Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Selasa, 30 Mei 2017

Mei 30, 2017

Bab 1 : SE Puasa dan Raya #NurHisyam


"Yeah! Esok puasa," hampir melompat Nur apabila mendengar pengumunan oleh Penyimpan mohor besar raja-raja. Hisyam menggelengkan kepalanya.

"Bukan main lagi suka. Tapi puasa penuh ke tak?" sindir Hisyam secara halus. Sengaja ingin mengusik isterinya. Biasalah kalau tidak mengusik dalam sehari terasa hidupnya takkan lengkap apabila tidak melihat muncung itik milik isterinya.

"Well.. Wanita kan tidak diwajibkan puasa penuh apabila mereka tiap-tiap bulan diberi cuti oleh Allah s.w.t. Jadinya walaupun puasa tidak penuh, tetapi tetap diwajibkan menyambut hari raya," dengan nada sedikit berbangga Nur menjawabnya.

"Eh,Pandainya dia, bini siapa laa tu," sengaja dilayan cakap dengan isterinya yang sedang elok bersila di atas sofa di sebelahnya.

"Isteri siapa lagi kalau bukan Ustaz Hisyam kan. Ustaz kerek... hahahhaa," lagi ditambah rencah di dalam percakapannya dengan senyuman sinis.

"Lagi satu, jika berjanji dan tidak menunaikan janji tersebut, dikatakan orang munafikkan bang?" Sengaja Nur bertanya sambil mengangkat keningnya.

"A'aaah... Ada orang berjanji dengan sayang ke? Dan tidak tunaikan janji tu?" Soal Hisyam sampaikan berkerut dahinya. ada dia berjanji apa-apa ke sebelum ni? Rasa tak ada. Kisah dia mungkir janji dula rasanya dah settle. Mereka hidup baik-baik je. Bahagia penuh cinta.

"Abang lah"

"Abang? Janji apa? Tak ingat pun."

"Janji nak sambut puasa kat kampung, tapi esok nak puasa pun masih ada kat sini lagi?"

"Eh.. bila pulak abang berjanjinya? Tak ingat pun."

"Ada.. masa kita on da way pulang ke rumah masa malam nisfu sya'ban dulu.. ingat tak?"

Hisyam terdiam. Betul.. dia tidak ingat bila pula dia berjanji...

"Sori sayang, memang abang tak ingat. Rasanya malam tu tidak ada pulak abang janji."

"Memang abang tak cakap apa-apa, tapi Nur yang cakap dan abang mengiyakan segala apa yang Nur cakap malam tu."

"Haaa ada ke? Abang tak dengar kot tapi bantai angguk je."

"Cantikkan bulan malam tu.. penuh dengan dipagari bintang-bintang.. "

"Huh bencilah abang ni, Nur cakap lain, dia pusing topik lain. Tak nak kawan," Nur mula memuncungkan mulutnya. Tangannya dilipatkan ke dada.  

"Kalau macam tu abang kawan dengan Fatihah laa, boleh yang," usik Hisyam.

"Huh, Tak kisahlah abang nak kawan dengan sesiapa pun." Nur terus angkat kaki tapi sempat disambar pergelangan tangannya oleh Hisyam. Hisyam senyum-senyum.

"Dah merajuk? Mari sini abang pujuk..." Hisyam menarik tangan Nur sehinggakan dia terduduk di atas ribanya.

"Abang dengar sayang malam tu. Tapi kita balik minggu depan ya.. Maafkan abang sebab tak tunaikan janji sambut puasa kat kampung," pujuk Hisyam sambil merangkul badan isterinya.

"Janji..."

"In Shaa Allah," angguk Hisyam. Nur kembali senyum

"Tapi sahur malam ni nak makan apa?"Soal Nur berkerut dahi. Takkan aku kot kena bangun masak pukul empat pagi.. Huaaa... tak mau... nak tidur.. biasanya sahur umi yang kejutkan. Masa kat kolej dulu Intan atau Fatihah yang kejutkan..

Teringatkan Fatihah, satu persoalan timbul di dalam hatinya. Kenapa Fatihah balik secara tiba-tiba hari itu. Padahal dia cakap nak duduk di sini selama mana yang dia suka. Lagipun Nur tahu, Fatihah suka Hisyam. Telefon tak aktif. WhatApps pun dah tak aktif. Itulah yang dia tertanya-tanya. Apa yang terjadi hari itu. Rasa macam ada yang Hisyam sembunyikan daripada pengetahuannya.

"Sayang laa bangun masak.. kejutkan abang sahur."

"Hah?” bulat mata Nur mendengarnya.

“Masalah besarlaa bang..." Nur tunduk. Dipicit-picit kepalanya.

"Kenapa?"

"Nur tak pernah bangun masak sahur. Sejak dulu umi yang kejutkan.. masa kat kolej tugas tu Fatihah atau Intan. Orang mana bangun kalau tak ada orang kejutkan. Lagipun orang mana makan pagi-pagi. Bangun minum air jah" jelas Nur dengan wajah yang sengaja minta dikasihani.

"Hmmmm.. Kalau macam tu.. nanti abang kejutkan.. ok?"

Nur tersengih lebar... "betul nih?"

"Betullah. Abang kejutkan sayang untuk bangun masak sahur nanti"

"tapi untuk masaklah..hahhaha"

Nur mencebik geram.. sehari tak kenakan orang tak boleh ke?

****

"Sayang... bangun.. sahur" kejut Hisyam sambil mengusap kepala isterinya.

"Hmmm.. jap lagi laa.. ngantuk,"  rengek Nur.

"Bangunlah masak. Abang nak sahur makan apa nanti," gesa Hisyam lagi.

