Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Ahad, 22 Januari 2017

11:50:00 PTG

Bab 5 : Hati Yang Kau Sakiti






Tanpa sedar tingkah laku Amru mendapat perhatian Syida. Dia mengulum senyum. Nampaknya Amru macam berminat. Ami ukir senyum plastik. Dia seolah-olah baru sampai ke planet baru. Dia pula makhluk asing yang cuba menerokai dunia asing. Semuanya terlalu asing di pancainderanya. Di sini tiada wajah manusia yang muram ataupun bersedih. Di sini hanya ada wajah penuh dengan keceriaan dan keseronokan. Pergaulan tanpa batasan. Berpelukan dan berciuman di khalayak ramai seolah-olah benda itu terlalu biasanya. 

Muzik rancak tiba-tiba bertukar rentak perlahan. Yang terkinja-kinja menari tadi telah berubah menjadi kucing parsi yang kesejukan cuba bermanja dengan tuannya. Ami pandang lengannya. Bulu roma telah tegak berdiri. Ini bukan dunianya. Dia yakin. Inilah kali pertama dan terakhir jejakkan kaki ke tempat seperti ini. 

Dia pandang ke depan dan matanya berlaga pandang dengan lelaki bermata tajam di hadapannya. Mereka bertatapan seketika. Ami gugup. Tak berani menatap lama, dia tunduk pandang meja. Gelagat mereka mendapat perhatian Aali. 

Aali peluk bahu Syida. 

“Kita menari,” didorong Syida supaya bangun dan bergerak ke lantai tarian. Begitu juga dengan Khairi dan Kirana. 

“Korang tak nak menari?” soal Khairi kepada mereka berdua. 

Pantas Ami geleng kepala. Dia harap masa akan cepat berputar. Dia mahu cepat-cepat keluar dari sini. Tapi nak suarakan kepada Syida dan Kirana, dia terasa bersalah. Mereka dah ingatkan tadi. Berkali-kali tanya, betul ke nak ikut. 

Padan muka aku.

“Aku minum je. Kejap lagilah,” balas Amru. Matanya masih lagi melekat di wajah Ami. 

Mereka berempat beredar dan meninggalkan mereka berdua. Tapi sorotan mata mereka tetap ke arah meja mereka tadi. 

“Ehemm...”

“Buat apa kat sini? Ini bukan tempat awak boleh suka-suka datang,” tegur Amru. 

Ami tersentak. Melolot matanya pandang lelaki yang duduk di depannya. 

“Saya suka datang. Kenapa? Tak boleh?” soal Ami sinis. Dia jeling Amru. 

Disisipkan coke dihadapannya. 

Amru geleng kepala. 

“Awak nampak lost dan tidak sesuai dengan tempat bingit ni. Saya tahu awak seorang gadis yang baik.”

“Jangan jadikan alasan putus cinta membuatkan awak bertindak diluar batas norma hidup awak.”sambungnya lagi. Mata Amru pandang lantai tarian. Dia angkat tangan apabila bertentang mata dengan Aali. 

“Awak bukan seperti kawan awak tu. Yang sukarela biarkan diri mereka disentuh sesuka hati oleh tangan-tangan asing.”

Ami diam. Kata-kata Amru itu betul. Ini bukan jenis kehidupan yang dilaluinya. Ini juga bukan kemahuannya. Tapi disebabkan nak buktikan kepada diri dan juga Hafiz, dia bertindak rela diri ikut ke tempat seperti ini. 

Amru perasan Ami tak selesa dengan keadaan sekeliling. Dia jadi kasihan. 

“Kalau nak balik, saya boleh hantar balik,” tawar Amru. 

Ami tarik senyum sekilas. Dia pandang Amru, nampak keikhlasan di wajah itu. Tapi kepalanya digerakkan ke kiri dan kanan. Hatinya, walaupun tahu salah tetap tidak akan berganjak sehingga ke akhirnya. Dia dalam lembutnya ada kerasnya juga. Dia sama sekali tidak akan buat kerja separuh jalan. 

“Tak apa. Saya nak tunggu Syida dan Kirana. Balik sekali dengan mereka.”

