Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Sabtu, 3 Jun 2017

Bab 2 : SE Puasa dan Raya #NurHisyam



Hari pertama puasa, Nur mengidam macam-macam. Onde-onde, akok kedut, nasi kerabu dan juga air tebu. Murtabak pun macam sedap jugak. Sedapnya kalau apa yang dia nak makan tu ada untuk buka puasa nanti. Nur berangan-angan. Kalau di kampung, umi akan bertanya apa yang ingin dimakan semasa buka puasa nanti. Dia tentunya akan meminta segala yang dia rasa hendak makan. Tapi tidak semuanya umi masakkan pada hari itu, selebihnya umi akan masakkan esok ataupun lusa. Dia akan tetap mengingatkan umi untuk masakkan apa yang dia ingin makan.

Sekarang dia jauh dari umi, nak masak sendiri tidak pandai. Haaaa.. request dari abanglah, suruh masakkan. Hahahhaaha.. kan abang pandai masak. Nur tersengih jahat. Dikerling jam di dinding, baru pukul 12 tengahari, abang balik pukul 2 nanti. Masih ada lagi 2 jam, apa nak buat ya? Tidur kot. Nak masak puasa, nak kemas rumah, dah berkilat-kilat. Novel yang dibeli hari tu, sudah tiga empat kali diulang baca. Takkanlah hendak baca segala jenis kitab abang pula. Dengar abang bagi ceramah dan tazkirah lagi baikkan, faham pun faham, kalau baca sendiri manalah aku nak faham, fikirnya.

Hisyam sampai ke rumah lebih kurang pukul 2 petang. Dua kali salam diberikan, namun tiada jawapan. Lalu dia menggunakan kunci pendua yang dimilikinya untuk membuka pintu. Sebaik sahaja pintu dibuka, terpandang Nur yang tertidur lena di atas sofa dengan tv yang masih terbuka. Hisyam menggelengkan kepalanya. Letih sangat ke puasa pertama ni? dia bersoal sendiri.

Dihampiri isteri yang sedang lena, sejenak dia memandang sambil tangannya mengusap lembut rambutnya. Wajahnya tenang dan comel ketika tidur, sesekali ada senyuman terukir di bibirnya. Huish… mimpikan apa agaknya tu… Hisyam juga turut tersenyum sebelum hilang di dalam bilik tidur utama untuk membersihkan dirinya.

Setengah jam kemudian Nur terbangun, terasa lama sangat dia tidur. Digosok matanya dua tiga kali sebelum melihat jam dinding. Dah hampir pukul 3 rupanya, mana abang ni, tak balik lagi ke? Rungutnya. Puasa-puasa pun balik lambat. Patutnya lagi awal balik. Nur masih lagi membebel sendirian.

"Nur membebel kat siapa tu?" Tegur Hisyam dari belakang. Pantas  Nur berpaling dan melihat suaminya yang telah siap mandi dan bertukar pakaian.

"Bila abang balik? Tak dengar pun?"

"Macam mana nak dengar kalau dah tertidur. Abang ketuk pintu kuat pun masih lagi tak jaga."
Nur berkerut dahinya. Ya ke? Lama dia termangu-mangu. Dia bermimpi tadi, mimpikan abang mengusap kepalanya. Hmmmm… lagi lenalah dia tidur.

"Sorry.. Nur tak sedar, mungkin letih puasa kot," Nur meminta maaf. Hisyam tersenyum cuma.

"Tak adalah ketuk pintu kuat sangat. Abang bagi salam dua tiga kali Nur tak dengar lagi, abang buka pintu sendirilah."

Nur mula memuncung mulut. Selalu dia yang kena. Cuaklah jugakan sebab tak sambut suami balik dan suami pula selamba je mengenakannya.
Hisyam mula melebarkan senyumannya.

"Aik.. marah ek.. puasa tak baik marah-marah, nanti kurus puasa tu," usik Hisyam

"Abanglah selalu kenakan orang. Selalu usik orang" rajuk Nur.

"Hahhahaa.. habis tu abang nak usik siapa kalau bukan isteri abangkan?" soal Hisyam sambil memeluk bahu isterinya.

"Dah solat ke belum?"

"Belum… tadi orang tertidur dalam pukul 12.30."

"Pergi solat dulu, dah pukul 3 lebih ni."

"Ok"

******
Nur rambang mata melihat pelbagai juadah yang dijual di pasar ramadhan. Terasa semunya ingin dimakannya. Kalaulah perutnya besar, tentu sekali setiap gerai akan disinggah dan dibeli apa yang dijual. Hisyam menggelengkan kepalanya, tangan kiri dan kanan sudah penuh dengan plastik berisi makanan.

"Dahlaaa sayang. Banyak sangat ni. Siapa yang nak habiskan nanti. Ingat membazir tu amalan syaitan."

Nur membuat muka comel.

"Semuanya orang rasa nak makan. Macam mana ni?"

"Esokkan ada. Esok pulaklah kita beli. Dah pukul 6.30 ni, kita baliklah," ajak Hisyam dengan lembut.

"Hmmmm.. dah bos cakap macam tu. kita turut je," balas Nur lemah.

Walaupun begitu dia tidak menafikan apa yang dikatakan oleh suaminya. Sebenarnya dia tak sedar pun, makanan yang dibelinya banyak macam ni, yang dia tahu, rasa nak makan, terus je dibeli.
Nur membuat muka comel lagi sebelum memeluk lengan suaminya yang penuh dengan plastik makanan yang pelbagai warna.

