Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Selasa, 7 Mac 2017

Bab 14 (a) Hati Yang Kau Sakiti



“Mak.. Along dah sampai dengan bakal menantu mak,” laung angah yang berada di laman. Tengah siapkan tempat untuk membakar.
Pantas achik dan acu mengendap di tingkap.
“Yang terhendap dekat tingkap tu buat apa? Pergilah sambut tamu tu,” tegur Puan Habsah. Geleng kepala dengan gelagat anak daranya. Macamlah tak pernah tengok orang.
Acu tolak bahu achik. Achik tolak bahu acu, balas balik. Padan muka.
Puan Habsah dah siap menunggu depan pintu. Lebar senyumannya menyambut orang yang ditunggu. Irdina dan Ami ikut berdiri di muka pintu, di belakang mak mereka.
“Cantik. Pandai along cari,” bisik acu.
Achik angguk mengiyakannya. Sepadan sangat dengan along. Berbaloi along menunggu lama untuk berjumpa dengan bakal isterinya itu.
“Assalamualaikum..”
“Waalaikumussalam..”
Ain Najwa menghulur tangan untuk bersalam dengan bakal mertua.
“Mak, kenalkan ini Ain Najwa.”
“Ain, ni mak abang, achik, Amina Nabila dan acu, Isma Irdina.. Yang tengah hidupkan api tu angah, Fikri Amin.”
Ain Najwa melemparkan senyum dan menyambut huluran salam. Dia angguk. Rasa gemuruh tadi beransur hilang dengan sambutan mesra bakal keluarga mertuanya.
“Ayah mana mak?”
“Keluar sekejap ke kedai. Kejap lagi baliklah tu. Masuk Ain..”
“Duduklah Ain.”
Ain angguk. Along juga turut duduk bersama dengan mereka.
“Along...”
“Banyak cantik dia. Marilah bakar ayam ikan ni.. sukahati dia je nak duduk dalam rumah,” membebel angah memanggil Along.
Along tersengih-sengih.
“Kejaplah.”
“Pergilah long.. Biar mak layan Ain ni..”
“Betul tu along... bukannya along tak tahu angah tu mana pandai buat bara nak membakar ni. Dah setengah jam dia cuba bakar arang tu, tak jadi-jadi lagi bara,” bagitahu acu.
“Angah dengar lah.. Jangan nak banyak songeh. Baik acu datang buat.”
“Ain berbual-buallah dengan mak, abang tolong angah kejap. Nanti tak makan kita,” ujar Along sambil kenyit mata.
Ain Najwa senyum segan.
“Tak malulah along ni. Kami ada ni. Nak main-main mata pergi jauh-jauh,” tegur achik sambil sengih. Suka dia melihat wajah gembira along. Dia dah berangan, tak lama lagi mesti meriah rumah ni dengan suara anak-anak buahnya nanti.
“Achik, acu pergi ke dapur, ambil air. Mak dah siapkan tadi. Lepas tu pergi tolong angah dan along kat laman tu.”
Muncung mulut acu mendengarnya.
“Bakar membakar ni biarlah along dan angah buat,” omelnya. Namun ikut juga arahan maknya.
Ain Najwa senyum. Hari ini dia disambut baik dengan bakal keluarganya. Kemesraan mereka membuatkan dia tak sabar hendak menjadi salah seorang dari mereka. Sesekali matanya mencari mata Rafiq. Ternyata getaran hati mereka difrekuansi yang sama. Cuma yang menjadi masalah sekarang, keluarganya.
“Bila mak boleh bawa cincin ke rumah Ain,” soal Puan Habsah mesra. Rupanya tak jauh pun bakal besannya tinggal. Lagi cepat lagi bagus.
Ain pandang Puan Habsah. Serba salah dibuatnya. Hatinya pun tak sabar menjadi ahli keluarga ini. Tapi mama yang menjadi masalah sekarang ni.
“Ada masalah sikit mak,” beritahu along. Puan Habsah pandang suaminya. Angah, achik dan acu pula pasang telinga luas-luas.
“Mama tak bagi Ain kahwin selagi Abang Am belum kahwin.”
“Abang Am? Abang sulung Ain?” soal Puan Habsah inginkan kepastian.
Ain Najwa angguk.
“Sama macam angahlah. Mak tak bagi angah kahwin dulu sebelum along kahwin,” sampuk Angah.
“Habis tu sampai bila angah kena tunggu ni..” dengus angah, kecewa.
Puan Habsah terdiam.
“Penyelesaiannya mudah je mak, carikan calon isteri untuk Abang Am,” celah acu. Bab-bab begini otaknya memang cekap. Cuba bab belajar, mesti banyak tanda soal.
Puan Habsah, diam berfikir. Achik pun buat-buat sibuk. Tak nak masuk campur hal orang tua ni. Jangan pulak dia terlibat sekali.
“Ain, Along tak ada kawan nak kenalkan dengan abang Am tu?” soal Puan Habsah prihatin. Mereka berdua geleng kepala.
“Abang Am tu cerewet sikit bab perempuan ni, mak. Lagipun dia baru lepas putus cinta.”
“Alaa mak.. senang cerita. Kenenkan dengan achik je. Achik pun tak lama lagi dah nak habis belajar.”
Achik jegil mata dekat angah. Dia ketap bibir. Tanda tak suka dikaitkan.
“Jangan nak libatkan achik pulak angah. Dah gatal sangat nak kahwin, baik biar angah yang tolong carikan,” marah Achik.
“Betul jugak tu angah. Abang Am pun akauntan. Achik kan belajar akaun, dalam bidang yang sama, mudah serasi ni,” ujar along pula tanpa fikir panjang.
“Sudahlah. Jangan nak kaitkan achik pula. Achik tak gatal nak kahwin lagilah,” achik dah naik marah. Dia bangun dan membasuh tangannya, terus masuk ke dalam rumah. Panas hati dengan sikap abang-abangnya.
“Along.. angah..” tegur Encik Ruslan. Yang lain terdiam.
“Gurau je. Itu pun nak marah,” omel angah. Pelik. Padahal selama ini achik boleh  je bawa bergurau bab kahwin ni.

Ain Najwa pula diserang rasa bersalah. 


Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Featured