Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Rabu, 14 Jun 2017

Bab 5 : SE Puasa dan Raya #NurHisyam




Berhimpit-himpit di tengah-tengah keghairahan warga kota membeli belah sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi merimaskan Nur. Namun oleh sebab baju raya punya pasal, dia buat-buat tak kisah. Hatinya berlagu riang seriang lagu-lagu hari raya yang bergema di sepanjang jalan TAR. Tawar menawar, belek membelek pakaian yang pelbagai jenis dan warna membuatkan matanya kelabu. Tidak tahu hendak memilih yang mana satu. Semuanya kelihatan cantik dan menarik.

Hisyam tetap setia mengekori isterinya dari belakang. Dia sentiasa berjalan di belakang Nur, melindunginya daripada himpitan orang ramai yang ghairah membeli belah. Sesekali tangannya diletakkan di atas bahu dan sesekali di pegang pinggang isterinya. dia sememangnya tidak gemar membeli - belah di tengah kepadatan orang begini. Sebab sayang bini punya pasal, diikutkan juga. lagipun risau hatinya ingin melepaskan Nur membeli belah sendirian.

"Cantik tak bang?" Soal Nur sambil membelek-belek dan mengajukan baju kurung moden itu ke badannya.

"Cantik.. tapi cantik sangatlah sayang. Pakai untuk abang je boleh?" komen Hisyam. Baju itu pada pendapat Hisyam menyerlahkan bentuk badan isterinya. walaupun jatuh pada kategori menutup aurat, namun tidak mematuhi syarat menutup aurat yang sebenarnya.

Nur mencebik. Payah membeli belah dengan ustaz ni. Cantik.. tapi seksi sangatlah yang. Cantik kain ni tapi jarang… boleh nampak apa yang ada kat dalam baju tu. Kainnya terbelahlah.. terbuka aurat tu.. Itulah sebahagian komen dari komen-komen encik suami yang dikasihi. Apa pulak jenis baju yang boleh dipakainya apabila semua yang berkenan di mata dan hatinya tidak diluluskan penilaiannya oleh encik suami.

Nur mula membuat muka. Badannya telah penat berhimpit. Kakinya pun telah lenguh berjalan menawaf jalan TAR ini. Baju melayu suaminya telah pun selamat dibeli. Cuma bajunya tidak dapat-dapat dari tadi. Takkanlah kena pakai jubah pulak? Baju kurung sudah banyak di dalam koleksi pakaiannya. Jadi pada hari raya tahun ini, dia ingin mengubah selera, hajat di hati ingin bergaya dengan baju kurung moden. Tapi… huh, kena banyak bersabar bila bershopping dengan Ustaz Hisyam ni, semuanya komen yang diberi menggambarkan si Ustaz tidak suka dengan setiap pilihannya.

"Penatlah abang ni. semua yang Nur suka.. semua dia tak suka. Habis tu nak pilih baju yang macam mana?"

"Biasalah baju kurung moden tu ikut bentuk badan tapi tak adalah sampai menunjukkan setiap lekuk badannya. Tadi kan tadi Nur dah cuba.. longgar sesangatlah," bebel Nur.

Hisyam menggelengkan kepalanya. "Bukan abang tak suka tapi tak sesuai kalau Nur pakai. Janggallah bila berjalan dengan abang nanti. Apa kata Nur pilih baju kurung.. cantik jugak. Tak pun jubah ni.. lagi lawa jik Nur yang pakainya," pujuk Hisyam.

"Baju kurung sudah banyaklah. Ingat tahun ni nak ubah selera sikit. Nak lagi lawa.. lagipun kalau orang lawa.. orang puji.. abang jugak yang dapat kreditnya," balas Nur tak ingin kalah.

"Abang tak perlukan kredit pujian dari orang lain Nur. Abang hendakkan kredit dari Allah s.w.t. Cantik Nur biar abang je yang puji dan nikmati. Orang lain tak perlu…" Tegas Hisyam membuatkan Nur terdiam. Salah orang pula.

"Selama ni cara Nur berpakaian, abang tak tegur pun," balas Nur lagi. Seingatnya Hisyam tidak pernah menegur cara dia berpakaian kecuali teguran mengenai aurat dengan abang long dan abang chik dulu.

"Tak tegur tak semestinya abang suka dengan pemakaiannya.. Abang mahu Nur berubah sedikit demi sedikit dengan kerelaan diri sendiri. Bukan disebabkan oleh teguran abang. Lagipun apa yang Nur pakai telah menepati menutup aurat dengan betul. Abang tak ambil kisah sebab abang tahu isteri abang ni cantik dan lawa orangnya."

"Tapi bila Nur nak pakai baju kurung moden… abang tak larang sebenarnya asalkan baju itu tidak menonjolkan bentuk badan sayang. Tapi kalau boleh abang lagi suka Nur pakai baju kurung atau jubah ni.. lagi tampak manis dan cantik," nasihat Hisyam bersama pujian.

Nur terdiam mendengarnya. Bukan dia tidak tahu bagaimana cara pemakaian yang betul bagi seorang muslimah menurut tuntutan agama. Biasalah usia sepertinya, bergaya dan memcuba fesyen baru yang trendy menjadi salah satu keinginan hatinya. Bukannya tidak tidak bertudung dan bukannya setiap pilihan pakaiannya menonjolkan setiap lekuk badannya. Abang Ustaz ni melebih pulak.

"Tapi… baju yang orang pilih semuanya longgar-longgar. Takkan nampak lekuk badanlah bang…" pujuk Nur lagi.

Hisyam menggelengkan kepalanya buat sekian kali. Si buah hatinya ni, memang keras kepala. Apa yang dirasakan betul pada pemikirannya akan dipertahankan habis-habisan.

