Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Jumaat, 24 Mac 2017

Bab 20 : Hati Yang Kau Sakiti (bab akhir di blog)

Assalamualaikum semua.. Ini adalah bab terakhir di blog. Manuskrip ini saya telah hantar kepada penerbit untuk penilaian. Doakan semoga ada rezeki manuskrip ini diterbitkan..
Salam sayang....





“Acu panggil achik keluar. Jangan nak berkubang atas katil lagi. Matahari dah setinggi galah ni,” arah Puan Habsah. 

Hari ini bakal besannya akan datang ke rumah. Merisik secara rasmi anak gadisnya. Jadi dia perlukan pertolongan achik dan acu untuk menolongnya masak makan tengahari. Menurut along ada lebih kurang lapan orang yang akan datang nanti termasuk bakal menantunya.

Acu pandang maknya dengan muka blur. Dalam bilik tu dah kosong. Achik subuh-subuh lagi dah keluar, balik ke UPM. Takkanlah mak tak tahu.

“Achik mana ada dalam bilik tu mak. Dia dah balik UPMlah,” beritahu Acu.

Terhenti tangan Puan Habsah yang sedang memotong ayam. Lepas subuh tadi dia ke pasar bersama suaminya membeli barang untuk masak tengahari.

“Bila dia pergi?”

“Lepas mak dan ayah pergi pasar. Acu ingatkan mak tahu,” balas Acu.

Puan Habsah mengeluh. Teringat perbincangan keluarga malam tadi. Terlupa pula nak beritahu achik yang hari ini pihak keluarga belah sana datang nak merisik dan berbincang. Dia jadi kasihan dengan achik tapi dalam masa yang sama dia tetap dengan keputusannya. Ini adalah untuk masa depan achik juga.

 “Malam tadi masuk bilik, achik tak bercakap langsung. Terus tidur. Acu tanya pun dia buat tak tahu. Kasihan achik mak.”

“Tak boleh ke kalau achik tak payah kahwin lagi? Kalau acu pun, tak nak kahwin dengan orang yang tak kenal. Walaupun orang tu kacak dan macho sekali pun. Nak juga rasa bercinta dulu sebelum kahwin.”

“Acu jangan masuk campur urusan orang tua. Sampai giliran acu nanti pun, acu akan kahwin dengan pilihan mak. Jangan sesekali gatal nak bercinta pula.” Puan Habsah memberi amaran.

“Kupas bawang kemudian potong sayur tu. Achik tak ada, acu kena tolong mak masak sampai habis. Jangan nak lari masuk bilik pula.”

Acu pandang mak dengan wajah tak puashati. Sebab achik, dia pulak kena jadi galang gantinya.

“Achik mana,’ soal along dan angah serentak. Masing-masing tarik kerusi nak makan. Mereka baru sahaja balik berjogging.  

“Dah balik UPM. Ini semua sebab along dengan angahlah. Gatal nak kahwin cepat, achik jadi mangsa,” marah acu.

“Achik tak tahu ke hari orang datang merisik secara rasmi mak,” tanya along tanpa menghiraukan kata-kata acu.

“Tak. Mak lupa nak cakap semalam. Ingatkan pagi ni dia ada lagi dekat sini,” keluh Puan Habsah. Achik ada kalanya jadi anak degil yang memberontak dalam diam. Biasanya dia suka bawa diri sorang-sorang sehinggalah hatinya sejuk.

“Tak apalah. Dia tak ada pun tak ada masalah,” sambungnya lagi. Merisik dan bertunang, achik tak ada pun tetap boleh dijalankan dengan sempurna.

“Kalau tak dia boleh kenal bakal suaminya hari ni. Mungkin tak adalah dia marah sangat nanti. Mana tahu boleh jatuh hati pandang pertama,” balas along pula. Rasa kasihan pulak kepada bakal adik iparnya itu, tak dapat melihat bakal isteri hari ini.

Acu cemik bibir. Iyalah sangat. Ingat hati achik ni mudah sangat berubah. Senang-senang nak terima orang macam petik jari aje?

“Achik tu baru lepas kecewalah along. Takkanlah secepat itu hatinya terubat. Ini pula dipaksa kahwin. Kalau acu pun tak boleh nak terima orang lain lagi. Lainlah kalau diberi masa kenal dan kawan-kawan dulu.” Macam bertih jagung acu bercakap bagi pihak achik. Kasihan achik.
Terdiam kedua abangnya. Puan Habsah pun turut terdiam. Mengakui kebenaran kata-kata anak bongsunya. Tapi kata putus telah diambil. Dia dan suaminya tidak akan sesekali mengubahnya. Lagipun dia yakin ini adalah yang terbaik untuk achik.

“Baguslah. Mana tahu kekecewaan achik tu bakal terubat,” suara angah. Acu jegil mata pandang angah. Manusia pentingkan diri sendiri!

