Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Khamis, 1 Jun 2017

Cinta Bas Express : Bab 2


Zairil geleng kepala. Sudah dua minggu Yafit termenung, teringatkan gadis yang ditemui di dalam bas express. Orang tegur tak mahu dengar. Gadis itu tak wujud. Kalau wujud pun bukan manusia tapi makhluk Allah S.W.T yang lain.

“Sudah-sudahlah kau ingatkan gadis itu. Aku yakin bukan manusia duduk sebelah kau. Tapi makhluk lain. Menumpang balik kampung juga.”

Yafit geleng kepala. dipandang sekilas Zairil yang berpeluk tubuh di hadapannya. Dibelek-belek kertas sebelum ditandatangan. Kemudian fail dihulurkan kepada Zairil.

“Aku yakin, yang duduk disebelah aku tu manusia,” tekan Yafit. Sakit hatinya apabila semua orang tidak mahu percaya cakapnya.

“Kalau manusia kenapa pagi tu tak ada siapa pun yang nampak kecuali kau. Pak guard pun cakap, arah yang kau tunjuk dia pergi tu bilik mayat. Kau fikir logik sikitlah. Tak ada perempuan berani pergi bilik mayat sendirian. Aku pun takut.”

Yafit terdiam. Tidak ada hujah yang dapat menyangkal kata-kata Zairil itu. Namun hatinya tetap tak percaya. Wajah comel itu sehingga saat ini masih lagi diingatinya.  Zairil geleng kepala. Sahlah Yafit ni kena sampuk dek hantu.

“Cantik sangat ke gadis itu sehingga kau ikut dia sampai ke hospital?” Zairil ingin tahu.

“Cantik. Menangis pun cantik. Walaupun aku tengok dari sisi.” Yafiq mengelamun mengingati wajah gadis itu. Pipinya polos tanpa mekap tanpa sebiji jerawat pun. 

 “Aku rasa kau dah terkena ni. Kena berubat.”

“Mengarutlah kau ni Ril.”

“Eh takkan kau tak percaya bunian tu wujud.”

“Percaya. Mereka juga makhluk Allah. Ada disebut di dalam al-quran. Tetapi aku yakin Sarah tu manusia. Bukan bunian.”

“Kalaulah bunian, takkanlah guna Lenovo pulak.” Sengaja nak sedarkan Zairil yang dia nampak itu manusia bukan hantu atau makhluk lain.

“Eh kau jangan,  teknologi mereka lebih maju dari kita.”

Tak guna cakap apa pun kalau Yafit tak mahu dengar cakap. Nampaknya dia kena buat sesuatu. Kena cari ubat untuk tawarkan penyakit angau Yafit ini. Masalahnya penawar paling mujarab adalah gadis itu. Hantu? Bunian? Entah dia sendiri pun tak tahu. tapi hatinya yakin bukan manusia.

“Haa lupa, Faiha ada telefon aku. Kau dengan dia okey tak ni?”Yafit angkat muka. Dahinya berkerut.

“Okey? Kenapa?”

Zairil mengeluh.

“Faiha telefon aku mengadu, tak pernah jumpa kau lagi sejak balik ni. Whatapps dan telefon tak berangkat.”

Yafit terdiam. Sebetulnya dia terlupa tentang Faiha. Tunang pilihan keluarganya. Anak kepada kawan baik ayahnya. Dia pandang Zairil seketika.

“Aku lupa nak balas whatapps dan telefon dia semula. Sibuk Ril. Banyak benda aku nak kena tengok ni. Ayah aku pulak dah lepas tangan,” keluh Yafit. Dia urut lehernya sendiri. Alasan nak lepaskan diri. Padahal dia yang tertangguh-tangguh sampaikan terlupa.

“Tapi gadis hantu tu ingat pulak kau. Sibuk nak cari orang yang tak wujud. Entah manusia ke makhluk halus,” sindir Zairil.

 “Minah tu lain. Aku rasa aku dah jatuh cinta pandang pertamalah kat dia,” akui Yafit perlahan. Terbayang wajah comel itu. Keinginan nak sentuh pipi mulus itu menebal dalam hati.

Zairil hampir terlompat bangun. “Giler kau! Hantu kau cakap comel?” berdiri bulu romanya. Wajah Yafit yang tersengih-sengih membuatkan dia rasa takut.

“Kau kena jumpa ustaz. Mandi bunga. Berubat biar badi hantu dekat diri kau tu hilang. Takut aku tengok!”

