Cinta Bawah Sedar Bahagian Tiga

Abang Zaid sengih segan. Aku nampak dia menjelingku. Sengaja aku buat tidak perasan. Aku fokus kepada Hasif. Hailaa Hasif, bikin Mak long malu je.
Mak pula senyum-senyum.
“Saya balik dulu Mak Cah.”
“Iyalaa.. Jangan risau Hasif ni. Mama baru dia ada jagakan.”
“MAK!” jeritku.
Mak ketawa.
“Kalau masin mulut Hasif tu, lega hati mak ni Za.”
Merah cuping telinga Abang Zaid. Aku lagilah, tak tahu nak letak mana muka ni. Sepuluh tahun tak berjumpa, dan pertemuan ini membuatkan hati tak tenteram. Terus tak pandang mukanya. Bila dengar pintu ditutup, barulah aku menoleh, pandang mak.
“Apa mak ni. Malulah Za. Nanti orang cakap andartu gatal pulak,” omelku geram.
Mak senyum je. Tak ambil hati pun apa yang aku cakap tadi. Habisnya aku tanya mak.
“Kak Aisyah pergi mana?”
“Aisyah meninggal melahirkan anak bongsu mereka setahun lepas,” beritahu mak.
 Aku termangu-mangu mendengarnya. Hati macam tak mahu percaya berita itu. Aku pandang muka mak lama.
“Betul ke mak?” memang aku tak percaya. Muda lagi Kak Aisyah tu.
Mak angguk. “ Uri bawah, melekat dekat rahim. Tumpah darah. Koma dua hari, tersedar sekejap. Sempatlah dia menyusu bayi dia tu. Kemudian meninggal dalam tidur.”
Allahu.. Air mataku jatuh. Kenapa setelah setahun baru aku tahu? Aku peluk Hasif erat. Air mata ni usah cakaplah, macam empangan pecah, laju turun. Kasihannya anak ini. terbayang wajah lembut Kak Aisyah ketika di majlis perkahwinan mereka dulu. Tak sangka secepat itu dia pergi.
“Anak-anak mereka ada berapa orang mak?” tanyaku. Sebab nak matikan rasa di dalam hatiku, selepas Abang Zaid kahwin, aku tutup mata dan telinga mendengar cerita mengenainya. Sekarang terdetik rasa menyesal. Kasihan Abang Zaid. Muda-muda lagi telah jadi duda.
“Empat orang. Hasif ni anak ketiga. Yang bongsu tu Atia, cukup setahun minggu lepas,” jelas mak.
“Yang sulung umur berapa?” wajah Hasif aku tatap lama. Patutlah aku jatuh kasih pandang pertama kepadanya. Kasihannya dia. Kecil-kecil lagi telah kehilangan ibu. Si bongsu lagilah tidak merasa kasih ibu. Aku tunduk cium ubun-ubun Hasif.
“8 tahun, kedua 6 tahun dan Hasif ni 3 tahun.. Dah Za teman mak kat kampung ni, boleh tengok-tengokkan anak-anak Zaid ni sekali. Kasihan Zaid tu, Mak Uda pun bukannya sihat macam dulu lagi. Dah sakit-sakit macam mak jugak. Tak larat nak jaga cucu yang tengah lasak ni,” cerita mak panjang lebar. Aku diam.
Hati yang dulunya mati rasa, mula terasa hidup kembali. Rindu yang terpendam lama, mula gugur satu persatu dedaunnya. Melihat Hasif, dia seolah-olah melihat Abang Zaid. Mungkin bukan jodohnya dengan Abang Zaid. Tak apa. Dapat menumpang kasih anak-anak Abang Zaid pun sudah lebih dari cukup.
“Dah kenyang?”
“Dah kenyang..” Hasif jawab dengan mengulang ayatku. Aku cubit pipi tembamnya. Geram dengan senyuman comelnya.
“Jom basuh mulut, lepas tu mak long hantar balik.”
“Tak nak!” terus Hasif tak mahu bergerak dari kerusi.
“Nak duduk sini, dengan mak long dan nenek,” rajuknya.
Aku pandang mak. Mak pandang aku. “Biarlah Hasif kat sini Za. Memang setiap hari dia datang temankan mak pun selama ni.”
“Okey, Hasif duduk sini temankan Mak Long dan nenek. Tapi kena basuh mulut dulu.”
“Yeaah..”terus Hasif terjun kerusi dan berlari ke sinki. Aku geleng kepala. Gelagatnya mencuit hatiku. Aku hapus air mata di pipi.
Selepas itu kami naik ke ruang tamu. Aku bukakan saluran ceria. Hasif duduk bersandar di sebelahku. Mak pandang dan senyum tengok gelagat Hasif yang tidak mahu jauh dariku.
