Tapi sebelum tu abang nak supper dulu sebelum tidur.”

Asma mengeluh. Badannya melekit. Takkan nak layan suami dengan badan melekit. Lagipun ibu awal - awal lagi dah pesan. Kena sentiasa wangi bila bersama suami. 

Dia jarakkan badannya sedikit. Dia tatap wajah Ferhad, lelaki inilah cinta hatinya kini. Dia tidak mahu suaminya kecewa dengannya. 

“Baiklah. Kita mandi dulu. Asma mandikan abang. Lepas tu kita supper dan tidur. Okey?”



“Inilah isteri abang. Yang abang sayang...” Ferhad kucup kening Asma sebelum bangun dan mendukung Asma ke bilik air. 


Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Isnin, 5 Disember 2016

10:08:00 PG

Bab 20 : Si Adik Manja dengan menantu pilihan abah

Salam...
Selamat pagi.. Bab terakhir dalam blog ni... 


"Cik Su ..meh laa sini tolong kakak pulak, asyik tolong adik je," panggil Umairah dengan mulutnya bermuncung panjang. Tak puas hati dengan Cik Su yang asyik buat istana pasir untuk adiknya sahaja. 

"Alaaa... Kakak kan dah besar, boleh buat sendiri sendirilah. Adik kecik lagi. Cik Su kena tolong adiklah. Bukan kakak," balas si kecil Batrisya pula. 

"Mana boleh," lantang kakak bersuara dan terus menghampiri cik su mereka yang sedang membuat pagar untuk istana pasir adiknya. Di tarik tangan cik su dengan sekuat hatinya sehingga Nur terduduk di atas pasir kerana tidak bersedia dengan tarikan tersebut.

"Hey.. Apa ni, Umairah!"

"Cik su kena buat untuk kakak pulak."

"Tak boleh... Cik su kena siapkan yang adik dulu," Batrisya menarik tangan Nur yang lagi satu. 

"Ok.. ok.. Jangan tarik tangan cik su kuat sangat. Nanti putus... "

"Kalau putus siapa nak tolong buat istana untuk adik dan kakak pula" perolok Nur sambil mengaduh kesakitan.

"Opsss...Sorry... Sorry cik su, tak sengaja," serentak mereka melepaskan kedua tangan Cik Su mereka.

Nur tersengih-sengih. Tahu pun takut jika terjadi apa-apa pada dia. Sayang Cik Su eh?

"Kita buat satu sudahlah istana pasir ni. Kakak tak payah buat yang lain, Mari kita buat sama-sama yang ni. Dah nak siap dah ni," ajak Nur.

"Tak nak. Itu yang adik punya. Kakak pun nak buat yang kakak punya jugak. Mana boleh buat satu je," bentak Umairah. Mukanya sudah pun masam kelat.

"Kalau begitu, kena tunggulah, Cik Su siapkan yang adik dulu."

"Boleh... Tapi Cik Su kena buatkan istana kakak lebih besar dari adik tau. Sebab kakak lebih besar dari adik. Jadi yang kakak punya kena besarlah," kata Umairah.

"Iye...nanti Cik Su buatkan," pujuk Nur. 

Cepat saja Umairah menganggukkan kepalanya. Nur tersenyum. Berjaya juga dia memujuk. Jadi tak adalah dia menjadi mangsa rebutan dua beradik nih. Itu pun nasib baik, mereka tak bergaduh. Kalau bergaduh, suara jeritan mereka berdua boleh dengar sampai ke rumah abah tentunya. Kuat. Haaaa... Jangan main, nampak cerdik dan pandai tapi kalau time mereka buat perangai, boleh sakit jiwa jadinya.

Tanpa Nur sedari, gelagat mereka bertiga diperhatikan oleh seseorang. Untuk mendekati dia tidak berani. Dia tahu Nur pada ketika ini ada perasaan benci padanya. Melihat dari jauh sudah cukup buat sementara waktu. Dia juga perlukan masa untuk mengayat Nur supaya menerimanya kembali. Saat-saat manis ketika mereka bersama dulu sentiasa bermain difikirannya. 