*****

“Awak dah giler ke?” jerkah Ami sebaik sahaja panggilannya dijawab. Hatinya benar-benar kena rasuk angin puting beliung.

“Assalamualaikum Amina Nabila,” jawab Amru tenang. Dia dah agak dalam masa terdekat akan dapat panggilan daripada Ami. Tapi tak sangka secepat ini.

Huh... sakitnya hati. Boleh lagi lelaki ni berlagak tenang. Sukalah dapat paksa dia ikut kehendaknya.

“Awak ni kenapa? Tak faham bahasa ke? Kan saya dah cakap tak nak jumpa awak. Tak nak ada kaitan dengan awak lagi. Kenapa awak buat saya macam ni?” Suara Ami tertahan-tahan menahan rasa. Dia ketap gigi. Marah sangat sampaikan menggigil badannya.

Baru sekejap tadi acu whatapps gambar majlis merisik sekali bertunang dalam group keluarga. Dia tak tahu pun hari ni dia akan dirisik secara rasmi. Namun hatinya lega. Tak perlu ditayang muka plastik di depan bakal mertuanya. Acu siap tunjukkan dua bentuk cincin yang diberikan. Bila acu muatnaikkan gambar bakal suaminya dia terkaku. Tidak percaya lelaki itu rupanya abang kepada Ain Najwa. Matanya panas. Hatinya meluap marah. Dia teresak sendiri. Tak mampu nak gambarkan apa yang dirasakan di dalam ini. Sakit sangat. Mainan apakah ini? Menguji dan terus menguji ketahanan mentalnya.

Amru diam menadah telinga mendengar Ami memarahinya. Dibiarkan gadis itu melepaskan perasaan. Dia dah bersedia menghadapinya.

“Tolonglah.. Saya rayu kat awak, jangan ganggu hidup saya. Kita lupakan kisah malam tu. Kita jalani hidup masing-masing seperti biasa. Awak tak perlu nak bertanggungjawab. Saya dah maafkan awak. Tolonglah,” rayu Ami dalam tersedu-sedu.

Amru tarik nafas panjang sebelum menjawabnya, “tak semudah itu. Saya tetap nak bertanggungjawab, Ami. Apa yang terjadi malam tu bukan mimpi dan bukan boleh dilupakan begitu aje. Ia melibatkan maruah awak, juga maruah saya. Apa kata keluarga kita bila tahu perkara semua. Banyak awak kena fikirkan sebelum buat keputusan.”

“Mereka takkan tahu kalau awak tak bagitahu. Cukuplah kita aje yang tahu dan lupakan.”

“Habis awak ingat Allah taala tak tahu? Boleh sembunyikan dari Allah?” tempelak Amru.

Ami terkedu. Serta merta dia memutuskan talian. Dia jatuh terduduk di sisi katil. Kata-kata Amru tadi benar-benar memukul hati dan kesedarannya. Allah taala tahu apa yang telah mereka lakukan. Bertaubat dan meminta ampun dari-Nya yang paling penting. Walaupun solat taubat telah dilakukan namun, hatinya tetap juga tidak tenang. Dirinya juga masih lagi terasa kotor.

Telefon berdering tidak dihiraukan. Dia sibuk layan lara hati. Dia pandang sekilas nama yang keluar di skrin telefon. Mak? Tentu sekali mak nak pujuk dia. Kemudian cerita apa yang mereka bincangkan tengahari tadi. Dia tidak mahu tahu. buat masa sekarang dia mahu pujuk hatinya dulu supaya redha. Tapi susahnya nak pujuk. Menerima lelaki itu bererti mengulangi peristiwa hitam itu. Tak cukup lagikah apa yang dia ambil malam itu?

“Kau ni kenapa?” Wawa terus menerpa Ami yang menangis di sisi katil sebaik sahaja dia buka pintu bilik.

“Kau okey ke tak ni?” soal Wawa. Wajah merah dan muka sembap Ami memberiahunya Ami dah lama menangis tanpa henti.

Soalannya membuatkan tangisan Ami semakin kuat. Hatinya belas, akhirnya dia tarik Ami ke dalam pelukannya. Dia peluk Ami kuat. Dia biarkan Ami melepaskan perasaannya. Hampir sejam duduk di sisi katil, akhirnya tangisan Ami semakin surut. Wawa tolak bahu Ami. Dia kesat air mata yang bersisa di pipi Ami.

“Dah lega ke belum? Kalau tak lega lagi aku nak pergi ambil baldi, tadah airmata kau,” Wawa mengusik.

Ami ketawa dalam tangisan. Dia angguk.

“Bangunlah. Sakit bontot aku ni duduk lama-lama atas simen sejuk ni,” Wawa tarik tangan Ami supaya mereka dapat bangun bersama-sama.