Nur mendengus geram. Tidurnya yang lena dikacau. Masak sendirilah tak boleh ke? Orang mana pandai masak, dia yang pandai masak, bebel Nur di dalam hati. Dalam mamai dan mengantuk lagi, dia masih lagi sempat membebel.

Hisyam menggelengkan kepala, dua tiga kali dikejutkan pun, isterinya masih lagi liat bangun. Bukan suruh dia memasak pun, acah je, semuanya telah siap disediakan. Jarum jam telah menunjukkan pukul 5.15 pagi. Memang masa untuk bangun sahur.

"Sayang!" Kuat bunyinya.

"Kalau tak bangun lagi abang ambil air simbah nanti," ugut Hisyam. Isteri siapalah yang degil sangat nih. Liat sungguh nak bangun.

"Yelaa.. yelaa.. orang bangun," Nur menjawab malas. Kacau betullah.

*****

"Siapa yang masak ni?" Soal Nur apabila melihat di atas meja siap terhidang nasi goreng kampung.

"Bukan ke Nur yang bangun masak" sindir Hisyam.

Nur mencebik lalu duduk di kerusi. Tangannya mula menyenduk nasi untuk suaminya.

"Untuk abang.. terima kasih kerana masakkan sahur ya.. terima kasih daun keladi.. Hari-hari kena buat lagi."

"Oooo pandai nak kenakan abang ya. Tapi Nurlah yang rugi."

"Kenapa pulak"

"Sebab tidak mengambil kesempatan di atas ketiadaan syaitan pada bulan mulia ni. Patutnya sayang bangun pagi-pagi, masak untuk abang kemudian ikut abang quamulail sama-sama, tadarus sama-sama."

Nur terdiam. Malu pada dirinya sendiri. Padahal tiada lagi syaitan yang mencucuk kiri ke kanan, patutnya dia dapat menangani kemalasan dan keculasan dirinya sendiri. Patutnya dia dapat menundukkan nafsu, bukan nafsu yang menundukkan dirinya.

Dia tunduk menguis-nguis nasi di dalam pinggannya. Dia memang tidak biasa makan pagi, sahurnya hanya segelas air suam dan tiga biji kurma, itulah yang diamalkan sejak dulu lagi.

"Kenapa tak makan."

"Tak ada selera. Biasanya orang sahur minum air suam dan buah kurma je," perlahan bunyinya.

"Makanlah sikit. Penat abang masak ni. Temankan abang ya. Kena biasakan diri makan bila sahur. Mula-mula makan sikit-sikit je.. lepas tu akan biasalah nanti."

Hmmmm.. dianggukkan kepalanya.

"Nanti tunggu solat subuh dulu baru tidur," pesan Hisyam lagi.

"Hmmm.. Nur nak mengaji dengan abang sekali," beritahu Nur. Hisyam tersenyum lalu mengangguk. Hatinya gembira sedikit demi sedikit isterinya pasti akan berubah. Cuma dia kena bersabar dan memberikannya masa.



Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Khamis, 25 Mei 2017

Mei 25, 2017

Cinta Bas Express : Bab 1

Salammm Semua... 
Next Mini Novel terbaru dalam proses pertukangan... Semoga terhibur... 