Ditebarkan pula pandangannya di sekitar kawasan pantai itu, di gelanggang bola sepak telah terdapat beberapa orang sedang bermain-main bola. Mungkin baru saja memanaskan badan sementara menanti rakan-rakan yang lain. Semakin ramai orang memenuhi pinggiran pantai itu biarpun ia bukanlah sebuah tempat peranginan yang dimajukan oleh majlis daerah. Ia cuma sebuah tempat yang dijadikan tempat berkumpulnya anak-anak muda di waktu petang dan bermain bola. Masa luang boleh dimanfaatkan dengan beriadah tanpa perlu berpeleseran tak tentu hala.

Hisyam pusatkan kembali pandangan kepada Nur dan anak saudaranya yang sedang membina istana pasir. Hatinya ingin menyertai mereka bertiga. Tetapi dia masih lagi was-was. Bukan dia tak tahu hati keras gadis itu sama seperti abahnya. Jika tak suka, dia akan tetap tidak suka sampai bila-bila. Untuk melembutkan hati itu, dia perlu berlembut dan menggunakan kelebihannya. 

Akalnya mula merasionalkan tindakan Pak Teh mahu nikahkan mereka lebih awal. Mungkin Pak Teh tahu dia tentukan akan menghadapi kesukaran untuk menghampiri Nur. Hanya status sebagai suami barulah jalannya mudah. MasyaAllah.. begitu sekali Pak Teh memahami diri mereka, sedangkan dia membantah pernikahan ini. 

Hisyam mengucapkan syukur di hati. Bakal dikurniakan bapa mertua yang memahami hatinya tentu sekali dia bersyukur. Bakal memiliki permaisuri hati seindah Nur tentu sekali dia bahagia. Jerih menahan rindu selama tujuh tahun terasa berbaloi. Mungkin diperingkat awal nanti dia akan menghadapi kesukaran, namun dia akan menerimanya dengan sabar. dia tahu Nur masih sayang padanya. Dia yakin dilewat doanya, hati mereka mempunyai rasa yang sama. 

Syukur, itulah yang selalu dia berdoa sejak hatinya dikunjungi angin rindu. Dan mujurlah adiknya Nisa memahami tentang betapa parahnya hati abangnya ini. Dari dialah dia mengetahui perkembangan demi perkembangan mengenai gadis itu. Biarpun ketika itu jarak beribu batu memisahkan mereka, tetapi dia sentiasa merasa dekat dengan gadis itu. Jauh tetapi dekat. Dan sekarang keadaan menjadi sebaliknya, dekat tetapi jauh. Ingin digapai hati Nur agar dekat padanya. Dan dia perlu bersabar. 

Menurut kedua Pak Teh. Nur telah menerima perjodohan ini. Tetapi dalam masa yang sama melancarkan perang dingin. Pak Teh sama sekali tidak kisah. Dan dia pula diburu rasa bersalah. 

“Pak Teh nak mudahkan kerja kau Syam. Itu juga salah satu sebab Pak Teh mahu kau bernikah cepat-cepat. Nur tu manja tapi keras hati. Macam sekarang nilah. Dia dah lancarkan perang dingin dengan Pak Teh. Tapi Pak Teh tak kisah pun.”

“Tugas kau selepas nikah nanti pujuk hati dia. Tak kisahlah kau nak buat apa pun sebab dah halal..” 

“Lagipun Pak Teh faham sangat hati kau. Pak Teh juga tak nak kau berdosa sebab fikiran pasal Nur,” ucap Pak Teh. 

Ketika itu wajahnya tentu sekali berubah merah. Pak Teh seolah-olah dapat membaca fikirannya. Dia semakin menghormati Pak Teh. 

Fikirannya jauh melayang sehinggalah bahunya ditepuk orang.

