Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Ahad, 18 Jun 2017

Bab 6 : SE Puasa dan Raya #NurHisyam




"Cantik" Bisik Angah tanpa sedar keluar perkataan itu dari bibirnya.

Matanya masih lagi ralit memerhatikan Aryana yang sedang berbual-bual dengan Umi dan Kak Long. Manakala dia sambil menyuap nasi himpit ke dalam mulut sambil memerhati gerak geri Aryana yang sedang bersembang. Sejak kedatangannya bersama-sama dengan adik dan Hisyam, matanya sentiasa mengawasi gadis itu. Kisah pahit yang menimpanya mengundang selautan simpati di hati lelakinya. Tidak patut orang yang membuatkan Aryana mengandung, melepaskan tangan begitu sahaja. Lelaki bacul sahaja yang lari dari tanggungjawab. Patutnya kerana sayang, lelaki tersebut melindungi gadis itu. Ada keluhan terlepas dari bibirnya tanpa sedar.

Melihat gadis itu pada pandangan pertama membuatkan hatinya terus tertarik. Sedikit pun tidak kurang tarikan itu biarpun gadis itu kini sedang mengandung anak luar nikah. Setiap orang pasti melakukan kesilapan kerana tidak ada manusia di dunia ini sempurna. Lagipun dia kagum dengan semangat yang ada di dalam diri Aryana, walaupun hidup terumbang ambing tanpa perhatian daripada kedua ibu bapa, dia seorang yang cekal menghadapi dugaan berat ini. Calang-calang orang, sudah tentu berusaha menggugurkan kandungan tersebut. Perasaan kagum, tertarik dan simpati ini tanpa sedar teradun elok di hatinya, menyempurnakan satu rasa yang amat halus. Membangkitkan rasa ingin melindungi dan menyayangi Aryana.

Pap....

Angah tersentak tepukan yang kuat di bahunya. Mujur dia tidak tercekik nasi himpit yang tengah dimakannya.

"Kau ni dik... jadi bini orang, perangai tak berubah-ubah, suka kacau orang," Marahnya.

"Siapa yang suruh kau berangan Ngah? Dengan setengah jam adik perhatikan mata kau tak beralih langsung memerhatikan si Ary tu. Kau dah jatuh berkenan dengan dia ke? Cantikkan dia Ngahkan.. kan?" Ujar Nur sambil mencuri makan nasi himpit di dalam pinggan Angah.

"Merepeklah kau ni dik. Mana ada, aku tengok Umilah. Sejak kau bawak balik Aryana tu, Umi sangatlah prihatin dengan budak tu. Asyik tanya, Ary nak makan apa? Nanti Umi boleh buatkan. Selesa tak tinggal kat rumah Umi ni," Adu Angah.

Cuba menutup perkara sebenar. Soal hati jangan main-main dengan Nur ni. Jika dia dapat menghidu ada sesuatu yang tidak kena dengan hatinya, pasti dicanangkan satu rumah. Tak memasal, terjadilah pasal. Lebih baik ditutup kemas segala rasa yang teradun sebati di hatinya. Kepastian hati dan tindakan sebagai seorang lelaki harus diambil terlebih dahulu, sebelum orang lain tahu.

"Kau tak jeles ke dik?" Soal Angah. Matanya kini beralih memandang wajah adik bongsunya di sebelah. Amboi sedap makan nasi himpit di dalam pinggannya. Sejak dulu Nur memang suka sangat curi makan di dalam pinggan orang lain. Kalau ada makanan di dalam pinggannya, pasti tidak habis. Apabila disoal kenapa makan dalam pinggan orang, makanan di dalam pinggan sendiri ada, tak makan. Pasti dia akan menjawab, makanan dalam pinggan adik tak sedap tapi makanan di dalam pinggan Angah sedaplah. Walhal makanan yang sama sahaja di dalam pinggannya.