Yafit ketawa kuat. Dia geleng kepala. mengarut saranan Zairil itu. Ada ke patut dia dikatakan terkena badi hantu? Eh ada ke badi hantu? Badi mayat pernahlah dengar. Yafit bangun dan berjalan mendekati Zairil. Dah tengahari. Perutnya pun dah berbunyi. Dipaut bahu Zairil dan mendorongnya menuju ke pintu bilik.

“ Aku lapar. Kita pergi makan. Kau belanja.”

“Tiap-tiap hari aku belanja. Tak sampai hujung bulan kering poket aku,” sungut Zairil. Kedekut punya bos!

“Kedekut. Dapat gaji nanti aku belanja kau pulak,” kutuk Yafit. Mereka berjalan menuju ke lif.
Zairil mencebik. Macamlah dia percaya sangat. Tapi diakui sebelum ini Yafitlah selalu belanjanya makan. Sebab itu dia tak berkira sangat.

“Faiha macam mana. Kasihan dia kau buat lagu tu.” Zairil bersuara.

Dr Faiha Amelia. Sejak zaman sekolah lagi sukakan Yafit. Selalu mencari peluang mendekati Yafit. Jadi apabila keluarga mahu menyatukan mereka, tanpa bertangguh dia bersetuju. Asalnya pertunangan mereka hanya untuk tempoh 6 bulan sahaja. Tetapi Yafit minta ditangguhkan sehingga dia habiskan pengajian masternya di Jepun. Namun Zairil tahu, itu adalah cara halus menolak rancangan keluarga mereka.

“Kau tak boleh buat Faiha macam tu? Apa salah dia? Kalau betul kau tak sukakan dia, cakap terus terang. Putuskan pertunangan itu.”

“Payah Ril.” Yafit termenung seketika. Nasi berlaukkan ikan keli berlada dikuis-kuis. Susah mahu memahamkan Faiha. Sudah banyak kali dia cakap, dia sikit pun tidak ada perasaan kepadanya. Namun Faiha bertegas, cinta akan datang selepas kahwin. Faiha yakin mereka akan bahagia. Tapi dia, tidak mampu menipu diri sendiri. Bahagia itu terasa jauh untuk digapai. Lebih-lebih lagi sejak dia terpandangkan gadis misteri di dalam bas malam itu.

“Kau suka Faiha?” tembak Yafit. Matanya tajam pandang Zairil di depannya.

Zairil tenang menyuap nasi. Dia senyum dan angguk.

“Suka! Faiha tu pun kawan aku jugak. Kita bertiga rapat sejak zaman budak-budak lagi. Apalah kau ni.”

“Kau cinta dia?” Yafit menukar soalan. Dia yakin yang Zairil ada simpan perasaan terhadap Faiha. Kalau tidak, takkan sampai sekarang masih lagi sendiri.

“Faiha tu tunang kau? Giler aku nak jatuh cinta. Antara cinta dan persahabatan, aku lebih rela korbankan cinta dari sahabat,” terang Zairil.

“Jadi betullah kau cintakan Faiha tu. Tapi terpaksa pendamkan perasaan kau sebab Faiha tunang aku,” tekan Yafit. Dia telah siap makan. Menanti jawapan Zairil.
Zairil geleng kepala. “ Nak korbankan apa kalau aku cuma suka Faiha sebagai sahabat.”

“Kau tak payah nak berselindung Ril. Cakap betul-betul. Aku tak marah kalau kau cintakan tunang aku tu. Lagipun selama aku berada dekat Jepun, aku tahu korang selalu keluar bersama.”

“Dia keluar dengan aku sebab dia rindukan kau. Jadi dia lepaskan rindu tu pada aku.”

Yafit ketawa kecil. Masih lagi nak berdalih. Padahal wajah Zairil telah pun menjelaskan tekaannya betul. Zairil suka dan cintakan Faiha. Dia sikit pun tidak berasa cemburu dengan kenyataan itu. Baginya Zairil lebih sesuai menjadi tunang Faiha, bukan dia.

“Jadi kau sampai hati tengok Faiha kecewa sebab aku?” uji Yafit.

“Aku nak tengok korang berdua hidup bahagia!” balas Zairil. Tapi dalam suaranya ada nada ragu-ragu. Sanggup ke dia melihat orang yang dicintainya hidup bersama dengan kawan baik sendiri?

“Tak payah nak berdrama Ril. Aku tahu kau tentu tak sanggup tengok Faiha jadi bini aku kan? Mesti kau cemburu jika aku jadi kahwin dengan Faiha tu,” bantah Yafit.

“Aku tak pernah sayangkan Faiha lebih dari sahabat Ril. Kau lebih berhak jadi tunang dia.”
Zairil terdiam mendengar luahan Yafit itu.

“Kau tolong aku. Pikat Faiha!”




Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Featured