"Ralit merenung anak dara orang, jangan main-main ustaz, kena jaga maksiat mata tu," kejut Halim merangkap sepupu Hisyam.

"Isyy.. Kau ni, terkejut aku. Bagi salam dulu bro..Nanti ada sekali orang lain yang tumpang singgah," tegur Hisyam sambil bersalam dengan sepupunya itu.

"Assalamualaikum.. Ustaz... Tak baik terhendap-hendap anak dara orang ni. Kalau ia pun berkenan terus masuk meminang," usiknya lagi sambil tersengih-sengih.

"Waalaikumussalam...Kau dari mana ni?" tanpa menghiraukan usikan itu, Hisyam bertanya kepada Halim.

"Dari Kota Bharu, ingat nak singgah rumah kau jap," beritahu Halim sambil membuang pandang ke lautan luas.

"Kenapa? Ada apa hal?"

"Tak ada apa, takkan datang ke rumah bapa saudara sendiri kena ada hal dulu?" 

"Ceh... Tak adalah macam tu. Kau tu yang tak datang hari kenduri. Sebab itulah aku tanya." 

"Aku sibuk sikit, uruskan bisness aku, sekejap turun KL, Johor ..sekejap ada kat sini. Tak dan nak jenguk saudara mara," terang Halim. Dia merupakan usahawan menternak ikan keli dan juga ikan linang kuning atau lebih dikenali sebagai belut. Dia bermula dengan menernak secara kecil-kecilan. Kemudian dia mengambil kursus menghasilkan suplement berasaskan ikan linang kuning. Hasilnya sangat menggalakkan, Alhamdulillah usaha yang tidak pernah jemu kian membuahkan hasilnya.

"Kau lihat siapa? Lawa, boleh tahan comelnya," tanya Halim sambil memuji.

"Nur, anak bongsu Pak Teh Yusuf. Takkan kau tak kenal?”

“Biar betul? Budak yang selalu mengekor kau dulu? ikat rambut ekor kuda? Comel-comel tu?” soal Halim teruja. 

Lama benar dia tidak melihat anak bongsu Pak Teh ini. Selepas Hisyam keluar negara rasanya. 

“Besar dah budak tu. Berapa umur dia?”

“Lapan belas.”

“Budak lagi tu. Kalau kau nak nikah dengan dia pun kena tunggu lagi. Paling cepat tiga tahun.”

Hisyam senyum. Bukan tiga tahun. Awal tahun depan mereka bakal bernikah.

"In Shaa Allah.. Jodoh, ajal maut di tangan tuhan. Tetapi kita juga kena sentiasa berdoa agar dipermudahkan setiap urusan di dunia ini," jawab Hisyam tenang. Penuh makna yang tersirat. 

"Dalam maknanya itu, ada apa-apa yang aku ketinggalan ke?" soal Halim lagi. Sedikit sebanyak hatinya tertanya-tanya.

"Aku ada dengar mak aku cakap tak lama lagi ayah kau akan buat kenduri. Kenduri apa pulak? " 

"Kenduri walimah aku. In Shaa Allah awal tahun depan.”

Halim ketawa. 

“Cepat! Orang mana? Mesir? Tanya Halim lagi. 

"tapi dengan siapa? Dengan orang Mesir ke?" soal Halim lagi.

Hisyam tersengih-sengih.

"Orang kampung ni. Sampai masanya kau tahulah. " jawab Hisyam berteka teki.

"Takkan dengan aku pun kau nak berahsia?”

“Bukan rahsia. Orang tua baru berbincang. Bila dah tetapkan tarikhnya. Kau akan dapat tahu juga. Mak kau mesti tahu.”

“Hurmm... ok aku tunggu.”

