Cinta Bawah Sedar Bahagian 5




“Lama Za tak datang rumah mak uda ni. Ingatkan dah lupa jalan. Dah tak nampak rumah mak uda yang jauhnya sejengkal ni,” sindir Mak Uda. Tapi tangannya usap belakangku.
Aku tarik sengih. Tak kata apa, sebab apa yang Mak uda cakap tu memang betul. Selepas Abang Zaid kahwin, aku buat-buat tak nampak tangga rumah Mak uda. Balik kampung yang barang sekejap, aku banyak habiskan dengan berkepit dengan mak. Sehari dua balik, aku dah merangka tempat aku nak bawa mak jalan. Tak pun habiskan masa di chalet kepunyaan Busu, di Kuala Besut. Kemudian marathon menyiapkan manuskrip.
“Za sibuk Mak uda. In shaa allah dah balik tinggal dengan mak ni, rajinlah Za datang sini,” balasku ambil hati. Padahal aku rasa mungkin tak rajin kot. Segan. Pokok cinta yang mati dulu dah mula terasa hidup semula. Sebelum ia tumbuh subur baik aku matikan dia semula, sebab pokok itu tak pernah pun aku pinta tumbuh dalam hati aku. 
Mak uda angguk. “Alhamdulillah, senang hati Mak uda dengar. Bolehlah Za tolong Mak uda tengok-tengokkan budak-budak ni,” bicara Mak uda lagi. Wajahnya ikhlas, sayu merenung wajahku sehingga aku rasa canggung. Aku senyum segan, kemudian angguk. Hilang kata nak balas. Jelingan anak sulung Abang Zaid aku balas dengan pandangan lembut.
“Tak perlu orang jaga kami pun opah, along dah besar. Boleh jaga adik-adik,” ujar anak sulung Abang Zaid. Nada suaranya macam orang tak suka. Tengok aku pun macam musuh yang perlu dihapuskan. Berlainan pula dengan Hasif, bila aku masuk ke dalam rumah, barulah dia nak berenggan denganku. Boleh pula bermain kereta dengan angahnya. Si kecil Atia pula mengelek patung barbienya, bermain di atas ribaku. Abang Zaid menghilang ke dapur.
“Iyalah jaganya. Banyak tengok tv, main telefon. Adik berak ke kencing opah juga yang kena basuh,” balas Mak uda.
Makin kelat dan masam wajah along itu. Mata jeling tajam aku. Aku tak layan. Budak-budak baru kehilangan ibu, memang tak suka jika ada wanita lain mendekati ayah mereka. Takut hilang kasih sayang dan perhatian ayah, dapat pula mak tiri cinderella.
“Za bila nak kahwinnya? Dah ada calon? Mak Za tu kepingin cucu anak sulungnya,” Mak uda pusing soalan lain. Wajahnya jelas nak tahu status aku.  
Aku terus terbatuk. Kebetulan ketika itu, Abang Zaid menatang dulang air menuju ke tempat kami duduk. Aku kerling Abang Zaid seketika sebelum mata berlabuh kembali pada wajah Mak uda. Bertuah arwah Kak Aisyah dulu dapat suami macam Abang Zaid ni. Ringan tulang. Dengan anak-anak pun lembut tapi tegas.
Aku memilih untuk tidak menjawab. Sebetulnya aku tiada jawapan untuk itu. Sejak sepuluh tahun lalu, aku tak pernah terfikir pun untuk berkahwin. Tapi hari ini, entah kenapa hati boleh jadi tergedik-gedik pula. Macam remaja yang baru jumpa secret admirenya.
“Minum Za. Air bujang je. Ini je yang abang pandai buat,” secangkir teh berasap nipis diletakkan di atas meja di depanku.
Aku senyum segan. “terima kasih Abang Zaid.”
Sempat aku tangkap mulut si along mencebik. Matanya dijulingkan ke atas. Benci sangat dia padaku.
“Along sekolah darjah berapa sekarang?” aku cuba ajak along berbual. Kekok juga sebab anak-anak saudaraku semuanya masih kecil. Yang sulung baru lima tahun. Budak baya itu senang nak ambil hati mereka, macam Hasif tu.
“Along, Mak long tanya tu, jawablah,” Mak uda tolak bahu along dengan bahunya.