"Nak jeles apa kebendanya Ngah. Tak ada maknanya.. Lagipun aku tak heran pun. Laki aku ada nak sayangkan aku," balas Nur.

"Eh sedaplah Ngah nasi himpit dalam pinggan kau ni, kau letak apa? Tadi kenapa aku makan tak sedap je. Aku habiskan ek," pinta Nur sambil menarik pinggan Angah ke depannya.

"Kau ni dari dulu.. makanan dalam pinggan orang jugak yang sedap. Padahal sama je," bebel Angah pula.

"Tak eh. Lain rasanya Ngah," Mulutnya penuh dengan nasi himpit.

Nur terus menikmati nasi himpit di hadapannya. Angah diam memerhati sambil menggelengkan kepalanya. Hari raya tahun ini disambut meriah. Terasa juga akan kekurangan dirinya yang masih keseorangan. Nur telah selamat menjadi isteri orang dan dia masih lagi tercari-cari. Gadis yang hatinya terpaut dulu rupanya tunangan orang. Walaupun berkali-kali gadis tersebut menyatakan cintakannya, namun dia telah tawar hati. Dia bukan seorang lelaki yang suka merebut tunangan orang. Dia bukanlah seorang lelaki yang terlalu taksub kepada cinta. Sebaliknya dia seorang lelaki yang percaya, Allah s.w.t telah pun menentukan jodohnya. Telah menyediakan seorang wanita sebagai pendampingnya di dunia ini. Cuma belum saatnya dia menemui pendampingnya. Dia yakin apabila telah ditemui, laluan untuk menjadikan pendampingnya amat mudah dan diredhai oleh semua orang. Tidak akan ada hati yang terluka. Adakah pendampingnya itu adalah Aryana?

Sukar untuk dijawab. Baru tiga hari mengenali gadis itu. Baru tiga kali matanya menyapa wajah berseri bercampur duka Aryana. Perutnya sudah kelihatan menonjol. Pipinya berisi dan bersinar. Matanya redup. Sesekali apabila dia tercuri pandang, terlihat Aryana menyapu air matanya. Pasti ada duka yang menggigit hatinya. Masih lagi punya ayah dan ibu, tapi kehidupannya bagaikan tidak punya sesiapa yang menyayanginya.

Mujurlah ada Nur. Si adik manjanya yang kini walaupun masih lagi bersikap manja, namun semakin matang. Mungkin gelaran isteri mematangkannya di dalam apa juga tindakan. Walaupun begitu sikap nakalnya masih lagi tidak berubah. Riuh suaranya bercerita bermacam-macam perkara kepada Abah dan Umi. Masih lagi suka makan makanan dipinggan orang. Kebahagiaan jelas terpamer di wajah adik. Benci yang tersemi dulu entah ke mana menghilang, adik dan Hisyam sentiasa berdua.

Angah tersenyum. Perubahan demi perubahan yang adik alami membuatkan dia terasa ingin cepat-cepat berdua. Ingin merasai kebahagiaan apabila bergelar suami orang. Tapi hingga ke tiga hari lepas, hatinya kosong setelah meninggalkan tunangan orang itu. Kini hatinya telah terisi. Wajah Aryana ditatap lagi buat sekian kalinya. Nur sedang makan disebelahnya tidak dihiraukan. Sampai masanya, gadis itu pasti akan memdapat perlindungan dan kasih sayangnya. Tanpa sedar ada ikrar telah terpatri di dalam hatinya.

Nur tidak mempedulikan lagi Angah dengan angan-angannya. Walaupun begitu hatinya berdoa, agar hati angah terpaut dan terpikat dengan Aryana. Perbezaan usia yang ketara mungkin menjadi penghalang, namun apabila rasa cinta menjalar di hati, tidak ada apapun yang mustahil terjadi. Aryana perlukan seseorang yang ikhlas menerima dan melindunginya. Nur bimbang, jika tiada sesiapa menjaga Aryana, dia akan tersesat ke jalan buntu dan pengakhirannya berakhir menjadi gadis terperangkap dalam kancah sosial. Jauh dari iman, terpesong jauh dari norma-norma hidup sebagai orang Islam.