Hisyam tersenyum-senyum sambil menepuk bahu sepupu merangkap kawan baiknya itu. Mereka sebaya bahkan satu sekolah semasa sekolah rendah dulu. Ketika sekolah menengah mereka terpisah apabila Hisyam dihantar belajar di Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi dan Halim menyambung belajar di sekolah harian biasa di Bachok ini. Walaupun jarak dan kekangan masa memisahkan mereka tetapi keakraban itu tidak terjejas. Apabila ada kesempatan mereka akan bertemu dan saling kunjung mengunjung. Halim merupakan pemegang diploma di dalam bidang sains pertanian di Uitm, Jengka. Selepas dia memperolehi diploma, dia menceburi bidang perternakan ikan keli dan ikan linang kuning ini. Itulah minatnya sejak dari dulu lagi.

"Ke orang di hujung sana?" serkap Halim pula. Alang-alang bermain teka teki, hentam je laa labu. Bisik hatinya. 

"Aik tadi kata nak tunggu. Haha..” Hisyam ketawa. Tidak pula mengiyakan atau menidakkannya. 

"Hujung sana apa abang Syam, abang Halim?" soal suara dari belakang. Spontan mereka berdua menoleh ke belakang. Nisa'sedang tersengih-sengih. Di sampingnya Misah dan Siti. Biasala di waktu petang begini mereka mengambil angin petang di tepi pantai ini. Tak ada tempat lain yang best selain bergossip di tepi pantai yang indah dan damai nih.

"Haaa.. Kebetulan Nisa dah datang, abang nak tanya sikit siapa yang bakal jadi kakak ipar Nisa ni?" soal Halim.

Nisa telah melepaskan tawanya. Misah dan Siti tersenyum - senyum. Nak ketawa macam Nisa terasa malu pula. Lagipun Halim ni boleh tahan juga kacaknya. Mana laa tau kot-kot boleh dibuat stok pakwe. Hahahahha..angan-angan gadis melayu.

Cepat-cepat Hisyam memberikan isyarat mata kepada adiknya itu. ‘ jangan pandai-pandai beritahu siapa, kalau tak siap Nisa balik nanti' matanya berkata-kata.

Reda ketawa, Nisa tersenyum " Itu abang kena tanya tuan punya dirilah. Kalau Nisa yang bagitahu ......"kata Nisa dan menghabiskan kata-katanya dengan menunjukkan isyarat potong leher dengan tangannya.

"Oklah kami tak nak kacau abang berdua berbual-bual. Kami nak pergi main pasir dengan Nur dan anak-anak dia di sana nuh haaa" beritahu Nisa sambil melangkah menuju ke arah Nur yang sedang asyik bermain dengan anak-anak saudaranya. Misah dan Siti mengikutinya dari belakang.

Tercengang-cengang Halim melihat Nisa melangkah meninggalkan mereka berdua di situ. 







Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Khamis, 1 Disember 2016

9:00:00 PG

Bab 19 : Si Adik Manja Dengan Menantu Pilihan Abah

Assalam... Selamat pagi semua... Memandangkan ramai yang nak cerita ni dibukukan.. Maka ni adalah bab ke dua akhir dalam blog ni... Bab akhir bab 20 saya akan up minggu depan... Nak tahu juga pasal mereka boleh request group di Facebook..



"Kenapa dengan adik tu, Umi?" soal Kak Long setelah cuma tinggal mereka berempat sahaja di dapur. Nur telah membawa dua orang anaknya jalan-jalan di tepi pantai setelah Umairah mendesaknya untuk pergi bermain pasir di sana. Dua beradik itu telah bersiap sedia menukar baju untuk mandi lagi. 

"Tanyalah abah kamu ni, umi tak boleh nak masuk campur," jawab umi sambil menjeling abah.

"Kenapa bah? Adik macam melancarkan perang dingin dengan abah tu. Biasanya, nampak abah terus di terkamnya. Ada-ada saja soalan yang diajukan. Bukan ke adik selalu ikut abah ke kebun kalau dia ada di rumah ni," soal Kak Long pelik. 

