Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Ahad, 25 Jun 2017

Bab 7 :SE Puasa dan Raya #NurHisyam






Nur memerhati tingkah laku Nisa yang bersahaja. Tangannya lincah menambahkan biskut-biskut ke dalam balang untuk di bawa ke depan. Walaupun dia tersenyum, namun Nur tahu hatinya sedang menangis, terluka. Dalam diam Nur memerhati, belas melihat wajah polos adik iparnya. Putus cinta ni orang kata sakitnya tidak dapat dilihat, kerana lukanya di hati. Tidak dapat dirawat kerana lukanya tidak ternampak di mata kasar. Namun silap aturan, silap percaturan luka itu memalitkan cerita duka berpanjangan.

"Kau merenung aku kenapa?" Soal Nisa tiba-tiba. Rimas dengan tingkah laku kakak iparnya yang dari tadi memerhati segala gerak gerinya.

Nur tersengih-sengih. Lantas menghampiri Nisa yang sedang mengacau air pula.

"Kau cantiklah hari ni Nisa. Lebih cantik dari semalam, kelmarin. Lebih comel dari zaman budak-budak comot," puji Nur sambil memeluk bahu Nisa.

Nisa mencebik. " memang pun. Kau tak tahu ke?" dibalas dengan usikan jugak.

Nur mencebik. Orang puji sikit, masuk bakul angkat sendiri pulak.

"Kau balik sorang ke? Abang Syam ke mana?" Soal Nisa setelah merasakan agak lama Nur berada di sini, batang hidung abangnya tak nampak-nampak.

"Entah... keluar pagi tadi dengan abah aku, tak balik-balik," mendatar suaranya. Hmmm adalah tak puas hati sikit-sikit biarpun semalam telah terpujuk sedikit.

Nisa tersengih-sengih.

"Kau jeles ke? Dengan abah sendiri nak jeles?"

"Tak ada maknanya nak jeles-jeles ni. Aku bagi can kat abah aku berhimpit-himpit dengan menantu kesayangannya itu," balas Nur lagi. Dicapai balang berisi tat nenas dan dibukanya. Diambil satu lalu dimakan.


"Gebunya tat ni.. siapa yang buat?" Soal Nur dengan mulut penuh biskut.

"Akulah... siapa lagi. Sedap tak?" Soal Nisa sambil mengangkat kening.

Nur mencebik lagi. Dia tahu Nisa berminat membuat biskut sejak dari dulu lagi. Setiap kali hari raya, Nisalah orang yang paling sibuk membuat biskut. Bukan sebab menerima tempahan tetapi sebab dia mencuba resepi biskut yang baru. Namun begitu tat nenas merupakan biskut yang wajib dibuatnya. Manakala dia pula, satu jenis biskut pun tak pandai. Yang dibawa balik hari tu pun, biskut tunjuk je. Nampak gayanya selepas ni memang kena belajar buat biskutlah. Biskut tunjuk bukan sedap sangat.

"Petang ni kita pergi lepak tepi pantai nak? Ajak Siti, Aini dan Misah sekali," usul Nur. Mereka telah lama tidak berkumpul beramai-ramai.

"Boleh jugak... selama ni kau tak de, tak cukup korum rasa tak best. Abang kasi ke?" ujar Nisa.

"Kasilah kot. Dia asyik sibuk memanjang je... takkan aku tak boleh sibuk plak," balas Nur acuh tak acuh.

"Mana tau petang ni abang ajak kau pergi jalan-jalan rumah saudara mara ke, kawan-kawan ke."

Nur menjungkit bahu. Tak tahu.

"Nanti aku cakap kat dialah. Kalau ada planning dia mintak cancel."

"Panjang umur laki kau," ujar Nisa sejurus melihat abangnya diruang tamu.

Mendengar kata-kata Nisa, Nur turut melilau melihat ruang tamu yang hanya dipisahkan oleh kain langsir di pintu masuknya. Dilihat Hisyam sedang bersalam-salaman dengan saudara-mara yang datang beraya. Tidak sampai beberapa minit, Hisyam muncul dengan senyuman kacaknya.

Nur membuat muka biasa-biasa. Tidak teruja dan juga marah. Tidak menegur dan tidak menyoal ke mana hilangnya pagi-pagi lagi. Hisyam mengangkat kening kepada Nisa yang sedang melangkah sambil membawa dulang berisi sejag air dan gelas ke ruang tamu. Nisa sengih sambil angkat bahu.

Hisyam menyimpan senyum. Merajuk lagi sayang abang ni ya... bisik hatinya. Ditarik kerusi dan duduk. Matanya terus memerhati tingkah laku isterinya yang sedang menikmati tat nenas. Bersahaja seolah-olah tiada sesiapa di sisinya. Hisyam memanjangkan tangan dan menarik balang berisi tat nenas itu. Nur menarik kembali. Hisyam tarik lagi. Nur tarik juga.