“Kau nak cerita dekat aku sekarang ke nak tunggu perasaan kau okey dulu,” soal Wawa prihatin. 

Kasihan sahabatnya ini, mesti hatinya sedih sangat. Baru semalam balik ke rumah keluarga, hari ni dah balik sini. Tentu ada sesuatu yang terjadi. Kalau tak, Ami takkan balik secepat ini.
Ami diam. Wawa faham maksudnya itu. Jadi dia tidak akan bertanya lagi sehinggalah Ami buka mulut bercerita sendiri.

“Kau dah makan ke belum?” Ami geleng kepala.

“Aku pun tak makan lagi. Nasib baik aku tapau nasi lebih tadi. Boleh kita makan sama-sama.”

Ami pandang Wawa. Dia terharu.”Aku pergi basuh muka sekejap.”

Mereka makan tanpa suara. Ami makan perlahan. Dia sebenarnya tak ada selera nak makan. Tapi perutnya dah terasa pedih. Nak tak nak kena makan juga.

“Terima kasih Wawa,” perlahan Ami menuturkannya.

“Terima kasih buat apa? Aku tak ada buat apa-apa pun,” balas Wawa.

“Sebab tumpangkan aku dekat sini. Berkongsi makanan dengan aku. Pujuk aku bila menangis,” Ami bilang satu persatu apa yang Wawa telah lakukan untuknya. Dia bertuah kerana memiliki sahabat sebaik Wawa.

“Laa biasalah tu. Kita kan kawan. Apa gunanya kawan kalau tak dapat membantu antara satu sama lain. Hari ini hari kau, mungkin esok-esok hari kau pulak.”

Telefon Ami berbunyi lagi. Wawa pandang skrin telefon itu.

“Mak kau telefon tu, angkatlah.”

Ami geleng kepala. “Nanti-nanti aku telefon balik. Aku tak nak bercakap dengan mak aku buat masa sekarang. Aku takut nanti aku terlepas cakap.” Ami ketap bibir kuat. Dia terasa mahu menangis lagi.

“Tak baik kau. Mesti mak kau tengah risaukan kau tu. Kalau tak, takkanlah banyak panggilan tak dijawab dari keluarga kau ni. Sekurang-kurangnya jawablah. Bagitahu kau baik-baik dekat sini. Nanti bila hati dah tenang semula, kau telefon balik.” Ami diam. Masuk juga nasihat Wawa ke dalam hatinya. Walaupun marah sangat, dia tetap sangat sayangkan mak, ayah dan adik beradiknya.
Sekali lagi telefon berbunyi. Kali ini jari tangannya menekan butang ikon gambar telefon hijau.

“Alhamdulillah...” berkali-kali kalimah alhmadulillah maknya ucapkan.

“Achik pergi mana? Kenapa tak angkat telefon. Kalau tak angkat lagi telefon ni, mak nak ajak ayah pergi buat laporan polis dah. Achik hilang,” Puan Habsah meluahkan kerisauannya. Sejak petang tadi mereka sekeluarga cuba menghubungi achik. Namun tak dapat. Dia dah susah hati. Takut berlaku perkara buruk kepada anak gadisnya itu.

“Achik minta maaf buat mak dan ayah risau.”

“Kami semua risaulah. Buat lagi perangai budak-budak tak cukup umur lagi, angah jumpa siaplah,” terdengar rungutan angah dari corong telefon mak. Ami menahan sendu.

“Achik tak apa-apa mak. Achik tengah makan dengan Wawa ni. Nanti achik telefon mak semula.”

“Lega hati mak. Lain kali jangan buat lagi. Kalau marah sekali pun angkat telefon tu. Nasib baik mak tak naik darah sebab risaukan achik.”

“Achik minta maaf mak. Achik janji tak buat lagi.”

“Mak tak marah. Mak risau. Nanti bila hati achik dah tenang telefon mak. Jangan pendam semuanya dalam hati. Marah, tak puashati dengan tindakan mak ni, luahkan dekat mak. Mak sentiasa ada untuk achik. Achik anak mak. Untuk anak-anak mak, mak mahukan yang terbaik.”

“Mak jumpa bakal suami achik petang tadi. Mak percaya dia adalah calon menantu yang terbaik untuk achik. Jangan ikut kata hati sangat. Mengadu pada Allah agar lembut hati achik menerimanya.”

“Achik tahu mak..” Ami dah sebak. Air matanya kembali gugur. Wawa pandang Ami. Dia tepuk belakang Ami perlahan, memberikannya semangat. Dia tidak tahu apa yang berlaku.

“Jangan lupa telefon mak.”

“Baik mak. Assalamualaikum..”

“Waalaikumussalam.”

Ami kesat air mata.

“Makhluk perosak tu bakal jadi suami aku!”

“Dalam masa terdekat ini.”


Wawa pandang wajah basah Ami tanpa berkelip. Tak percaya. 


Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Featured