Gadis itu kaku di tempat duduknya. Yafit pandang sekilas. Samar-samar lampu jalan membuatkan dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah gadis itu. Namun dia yakin, tentunya comel. Anak gadis Kelantan memang comel-comel belaka. Namun wajah itu muram. Ada kesan air mata di pipinya. Serta merta hatinya tiba-tiba prihatin.
“Boleh tak awak jangan pandang saya. Nak tidur pun tak boleh,” tegur gadis itu.
Yafit tersentak. Belum sempat menegur, gadis itu telah menyergahnya. Dia tersengih sambil gosok kepalanya. Terkantoi tenung anak dara orang. Boleh tahan garangnya!
“Dahlah muka macam penyagak, perangai pulak miang gatal. Kalau awak tenung lagi, saya adu dekat pak cik driver tu. Biar dia tinggalkan awak tepi jalan!” ugut gadis itu.
Yafit rasa mahu ketawa. Berani betul dia. Tak padan dengan kecik. Ada hati ugut orang. Lambat-lambat kepala Yafit kembali mengadap ke depan. Dia gosok batang lehernya apabila matanya masih lagi mahu memandang gadis itu.
“Awak comel sangat. Sebab tu mata saya asyik nak tengok awak je,” ayat Yafit. Dah lama skill menguratnya tidak diasah. Tajam lagi ke tidak ni? Agak-agak boleh cair tak gadis di sebelahnya ini.
Terdengar gadis itu mendengus kasar. Geram barangkali. Tapi betul apa yang dia cakap tu. Bukannya mengeji tapi memuji. Takkan itu pun tak boleh.
“Saya tak makan pujian. Tak payah puji sangat. Saya tak ada hati nak kenal orang berjambang macam awak ni!”
Yafit geleng kepala. Sombong!
Seketika kemudian, terdengar deringan telefon bimbit. Gadis itu cepat-cepat angkat.
"Assalamualaikum Mak Eton.. Sarrah dah naik bas Mak Eton. Sampai nanti terus terus ke hospital." Terdengar gadis itu menjawab salam. Perlahan suaranya. Seketika wajah itu berubah mendung. Beberapa detik kemudian, titis air mata jatuh membasahi pipinya.
Yafit terdiam. Ada rasa ingin tahu muncul di benaknya.
Sarrah.. Ooo nama dia Sarrah. Maksudnya yang cantik. Kena pada tuan punya nama. Cantik dan comel. Pipi tu licin bak telur dikupas. Leka memerhati, tiba-tiba gadis itu berpaling!
“Awak ni memang tak reti bahasa ke? Tak faham bahasa melayu? Nak saya cakap bahasa apa cina? Tamil?” jerkah gadis itu lagi.
Yafit terkulat-kulat memandang wajah basah dengan air mata tapi matanya bersinar garang. Dia angkat tangan.
“Sorry.. Awak comel. Sebab tu saya terlupa nak pandang tempat lain,” bisik Yafit. Lembut dia memandang wajah basah itu. Namun jelingan yang dapat. Bibir nak senyum tak jadi. Tak mahu lagi kacau orang. Gadis itu sedang menangis.
“Huh!! Miang!” terdengar dengusan kuat keluar dari bibir gadis itu sebelum dia mengiringkan tubuh mengadap tingkap bas. Cardigan panjang ditubuhnya di tarik melepasi kepalanya.
Yafit sengih. Dia garu kepala. Hahaha.. padam muka aku. Gatal sangat tengok anak dara orang. Kan dah terkena! Tapi sikit pun tak ambil hati. Memang salah dia yang tak mampu nak alih matanya memandang tempat lain.
Beberapa jam kemudian, bas berhenti di Merapoh. Lampu di dalam bas terpasang. Tersedar dari lena, Yafit mengeliat seketika. Dan matanya tersinggah di wajah gadis di sebelahnya. Jantungnya berhenti terdetik seketika. Matanya terpaku. Subhanallah, cantiknya! Pujian tidak lekang di hati. Wajah polos itu kelihatan tenang dalam tidurnya.
Jatuh hati pandang pertama?
Ya itulah yang dia rasakan saat ini. Sayang mahu mengalih pandang tapi pundi kencingnya hampir pecah menampung urin. Nak tak nak, kena turun juga.
“Cik, bas dah berhenti. Tak mahu turun?” kejut Yafit.
Gadis itu mendengus. Tiada jawapan sebaliknya gadis itu memalingkan wajah kembali ke arah tingkat. Yafit geleng kepala. Segera dia bangun dan turun menuju ke tandas. Lima belas minit kemudian dia kembali. Gadis itu masih lagi tidur.
‘Lena ke? Bisik hati kecilnya.
“Saya ada belikan air mineral dan roti untuk awak. Saya letak kat sini. Nanti makan ya,” beritahu Yafit. Gadis itu diam tak bergerak. Hmmm... tidur kot.
Sampai sahaja di stesyen bas Kota Bharu, gadis itu bergegas turun. Langkahnya laju. Yafit mengejarnya dari belakang. Rasa ingin tahu membuatkan dia terlupa janjinya dengan Zairil. Diekori langkah gadis itu. Jalan raya masih lagi lengang.Yafit geleng kepala.
‘Berani betul minah ni? Pagi-pagi buta macam ni berjalan sendirian.’
Telefonnya tiba-tiba berbunyi.
“Kau kat mana bro? Aku dekat bas kau ni, tak nampak pun.”
Yafiq tepuk dahi.
“Sorry, aku lupa. Kau tunggu aku dekat Hospital besar lah. Aku tengah berjalan ke sana.”
“Eh, buat apa ke sana?”
“Nanti aku cerita!” telefonnya dimatikan. Dia pantas mengejar. Ternyata Sarah lebih laju berjalan darinya.
‘Berani betul minah ni, jalan sorang-sorang pagi buta ni. Kalau orang rogol ke, tak ada orang tahu,’ bebel Yafiq sendirian. Entah mengapa hatinya pula risaukan keselamatan gadis itu. Dalam beberapa jam kenal, gadis itu tanpa disedarinya telah menguasai akal fikirannya.
Sampai sahaja di hospital, bayangan Sarah menghilang.
Yafiq hilang arah. Lagipun dia tidak berapa tahu selok belok hospital ini. termangu-mangu di lobi hospital. Beberapa orang pak guard pandang-pandang ke arahnya. Pelik. Cepat sangat minah tu menghilang.
“Woit, kau buat apa dekat sini?” panggil Zairil. Bingung melihat tingkah laku sepupunya sendiri, tercari-cari sesuatu.
“Cepat kau sampai?” Yafiq melangkah mendekati Zairil yang berada di dalam kereta.
“Cepatlah masuk!” gesa Zairil. Dia macam nampak sesuatu di tingkat dua blok baru itu.
Yafiq pandang lagi sekitar hospital. Matanya masih lagi mencari bayangan Sarrah. Takkanlah cepat sangat dia menghilang. Baru sekejap dia alih pandang, dah tak ada. Sebuah kereta saga warna merah model lama melintasinya.
“Kau sesat ke?”
“Tak lah,” balas Yafit. Matanya masih lagi memandang hospital.
“Habis yang kau pergi sampai ke hospital buat apa?” Zairil dah rasa lain macam. Hatinya kecut. Mulutnya dah terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-quran yang terlintas di dalam hatinya.
“Aku ikut Sarah.”
“Siapa Sarrah?” Zairil dah pelik.
“Perempuan yang duduk sebelah aku di dalam bas tadi.”
“Buat apa kau ikut dia? biar betul? Ni hospital, beb!” tak logiklah seorang gadis berani berjalan seorang diri menuju ke hospital melainkan dia itu cik hantu!!
“Aku risaukan keselamatan dia.”
“Di sini kau tak perlu risau sangat. In Shaa Allah selamat nak berjalan pagi-pagi ni. Lagipun masa ni dah banyak kenderaan keluar masuk ke bandar,” balas Zairil. Sebenarnya lebih pada nak menyedapkan hati sendiri je.
Yafiq terdiam.
“Yang kau datang sini naik bas, kenapa? Tiket flight dah habis ke?”
“Saja nak tukar angin. Lagipun transport aku dekat jepun bas dengan tube aje.”
Zairil geleng kepala. tahu sangat perangai Yafiq, suka buat kerja luar alam. Suka susahkan diri sendiri padahal, dia mampu hidup senang.
“Jomlah balik! Aku mengantuk ni,” ajak Zairil. Tak sanggup dia berada lama di sini.
Tapi Yafit enggan berganjak. Dia mahu tahu tentang gadis itu dan apa yang dibuatnya di hospital pagi-pagi buta ni.
“Woi.. Kau dengar tak cakap aku ni. Jomlah balik!” keras suara Zairil mengajak. Dihujung koridor, dia ternampak lagi bayangan putih berdiri tegak. Terasa tidak lepas menelan air liurnya sendiri. Di tarik tangan Yafit.
“Sekejaplah aku nak tanya pak cik guard tu.
Zairil tarik nafas. Nak tunggu di kereta pun dia tak berani. Tak pasal muncul pocong di belakangnya.
“Siang boleh tanya. Tak larilah minah tu. Itu pun kalau dia tu manusia,” Zairil ketap bibir sendiri. Bayangan putih berupa pocong itu semakin mendekati mereka. Dia dah takut. Ditarik lagi tangan Yafit.
“Cepatlah weh!” ditarik tangan Yafit.
“Tunggulah kejap!”
“Kalau kau tak nak ikut. Aku tinggal kau kat sini. Kau balik sendirilah,” putus Zairil. Tak sanggup lagi dia menunggu. Terus diangkat kaki menuju ke keretanya.
“Wei Ril.. tunggu aku!” Nak tak nak Yafit terpaksa ikut Zairil.

Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Rabu, 17 Mei 2017

Mei 17, 2017

Cerpen Fairytale : Si Kacak dan Si hodoh

Cerpen ini spontan dibuat untuk menyahut cabaran rakan penulis @AQ Novelis 
Ia adalah cerpen berangkai dengan tema-tema cerita fairy tale.. Saya dapat tema Beauty and the Beast. Ditukar menjadi Si Kacak dan Si hodoh... 
Cerpen Fairy tales dengan penampilan istimewa kasut kak peah.
Kak Lynn Safiya - Mr Frozen
Yumi Hyra - Encik Rapunzel
Jaja Ahmad - Puteri Jasmeen-A
Aein Dhiyauddin - Pakcik Cinderella
Dhiyana Novelist - Mr Aurora ( sleeping handsome)
Mr Hondsome and Beasty - Shima Rostam
Mr Snow White - AQ Novelis




Panggg....

Buat ke ratus ribu kali, cermin menjadi mangsa. Retak seribu dan pecah berderai. 

Arrggghhhh... Raungan pilu seorang gadis hampir didengari oleh semua orang yang berada di villa mewah atas bukit itu.

Jason tersentak. Terkejut.

"Siapa yang menjerit tu?" spontan soalan ditanyakan kepada Encik Noh. 

"Cik Bella," jawabnya. Senyum segaris diberikan. 

Raungan itu telah biasa didengarinya. Jadi tidak ada yang mengejutkan. 

"Kenapa dengan dia?" Jason ingin tahu. Villa ini terasa sepi. Lebih-lebih lagi selepas bunyi jeritan tadi. 

"Tentu dia tertengok cermin lagilah tu. Tak ada apa yang perlu dirisaukan Tuan Jason."

"Kenapa dengan cermin? Dia tak suka tengok wajah dia sendiri ke? Muka hodoh?" tidak puas hati dengan jawapan Encik Noh, Jason bertanya lagi.

Encik Noh angguk.

"Wait. Don't tell me, that Bella is my future wife?"

Encik Noh angguk lagi. Jason berhenti melangkah. Dia pegang kepala. Kemudian diusap tengkuknya sendiri. Mukanya pucat. Menyesal! Tapi apa gunanya bila diri sendiri yang sanggup tawarkan diri menjadi suami kepada gadis hodoh itu. 

Encik Noh pandang Jason, bersimpati. Tapi dia lebih banyak bersimpati dengan Cik Mudanya. Sudahlah yatim piatu, dikhianati pula oleh adik kandungnya. Kerana cemburukan kecantikan yang dimilikinya, adiknya Cik Melia sanggup berikan set penjagaan muka beracun untuk kakaknya. Habis rosak muka Cik Bella sehinggakan dia malu nak keluar villa ini. Telah lama Cik Bella mengurungkan dirinya di dalam Villa ini. 

"Saya tidak mahu. Macam mana saya nak hidup dengan dia seumur hidup kalau rupanya saya jijik nak pandang?" getus Jason. Tanpa fikir panjang dia mahu tarik diri. Hancurlah statusnya sebagai pakar bedah plastik yang kacak kahwin dengan si hodoh.

"Saya tak memaksa Tuan Jason. Tapi jika Tuan Jason tarik diri, ini telah melanggar kontrak. Jadi Tuan kena bayar ganti rugi sebanyak RM10 juta," jelas Encik Noh dengan tegas. Selaku peguam Cik Bella, dia akan melaksanakan tugasnya sebaik mungkin. Memastikan Cik Bella berkahwin dan memiliki zuriat sebagai syarat untuk mendapatkan harta peninggalan orang tuanya. Dia sama sekali tidak akan membiarkan harta pusaka itu dibolot oleh Cik Melia sahaja.

Terdiam Jason dibuatnya. Duit itu 30 peratus telah digunakan untuk membeli peralatan laser bagi kegunaan kliniknya. 20 peratus digunakan sebagai deposit rumah banglo 2 tingkat di Sri Kayangan dan kereta barunya. 