“Dia rindukan mak dialah tu,” getus Mak. Aku usap ubun-ubun Hasif dan memeluk tubuh anak kecil itu. Sayangku semakin bertambah. ‘Mak long ada Hasif. Mak Long boleh sayang Hasif adik beradik macam mak Hasif jugak,’ bisikku.
“Abang Zaid kerja apa mak?” tiba-tiba ada rasa ingin ambil tahu tentang lelaki itu. Jiran merangkap tiga pupu mak.
Masa kecil dulu kami rapat jugak. Tapi selepas dia masuk MRSM dan dua tahun selepas itu aku ke SBP hubungan kami mula berjarak. Lama-kelamaan jadi orang asing. Selepas pinangannya aku tolak dengan alasan mahu tumpukan pada kerjaya yang baru dibina, hubungan kami terus terputus. Hati berdetak kecewa apabila mengetahui tidak lama kemudian dia akan kahwin dengan pilihan maknya yang lain. Menyesal. Rupanya selama ini ada kasih terpendam di hujung ranting hati. Sayangnya, telah terlambat. Sejak itu soal hati aku tolak ke tepi. Mak pula selepas Abang Zaid kahwin dan melihat aku kecewa dalam diam, sendiri yang menolak jodoh, tidak lagi bertanyakan jodoh aku. Dia biarkan aku tanpa bebanan tentang perkahwinan.
“Entahlah. Mak pun tak tahu sangat. Dia berhenti kerja selepas isteri dia meninggal. Sebab nak jaga anak-anak dia tu. Kalau ikut cakap Mak Uda kau, dia kerja dari rumah. Buat kerja online sambil tulis buku.”
Hatiku berdetak kencang. Aku toleh pandang mak yang duduk bersandar di tiang rumah. Tangan urut lutut dengan minyak panas. Sakit lutut sebab berdiri lama dekat dapurlah tu. Padahal aku dah pesan, jangan berdiri lama. Masak nanti biar aku yang masakkan. Tapi mak nak juga masuk dapur, duduk tak buat apa lagi sakit katanya. Jadi aku nak cakap apa lagi?
Aku pandang di sisiku. Hasif dah terlena. Patutlah rasa berat je tadi. Aku angkat Hasif lalu meletakkannya di atas toto di ruang tengah. Suara televisyen aku perlahankan dan menukar siaran ke Prima Ria. Kemudian, aku mendekati mak, tangan terus capai minyak angin dan mengurut lututnya.
“Dia tulis buku apa mak?”
“Entahlah, mak pun tak tahu,” balas mak.
Aku diam. Cuba mengingati mana-mana buku yang penulisnya Zaid. Hati dah mendongkol marah. Inilah padahnya kalau baca buku skip info penulis. Rasa menyesal pulak. Lepas ni kena bacalah info tentang penulis dulu.
“Rasanya buku motivasi, tak silap maklah. Hari tu dia ada bagi sebuah kat mak. Cuba kau cari kat atas almari buku tu.”
Aku terus bingkas bangun. Semangat nak tahu jenis buku apa yang dia tulis. Jadinya setiap buku atas almari itu aku belek satu persatu. Maklumat tentang penulis aku baca dahulu.
“Bahagia selepas hujan, oleh Zaid Harithah,” bisikku perlahan. Maklumat mengenai penulis aku baca, bibirku spontan digigit. Dah jumpa. ALantas aku baca buku motivasi itu ke kembali ke sebelah mak. Sempat aku baca blurb di belakang buku itu, sebelum mengurut kaki mak kembali.
“Za masih tunggu Zaid ke?”
Aku angkat muka. Blur. Hanya tertangkap di hujung kata nama Zaid sahaja.
“Apa dia mak?”
“Mak tanya, Za masih tunggu Zaid ke?”
Aku pandang mak lama. Soal hati, soal jodoh atau cinta ni, aku tidak pernah kongsikan dengan sesiapa, termasuk juga mak. Entahlah.. mungkin dulu rasa itu hilang, sehinggakan aku rasa tidak ada apa yang perlu dikongsikan. Lagipun semua perasaanku telah diluahkan di dalam novel-novel yang aku tulis.
“Mana ada, mak. Kenapa Za nak tunggu dia pulak?” aku gugup. Tak sanggup nak tentang mata mak.
Mak tarik tanganku. Dia kepitkan dengan dua telapak tangannya. Kemudian mak usap lembut jari jemariku.
“Mak tahu walaupun Za tak pernah luahkan apa-apa kepada mak,” bisik mak.
“Mak..” Mataku kembali berkaca.
Mak angguk perlahan. Aku peluk mak. Sungguh aku hilang kata.
“Dulu mungkin bukan jodoh Za dengan Zaid. Kali ini mungkin dah sampai jodohnya.”
Aku peluk mak erat. Aku pejam mata.  Mak tepuk belakangku dengan penuh kasih sayang.
*****



Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan