Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Rabu, 22 Mac 2017

Bab 19 : Hati Yang kau Sakiti



Tok

Tok..

Tombol pintu dipulas apabila mendengar suara abangnya.

“Ain kacau ke?”

Amru senyum dan geleng. Kopiah di kepala diambil dan diletakkan atas meja solek.  

“Ain nak cakap dengan Abang Am sikit, boleh?”

Amru ketawa. “Bila masa pulak Ain jadi skema ni? Selalunya main redah je.”
Masam muka Ain. Amru sengih. Tak boleh nak usik sikit, mula panjang muncung itik tu. Ain ni, selagi apa yang ada dalamnya hati tak terluah, dia takkan senang duduk. Mesti datang mengacaunya.

“Nak cakap apa ni?” Amru duduk di atas katil, manakala Ain pula ambil tempat di sofabed bertentangan dengan katil. Amru angkat kening.

“Pasal bakal adik ipar Ain dan bakal kakak ipar Ain tu lah.”

“Hmmm... kenapa pulak?” Amru belek telefonnya. Diperiksa whatapps.

“Betul ke abang nak kahwin dengan achik ni? Tak main-main?” soal Ain Najwa inginkan kepastian lagi. Mendengar cerita Rafiq tadi, dia berasa belas. Kasihan achik kena paksa terima perjodohan ini semata-mata mahu memberikan laluan kepada mereka.

“Ada nampak abang main-main ke?” Amru pandang adiknya. Serious.

Ain Najwa gigit bibir. Terasa bersalah pula. Dia mengeluh perlahan. Dia pandang abangnya seketika kemudian matanya melilau sekeliling bilik. Kemas dan tersusun. Memang Abang Amnya tidak suka bilik bersepah. Semuanya tersusun elok. Walaupun sudah tak tinggal di sini lagi, bilik ini tetap kemas.

“Tadi Rafiq telefon, dia kata achik tak setuju. Dia tak nak kahwin lagi. Ain rasa kasihan pula.”

Amru tarik nafas panjang. Dipandang Ain Najwa yang masih lagi mahu bercerita.

“Sebut aje pasal kahwin, terus cakap tak nak kahwin. Iyalah.. kena paksa terima orang tak kenal, siapa yang nak.” Ain Najwa berhenti seketika. Dia pandang abangnya yang tekun mendengar. Tidak ada apa-apa reaksi, lalu disambung kembali.

“Merayu-rayu dia tak nak kahwin. Sampaikan dia kata, kalau jadi apa-apa selepas kahwin jangan salahkan dia.”

“Jadi Ain nak tanya abang, abang betul ke nak kahwin dengan achik? Sebab lepas kahwin nanti Ain yakin tak mudah abang Am nak pikat hati achik tu?” Ain inginkan kepastian. Dia tidak mahu abangnya menjadikan perkahwinan ini bidang terjun untuk membolehkannya berkahwin. Dia mahu abangnya juga mengecapi bahagia selepas berkahwin nanti.

“In Shaa Allah. Abang Am akan berusaha menjayakan perkahwinan kami nanti. Nikah kahwin ni hanya sekali dalam hidup Abang Am. Keputusan yang Abang Am buat ini adalah tepat dan muktamad. Amina Nabila adalah pilihan hati abang Am. Bukan sebab kena paksa kahwin cepat.”

“Betul ke achik dah kenal abang?”

Amru angguk. “Kalau dia tengok abang, mesti dia terima kot,” Ain Najwa membuat andaian. Amru cuma senyum.

 “Macam mana abang kenal achik?”

Amru senyum tawar.  Teringat pertemuan pertama dia dan Ami. Malam yang mengikat dirinya dengan rasa bersalah dan tanggungjawab.

“Kenal tapi tak berapa kenal sangat. Dia student Uncle Yusuf. Kawan kepada kekasih Aali. Kami pernah keluar beramai-ramai sekali.”

Ain Najwa angguk.

“Kiranya ini cinta pandang pertamalah? Cepat abang lupakan Bella tu?”

Amru senyum. Biarlah cerita sebetulnya menjadi rahsianya.

“Dia tahu tak abang jatuh cinta dekat dia.”

Amru geleng kepala. “Tak tahu lagi. Lepas kahwin nanti baru abang nak berterus terang.”
Ain Najwa akhirnya mampu senyum. Dia lega. Rasanya tindakannya tak salah. Abang Am sendiri yang betul-betul jatuh cinta dengan achik.