“Darjah 3. Sibuk nak tahu hal orang. Along tak suka mak cik ni dekat dengan Hasif.” Terlalu berterus terang, membuatkan hati sedikit terasa. Aku maniskan muka, pandang Along lembut. Budak-budak tengah membesar, kehilangan ibu ketika di saat-saat masih memerlukan, jiwanya sensitif. Jadi aku ingatkan diri sendiri, tak perlu ambil hati sangat. Along bersikap demikian kerana nak mempertahankan keluarganya.
Lagipun aku sedar diri, sikit pun tak ada niatku nak mendekati Hasif dengan maksud tertentu. Kisah Abang Zaid sekeluarga pun aku baru tahu tengahari tadi. Simpati melaut di dalam hatiku. Jatuh kasih dengan Hasif yang tiba-tiba menjadi manja denganku. Jatuh hati dengan Atia yang begitu terbuka menerimaku walaupun baru tadi aku melihat dan memegangnya. Atia yang duduk di atas ribaku, bermain-main dengan hujung tudungku. Sikit pun tidak takut. Malah Atia semakin menyelesakan diri dengan menyembamkan mukanya di dadaku.
“HUSNA!” tegas Abang Zaid menyebut nama anak sulungnya.
Husna bingkas bangun. Menghentak kaki dan masuk ke biliknya. Tidak peduli dengan jegilan babanya.
“Abang minta maaf,” pinta Abang Zaid.
“Za jangan ambil hati, Husna tu susah sikit nak mesra dengan orang. Lebih-lebih lagi sejak uminya meninggal. Dulu, dia rapat sangat dengan umi dia tu. Itu yang dia tak suka orang dekat dengan adik-adik dia,” jelas Mak uda.
“Za faham mak uda. Alaa.. budak-budak. Za tak ambil hati pun.” Aku senyum kelat. Terasa hati. Memang walaupun tak terlintas pun lagi dalam hati aku nak ambil tempat mama mereka. Cuma sikit terkenangkan rasa di zaman muda-muda dulu.
Abang Zaid senyum lembut memandangku. Dulu senyuman itu yang membuatkan aku berasa bersalah kerana menolak pinangannya. Bukan sengaja tapi tika itu aku lebih memilih kerjaya dari terikat dengan tanggungjawab sebagai isteri. Selepas terlepas tu baru menyesal sikit. Sekarang, dapat tumpang kasih anak-anak Abang Zaid pun aku dah bersyukur.
Banyaknya petang itu aku berborak dengan Mak uda. Macam-macam yang dia cerita. Abang Zaid sesekali mencelah. Itu pun dia tak duduk lama, ada kerja sikit katanya. Hampir maghrib baru aku nak balik. Mak uda tahan tak bagi balik dulu, makan malam di rumah dia. Tapi kasihan pulak dekat mak sendirian dekat rumah sana.
Atia aku serahkan kepada Abang Zaid kembali walaupun dia merengek-rengek tidak mahu. Panas mataku. Rasa nak saja ambil Atia balik rumah mak. Tapi renungan tajam si anak sulung Abang Zaid membuatkan aku kurung niatku. Tidak mahu anak itu terus salah faham dan bersikap dingin. Aku akan cuba ambil hati dan mendekatinya. Menyakinkan dia yang aku sikit pun tidak ada niat lain selain memberikan mereka kasih ibu.
Namun sebaik sahaja kaki jejak tangga rumah, terasa tangan aku ditarik, Hasif tayang muka kasihan.
“Nak ikut mama long alik,” rayunya.
Aku tunduk. Atia pula tercebik-cebik mulut. Tangannya didepangkan supaya aku mengambilnya. Aku terkedu. Serba salah. aku pandang wajah Abang Zaid sekilas. Ternyata wajah kacak itu terkesan dengan sikap anak-anaknya. Ada kesedihan di dalam matanya. Faham dan mengerti anak-anaknya mendambakan belaian kasih ibu.
“Nak.. Nak itut..” bebel mulut kecilnya. Aku tak sampai hati.
“Jangan nak mengada-ngadalah Asif. Tu bukan mama kita. Masuk. Dia nak balik rumah dia,” Husna tarik tangan Hasif kuat. Terus Hasif melaung, menangis.
“Ya Allah, kenapa ni Husna!” tinggi suara Abang Zaid menegur. Mak uda dah geleng kepala. Tak kata apa terus masuk ke dalam.
“Asif ni melampau.. Along tak suka mak cik gatal ni!”
Aku tergamam. Abang Zaid merah mukanya menahan marah.



Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.