“Belum tentu mereka akan balik ke kolej nanti,” gumam Amru perlahan.

Ami kepal tangannya sendiri. Dia tahu itu. Sejak sebilik dengan mereka berdua, boleh bilang beberapa kali sahaja mereka balik ke kolej setelah keluar di hujung minggu. Hatinya dah mula tak keruan. Tak tahu ke mana lagi mereka akan pergi selepas ini. Dia pandang Amru yang masih lagi memandangnya. Tapi dia juga tidak percayakan lelaki di hadapannya ini. Kali pertama berjumpa di tempat seperti ini haruslah hatinya ragu-ragu. 

Entah-entah keluar mulut harimau masuk mulut buaya. 

“Ikut suka awaklah.” Akhirnya. 

Tak guna dia memaksa gadis itu. Kalaulah ini yang dia mahukan. Matanya ditalakan ke lantai tarian kembali. Kemudian menjelajah memerhati gelagat pengunjung sepertinya. Yang bagaikan telah berada di alam mereka sendiri. Yang hanya dipenuhi dengan keseronokan dan keasyikan duniawi. 

Dan matanya terhenti di sebuah meja yang agak terlindung. Wajah seorang gadis amat dikenalinya. Sedang berpelukan dengan seorang lelaki. Tanpa segan silu gadis itu membenarkan mulut lelaki itu menjelajah leher jinjangnya. Dia geleng kepala. Sia-sia sahaja cintanya selama ini. 

*****

“Khairi kau.. ada bawa pil tak?” tanya Aali. Di dalam kepalanya ada perancangan untuk menghiburkan hati lara mereka berdua malam ini. Biarkan mereka enjoy malam ini sehingga melupakan segala-galanya.

“Ada,” lalu diseluk poket seluar dan diberikan kepada Aali. Kemudian Aali memberikan satu biji kepada Kirana.

“Kau gila ke? Tak nak aku. aku takkan khianati kawan aku”

“Khianat apa? Kau kan nak hiburkan hati dia tengah frust. Biarlah mereka enjoy malam ni…”desak Aali. 

“Tapi…..” Kirana masih lagi teragak-agak. 

“Tapi apa lagi… masukkan ke dalam coke dia je” arah Aali lagi. 

“Lepas tu biar mereka sendiri yang tentukan. Nak enjoy atau nak terus bersedih!”

“Kau tak nak cuba menari?” soal Kirana setelah kembali ke meja mereka. 

Ami geleng kepala. Tak sanggup bergeser-geser dengan lelaki. Ada juga tangan nakal yang sengaja cari makan. Geli geleman bila difikirkannya. 

“Rugilah. Buat apa datang kalau tak nak menari?” sampuk Khairi pula.

“Kau ni malam ni, kenapa berat punggung pulak?”

“Tak ada mood!” balas Amru ringkas. Matanya pandang lagi Ami. Hatinya nak sangat tarik Ami keluar dari situ. 

“Satu lagu je. Aku yakin kau akan suka nanti.”

Ami sengih terpaksa. Wajah berharap Kirana dan Syida ditatap. Dia akhirnya angguk. 

“Aku nak pergi tandas kejap.”

“Mari.. Aku pun nak ke tandas jugak,” Syida tarik tangan Ami supaya ikutnya. Dia jeling Kirana dan lain-lain. 

“Aku keluar merokok kejap,” beritahu Amru pula. 

Selesai masalah. Bibir Aali terukir senyum jahil. 

Dan segalanya menjadi begitu indah selepas itu. Ami tarik tangan Amru ke lantai tarian. Dia mahu menikmati keindahan malam ini. Lelaki ini tiba-tiba nampak kacak di matanya. 

Penangan sebiji pil menjadikan Ami hilang pertimbangan. Dia merasakan dunianya semakin indah. Sakit di dalam hatinya sudah tidak terasa. Terasa dunia telah menjadi miliknya. Ditemani lelaki kacak. Lebih kacak daripada Hafiz. Ami terus hanyut dalam dunia barunya. 