*****

“Dah lama Ami tak balik ke bilik ni,” keluh Syida perlahan. Terhenti tangan Kirana yang sedang menulis nota kuliahnya. Dalam diam dia mengeluh. Rasa bersalah semakin menghantui diri.

“Kau tak rasa apa yang aku rasa ni?” soal Syida pula. Sejak Ami tak balik ke bilik ini, dia tidak dapat tidur lena. Rasa bersalah membuatkan dia selalu terjaga di tengah malam.

“Selagi dia tidak maafkan aku, selagi itu hidup aku tak tenang.” Sebak mula mencengkam dadanya.

“Aku pun sama. Kerana perbuatan bodoh kita malam itu, kita kehilangan rakan sebilik dan kawan yang baik.” Kirana kesal. Kerana akal sejengkal itulah bilik ini semakin dingin dan kaku. Dia dan Syida juga semakin kurang bercakap.

“Kau tak nak pergi cari dia dan minta maaf, beb?”

“Dah berpuluh kali kita minta maaf, tapi dia tetap tak maafkan. Sabarlah dulu. Tunggu dia sejuk dulu. Nanti-nanti... In Shaa Allah dia akan maafkan kita,” pujuk Kirana.

Syida terdiam. Meminta maaf itu mudah. Memaafkan pun mudah. Tapi mengikhlaskan diri memaafkan orang itulah yang payah. Menyahkan rasa terkilan, terluka, marah dan kecewa itu akan mengambil masa mungkin bertahun lamanya. Apatah lagi kesalahan yang mereka lakukan itu amat besar dosanya.

“Lepas dia tidak ada di sini baru aku sedar bahawa aku sayangkan dia sebagai sahabat yang baik. Tak pandang serong dengan kehidupan malam kita. Tapi kita yang memusnahkan persahabatan ini. Patutnya kita jaga dia. Jangan biarkan dia apa yang tak baik berlaku kepadanya. Tapi kita yang buatkan dia lakukan sesuatu diluar kerelaan hatinya.”

Laju airmata Kirana turun ke pipi. Mengingatkan malam itu, kalau boleh diputarkan kembali dia tidak akan setuju Ami ikut. Teringatkan kekasihnya, hatinya sakit. Tapi tak mampu nak berpisah dengannya.

“Bila kau nak berpisah dengan malaun tu? Kalau bukan sebab idea giler dia, kita takkan kehilangan kawan baik.”

 Kirana diam. “Aku tak mampu nak berpisah dengan dia. Aku perlukan dia,” rintihnya.

Syida mencemik. “Dia pun tak mampu berpisah dengan kau ke?” sinisnya.
Kirana diam. Tak mampu menjawab soalan itu sebab dia sendiri tak pasti sama ada Aali ikhlas mencintainya atau tidak.

“Sedarlah diri tu sikit Kira, Aali tu hanya nak mempergunakan kau. Dah bosan nanti dia buanglah macam sampah. Dia akan pilih perempuan yang baik-baik untuk menjadi isterinya nanti.” Syida tarik nafas. Dia dah luahkan apa yang dia rasakan. Jadi terpulanglah kepada Kirana untuk menilainya.

“Nilai cinta dia guna akal fikiran Kira. Bukan nafsu. Kalau dia ikhlas sayang dan cintakan kau, pasti dia tidak akan tunggu lama jadikan kau bini dia.”

“Susah nak cakap Syida. Aku dah cuba nak putus dengan dia. Tapi dia juga yang aku cari bila susah hati. Dia juga yang aku telefon bila nak meluahkan perasaan. Lagipun selama ini, dia yang bagi duit sara hidup dekat aku.”

“Huh.. Khairi juga bagi duit. Tapi bila aku minta putus, laju dia bersetuju. Macam tak ada perasaan langsung. Padahal setiap hujung minggu dia yang ulit tubuh aku,” ujar Syida, kesal. Menyesal kerana terperangkap dengan mainan nafsu sendiri. Selepas malam itu, dia insaf. Bila Khairi ajak jumpa, dia tolak mentah-mentah. Saat itu baru dia terasa yang dirinya menjadi alat untuk memuaskan nafsu sahaja.

Kirana terdiam. Apa yang Syida cakapkan itu betul. Dia tak nafikannya. Tapi hatinya telah jauh menyintai lelaki itu. Dia tidak mampu kehilangan lelaki itu. Sebab itulah dia sanggup menelan kesakitan ini.


“Aku nak pergi surau. Kalau kau nak ikut marilah,” ajak Syida. Entah bila dia bangun dari katilnya. 


Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Featured