Selesai makan, Nur mengambil gelas berisi air oren milik angah, lalu diteguknya. Suaminya entah ke mana pergi dengan abah dan bapa mertuanya. Tidak perlu dirisaukan kerana adalah kerja mereka bertiga. Jodoh ini, walaupun pada mulanya ditolak, akhirnya membahagiakan dirinya. Keakraban abah dan Hisyam membuatkan bibirnya terus mengukir senyuman. Pilihan abah tak salah, pilihan yang terbaik untuk anak bongsunya.

Nur berkalih memandang angahnya. Pelik, biasanya di hari raya begini, angah takkan melekat di rumah. Ada-ada je agenda bersama dengan kawan-kawannya.

"Adik tahu hati angah dah melayan ke sana kan?" Soal Nur menyentak lamunan Angah.

"Pandai je kau buat cerita dik. Yang tak ada, kau adakan. Kalau hati angah melayan ke sana, macam mana aku nak hidup tanpa hati?"

"Kes kau ni special sikit ngah. Walaupun melayan ke sana, melekat di hati lagi satu, kau tetap boleh hidup, malah lebih ceria dari dulu sebab...." Nur terhenti seketika sambil tersengih nakal. Matanya berulang alih memandang Aryana yang bersama umi dan angah di sebelahnya.

"Sebab itulah dikatakan jatuh hati. Jatuh cinta..."

"Kau ni dik.. merepek tak habis-habis," dengus angah. Tidak suka dengan telahan Nur.

"Yang kau nak marah kenapa ngah. Bukan benda salah. Benda betul pe.. Tanya sama hati kau tu," balas Nur tidak mengalah.

Angah marah? Langsung dia tidak takut.

"Adik sukalah kalau kau dengan dia ngah..."

Nur terhenti sejenak sebelum menyambung kata.

"Lagipun adik risau kalau tak ada orang jaga Ary tu. Takut dia tersalah pilih jalan lagi. Cian dia ngah. Ada mak bapak tapi pentingkan diri sendiri. Ego.. dah bercerai tinggalkan dia terkontang kanting. Dilambakkan duit buat apa. Budak baru nak kenal dunia... tak ada bimbingan, hancur masa depan..."

"Adik harap kau dapat jaga dia ngah.. bimbing dia... Ary tu baik sebenarnya. Abang Syam cakap dia budak pintar. Harapan sekolah tu."

Angah mengeluh lalu menyandarkan belakangnya di kerusi. Kata-kata adiknya menyusup masuk ke dalam hati. Hatinya penuh simpati.

"Dia tinggal dengan siapa sekarang?"

"Hmmm... pengetua sekolah hantar dia ke pusat perlindungan wanita"

"Ok ke dia duduk kat sana?" Soalnya lagi.

"Ok kot. Ary tak ada pula mengadu kat aku. Katanya di sana, ada ramai rakan senasib dengannya dan dialah kiranya paling beruntung kerana jumpa aku. Mak dia tahu tapi buat tak tahu. Ayah dia pula tak tahu pun keadaan dia sekarang ni. Dia tak ada hati nak cakap. Katanya biarlah mak ayah dia bahagia dengan kehidupan masing-masing. Biar dia urus sendiri kehidupannya. Tabah kan Ary tu?"

"Kau cubalah dekati dirinya. Cuba kawan-kawan dengan dia. nanti kau akan tahu kelebihan dirinya.." Nur berkata lagi dalam nada memujuk. Besar harapannya agar angah sudi membantu Aryana.

"Tengoklah macam mana. Aku nak keluar sekejap. Jumpa kawan," ujar Angah lalu bingkas bangun.


Pssttt : Kisah Angah dan Aryana akan dinovelkan juga.. In shaa allah...







Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Featured