Begitu juga Amru… kecewanya bagaikan hilang dan kini dia telah menemui seorang bidadari yang cantik. Yang sedang menghiburkan dirinya dan menemanibnya. lalu keduanya bagaikan hanyut di dalam dunia khayalan masing-masing. Aali tersenyum puas. Tidak salah rasanya menolong kawan melupakan seketika derita di hatikan?

Ah...Fatamorgana duniawi telah membuatkan mereka tersesat mencari jalan keluar. Keindahan yang dirasakan ini terlalu sayang untuk dilepaskan. Mereka kian hilang di dalam dunia indah yang tiba-tiba muncul. Baru tadi dirasakan kepedihan dek kelukaan yang dilakukan oleh seseorang yang tidak pernah tahu menghargai cinta. Kini di dalam dunia yang hanya dihuni oleh mereka berdua sahaja, cukup indah, cukup mempersonakan. Mereka kian lupa diri, siapa mereka, dengan siapa mereka bersama dan di mana. Mereka terus ketawa dan ketawa.. indahnya dunia ini.

“Kita tak boleh biarkan mereka begitu.”

“Biarlah. Mereka juga manusia. Saling memerlukan antara satu sama lain.”

“Kau giles ke? Esok sanggup makan penumbuk Amru tu?” 

Aali sengih. Dia angkat bahu. Jika itu akibat daripada permainannya malam ini, dia sedia bagi tubuhnya menjadi puching bag. Aali tersenyum jahat. Bukan dia tak sedar bekas kekasih Amru juga ada dalam kelab ini. mata wanita itu melolot tengok Amru berpelukan di lantai tarian. Dia puas. Terbalas sakit hatinya selama ini. 

“Paling teruk aku masuk hospital. Amru pula akan bertanggungjawab di atas perbuatannya.”

Khairi geleng kepala. Syida dan Kirana diburu rasa bersalah. Mereka tidak patut bawa Ami bersama mereka malam ini.








Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Rabu, 18 Januari 2017

7:28:00 PG

Berikan Aku Peluang Mencintaimu Versi Cetak

Assalam dan Selamat Pagi semua

Saya lupa nak umumkan dekat blog ni. Novel ketiga saya dah keluar pre-order. Of course versi cetak kali ini. Dengan penambah baikkan. Siapa pernah baca? Cer angkat tangan sat!

Alhamdulillah
Alhamdulillah
Alhamdulillah...

Permulaan yang baik untuk 2017. Sebelum saya mahu berlari dan terus berlari nanti..
Pre - order dah dibuka dengan harga diskaun hebat. Free pos lagi ditawarkan sehingga hujung bulan Januari 2017. Jadi tunggu apa lagi, tak boleh lepaskan peluang ini. Kena order sekarang!


Harga Diskaun : RM20/23 Free Pos sehingga 31 Januari 2017.
 ( Harga asal RM 23/26 - Pos akan dikenakan)

Blurb 


Mizz-Lady: Sepanjang kita kenal, I tak pernah minta apa-apa. Tak pernah mendesak. Tapi masa takkan tunggu sepertimana I tunggu you. Dalam hati memang tersemat rasa ingin berjumpa dan bercinta macam pasangan lain. Tapi bila you berikan alasan, I terima seadanya. I fokus pada kerja. Tapi nampaknya esok atau lusa, I tak tahu adakah I mampu menunggu dan terus menunggu lagi.


Saat dia sudah bersedia memperkenalkan dirinya, Riya terlebih dahulu menerima pinangan Zamri, teman sekampusnya dahulu. Terkedu dengan kenyataan yang sangat memilukan itu, Noble-Man akur dengan takdirNYA.
Bermula saat itu, ternoktahlah satu hubungan yang dicipta di alam maya. Antara Mizz-Lady dan Noble-Man hanya tinggal kenangan. Itu cinta pertama mereka.

Riya Adriana. Itulah nama “facebook” Riya. Kepada Murni, adik iparnya disampaikan pesan untuk menjadi mata mengikuti perkembangan gadis yang dicintai. 