"Abang marah? Nanti kena jual kat sini.. hahahahha," Usik Nur.

"Tak de maknanya abang nak marah. Geram adalah. Siapa nak habiskan makanan ni semua?"
Nur terus tersengih sambil mereka berjalan menuju ke kereta.

"Abanglah. Orang tukang beli je"

"Kalau macam tu, tahu tadi abang beli apa yang abang nak makan je, bukan Nur yang nak makan," balas Hisyam.

"Jimat duit, tak membazir."

"Kedekutlah abang ni," juih Nur.

"Bukan kedekut. Belanja berhemah." Balas Hisyam lagi.

Mata Nur tertangkap seseorang yang dikenalinya. Rasa macam kenal. Bukan ke itu Kamil ke? Haduh bukan main lagi mesra dengan gadis cantik manis tu. Kasihan Nisa. Agaknya lelaki memang macam ni ke? Yang cantik dan lembut bertudung litup tak mahu, nak gak yang terbuka, percuma macam tu. boleh pegang-pegang dan peluk-peluk lagi. Nur mendengus geram. Sabar-sabar.. bulan puasa ni. Tak baik marah-marah.

"Abang… kita pergi kat sana jap, tegur kawan abang tu," Nur menarik tangan Hisyam menuju ke arah Kamil yang tidak lagi menyedari kehadiran mereka.

Hisyam berkerut dahi. Siapa pula? Ada ke kawan dia yang Nur kenal. Adalah kot dua tiga orang. Tapi mereka bukannya tinggal di sini.

"Assalamualaikum.. banyak beli makanannya?" tegur Nur tanpa berlengah lagi.
Jelas ternampak wajah terkejut Kamil dan sepantas itu dia meleraikan pegangan tangannya dengan gadis di sebelah.

"Waalaikumussalam.. Eh Syam.. Nur.. tak sangka jumpa korang kat sini." Kamil membalas sambil tersenyum yang tak jadi.

"A'aah tak sangka pulak jumpa Abang Kamil dengan kekasih hati yang cantik manis ni. Yang ke berapa spare part abang ni?" Nur berkata sinis. Hatinya berbakul-bakul kata yang menyampah yang ingin diluahkan.

"NUR.. Bulan puasa ni. Mulut tu jaga sikit," Hisyam terus menegur.

"Oppppss.. sori bang.. tersasul. Biasanya dah nampak maksiat depan mata. Orang yang kita kagumi pulak tu. Tak sangka pulak boleh berubah drastik macam ni. Yang elok dibuang ke tepi, yang percuma pulak dihargai," kias Nur lagi. Aduh mulutnya tiba-tiba menjadi begitu berbisa.

"Maaf ya kak. Bukan saya nak mengata kat akak tapi pada teman lelaki akak ni. Untuk pengetahuan akak, dia ni dah ada kekasih kat kampung nuh. Tapi boleh pula terbekawan dengan akak yang cantik manis ni. Padahal kekasih dia kat kampung tu pun lagi laa cantik manis. Agaknya ni laa dasar jantan yang mudah lupa diri kot, bila dah ingat diri dah hidup senang.." Nur terus meluahkan kata. Ketika ini di dalam fikirannya tak lain tak bukan, adik iparnya, Nisa. Kasihan Nisa. Tak patut sungguh Kamil buat dia begini.

"Eh Nur.. kau siapa nak tegur aku. suka hati akulah.. Hidup aku. cakap kat Nisa.. Aku main-main je ngan dia. Tak hingin aku perempuan kolot macam tu."

Merah muka Hisyam menahan rasa di dalam hati. Sakit hatinya apabila mendengar kata-kata Kamil itu. Nisa adiknya, yang dijaga sebaik mungkin menjadi bunga larangan. Disabarkan hati. Bulan ramadhan ini, memang syaitan telah diikat di dalam neraka tapi nafsu amarah tetap ada di dalam dirinya. Jadi tingkat kesabaran perlu dinaikkan agar dia tidak menjadi seperti Kamil.

"Syam.. baik kau jaga bini kau ni elok-elok.. nampak je baik.. tapi mulut busuk."

"Sudahlah Nur.. jom kita balik. Dah dekat bukak puasa dah.."

"Kamil tu tahu yang mana baik.. yang mana buruk. Bagi abang, nasib baik dia putus dengan Nisa… Abang pun tak berapa berkenan dia bercinta ketika belajar ni." Dipujuk Nur supaya beredar dari situ. Sebenarnya dia pun tengah menahan rasa amarahnya.

"Maaflah Kamil. Nur ni teremosi sikit. Tapi aku nak nasihatkanlah… dah jumpa yang berkenan tu, eloklah cepat-cepat kahwin.. tak adalah dapat dosa percuma. Kau pun tahu hukum-hakam kan?"

"tapi..bang.."

"Syyyy.. dah laa sayang.. kita balik" Potong Hisyam dan memaut bahu Nur agar berlalu dari situ.

"Assalamualaikum…"

Kamil dan gadisnya terdiam.. Kelat-kelat wajah gadis itu sebelum dia berlalu menghala ke kereta. Tidak jadi mahu membeli juadah berbuka.


"Memalukan…! I nak balik. You buka puasa sorang-soranglah hari ni." Dengus kekasih Kamil. Panas hatinya.

Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Featured