Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Ahad, 11 Jun 2017

BAB 4 : SE Puasa dan Raya #NurHisyam



"Biru.. adik rasa tahun ni kita pakat pakai warna birulah," kemudian dia terdiam mendengar orang sebelah sana bercakap. Mulut terherot ke kiri tanda tidak suka dengan apa yang didengari. Hisyam memerhati tanpa menegur. Sekejap kelihatan Nur menilik muka di cermin dinding, sekejap dicebikkan wajahnya.
"Tak naklah. Nak biru jugak. Tahun lepas dah ikut cakap kak long warna purple. Tahun ni ikut cakap adik lak. Adik dah cakap kat abah dan umi. Mereka okey je. Kak chik pun sama. Angah tak boleh pakai. Ikut dan dia je nak pakai baju kaler apa," balas Nur lagi.
Kemudian dia diam.
"Tak kisahlah biru apa.  Biru tua ke, muda ke biru laut ke asalkan tema keluarga kita tahun warna biru," jawab Nur
Hisyam yang mendengar sejak dari tadi terjungkit senyum. Warna baju raya pun kena ikut tema. Ishhh.. pakai yang mana ada dahlah. Bukannya wajib pakai baju baru setiap kali sambut hari raya aidilfitri.
"Ok. Kirim salam kat abang long jugak dan dua budak perasan comel tu, haha."
"Waalaikumussalam" talian diputuskan dan Nur kembali ke sisi suaminya. tersenyum-senyum memandang Hisyam yang sedang menonton televisyen.
"Abang.. Sabtu ni kita pergi jalan TAR ya, nak cari baju raya. Tema tahun ni warna biru," ajak Nur sekali memberitahu tema warna baju yang akan dipakai pada hari raya nanti.
"Eh, abang pakai jubah kelabu je setiap tahun."
Berkerut dahi Nur mendengar kata suaminya.
"Mana boleh.. pakai baju melayulah, baru sedondong. Nanti kita pergi beli kat jalan TAR nanti," tegas Nur berkata.
Hisyam kalih pandang.
"Sayang, selama ni tiap kali hari raya abang yang kena baca khutbah hari raya. Tak apalah. Nur pakai baju biru, abang tak kisah pakai warna apa pun."
Nur mendengus geram. Ada ke tak kisah. Abang memang tak kisah. Orang ni kisah sangat-sangat. Bebel Nur. Terkumat-kumit bibirnya.
Jika tadi Nur duduk berhimpit dengan suaminya, kini dia menjarakkan sikit kedudukannya, tanda protes. Mata terfokus di kaca televisyen biarpun dia bukannya tahu hujung pangkal cerita yang sedang ditayangkan. Setelah beberapa minit barulah Hisyam perasan tentang keadaan yang tidak berapa mendinginkan itu. Andai Nur senyap dan menjarakkan diri darinya, pasti ada yang tidak kena di hatinya. Hisyam sudah mulai pandai membaca bahasa badan isterinya.
Dihulurkan tangan mencari tangan isterinya. Nur buat-buat tak tahu. Malah dijarakkan lagi kedudukan mereka. Hisyam berpaling dan memandang wajah masam itu dengan senyuman nakal terukir di bibir.
Merajuk?
‘Nak kena ni,’ bisiknya diam-diam. Kemudian dirapatkan kembali jarak kedudukan mereka. Tangannya menyelinap ke belakang isterinya selari dengan aras pinggang, tanpa bertangguh dia mengeletek pinggan Nur yang tidak menduga tindakan Hisyam itu.
"Aaaah.. abang.. tak nak.. lepas.. lepaslah, eeeiii gelilah.. hihihi," bergema suara Nur  cuba meminta simpati dari Hisyam. Dia terkial-kial cuba melepaskan diri daripada terus menjadi mangsa geletek suaminya.
"Hahaaha… Ampun.. tak nak.. Abanggg.. gelilah.. lepas," Nur merayu lagi. Hisyam semakin seronok mengusik dan menggeletek.
"Nak merajuk lagi dengan abang?" Soalnya sambil tangan tidak lepas daripada sasaran.
"Nak!... Eh tak nak.. tak nak dah," Jawab Nur dengan suara terputus-putus. Air mata berlinangan di tubir matanya kerana terlalu banyak ketawa.
"Betul ni? Kalau tak abang tak nak lepaskan?" Soal Hisyam lagi.
"Tak..tak nak dah" Balas Nur lagi. Barulah Hisyam menghentikan perbuatannya lalu ditarik Nur ke dalam pelukannya.
Lama mereka duduk berpelukan begitu sehinggalah Hisyam bersuara.
"Sabtu ni kita pergi jalan TAR cari baju raya."
