Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Khamis, 16 Mac 2017

Bab 16 : Hati Yang Kau Sakiti



“Prof, saya nak tukar tempat praktikal,” beritahu Ami tanpa ragu. Semata-mata perkara ini, dia sanggup tunggu Prof. Yusuf selepas habis kuliah.

“Kenapa? Tanpa alasan kukuh saya takkan benarkan,” tegas Prof Yusuf.

“Saya ada alasan peribadi yang kukuh, Prof!” tekan Ami.

Prof. Yusuf pandang Ami. Dia teringatkan Amru, kata-katanya.

“Lepas ni Ami akan datang jumpa uncle, nak tukar tempat praktikal.”

“Kenapa pulak? Firma kita tu ramai yang nak praktikal dekat sana.”

“Sebab dia bencikan saya. Kalau boleh tak nak tengok muka saya ni.”

“Apa yang kau dah buat ni Am? Setahu uncle Ami ni tak ada masalah dengan orang. Ini kali pertama uncle dengar dia benci orang. Itu pun dari kau.”

Amru senyum kelat. Dah kesalahannya besar. Memang patut pun gadis itu bencikannya. Kalau boleh nak bunuh dia kot.

“Jadinya, kau nak uncle buat apa,” soal Prof. Yusuf setelah soalannya tadi dibiarkan tidak terjawab.

Uncle jangan bagi dia tukar. Saya nak dekat dengan dia.”

“Dia pula nak jauhkan diri dari kau?” Prof. Yusuf geleng kepala. Macam-macam anak muda sekarang ni.

“Saya nak jadikan dia isteri saya. Senang sikit bila dekat dengan saya nanti.”

“Bila pula kau bercinta dengan dia?”

Amru sengih. Tak sempat nak bercinta pun. Harapnya boleh bercinta selepas kahwin.

“Belum lagilah uncle. Baru nak pikat.”

“Tapi dah yakin dia tu jodoh kau?”

Pantas Amru angguk. Dulu tak fikir pun. Tak terlintas pun. Disebabkan malam itu, Amina Nabila menjadi satu-satunya calon isterinya. Sekeras mana pun hati Ami, dia akan tetap bersabar untuk melembutkannya. Cinta akan dipupuk perlahan-lahan.

“Prof!”

Ehem... Prof. Yusuf pandang Ami.

“Tak boleh!”

“Tapi..”

“Saya tak terima alasan peribadi. Tabiat memberi alasan peribadi ni, tak boleh diamalkan. Sebagai bakal akauntan, awak kena tahu asingkan masalah peribadi dengan kerja. Jangan biarkan masalah peribadi mempengaruhi kerja awak. Masalah besarlah awak nanti.”

“Kalau saya cari pelajar lain, tukar suka sama suka, boleh tak prof?” Ami tetap tak berputus asa.
Prof. Yusuf pandang Ami, “saya tetap tak benarkan.”

Ami tarik nafas. Hati dah mendongkol geram. Matanya diredupkan. Mukanya sengaja dibuat-buat sedih. Dia pandang Prof. Yusuf dengan belas ehsan. Sungguh dia tidak mampu berdepan dengan lelaki itu lagi. Teringat peristiwa hitam. Teringat kelamnya masa depan.

“Tapi prof., ini melibatkan masa depan saya.”

“Sebab itulah saya tak benarkan awak tukar kerana ia melibatkan masa depan awak,” tekan Prof. Yusuf.

Dia tidak tahu apa masalah mereka berdua. Keduanya bercakap tentang masa depan tetapi arah bertentangan. Amru dengan keyakinannya Amina ini akan menjadi isterinya. Manakala Amina, dilihatnya sedaya upaya mengelakkan diri. Tak tahu yang mana satu betul. Mana yang perlu diberikan kepercayaan.

“Percayalah, kerjaya awak akan bermula dari firma itu. Awak ada peluang cerah untuk mendaki kerjaya awak nanti,” nasihat Prof. Yusuf.

Ami tak puashati. “Tapi prof..”

“Saya tetap dengan keputusan saya. Saya juga tidak suka pelajar saya pertikaikan apa yang telah saya buat!” pintas Prof. Yusuf sebelum Ami sempat menghabiskan kata-katanya.

“Saya ada meeting jabatan sekejap lagi. Kalau tak ada apa-apa, baik awak keluar,” halau Prof. Yusuf.

“Tapi prof...”

“Keputusan saya muktamad!” tinggi nada suara Prof. Yusuf. Direnung tajam Amina yang tegak dihadapannya.

Ami mengeluh. Tak puashati. Nak tak nak dia menapak keluar juga.

“Macam mana? Dapat tukar?” soal Wawa apabila dia mendekatinya.

Ami buat buka toya. Geram!

“Dia tak layan.”

Wawa sengih sambil tunjuk ibu jari ke atas. “Aku dah cakap dah. Tak ada masanya dia nak layan permintaan banyak songeh kau tu.”

“Hurghhh!”

“Macam mana aku nak kerja nanti dengan makhluk perosak tu?” Hati mendongkol marah. Macam ternampak-nampak senyum mengejek lelaki itu.

Hidupnya pasti dalam neraka tak lama lagi. Ami terasa mahu menangis. Setiap perkara yang berlaku semakin mendekatkan dia kepada lelaki itu. Semakin dia berusaha melupakannya, semakin dia melekat di dalam kepalanya.

“Eh..” sigung lengan Ami.

“Apanya?”

Dahlah dia tengah bengang, Wawa pulak main sigung lengannya. Sakit siot.

“Tuh..” Wawa jeling sebelah kiri Ami.

