Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Isnin, 27 November 2017

Cinta Bawah Sedar Bahagian 7

Zahirah
“Maafkan abang!”
Whatapps terakhir Abang Zaid aku biarkan. Aku tidak mahu tahu untuk apa maaf itu. Kalau sebab anak-anak, tidak ada apa yang harus dimaafkan. Mereka menceriakan hatiku dengan telatah comel mereka. Sejak dibawa pulang ke rumah mak, Hasif dan Atia langsung tidak mahu berenggan denganku. Aku mandikan mereka, membiarkan mereka bermain air dan sabun seketika. Kemudian suapkan mereka makan dan melayan mereka bermain sehinggalah keduanya mengantuk.
Hari ini buat pertama kali, rasa kosong yang ada di sudut hatiku terisi. Kehadiran mereka mengisi ruang itu. Telefon pintarku letakkan di atas meja sisi. Tadi aku bersusah payah menolak katil rapat ke dinding. Tidak mahu Hasif dan Atia terjatuh ketika tidur nanti. Aku menepuk perlahan paha Atia, Hasif sudah mula berlayar di alam mimpi.
Kriuk.. klik.. Pintu bilikku dibuka dari luar.
“Budak-budak dah tidur?” mak menjengukkan dirinya di muka pintu.
Aku angguk. Perlahan aku angkat punggung, selimut ditarik untuk menyelimuti dua tubuh kecil itu sebelum aku melangkah perlahan menuju ke pintu.
“Awal tidur. Penat agaknya,” omel mak.
Main tak berhenti sejak siang petang tadi. Mana tak penat mak.” Aku melangkah ke dapur. Perut minta diisi.
“Mak nak makan sekali?”
Mak geleng kepala. “ Za makanlah. Mak kenyang lagi makan tadi.” Balas mak sambil melabuhkan punggung di depanku.
“Happy sebab ada orang layan mereka.”
Aku senyum dan angguk. Aku suap nasi perlahan. Baru terasa lapar. Suapkan nasi budak-budak tadi, tengok mereka berebut nak makan, aku kenyang dengan telatah comel mereka. Mereka yang mempunyai anak-anak penyeri hidup itu sungguh beruntung. Tapi sayang ada juga yang tak menghargainya.
Mak pandang aku makan. Perasan diperhatikan, aku pandang mak. Angkat kening, bertanya.
“Za tak mahu jadi mama budak-budak ni?”
Terhenti tanganku menyuap nasi. Aku pandang mak seketika kemudian tunduk. Sejak aku tahu, mak tahu isi hatiku aku tidak berani pandang mak lama-lama. Takut mak bongkar lagi rahsia hatiku. Rahsia yang paling dalam itu.
“Hari tu Za tolak sebab adik-adik. Sekarang ni semua adik-adik Za dah berkahwin dan berjaya dalam hidup, Za patut fikirkan masa depan Za pula. Mak tak nak Za terus sendiri sehingga akhir hayat. Mak nak tengok Za ada keluarga sendiri sebelum mak tutup mata.” Sayu suara mak. Aku pula yang terkesan hati.
“Apa yang Za buat dulu, Za ikhlas mak. Za dah redha pasal jodoh. Za bahagia sendiri. Ada peluang banyak untuk Za berbakti jaga mak. Mak jangan risau, Za tak sunyi pun. Hidup Za sentiasa meriah dengan anak-anak saudara, kawan-kawan dan mak. Bertambah sekarang anak-anak Abang Zaid ni.” Aku cuba sebaik mungkin mempamerkan senyum bahagia. Tanda aku betul-betul bersyukur dengan apa yang aku rasai sekarang.
Bergenang air mata mak. Mak geleng kepala.
“Za anak mak. Anak sulung mak. Mak tahu Za. Jangan nak tipu mak.”
Dumm, terasa sebiji tumbukan di hatiku. Menyedarkanku. Sampai bila-bila aku tetap gagal menyembunyikan isi hatiku daripada mak. Aku terus diam. Nasi cuba dikunyah walaupun sudah hilang rasa. Perut menjadi sebu. Aku tidak mahu mak menangis tapi aku juga membuatkannya menangis.
“Za tak tunggu Abang Zaid mak. Jodoh Za dah terlepas. Za pasrah. Za bahagia dengan status Za sekarang. Za tak nak mak susah hati.”
Mak geleng. “ Selagi tak ada suami jaga Za, selagi itulah hati mak tak tenang. Mak nak Za juga bahagia punya keluarga sendiri,” tekan mak.
Aku pula yang buntu nak pujuk mak. Segera pingganku bawa ke sinki. Mahu lari seketika.
“Mak uda telefon mak tadi. Dia menyesal bertindak terburu-buru dulu. Kalaulah dia tak ikut hati selepas Za tolak pinangan dulu, tentu sekarang Za yang jadi menantu dia.”
“Mak, yang lepas tu biar lepas. Za tak sedih pun. Memang dah jodoh Abang Zaid dengan Kak Aisyah bukan Za. Kita kena terima.” Aku duduk sebelah mak. Lentukkan kepala di bahunya.
“Comel kan anak-anak mereka. Atia tu Za geram nak gigit pipi tembam tu. Rupa dia sebijik muka uminya,” aku pusing cerita. Tidak mahu lagi berkisah pasal aku.