Encik Noh senyum sinis. Tentu sekali Jason tidak mampu menarik diri lagi. 

"Lagipun apa yang susah. Tuan kan pakar bedah kosmetik. Tentu sekali boleh mengubah wajah si hodoh kepada si cantik. Cik Bella dulu adalah antara yang tercantik di Malayland ni. Kerana cemburu dan iri hati dia jadi mangsa kejahatan adiknya sendiri."

Jason diam tak terkata apa dah. Dia ikut langkah Encik Noh ke dewan makan. Macam orang kalah. 
***
Tok.. Tok.. Tok..

"Cik Bella.." perlahan tombol pintu dipulas. Dalam takut-takut Kak Limah menjenguk ke dalam bilik yang serba suram.

Dia bercekak pinggang. Hilang takutnya. Bilik dah tak serupa bilik. Serpihan kaca cermin bersepah. Tilam dah bogel, Cadar dah berselerak di atas lantai. Kekabu bantal penuh satu bilik. Empat biji bantal telah menjadi mangsa keganasan Cik Bella. 

"Apa yang Cik Bella dah buat ni? Kot iya pun nak mengamuk, jangan bagi masalah kat saya. Penatlah nak kemas bilik tak serupa bilik ni," bebel Kak Limah sambil berjalan masuk ke dalam bilik. Tangan pantas mengutip kain-kain yang berselerak. Berhati-hati dia memijak lantai marmar itu agar tidak terpijak kaca. 

Cik Bella diam. Tidak ambil pusing bebelan orang gajinya. Dia telah buruk tentu sekali orang tak mahu peduli. Dia yakin sangat bakal suaminya nanti cabut lari. Iyalah muka buruk, nak tengok pun jijik.

"Pergi siap Cik Bella. Kak Limah nak kemas bilik ni. Bakal suami Cik Bella dan Encik Noh dah sampai. Mereka menunggu di dewan makan,"beritahu Kak Limah.

Cik Bella tak berganjak. Dia buat tak dengar apa yang Kak Limah beritahu. Buat apa nak jumpa kalau dia tahu nanti lelaki itu akan berlari keluar tak cukup tanah apabila melihat wajahnya.

"Cik Bella! Cepatlah. Nanti lama pulak mereka kena tunggu," gesa Kak Limah. 

Cik Bella berpaling pandang Kak Limah seketika sebelum berkata, "Tak payah jumpalah Kak Limah. Saya yakin lelaki itu sama je dengan calon-calon sebelum ini. Tengok muka saya terus lari. Tak pun muntah hijau."

Terhenti tangan Kak Limah yang ligat mengemas itu. Dia pandang Cik Mudanya, lama. Simpati dan kasihan. Dulu si cantik dan kaya. Sekarang si hodoh dan kaya. Tapi bakal kehilangan kekayaan dimiliki jika dalam setahun ini, Cik Bella tidak berkahwin dan mempunyai waris. 

"Think positive Cik Bella. Lagipun saya dengar calon kali ni pakar bedah kosmetik. Dia tentu dapat terima Cik Bella dan merawat wajah Cik Bella kembali cantik," pujuk Kak Limah.

"Saya takut nak menaruh harapan lagi Kak Limah," keluh Cik Bella.

"Macam nilah Cik Bella. Jumpa dia nanti Cik Bella pakai niqab. Mata Cik Bella cantik. Jadi saya yakin bila dia tengok je mata Cik Bella, terus jatuh cinta. Lagipun orang kata, dari mata turun ke hati."

"Tapi itu menipu namanya Kak Limah. Pasangan yang bakal berkahwin diharuskan melihat wajah bakal suami atau isteri sebelum berkahwin untuk mengelakkan mereka menyesal selepas nikah," bantah Cik Bella. 

"Alaaa... Kak Limah yakin dia tahu keadaa Cik Bella yang sebenarnya. Kali ini kita guna muslihat sikit. Jika dia terpesona dengan mata hazel Cik Bella ni, saya yakin dia juga pandai menilai kecantikan sebenar Cik Bella," pujuk Kak Limah.

"Lagipun Cik Bella tak rugi apa-apa pun kalau dia cabut lari. Macam mana?" Kak Limah angkat kening. 

Lama Cik Bella berfikir sebelum bersetuju. "Okey, saya ikut saranan Kak Limah." 

"Ni yang Kak Limah sayang sangat Cik Bella ni walaupun selalu mengamuk sepahkan barang-barang macam budak tadika," dalam memuji Kak Limah menyindir. 

"Lainkali nak mengamuk, panggil Kak Limah. Nanti Kak Limah bawak pergi boxing."
Cik Bella angguk. Nak senyum dia tak mampu sebab mukanya akan sakit. 

"Cepat salin pakaian. Mereka dah lama menunggu."

***

Jason berpaling apabila mendengar tapak kaki yang semakin mendekatinya. 

"Maaf lambat Uncle Noh," lemak merdu suara Cik Bella meminta maaf. dia tunduk.

"Tak apa Bella, uncle pun baru sampai. Teh secawan pun belum habis lagi," balas Encik Noh.
Jason diam memerhati. Si tinggi lampai yang berabaya dan niqap. Inilah si hodoh bakal isterinya? Dahinya berkerut. Jauh dari yang dia bayangkan, bertubuh gempal dan pendek. Berwajah jelek penuh jerawat. Tapi ini, lekuk badannya pun telah membuatkan dia payah menelan liur. Walaupun pakaian yang dipakainya longgar dan serba hitam. Tapi tubuhnya langsing seperti model. 