"Abah nak nikahkan adik dengan Hisyam selepasi adik habis matriks nanti,” beritahu umi setelah melihat abah macam tak mahu menjawab soalan anak sulungnya itu.

Bluurrr... Kak Long terbatuk. Dia hampir tersedak air yang sedang diminumnya. Teringat cakap-cakap kosong mereka minggu lepas. Bukan cakap kosong lagi!

“Biar betul Umi, Abah? Adik lapan belas tahunlah. Muda sangat.”

"Cepat jodoh adik!” kata Abang Long pula.

“Abang! Adik muda lagilah. Mana boleh nikah lagi!” bantah Kak Long. 

“Abah sekurang-kurangnya biarlah adik habis belajar dulu. Tak pun, tahun akhir di universiti.”

“Abah tahu apa yang Abah buat. Kau tak payah nak ajar Abah!” marah Abah.

Kak Long terdiam. Abang long pula mengusap bahu Kak Long. Terkejut jugalah dia dengan suara kasar Abah itu. 

Patutlah adik nampak sedih. 

Kak Long memandang Umi. Umi angguk sahaja. 

Abah tidak tunggu lama di situ. Dia keluar rumah semula. Tinggallah Umi bersama dengan Kak Long dan Abang Long.

“Umi... adik tu masak pun tak pandai lagi. Mana boleh biarkan dia kahwin lagi.” sungut Kak Long lagi. Dia tidak puas hati.

“Umi tahu. Tapi Abah kamu sudah membuat keputusan. Bukannya boleh diubah lagi.”

“Habis tu Hisyam terus setuju nak nikah dengan adik? Mintalah Abah pujuk dia tangguh dulu.”

“Hisyam dah pujuk. Tak jalan juga. Abah kata, jika Hisyam tak nak kahwin dengan adik, dia akan cari orang lain. Terdiamlah budak tu!”

Kak Long dan abang long geleng kepala. 

“Hisyam tu siapa?” Soal abang long ingin tahu. Ini kali kedua dia mendengar nama Hisyam disebut-sebut. 

“Hisyam ni anak pak cik Hassan yang baru balik belajar dari Mesir. Dulu Hisyam nilah yang selalu layan adik. Dia memang sayangkan adik sejak dulu lagi. Tapi selepas dia pergi ke Mesir, sepucuk surat pun tidak dikirimkan kepada adik. Sampaikan adik demam rindu berminggu-minggu. Selepas sembuh, nama Hisyam bagaikan terkubur. Alaaa. Masa kita nak balik hari tu, dia ada datang jenguk Abah. Abang ada jumpa dia kan?”

Abang Long angguk. 

“Jadi abang rasa tak ada masalah kalau Abah nikahkan adik dengan Hisyam tu. Mereka pun dah kenal dari kecil lagikan? Hisyam pun dah tahu perangai adik macam mana.” Abang Long memberikan pendapatnya. 

Kak Long mencebik. 

“Entah-entah Hisyam pun terpaksa kahwin dengan adik. Nak tolak tak sampai hati. Mana tahu di sana dia sudah ada calon isteri. Sebab itulah dia cepat sangat lupakan adik.”

“Awak ni.. bab-bab mereka cerita memang pandai. Mana awak tahu? Awak tanya dia ke?”

“Betullah Umi kan? Tujuh tahun tanpa khabar berita. Sudah tentu dia dah ada kekasih di sana. Entah-entah terpikat dengan minah arab. Dah kahwin tapi takut nak bawa balik,” Kak Long terus mereka cerita.

Umi terus menepuk tangan Kak Long. Cerita tu tak benar sama sekali. Dia kenal Hisyam. Dia juga tahu hati Hisyam adalah untuk anak bongsunya. Kasih mereka dulu telah berputik tanpa perlu dibaja. Umi sendiri dapat merasakannya.

“Semua Kak Long cakap tu salah. Hisyam tak pernah lupakan adik. Dia buat begitu sebab Abah kamu suruh,” bongkar Umi. 