"Ok kalau Nur nak jugak.. boleh ambil tapi dengan syarat beli jubah tu sekali." Akhirnya Hisyam bersetuju.

Nur terasa mahu melompat dan memeluk suaminya, tetapi dia cepat-cepat tersedar bahawa mereka kini di tengah -tengah orang ramai dan juga di bulan puasa. Mana boleh buat aksi terlampau pulakan.

"Terima kasih abang… ni yang buat Nur makin saaaayang kat abang terchenta," balas Nur sambil memaut lengan Hisyam. Kakak tuan punya gerai pakaian itu tersenyum-senyum. Pastinya di dalam hati.. alahai macam-macam kerenah orang ni.. bulan-bulan puasa pun boleh pulak nak romantic-romantik..

"Abang dah tahu dah, beli tak beli pun memang Nur dah tersayang kat abang kan?" Usik Hisyam sambil mengeluarkan dompetnya mahu membayar baju tersebut.

Nur tersenyum-senyum sambil ketawa.

"Tahu tak pe," Haaa.. membalas je mulutnya.

Dalam masa yang sama, tanpa disedari dua pasang telinga dan mata mendengar perbualan mereka. Kedudukannya sedikit terlindung. Salah seorang daripada mereka terasa iri dan cemburu dengan kebahagiaan Hisyam dan isterinya.

‘Kenapa bukan aku di tempat budak itu. Ustaz tidak perlu bersusah payah seperti ini. tidak perlu menegur dan mengajar macam budak-budak yang tak tahu apa. Tak perlu merendahkan ego memujuk budak yang memang masih lagi banyak bersikap kebudak-budakan itu..' dengus hatinya geram.

Dijeling pasangan itu yang kini menyelit di celahan orang ramai. Matanya terasa berpasir. Hatinya sakit bagaikan ditoreh dengan pisau yang teramat tajam dan menyakitkan. Kesan torehan itu memercikkan titisan merah bercampur nanah kekuningan. Aku tidak akan berhenti berdoa agar ditemukan jodohku dengan Ustaz Hisyam. Akulah wanita yang terbaik untuknya, bukan budak yang belum cukup umur itu' dengus hatinya lagi.

Tepukan di bahu menyedarkannya dari terus memusatkan pandangannya ke arah pasangan itu yang kini semakin tenggelam di celahan orang ramai.

"Sudahlah Ayu.. doakanlah mereka bahagia. Pasti selepas ini mudah-mudahan Ayu menemui kebahagiaan Ayu pula," Nasihat Mardihah buat sekian kalinya.

Ayu tersenyum sinis. " Bahagia ke gaya mereka tu kak? Tak nampak ke cara layanan Ustaz Hisyam tu persis melayan budak-budak je. Ayu tak rasa Ustaz sedang bahagia. Mungkin bahagia dalam terpaksa kot. Melayan budak tidak cukup umur macam bini dia tu," Ucap Ayuni tanpa sedar menggambarkan suhu cemburu melebihi takat didih di dalam hatinya.

Mardihah terkejut, terus dia beristigfar. Seolah-olah orang lain yang menuturkan kata-kata tadi bukan Ayuni yang dikenalinya. Ayuni yang dikenali adalah seorang yang lemah lembut tutur katanya, cakap berlapik dan tidak akan menuturkan kata-kata yang boleh menyakiti hati orang lain. Apatah lagi menggambarkan oleh lain dengan kata-kata yang tidak elok.

"Ayu!" Mardihah menekan suaranya. Ingin menyedarkan Ayuni ke alam realiti.

"Kenapa kak?" Soal Ayuni seolah-olah tidak berkata apapun sebelum ini.

"Erk.. tak ada apa-apa. Ayu tu sudah-sudahlah pandangnya. Mereka dah jauh tu. Tak nampak apa dah," ujar Mardihah. Ingin menegur tentang kata-kata tadi, tetapi dikurungkan niat itu. Melihat emosi Ayuni telah berubah mendadak ini, lebih baik dia berdiam diri dulu dan mencari masa yang sesuai.

Ayuni kini dan Ayuni yang dikenalinya dulu telah banyak berubah. Semakin jauh darinya. Seolah-olah dia tidak mengenali gadis itu. Kerana cintanya tidak kesampaian itukah yang membuatkan dia berubah mendadak? Tidakkah dia sedar.. Jodoh itu bukan manusia tentukan tetapi Allah s.w.t yang menentukannya.

"Nak makan apa petang ni? Soal Mardihah berlagak seolah-olah tidak berlaku apa-apa. Emosi Ayuni perlu dikembalikan seperti sebelum mereka terjumpa dengan Hisyam dan isterinya.

"Tak tahulah kak.. Ayu tak de selera nak makan. Semuanya nampak tak sedap je.." Balas Ayu lemah. Selemah hatinya kini.

"Isyy.. mana boleh macam tu.. seharian puasa, bukak puasa nanti kenalah makan.. kalau tak mana ada tenaga hendak berpuasa esok pulak. Kan malam ni Ayu nak tolong akak buat biskut," pancing Mardihah.

"Buat biskut pun kak.. siapa nak makan? Ayu tak ada sesiapa pun untuk dijamu.. Orang yang Ayu sukakan pun telah dikebas orang. Tidak ada orang sayangkan Ayu pun" Bisik Ayuni dalam sebaknya.

"Akak ada.. Anis ada.. Abang Azrul pun ada.. Kami semua sayangkan Ayu. Dan yang paling penting Allah s.w.t lagi sayangkan Ayu. Sebab itu diberi dugaan ini. In Shaa Allah selepas ini kebahagiaan akan Ayu kecapi" Pujuk Mardihah. Dengan dirinya sekali turut terasa sebak.










Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Featured