"Kenalkan ini Dr Jason, bakal suami Bella. Jason, inilah Cik Bella, bakal isteri tuan." Encik Noh sebagai orang tengah memperkenalkan mereka. 

Jason terus terpesona apabila terpandang sepasang mata hazel yang cantik. Tidak berkelip matanya memandang mata Bella. Dan hatinya mula menyahkan rasa ragu-ragu yang menghuni tadi. Getaran cinta mula mengambil alih. Serta merta dia yakin mampu merawat wajah bakal isterinya cantik semula. 

Bella pula terpesona dengan wajah kacak Jason. Mata helang Jason tajam merenung matanya, membiuskannya. Membuatkan dia terpaku. Terasa getaran cinta mengalir dari mata turun ke hati. 
Ehemmm... Deheman Encik Noh mengembalikan mereka dari terus hanyut di alam asmara.

"Saya setuju Encik Noh. Aturkan pernikahan kami secepat mungkin," dengan yakin Jason bersuara.

"Tapi.. Saya hodoh.." perlahan suara Bella mahu menyedarkan Jason. Dia tidak mahu Jason menyesal nanti. 

Kak Limah dan Kak Peah yang mengintai sejak tadi rasa nak pergi ketuk kepala Cik Bella. Diam sudahlah. Dah orang nak kahwin tu, terus terima je. Lagipun tempoh masa semakin singkat. Cik Bella kena kahwin secepat mungkin.

"Mata Bella cantik. Itu sudah cukup bagi saya. Wajah tak penting. Hodoh, saya akan merawatnya jadi cantik!"

Kata-kata Jason itu membuatkan Kak Limah dan Kak Peah menjerit gembira. Akhirnya Cik Bella mereka akan kahwin. Dan mereka tidak perlu lagi mencari kerja lain.

"Minggu depan Encik Noh," arah Jason. Matanya masih lagi ralit memandang Bella. Tertangkap sepasang tangan putih mulus. Dia tahu di sebalik abaya itu tubuh Bella indah menawan. Dia jadi tidak sabar untuk menerokai keindahannya.

"Baik.. Jangan risau Kak Peah, Kak Limah dan Kak Lina akan uruskan majlisnya. Encik Noh uruskan hal berkaitan pernikahan itu," Kak Peah mencelah. Dia dah terlebih excited.

"Awak tak nak lihat wajah saya dulu?" tawar Bella. Dia tidak mahu Jason menyesal.

"Tak perlu. Lagipun selepas kahwin nanti saya akan lihat juga," balas Jason.

"Awak takkan menyesal nanti?" Bella inginkan kepastian.

"Saya tidak pernah menyesal dengan setiap keputusan yang saya buat."

Kata-kata itu membuatkan Bella terdiam.

Seminggu kemudian...

Pagi tadi mereka selamat disatukan. Melia datang kacau majlis mereka. Tapi mujurlah ketika itu mereka selamat bernikah. Cemburu dan dengkinya tak habis-habis. Lebih-lebih lagi apabila melihat ada lelaki kacak sanggup jadi suami kakaknya. 

“Kau bodoh sebab kahwin dengan si hodoh tu,” bisik Melia di telinga Jason. Jari lentiknya bergerak perlahan mengusap lengan Jason. 

Bella dah berpeluh tangan, takut sangat Jason bertukar fikiran apabila melihat senyuman menggoda Melia itu. Dia dengar dengan jelas kata-kata Melia itu.

“Tapi kalau you berubah hati, I boleh jadi ganti. I pandai panaskan malam you. Dia…” Melia jelling Bella yang berdiri tak jauh dari situ.

“Kaku. Tak ada pengalaman melayan lelaki,” tangan Melia dah merayap ke dada Jason pula.
Sesak nafas Bella dibuatnya. Macam mana kalau tiba-tiba Jason berubah fikiran. Dia masih tidak yakin Jason, si kacak ini ikhlas menerima si hodoh ini sebagai isterinya. 

“You know, I pakar dalam mengubah si hodoh kepada si cantik. Jadi setakat si hodoh, isteri I tu kacang sahaja I tukar jadi si cantik,” bisik Jason membalas. Nada suaranya tegas. Sejak jadi suami beberapa jam lepas, hatinya berubah menjadi protective. Seboleh mungkin dia mahu melindungi Bella dari disakiti. Dia dah tengok dan dengar sendiri orang mengumpat dan menyindir Bella, si hodoh yang tak sedar diri. Sakit hatinya. Tunggulah enam bulan lagi, si hodoh ini akan berubah rupa menjadi si cantik semula. 

“Dan I suka virgin. Tak berpengalaman no hal. Itu gunanya I sebagai suami untuk memberi tunjuk ajar,” sindir Jason. 

Dan tanpa kata Melia berlalu sambil hentak kaki meninggalkan mereka. 

“Bella..” panggil Jason. Hari telah larut malam. Pakaian pun telah bertukar, tapi niqab masih terletak elok di wajah Bella. 

“Come here…” panggil Jason. Dia bersandar elok di kepala katil. 

Teragak-agak Bella menghampiri Jason. Sampai sahaja di sisi katil, tangannya ditarik sehingga terduduk. Mata cantiknya bulat memandang Jason. Tidak jangka itu yang Jason lakukan. 

“Buka niqab tu,” arah Jason. 

Bella geleng kepala.

“Buka sayang, abang nak tengok wajah isteri abang ni,” pujuk Jason. 

“Saya tutup lampu dulu.”

“Tak perlu. Abang nak tengok wajah isteri abang. Kalau gelap macam mana nak tengok.”

“Wajah saya buruk. Nanti awa….”

“Mata Bella cantik. Abang rasa abang jatuh cinta sebab terpesona dengan mata Bella ni. Bukan wajah,” pintas Jason. 