“Cakaplah apa dia, main siku pulak. Sakitlah,” marah Ami. Dia masih lagi tunduk tengok nota kuliahnya. Tak ambil pusing langsung keadaan sekeliling.

“Hafiz! Dari tadi pandang kau,”

“Biarlah. Dia ada mata.”

“Tak ada pulak minah gedik di sebelah dia,” beritahu Wawa lagi.

“Alhamdulillah.. Tak adalah pahala percuma aku bagi dekat dia lagi,” balas Ami sambil lewa. Sakit hati dengan keputusan Prof. Yusuf masih lagi berbekas dijiwanya.

“Tandas kot!”

“Eh, takkan sejam ke tandas?”

“Biarlah dia. Buat apa kau nak sibuk pasal diorang tu.” Ami kemas nota-notanya. Serabut duduk kat 

sini. Baik pergi ke surau.

“Aku ke surau.”

*****

Uncle Yusuf : Assalam...

Uncle Yusuf : Amina baru datang jumpa uncle minta tukar tempat praktikal. Macam yang kau kata. Apa kes ni? Bersungguh-sungguh dia minta tukar.

Abang Am : Wasalam. Betul ke uncle? Jadi uncle bagi dia tukar tak? Janganlah uncle, nanti susah pulak saya nak pikat dia.

Uncle Yusuf : Hmmm... uncle bertegas cakap tak boleh tukar.

Abang Am : Terima kasih uncle. Nanti Am belanja uncle nasi kandar.

Uncle Yusuf : Tekak uncle terasa nak makan stik pulak. Me’nate Steak House ada buat promsi tu.

Uhuk..huk... Mencekik betul uncle ni. Nasib baiklah uncle kesayangannya.

Abang Am : Terbaik punya pilihan. Okeh. Tapi Am belanja uncle dengan auntie Su je. Rakyat dua orang tu tinggal dekat rumah.

Uncle Yusuf : Hahaha.. okey.. 

Dia pun tak adalah sampai hati nak mencekik si Amru ni. Sesekali teringin juga merasa dia belanja.

Abang Am : Nanti uncle cakap je bila free, kita pergi.

Uncle Yusuf : In Shaa Allah. Nanti uncle telefon.

Telefon diletakkan setelah membaca whatapps terakhir uncle Yusufnya. Amru bersandar di kerusi, pen ditangan sengaja diputar-putarkan. Di dalam hatinya terlihat wajah Ami. Pelbagai mimik muka. Banyaknya garang dan masam. Selepas malam itu, wajah itu telah payah nak senyum. Pandangnya pun terpaksa. Sekarang dia guna kuasa veto uncle Yusufnya untuk paksa lagi Ami. Dia akan buat apa sahaja asalkan Amina Nabila itu menjadi isterinya.

Marah, benci dan terluka sekalipun dia tidak akan berganjak daripada keputusannya. Gadis itu mesti menjadi isterinya. Setebal mana pun kebencian gadis itu akan ditelannya walaupun payah. Kesilapannya perlu ditebus. Amina Nabila perlu dilindungi dan disayanginya. Itulah nekadnya.
Tok.. tok..

“Boleh I masuk?” Amru tersentak. Dipandang ke pintu pejabatnya. Melihat orang yang mengetuk pintu biliknya, bibirnya ukir senyum. Tak sempat nak jawab, Yana telah melangkah masuk.
Yana menghulurkan folder plastik tranparent kepada Amru. Tanpa soal Amru mengambil dan melihat isi kandungan. Surat penerimaan pelajar praktikal.

“Salinan I punya?”

Yana angguk.

“Terima kasih. Menyusahkan you je naik ke atas. Jika you interkom I boleh minta Tiqah ambilkan.”
Yana cemik bibir. Menghantar salinan ini hanyalah alasan. Dia sebenarnya mahu berjumpa dengan Amru. Hampir tiga hari tak jumpa, hatinya rindu. Mendengar cerita Amru telah putus cinta dengan Bella, hatinya melompat kesukaan. Akhirnya peluang untuk dia mendekati Amru telah tiba. Sesekali kesempatan ini tidak akan dipersiakan. Amru adalah miliknya.

“I sengaja datang jumpa you,” ujar Yana. Dia pandang wajah kacak di hadapannya. Wajah inilah yang saban malam menemaninya tidur, dalam mimpi.

“Kenapa?”

“Dengar cerita, you dah putus dengan Bella. Betul ke?”
Amru senyum tawar. Dia picit pelipis kanannya. Dia pandang Yana sepintas lalu. Perlahan dia angguk.

“Tak ada jodoh.”

“Baguslah. Ada peluang I.” Yana tersenyum menggoda. Matanya jatuh ke bibir merah Amru. Kemudian turun ke dadanya. Lama matanya menatap di situ.

‘Suatu hari nanti, aku akan pastikan hanya wajah dan nama aku sahaja berada di hati Amru,’ monolog hatinya.

Amru geleng kepala. Yana, si gadis cantik, berkeyakinan tinggi. Tak takut memburu dan berusaha mendapatkan apa yang dimahukan. Komited pada kerjaya. Tegas pada anak-anak buahnya. Tapi dia tak perlukan wanita yang bersikap dominasi. Sebaliknya dia perlukan wanita tegas dalam lembut. Tidak meletakkan kerjaya sebagai nombor satu.

“I akan kahwin tak lama lagi. In Shaa Allah.

Kenyataan itu membuatkan Yana ternganga. Kemudian dia ketawa. Tak percaya apa yang dikatakannya.

“Betul.. Nikah gantung dulu. Majlis akan dibuat sekali dengan majlis adik I.”



Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Featured