Dia tidak mahu anak sulungnya memandang serong kepada Hisyam. Bukan cara suaminya salah, Hisyam juga salah kerana terlalu menurut sehinggakan adik jauh hati dengannya. 

Kak Long terlopong mendengarnya.

“sebenarnya sebelum Hisyam pergi ke Mesir dulu, dia dah hantar tanda untuk adik. Ingat tak cincin yang Kak Long tanya bila Umi beli tu? Kenapa tak pakai?”

Kak Long angguk.

“Itu cincin tanda yang Hisyam beri. Umi pegang dan tak bagi kat adik lagi. ingatkan selepas adik masuk Universiti baru Umi nak beri. Tapi tak sempat.”

“Jadi adik telah bertunang sebelum Kak Long kahwinlah?”

Umi angguk. Abang Long pula tersengih. Tak sangka sampai begitu sekali Hisyam sayangkan adik iparnya. 

Kak Long pula terdiam. Tak tahu hendak kata apa dah. Cerita yang tak pernah dia tahu. Rahsia selama tujuh tahun dipegang kemas oleh Umi dan abah.

“Fuh... nasib baik masa tu adik baru umur sebelas tahun kan, Umi. Jika tak, tak pasal-pasal Abah nikahkan dia dulu dari Kak Long.” 

Umi ketawa. 

“Mengarutlah Kak Long ni.”

“Habis tu macam mana sekarang ni? Kenapa tak biarkan Angah nikah dulu. hari tu Kak Chik dah langkah bendul.”

“Angah kau tu? Lagi suka adik nikah dengan Hisyam cepat-cepat. Mereka kan kawan baik.” 

“Kak Long tak berapa nak setujulah. Tak boleh ke sampai adik umur dua puluh satu tahun. Muda lagi adik tu. Budak lagi!” 

Walaupun dia tahu cerita sebenar penyepian Hisyam dulu, dia tetap tak boleh terima. Abah patut berikan kebebasan kepada adik menikmati zaman remajanya dulu. melakukan apa yang dia ingin lakukan.









Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.
8:09:00 PG

Bab 19 : Cinta Asma dan Ferhad


Assalam dan selamat pagi semua... ini adalah bab ke dua akhir dalam blog.. Bab 20 bab terakhir saya up dalam blog ini.. In Shaa Allah.. korang takkan tunggu lama nak peluk Asma dan belasah Ferhad nanti.... hahahaha




Asma peluk Ferhad erat. Dengkuran kecil dan dengupan jantung Ferhad bagaikan muzik latarnya malam ini. Matanya tidak ingin lelap walaupun badannya letih. Kalau boleh malam ini dia mahu renung wajah suaminya sehingga pagi. Dia berat hati mahu pulang esok. Bulan madu mereka akan berakhir. Bererti masa mereka bersama semakin singkat. Padahal dia mahukan masa mereka bersama dipanjangkan lagi. 

Tanpa sedar air mata Asma mengalir. Dia angkat badannya agar separuh berada di atas Ferhad. Dia tongkat dagu di dada Ferhad dan terus merenung suaminya. Lama dia merenung wajah yang semakin memenuhi hatinya. 

“Kenapa tak tidur lagi, hmmm” bisik suara garau milik Ferhad. Matanya tidak dibuka. Tapi dia dapat rasa isterinya sedang merenungnya. 

“Lepas abang balik U.K nanti mesti akan lupakan Asma kan?” luah mulut Asma tanpa dirancang akal. 

Ferhad bangkit bersandar di kepala katil. Tubuh Asma ditarik bersama. Comforter yang melurut dibetulkan menyelimuti tubuh Asma di atasnya. Matanya kelat. Tapi bila dengar kata-kata Asma, terus hilang kelatnya. Asma palingkan wajahnya ke sisi. Walaupun samar-samar cahaya lampu tidur, dia dapat lihat pipi merah itu berair. 