“Nanti abang akan bagi nama dia dalam Facebook. Murni request jadi kawannya. Jadi mata abang. Jika dia bahagia, jangan beritahu abang. Tapi if something happen dalam hidupnya, inform abang terus. Boleh?” – Noble-Man



“Tapi kenapa” – Murni

“Sebab abang nak pastikan dia sentiasa bahagia. Bahagia dia adalah bahagia abang. Derita dia adalah derita abang. Salah abang dulu. Masa tidak dapat diundur kembali. Sekurang-kurangnya hati abang lega kalau dia sentiasa bahagia.” – Noble-Man

5 tahun berlalu, Riya bersama puteri kesayangan. Kerana Zara, dia kembali mencari rezeki. Namun, kerana status yang dibawa, dia difitnah menggoda bosnya sendiri, Syed Al-Aiman. Lelaki berusia awal 40an yang masih bujang. Bukan dia yang menggoda, tapi Syed Al-Aiman yang mendekatinya. Niatnya hanya satu, mencari rezeki.

“Janda... Apalah yang menarik sangat? Bekas orang pula tu. Cantik lagi anak dara. Bergetah dan ada umph lagi.” – Riya

“Tapi orang kata janda lagi ada umph berbanding anak-anak dara zaman sekarang. Tak semuanya suci seperti zahirnya. Jadi pada I, lagi baik janda sebab kita telah pasti keadaannya,” - Syed Al-Aiman.

Kehadiran Syed Al-Iman sedikit sebanyak mengubah hidupnya. Zara yang kehilangan kasih sayang seorang ayah kini mula merasainya semula. Dia seperti lama mengenali lelaki itu. Dan dia juga bagaikan melihat bayang-bayang seseorang dalam diri Syed Al-Aiman. Namun dia sedar, dia mesti lupakan kisah lalu. Dan yakinlah hati yang Syed Al-Aiman akan menjaga hatinya sampai mati.

Riya menerima lamaran kali kedua untuk menjadi isteri Syed Al-Aiman. Dapatkah sekeping hati yang masih terlakar nama Noble-Man menerima dan mencintai Syed Al-Aiman yang sah menjadi suaminya? Dan apakah cinta laman mayanya kembali terkubur? Riya Adriana, berikan aku peluang mencintaimu!



Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Jumaat, 13 Januari 2017

11:23:00 PTG

Bawang merah Oooo bawang Merah..


Assalam..

Eh ni bukan cerita bawang putih bawang merah tau... Saya tak karang lagi cerita untuk budak-budak ni... Hehehe.. Just nak khasiat bawang merah ni...

Saya dah amalkan, Alhamdulillah setakat ini memang berkesan. Saya juga ada baca dalam encik google.. Ada satu daerah di Indonesia apabila ada anak yang baru dilahirkan mereka akan cucuk Bawang merah dan letak berdekatan dengan bayi tersebut. Kononnya nak lindungi bayi itu dari penyakit.

Memang betul. Sebab bawang merah berfungsi menarik segala bakteria dan kuman di dalam udara dan membersihkan udara di sekitarnya. Jadi bayi tersebut terhindar dari sakit berjangkit seperti batuk, demam dan selesema.



Saya dah cuba dan ia memang berkesan. Bila ikram macam nak demam saya dah potong bawang merah letak dalam bilik. Alhamdulillah ke esokkan harinya dia tak jadi demam. Begitu juga bila saya selesema atau Encik Suami batuk. Saya letak je bawang merah kat dalam bilik. Jadi tak berjangkit dan cepat sembuh orang yang kena.

Satu lagi kegunaan bawang merah adalah dia dapat membersihkan darah. Caranya, potong bawah merah nipis dan bulat. lepas tu letak di tengah tapak kaki dan pakai stoking sebelum tidur. Pagi esok bangun mesti ringan rasa badan tu..

Sebenarnya banyak lagi khasiat bawang merah ni.. Dan saya nak cuba satu lagi.. telinga berdesing.. Telinga saya memang sentiasa berdesing. Nanti saya cuba dan saya akan beritahu hasilnya..
Jadi kalau ada yang sedang demam atau anak-anak demam, cuba petua bawang merah ni malam ini dan lihat hasilnya pagi esok. In Shaa Allah dengan izin Allah Taala dapat sembuh dengan cepat.



Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Selasa, 10 Januari 2017

10:47:00 PG

Bab 4 : Hati Yang Kau Sakiti

Assalam dan Selamat Pagi... Maaf lama tak bersiaran di sini... Susah betul nak maintain update blog setiap hari ni.. Kecuali berkongsi karya saya di sini.... Maka hari ini kita layan manuskrip yang masih lagi dalam proses menulis...Selamat membaca





“Aku ikut!” 

Terhenti tangan Kirana yang sedang menconteng mukanya. Dia berpAaling pandang Ami yang bersila di atas katil.

“Kami nak ke kelab malam.”

“Aku tahu. Sebab itulah aku nak ikut.”

Syida datang dekat Ami, kemudian dia letak tapak tangan di atas dahi Amina. Spontan kepala Ami bergerak ke belakang. Dia pegang tangan Syida. 

“Aku tak demamlah. Aku waras lagi,” bentak Ami. Masam mukanya. 

Takkan aku cakap nak ikut aku ni dah jadi orang sewel!

“Kau tidur kan tadi? Mesti tengah mamai ni Kira.”

Ami juih bibir. 

“Aku dah lama bangun, dah siap mandi dan solat. Mana ada mamai.”

“Habis tu, tiba-tiba cakap nak ikut tu apasal? Bukan ke orang mamai ke yang cakap luar alam.”

Ami garu kepala. Tahu dah mesti dua orang rakan sebiliknya takkan percaya apa yang dia cakap tadi. Tapi agak-agaklah cakap aku ni bercakap di luar alam. Aku faham dan tahulah apa yang dicakap tadi. 

“Aku nak rasa pengalaman ke kelab tu. Best ke tak best!”

“Kelab tak sesuai dengan kau lah. Takkanlah kau nak masuk kelab dengan pakai tudung dan berbaju kurung?” tempelak Kirana. Mengarut betul Ami ni. Selama mereka sebilik, ada beberapa kAali Ami nasihatkan mereka supaya menjauhkan diri dari aktiviti kupu-kupu malam ini. Tapi biasalah mereka, dengar telinga kanan keluar telinga kiri. Tak pula mereka terasa hati. Ada baiknya juga ada seseorang berani menegur mereka. Bukan tak nak berubah. Tapi sayang nak tinggalkan keseronokan yang dirasai ini. 

Syida geleng kepala. 

“Tak payah pergilah Ami. Tempat tu tak sesuai untuk gadis macam kau ni,” nasihat Syida pula. 

“Habis tu sesuai sangatlah dengan korang berdua. Apa bezanya aku dengan korang sehingga kena dibeza-bezakan ni?” soal Ami tidak puashati. Bengang dengan kata-kata Syida tadi. 

“Hafiz cakap aku ni membosankan. Kolot yang tak reti nak menikmati hidup ni. Ajak dating malam-malam tak boleh. Nak pegang tangan pun tak boleh. Jadi aku nak buktikan aku ni bukan seorang yang membosankan. Aku juga boleh menikmati night life,” 

Diam Kirana dan Syida mendengarnya. Mereka berat hati. Membawa Ami sekAali bererti mengheret Ami masuk ke dunia gelap mereka. Kehidupan malam yang penuh dengan keindahan dan keseronokan sementara. Jadi kalau boleh mereka tidak mahu merosakkan gadis sebaik Ami. 

“Biarlah apa yang dia nak kata. Lagipun aku suka kau putus dengan dia. Kau dan dia tak sesuai langsung,” perlahan Kirana memujuk. 

“Dan biarlah korang nak cakap apa. Aku tetap nak ikut jugak!” tegas Ami. 

Kirana dan Syida angkat bahu. Tak tahu nak cakap apa dah.

“Confirm kau takkan menyesal dan salahkan kami nanti?”

Laju Ami angguk. Apa nak jadi, jadilah. Malam ini dia mahu ikut kata nafsu. 

Syida bergerak ke almarinya dan membelek-belek baju yang sesuai untuk Ami. 

“Nah kau pakai baju ni.” 