"Tapi…." Nur mendongakkan wajah memandang suaminya.
"Abang kena pakai baju melayu biru masa raya nanti" Nur bertegas.
Hisyam dalam diam menggelengkan kepala. Sudah lama dia tidak memakai baju melayu ketika bersolat sunat hari raya. Baju tradisinya adalah jubah berwarna hitam. Takkanlah kena ubah trend pula.
"Tak pernah abang pakai baju melayu ketika baca khutbah. Seganlah." luah Hisyam. Nur mencebik. Segan apanya?
"Berwarna warni pulak tu" Sambung Hisyam lagi.
Bingkas Nur mengangkat tubuhnya, dijarakkan sedikit badan mereka agar dapat memandang wajah suaminya dengan jelas.
"Warna warni apa pulak. Warna birulah. Satu kaler je. Bukannya banyak kaler?"
"Ginilah.. masa pergi solat sunat, abang pakai jubah abang tu. Balik dari solat abang tukar pakai baju melayu. Boleh sayang?" Pinta Hisyam.
"Hmmm bolehlah. Dari pakai jubah abang sepanjang hari." Setuju Nur separuh hati. Dah suaminya sanggup berkompromi, takkanlah dia tidak boleh bertolak ansur jugakkan.
*******
Mak Teh  menghampiri suaminya yang sedang berehat-rehat di anjung rumah mereka dengan membawa dua cawan kopi.
"Menung jauh bang.. ingatkan siapa?" Sapa Mak Teh.
Mendengar teguran itu, Pak Teh berpaling memandang wajah isterinya yang lebih tiga puluh tahun menjadi peneman setianya. Susah senang kehidupan, dilalui bersama. Ketabahan isterinya menjadi pembakar semangat dirinya. Melihat anak-anak membesar dan menjadi seseorang yang berguna kepada masyarakat amat membanggakan hatinya. Dia kini boleh tersenyum lega. Anak-anak perempuannya telah berumahtangga. Tanggungjawab sebagai seorang bapa kini beralih arah ke tangan suami mereka.
"Teringat anak-anak yang jauh. Adik ada telefon?" Soal Pak Teh sambil menyambut huluran cawan daripada isterinya.
"Tiap-tiap hari telefon bang. Umi.. nak resepi buat ikan masak asam pedas. Umi macam mana nak buat pudding roti ni.. Umi..umi.. semuanya umi. Nak iron baju pun tanya umi," beritahu Mak Teh diiringi tawa kecil. Pak Teh ikut ketawa sekali.
"Setiap hari bang, kalau tak berbunyi telefon tu, memang tak sah. Tak pagi, petang akan berderinglah," sambung Mak Teh lagi.
Adik..adik… Ketika ditunangkan, protes bukan main. Sanggup boikot kerana terpaksa bertunang dengan pilihannya. Sanggup mogok tidak bercakap, padahal kalau dengan abahnya ni, ada-ada je cerita yang hendak disembangkan. Ada-ada saja benda yang hendak diminta.
Senyuman nipis terus terukir di bibirnya. Tidak menyesal mengahwinkan Nur di usia belasan tahun. Walaupun diakui, anak itu banyak kelemahannya, namun itulah langkah terbaik untuknya. Pak Teh kini boleh berlapang dada, tidak perlu risau dengan anak perempuan yang jauh dari pandangan matanya.
"Biarlah dia belajar, sikit-sikit pandailah tu. macam awak dulu jugak, bukannya pandai masak tapi sekarang saya sebut je apa yang nak makan, dengan pejam mata pun awak boleh masak," balas Pak Teh berbau usikan.
Mak Teh tersenyum senang. Diakui apa yang dikatakan oleh suaminya. Dulu dia lebih kurang seperti adik juga. Satu pun kerja rumah tak pandai, maklumlah di dalam usia awal belasan tahun, telah disunting menjadi isteri orang. Tak sempat hendak belajar kursus rumah tangga dengan ibunya. Selepas kahwin sedikit demi sedikit dia belajar bagaimana menguruskan rumahtangganya. Alhamdulillah, memiliki suami yang ringan tulang, selalu membantunya membuatkan hatinya bahagia. Yang susah jadi senang.
"Saya pun tak sangka, dalam bencikan Hisyam tu, selepas kahwin tu langsung tidak mahu berenggan."
"Itulah awak tak tahu. Mulut kata benci, hati kata rindu.”
 "Hisyam tu, saya tahu sejak dulu lagi sukakan Nur. Sebab itulah sanggup ikut syarat saya tanpa banyak soal." Pak Teh membuka ceritanya.



Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.