“Isteri abang yang cantik dan manja macam ni, mana boleh lupa. Kalau boleh abang nak tarik ikut abang balik U.K sekali,”balas Ferhad. 

“Pandang abang sayang,” pinta Ferhad. 

Wajahnya basah. Bila dia ingat, sikit masa lagi kena berpisah. Hatinya takut. Hatinya juga sakit. 

“Asma takut abang lupakan Asma sebaik tiba di sana.”

“Isteri abang. Mana mungkin seorang suami akan terus melupakan isteri sebaik saja dia meninggalkannya, hmmm?”

“Sebab Asma bukan isteri pilihan abang. Abang kahwin sebab nenek.”

Ferhad mengeratkan pelukannya. Dirapatkan wajah mereka berdua. 

“Biar apa pun sebab perkahwinan ini terjadi, Asma telah dipilih untuk menjadi isteri abang sejak di loh mahfuz lagi. Asma jodoh yang Allah tetapkan untuk abang.”

“Betul abang tidak ada pilihan selain mengahwini Asma. Tapi jika betul juga bukan jodoh kita, pernikahan ini tak akan terjadi. Jadi sayang jangan sesekali persoalkan tentang bagaimana kita kahwin. Sebab Allah taala dah tetapkan Asma isteri abang.”

“Abang tak sempurna sayang. Ada banyak kelemahan tapi abang ada sayang untuk sempurnakan abang.”

“Abang tak dapat bawa Asma bersama abang sebab ibu dan nenek perlukan Asma di sini. Lagipun kerja abang menuntut abang selalu travel. Berhari-hari malah makan masa berbulan. Abang tak dapat jaga Asma. Keselamatan Asma lebih penting. Jadi Asma lebih selamat berada di sini.”

“Asma kena sabar tunggu abang. Lepas kontrak kerja abang tamat, abang akan balik kerja di Malaysia. Nanti kita akan bersama. Bolehkan sayang. Tunggu abang?”

Asma cuba ukir senyum manis. Hatinya lega bila mendengar penjelasan suaminya itu. 

‘Aku akan terus setia menanti.’

Dia peluk suaminya. Kepalanya diletakkan di dada Ferhad. Tapi denyutan jantung Ferhad terdengar laju.

Asma angkat wajahnya pandang Ferhad tersenyum nakal. 

“Asma dah kejutkan abang bangun. Jadi Asma kena layan abang lagi.” Asma sembunyi wajah di dada suaminya. 

Ferhad sengih nakal. Dia sentiasa bersemangat dan bertenaga bila bersama Asma. Pelik. Tapi itulah nikmatnya apabila berkahwin. Sesekali terlintas di dalam fikiran tentang perhubungannya dengan Tiffany. Friend with benefit. Apa kesudahannya bila dia merasai kebahagiaan dan kenikmatan sebenar dalam sebuah hubungan yang halal. Mungkin sudah sampai masanya dia mengakhiri apa yang patut dilakukannya dulu. 

Asma yang polos. Tidak banyak bertanya. Walaupun begitu dia tahu ada banyak yang Asma ingin tahu tentang dirinya. Kalau boleh dia mahu beritahu Asma satu persatu kehidupannya. Tapi boleh ke Asma menerimanya dengan hati dan minda terbuka tanpa membuat timbang tara yang berat sebelah tentangnya. Isterinya, fikirannya masih lagi suci. Sebab itu dia tidak mahu meninggalkan Asma dengan hati yang tercarik apabila mendengar ceritanya. Jauh sekali membuatkan isterinya makan hati dan hilang keyakinan dalam perhubungan ini. Dia mahu meninggalkan Asma, isteri yang bahagia memilikinya sebagai suami. 

“Tapi Asma penatlah. Tadi dah berapa round. Abang tak penat ke?” terdengar bisikan Asma yang bersembunyi di dadanya. Desahan nafas itu membuatkan dia kembali senyum. Penat tapi tangan tetap memainkan peranan. Ah... isterinya sudah mula pandai menakal. 