Semakin bulat mata Bella mendengarnya. Tanpa sedar niqabnya di buka oleh Jason.

Melihat wajah isterinya buat kali pertama, Jason hilang kata. Berkerutu, bernanah dan iritasi kulit yang begitu teruk. Dia tarik nafas. Tapi kalau kena rawatan yang betul, boleh baik. Hmmmm… tak adalah teruk sangat. 

“Dah berapa lama wajah Bella macam ni?”

“Lima tahun.”

“Tak pergi jumpa doctor?” soal Jason lembut. Dia belek-belek wajah Bella. Nasib baik mata hazelnya tak terjejas. 

“Malu. Tak pernah keluar rumah sejak muka teruk,” akui Bella sambil tunduk. 

Jason angguk. 

“Abang akan ubati wajah Bella ni. Bella kena ikut apa yang abang cakap. Enam bulan nanti isteri abang akan berubah jadi cantik semula,” yakin Jason.

“Boleh ke?” soal Bella ragu-ragu. Ada doctor pakar plastic datang ke rumah merawatnya. Kata mustahil mukanya akan sembuh. Dan mereka tidak mahu merawatnya. 

“Boleh. Bella tengok je nanti.”ke dua belah tangan mulus Bella di bawa ke bibirnya. Haruman tubuh Bella mengganggu beast di dalam dirinya. 

“Jom tidur.”

“Erk… Abang tidurlah. Bella tidur bilik lain.”

Dahi Jason berkerut. “kenapa pulak.”

“Takut abang terkejut pagi esok, tengok muka buruk ni.”

Jason hampir ketawa. 

“Mengarut. Wajah buruk boleh dirawat. Perangai buruk tak boleh dirawat melainkan orang tu nak rawat dirinya sendiri. Lagipun wajah Bella je buruk. Yang lain semuanya cantik dan seksi,” bisik Jason menggoda. 

Bella tunduk, tersipu malu. Dan pujukan dan rayuan si kacak ini membuatkan keyakinan Bella kembali. Dia tersenyum bahagia. 

Enam bulan kemudian…

Kak Lina tersenyum puas dapat memberikan sentuhan ajaibnya kepada Cik Puan Bella. 

“Apa macam, cantik tak Kak Peah, Kak Limah?”

“Cantik!” jawab mereka serentak. Masing-masing teruja. Tak sangka dapat melihat wajah cantik Cik Puan Bellanya lagi. 

Bella dah tersipu-sipu malu.

“Kita welfie dulu. Aku nak tunjuk dalam facebook ni, biar seluruh Malayland tengok CIk Puan Bella dan cantik semula. Biar terlopong mulut-mulut yang suka mengumpat tu,” bebel Kak Limah. 

“Aku teringat cerita Beauty and The Beast. Rasa kena dengan kisah Cik Puan Bella ni.”

“ Handsome and The ugly girl.”

“Eh bukan the ugly duck ke?” Kak Peah dah confused. 

‘Hiap… duck apa pulak? 

“Beauty and the beast tu versi lelaki. Handsome and the ugly girl ni versi perempuan. Kau tengok ni, dulu nak tengok senyuman Cik Puan Bella pun susah. Sekarang ni manis bak gula bak hang..” bebel Kak Limah. 

Kak Lina dan Kak Peah angguk, setuju. 

“Sayang dah siap?” Jason muncul di sebalik pintu. Tangannya disembunyikan di belakang. 

“Dahhhh” serentak Kak Peah, Kak Limah dan Kak Lina tolong jawabkan. 

Bella senyum simpul. Apatah lagi mata Jason tak berkelip-kelip memandangnya. Langkah kaki Jason semakin menghampiri. Dan dalam diam ketiga tukang rias Bella mengundurkan diri. Memberi peluang kepada pasangan sama cantik, sama kacak itu. Bibir mereka tersenyum puas. Tak perlu lagi mereka risau. Mereka tetap akan terus berkhidmat di villa besar ini. 

“Hai beauty…”

“Hai Handsome..” Balas Bella tersipu-sipu. 

Sampai di depan Bella, dia tunduk dan meletakkan sepasang kasut berwarna beige. Bella pandang encik suami yang duduk di hadapannya, menyentuh kaki dan membuka selipar di kaki. Kemudian dipakaikan kasut tersebut. Cantik. kena dengan dress labuh yang dipakainya. 

"Terima kasih abang," berbunga hati Bella menerima layanan itu. Semakin bertambah sayangnya. 
Jason bangkit dan berdiri rapat. tangan kiri menyauk pinggang Bella dan tangan kanan naik menyentuh wajah isterinya.

“Cantik.. tentu sekali semua yang berada di bawah terkejut nanti,” bisik Jason. Tidak dapat menahan diri, bibirnya melabuh di pipi si isteri. 

“Jom.. Dah lama mereka tunggu..” 

Bella angguk. Lengan Si suami disauknya. Dan mereka melangkah turun menuju ke majlis annual dinner syarikat milik Bella. 

Oppss…. Lupa nak cakap, Melia terpaksa dimasukkan ke rumah sakit jiwa. Tidak dapat menerima hakikat yang kakaknya dah kembali cantik. Betul cakap Jason, dia Cuma perlukan enam bulan untuk merawat wajah isterinya. Dan kini semua orang terpesona dengan kecantikan yang dimilikinya. 
Bella mewarisi seluruh harta pusaka milik keluarganya apabila sebulan selepas berkahwin disahkan hamil. Cinta Jason telah mengembalikan keyakinan diri. Kecantikan tidak hanya pada wajah tetapi pada hati. Dari kerana mata Jason jatuh cinta padanya.