“Kalau Za kahwin dengan Zaid, anak-anak Za pun comel macam Atia tu juga.”
Terus aku diam. Aku peluk lengan mak kemudian pejamkan mata. Mengusir cemburu yang tiba-tiba hadir bersama kata-kata mak itu. Perasaan aku yang terkatup kemas selama ini, terbuka seluasnya di depan mata hati mak. Aku tidak berani bercakap apa lagi.
******
Zaid Al-Haris
Pagi-pagi dah ribut. Husna buat perangai lagi. Kali ini dia tunjuk perasan sungguh. Mogok tidak mahu ke sekolah. Marah Atia dan Hasif bermalam di rumah Mak Cah. Aku tarik nafas panjang. Aku harus tenang meladeni sikap memberontak Husna. Semasa Aisyah masih ada, Husna adalah seorang anak dan kakak yang boleh diharap. Dialah yang banyak menolong uminya mengasuh dan menjaga Haikal dan Hasif.
“Baba tak nak cakap banyak. Cuma satu je baba nak pesan, setiap apa yang kita lakukan ada akibatnya. Sama ada baik atau buruk. Along buat perangai macam ni, baba tak rugi apa. Nenek dan Atuk pun tak rugi. Yang rugi adalah diri along sendiri. Along fikirlah, nak terus buat perangai ke nak ke sekolah. Tuntut ilmu demi masa depan along sendiri. Along ingat lagi tak pesan umi setiap pagi, apa yang dia cakap?” kataku tenang. Aku pandang Husna yang membungkus diri dalam selimut. Seketika tiada gerakan, sehinggalah aku terasa sabarku semakin menipis. Tidak mahu menunggu lagi, aku melangkah ke pintu.
“Baba...” suara halus bersulam tangisan kedengaran. Aku berpaling kembali. Wajah Husna basah dengan air mata. Aku kembali ke katil anak gadis kecilku. Duduk di birai katilnya. Melihat wajah basah itu, aku terus tarik tubuh kecil itu ke dalam pelukannya. Tubuhnya bergegar. Esakan kuat mula kedengaran. Aku biarkan along melepaskan perasaannya.
“Along isk.. isk.. rindu umi.”
Aku peluk dan tepuk belakangnya. “Rindu umi, along baca al-fatihah. Umi sentiasa ada dalam diri along. Walaupun umi telah pergi dulu, namun umi masih ada di sini. Dalam hati kita. Along tak boleh berterusan macam ni. Umi tak suka. Umi mahu along teruskan kehidupan seperti biasa,” pujukku.
“Tapi.. Along nak umi. Along tak mahu umi pergi.. isk.. isk..”
“Baba ada.. Baba akan terus ada di samping along dan adik-adik.. Baba takkan tinggalkan anak-anak baba.”
Husna angkat muka pandangku. “ Baba janji?”
“Baba janji.”
“Baba janji takkan kahwin dengan mak cik sebelah tu. Baba janji takkan biarkan Atia dan Hasif tu rapat dengan mak cik tu?”
Aku terdiam. Geleng kepala perlahan. Aku keringkan air mata Husna dengan jariku.
“Itu baba tak boleh janji. Bab jodoh dan ajal maut ini ditangan Allah taala. Kalau baba janji dengan Along dan mungkiri janji, baba pula berdosa. Sedangkan dua perkara itu bukan di dalam kawalan baba.”
Husna mendengus. Entah dia faham ke tidak apa yang aku terangkan.
“Along tak suka. Along tak nak umi tiri. Umi tiri jahat. Nanti dia dera along dan adik-adik macam mak tiri cinderella tu.”
Aku diam. Wajah itu masam mencuka.
“Tak semua umi tiri jahat. Along tak boleh judge orang tanpa mengenalinya. Kalau dia jahat kenapa Atia dan Hasif nakkan Mak Long Za tu. Kenapa mereka nak ikut mak long? Along kena kenal dengan mak long dulu. Jangan terus cakap dia jahat.”
Husna diam. Wajahnya jelas memberontak. Tak suka dengan apa yang aku cakap.
“Lupakan dulu semua itu. Sekarang ni cepat siap. Baba bagi 10 minit siap. Kalau tak pergi jalan kaki ke sekolah,” tegasku. Tidak mahu memberi muka lagi.
Husna jeling.
“Now Husna!”
Terus dia bingkas bangun. Tahu yang apabila aku menyebut namanya bererti aku tidak mahu mendengar bantahan lagi.
Pulang dari menghantar Along dan angah ke sekolah, aku terus ke rumah Mak Cah. Aku terus menuju ke dapur apabila melihat pintu dapur terbuka. Seketika aku kelu melihat pemandangan di depanku. Atia berada di atas riba Za. Manakala Hasif memeluk leher dari belakang. Mereka sedang makan dan mengekek Hasif dan Atia ketawa. Gembira diberi layanan istimewa itu.
Za tak bertudung. Aku menelan liur sendiri. Lama aku tidak melihat Za begitu. Seingatku kali terakhir ketika Za lepas PMR. Selepas itu Za mula bertudung.
“Assalamualaikum...




Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.