“Iye ke?” dia tangkap tangan Asma dari semakin jauh ke bawah. 

“Abang rasa macam tak pun...” ditarik tangan itu dan di bawa ke bibirnya. Spontan Asma angkat wajahnya. Matanya penuh harap, bibirnya digigit tanpa sedar. 

“Asma macam ni, lagi bersemangat abang..” 

Tanpa perlu berkata lagi, tangan dan mulutnya memainkan peranan. Mereka tenggelam lagi dalam kenikmatan bulan madu. 

Asma terkejut apabila terdengar bunyi I phone Ferhad. Dia capai I phone di atas meja sisi katil. Dilihat nama pemanggil. 

Tiffany. 

Dia lihat jam, 4.30 pagi. Bunyi telefon tiba-tiba berhenti. Beberapa saat kemudian berbunyi lagi. Masih lagi orang yang sama. Mata yang mengantuk terus segar. Hatinya celik dengan cemburu. Siapa Tiffany ni? 

“Dalam rumahtangga syak wasangka hanya akan memakan bahagia yang sedang dikecapi. Asma kena yakin dengan suami Asma. Selagi dia melayan Asma dengan baik. Jaga kebajikan Asma sebagai isterinya, maka jauhkan hati dari sebarang syak wasangka. Tak semua tentang suami kita perlu tahu. Ada perkara yang kita kena butakan mata, pekakkan telinga untuk terus merasai bahagia.”

“Suami ada egonya. Jadi jangan sesekali Asma cabar ego seorang suami. Kita kena yakin, setiap yang berlaku itu Allah Taala sudah merancang sebaiknya untuk kita. Jadi jangan sesekali kita ubahnya sebab mendengar bisikan syaitan yang sentiasa cemburu melihat suami isteri yang bahagia.”

“Ibu tahu, Ferhad kahwin dengan Asma sebab Nek Som. Tapi ibu juga tahu Ferhad kasihkan Asma sebagai isterinya. Dia akan jaga anak ibu ini sebaiknya. Jadi jangan jadi isteri kuat cemburu dan tidak percayakan suami. Sebaliknya jadilah seorang isteri yang sentiasa memahami dan percayakan suami. Sentiasa setia untuk suaminya.”

Asma teringatkan nasihat ibunya sebelum mereka memulakan perjalanan ke Cameron Highlands. I Phone Ferhad terus berbunyi dengan panggilan Tiffany. 

“Kau tu tak layak jadi bini abang aku. Abang aku dah ada kekasih. Tiffany namanya. Sebaik sahaja dia tinggalkan kau, nama kau terus terhapus. Sedar diri tu sikit.”

Asma teringat juga kata-kata Fatin Nur di malam pernikahan. Kata-kata yang membenihkan syak wasangka ke dalam hatinya. Semakin membuatkan dia menjeruk rasa. Padahal baru beberapa jam tadi Ferhad memujuknya. 

Asma beristighfar berkali-kali. Dia tidak mahu hatinya terjelumus ke dalam syak wasangka yang memakan bahagianya nanti. Puas berperang dalam hati. Asma kejutkan suaminya.

“Abang.. Bangunlah. Ada orang telefon ni. Dekat 5 kali dah missed call.”

“Hmmm... biarlah. Esok abang call semula.”

“Tapi telefon ni tak berhenti sejak tadi. Macam mana nak tidur.. Bising,” rengek Asma.

“Tiffany call.”

Ferhad mendengus. Dia bangun juga. Diambil I Phonenya. Kemudian terus ditutup. 

“Sleep.” Ferhad tarik Asma ke dalam pelukannya. 

Dalam diam Asma tersenyum lega. 

Namun, mata Ferhad terbuka luas. Ada tanda tanya di dalam hatinya. Kenapa Tiffany bertalu-talu menelefonnya. Dia bermasalah ke?







Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.