The end…

Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Khamis, 4 Mei 2017

Mei 04, 2017

Prolog - Aku Bukan Penggoda


Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Masih lagi rancak berpesta buku di PWTC minggu ini. Jangan lupa dapatkan novel terbaru saya terbitan +lovenovel enterprise  CINTA ASMA DAN FERHAD. Juga terbitan +Anaasa Publication  BERIKAN AKU PELUANG MENCINTAIMU. Gerenti Best!!

Sambung kerja dan sambung update blog.. Okey... Siapa yang ikut kisah ni dulu... Cuba komen ya. Ada ingat mereka lagi?


Lima belas tahun lalu…

“Kau dah buat apa yang aku suruh.”
“Dah puan.”
“Apa hasilnya?
“Kemalangan itu memang telah dirancang.”
Aminah diam.  ‘Memang aku dah agak! Menantu aku tak mungkin cuai,’ gumam hatinya.
“Macam yang puan agak hari itu. ACE Vision Art Sdn Bhd telah dimiliki sepenuhnya oleh keluargaTengku Yahya. Menurut setiausaha syarikat, pertukaran nama adalah sah dan ditandatangani sendiri oleh Encik Ibrahim dan anak puan.”
“Tak mungkin! Kalau betul ada saham syarikat bertukar tangan, sepatutnya mereka bayar mengikut harga semasa. Ini aku semak tidak ada satu sen pun dibayar di atas saham  tersebut.”
“Habis tu, apa rancangan puan?” Aminah diam. Dia geleng kepala kemudiannya.
“Aku tidak ada apa-apa rancangan. Aku penat hidup di tengah kota ni. Penuh dengan debu dan daki. Aku nak balik kampung.”
“Ini baki duit upah kau. Terima kasih atas maklumat yang kau dapat tu.”
“Tapi puan, saya tak nak semua ini. Saya mahu terus bekerja dengan puan.”
Aminah senyum. Khalid ni seorang yang jujur dan setia.
“Ada, aku ada kerja untuk kau. Nanti kau tunggu panggilan aku.”
“Aku balik dulu.”
“Okey puan. Saya akan tunggu.”
******
IPOH: 29 November,  Satu kemalangan maut melibatkan treler dan dua buah kereta berlaku lebuhraya utara selatan, arah selatan berlaku malam tadi. Kesemua mangsa maut di tempat kejadian.
Puan Aminah seka air mata dengan jarinya. Kemalangan itu mengakibatkan dia kehilangan anak, menantu dan cucu. Berita itu dibaca berkali-kali. Terasa baru semalam anak sulung telefon dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Tapi hari ini telah genap sebulan dia pergi meninggalkan dunia ini.
“Mak tok!”
“Iya sayang...”
“Uya rindu mama, papa dan adik.”
Puan Aminah menggamit cucunya mendekatinya. Kemudian dipeluk erat. Diusap perlahan tubuh kurus Baizura.
“Mak tok pun rindukan mereka. Bila rindu mak tok mengaji.”
Baizura pandang wajah jernih mak tok. Matanya basah. Air matanya lagi laju turun.
“Mak tok jangan tinggalkan Uya pula. Nanti Uya tak ada sesiapa lagi,” Baizura teresak.
“Mak tok ada. Mak tok akan jaga Uya. Mak tok takkan tinggalkan Uya.” Baizura terus peluk erat mak toknya.
“Uya....”
Baizura melepaskan pelukannya dan berpaling.
“Abang...” Lantas dia meluru ke dalam pelukan lelaki itu.
“Mama dah tak ada...”  raungnya. Hanya dengan lelaki itu baru dia dapat melepaskan perasaannya.
“Abang tahu. Uya masih ada abang, mak tok, pak ngah dan mak ngah lagi kan? Abang akan jaga Uya.”
“Abang takkan tinggalkan Uya lagi?” lelaki itu geleng kepala.
“Tak. Peperiksaan abang dah habis. Lepas ni abang akan temankan Uya.”
“Betul!”
“Iya, sayang. Betul.”
“Janji!”
“Janji!”
Jari kelinking saling berkait. Bibirnya tersenyum walaupun pipinya basah. Airmata masih lagi mengalir turun. Dia yakin lelaki ini tidak akan meninggalkannya lagi.
*****
Dua tahun kemudian…
“Mak nak kau ambil undang-undang Zam.”
“Tapi mak, Zam nak ambik perubatan.”
“Ambil undang-undang! Keputusan mak muktamad!”
“Kak ngah, tolong..” Zamri minta simpati kakaknya supaya memujuk mak mereka.
Nur Zahnita angkat tangan. Dia geleng kepala kerana tidak dapat membantu. Bukan mereka tidak tahu, bila mak sudah buat keputusan, ia sukar untuk diubah. Bahkan tidak pernah berubah. Zamri mengeluh. Dia garu kepala. Geram dan kecewa bermukim di hati. Dalam terpaksa dia patuh juga.
“Suatu hari nanti kau akan faham!” ringkas ucapan yang keluar dari bibir Aminah sebelum melangkah masuk ke dalam biliknya.
Sejak mereka kehilangan ayah, kakak long dan abang iparnya, sikap mak telah berubah. Tidak lagi mesra dan sentiasa tegas mendidik mereka.
“Kena marah? Soal budak perempuan bertocang dua sambil sengih-sengih mengejek. Dia mendengus dan jegilkan matanya. Mahu menakutkan budak perempuan itu. Sebaliknya budak perempuan itu datang menempel di sebelahnya sambil letak kepala di bahunya.
Dia tidak jadi marah. Inilah buah hatinya. Penghibur hatinya.


Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.