Geram! Nur memandang tepat wajah suaminya yang sedang berlagak serius. Bibirnya dicemik. Namun Hisyam buat-buat tak reti. Ditarik lagi balang berisi tat nenas itu.

"Abang!" Akhirnya bersuara.

"Owh.. Ada suara lagi rupanya. Ingatkan dah hilang sebab makan banyak biskut tat nih," usik Hisyam. tersenyum-senyum.

Nur menjeling. Tak kelakar pun.

"Jom kita pergi jalan-jalan... ronda-ronda nak?" Ajak Hisyam cuba mengambil hati isterinya.

"Tak senang... petang karang ada dating," balas Nur tanpa melihat wajah suaminya.

"Dating? Dengan siapa?" Soal Hisyam ingin tahu. ewah nak berdating ya.

"Sesiapa yang sudilah. Abangkan busy dengan abah dan ayah. Ke sana ke mari macam macam menteri melawat kawasan," sindir Nur.

Hisyam tanpa ditahan ketawa berdekah-dekah. Oooo... merajuk pasal itu rupanya, ingat semalam dah terpujuk.

"Balik jarang-jarang ni, macam tulah. Tak lawatkan orang kata kita sombong pulak," layan jelah cakap rajuk si isteri ni. Dijeling Nur sekilas. Masih lagi mencebik dan terkumat kamit.

"Nur tak baik buat muka macam tu. Nanti cepat tua," tegur Hisyam. ada ketegasan di dalam suaranya.

Nur terdiam dan bibirnya seperti sedia kala. Dia tunduk. Orang merajuk, takkan tak tahu. bebelnya dalam hati.

"Sayang..." Panggil Hisyam perlahan. Hanya mereka berdua sahaja di dapur. Dirapatkan diri ke arah isterinya.

"Maafkan abang... lepas ni abang bawa sayang jalan-jalan pula," Pujuk Hisyam sambil menggapai tangan isterinya di atas meja. Teringat kata-kata abah pagi tadi

"Abah rasa Nur tu dah merajuk dengan kitalah Syam," ujar abah.

"Kenapa pulak bah..." Tanya Hisyam pelik.

"Dah kita ni asyik keluar je sejak kamu balik. Tinggal dia kat rumah tu."

"Bukannya dia sorang-sorang bah. Umi ada, kak long, kak chik pun ada."

"Hurmmm bukan kamu tak tahu, bini kamu tu manja. Orang tak hiraukan sikit. Mulalah merajuk..." Terang abah lagi. Teringat kisah tempat tidur semalam. Betul jugak"

"Pergilah balik... tinggalkan abah kat sini. Bawa dia pergi jalan-jalan," unjur abah.

"Hmmm baiklah bah.. tapi tak apa ke abah tinggalkan abah ni?"

"Tak apa. Lagipun lepas ni abah hendak ke rumah Pak Mail jap... Hari tu dia ada ajak abah ke KL, merisik untuk si Kamil tu," terang Abah lagi.

Hisyam menggangguk-angguk. Merisik untuk Kamil... bukan jodoh Nisa.

Pap...

"Berangan!" Bidas Nur lalu bangun. Ingin beredar dari situ. Namun pergelangan tangannya segera ditangkap oleh Hisyam. ditarik sehinggalah Nur jatuh di atas ribanya.

Sekilas ciuman diberikan di pipi mulus Nur. Nur buat-buat tak kisah. Sekali lagi ciuman singgah di pipinya. Rona merah mula kelihatan apatah lagi tangan Hisyam nakal mengeletek pinggangnya.

"Cup...cup...lepaslah," Nur cuba melepaskan dirinya.

"Eh budak berdua ni.. Saudara mara ramai kat atas ni, boleh bermesra-mesra kat sini pula," tegur Khalida kepada anak menantunya.

"Abang ni yang kacau dulu mak" Cepat-cepat dia membela diri.

"Siapa yang suruh merajuk?" Ajuk Hisyam pula..

"Dah-dah... tak payah nak gaduh-gaduh.. pergi keluar.. orang nak jumpa..nak kenal dengan menantu mak ni," Arah Khalida.

Mereka saling berpandangan sebelum melangkah seiring menuju ke ruang tamu. Rajuk yang bertamu dihati telah terpadam... tak boleh Nur hendak merajuk lama-lama sebab Hisyam tahu bagaimana mahu memujuknya.

*******
Psssst... Selamat hari raya aidilfitri. Jangan jadi mengada macam si Nur ya.. Nak berkepit dengan cik abang je.. bawak2 laa diri layan tetamu tu.... 

Maaf Zahir batin di atas kekurangan dalam picisan cerita ini dari Puan Penulis



Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Featured