Selesai tukar baju, Kirana pula memulakan tugas menconteng wajahnya Ami dengan warna warni. Rambut hitam berkilat Ami sengaja dibiarkan lepas bebas. Tidak perlukan sentuhan yang berlebihan kerana rambut Ami dah cantik semula jadi. 

“Wow perfect… Beautiful…Damn sexy” Puji Kirana setelah selesai memekapkan Ami.

“Kau memang cantik dan ayu Ami. Kecantikan kau terlindung dek pemakaian kau selama ini. Hafiz tu memang rambang matalah. Orang yang cantik macam ni dia lepaskan, pilih pula cantik plastik seperti Lisa tu” Dalam memuji Syida mencaci Hafiz. Syida jeling Kirana. Angguk. 

Memang betul apa yang dicakapkan. Dengan susuk tubuh yang sederhana tinggi, dikenakan pula jeans ketat dan blaus ungu yang mendedahkan sebahagian bahunya, Ami kelihatan cantik sekAali. Mungkin juga dia tidak pernah memakai baju seperti ini menjadikan dia kelihatan amat cantik.

“Betul ke?” Soal Ami. Sedikit menyesal. Dia merasa tidak selesa lebih-lebih lagi dengan pandangan mata Kirana yang jatuh pada leher dan dadanya yang terdedah. Ini baru perempuan yang memandang. Kalaulah lelaki? Tak tahu apa tingkahnya pula.

“Aku rasa pasti kau akan menjadi perhatian kat kelab nanti” ujar Kirana.

Setengah jam kemudian mereka siap. 

“Cepat, Aali dah ada dekat bawah,” gesa Syida. 

Rasa menyesal dilempar jauh. Cardigan hitam dan selendang sengaja dipakai ketika keluar dari bilik. Syida dan Kirana tak banyak soal.

“Aku tanya sekAali lagi ni. Kau pasti ke nak ikut kami ni?” soal Syida. Dia tidak mahu tengah jalan Ami ubah fikiran.

“Pasti!” jawab Ami yakin.

“Okey, jom turun.” 

****

“Siapa tu?” soal Aali berbisik.

“Ami.. roommate Kira.”

Aali angguk. 

“Yang alim tu ya?”

Kirana sengih. Ami ketap bibir. Berbisik pun telinganya dapat dengar. Bunga-bunga penyesalan dah timbul dalam hati Ami. Tapi dia tetap tak hiraukan. Alang-alang dalam kereta ni, baik ikut sampai habis. 

“Kenapa dengan dia?”

“Kira ajak dia?” pantas Kirana menoleh. 

“Taklah. Dia yang nak ikut. Baru putus cinta tu. Bila orang kecewa ni, jangan halang apa yang dia nak buat. Bagi dia pelepas angin. Takut jadi meroyan pulak,” balas Kirana.

Ehem... Syida berdeham menegur.

“Aku dengar dengan jelas dan terang cik Kirana,” suara Ami.

“Kau jangan nak cakap yang bukan-bukan pula. Tak pasal kena buat U-turn pulak kang.” 

Aali sengih. Dia buat isyarat zip mulut. Dalam kepalanya pula dah terbayang Amru. Juga baru lepas putus cinta. Kalau ditemukan dua orang ni pun bagus. Mana tahu sama-sama kecewa dan sama-sama dapat membantu mengubati hati yang terluka itu. 

Dia raba samsungnya dan di tekan nombor Amru. Buat seketika dia menunggu di tAalian. 

“Hello.. kau buat apa?” 

“Aku on the way ke bukit bintang. Tempat biasalah. Jom..”

“Alrite..” lebar senyuman Aali apabila Amru setuju nak join sama. Dalam kepalanya telah dirangka sesuatu. Biar mereka berdua enjoy malam ni. Senyuman terukir di bibir Aali dilihat oleh Kirana. 

Dia tak suka senyuman itu. Dia tahu sangat makna disebAalik senyuman itu. Tangan Kirana mencubit paha Aali. Keningnya bertaut apabila Aali menoleh kepadanya seketika. 

Pap.. 

Kirana geleng kepala. 

“Mereka tengah kecewa. Jadi kita patut buatkan hati mereka lupa tentang kekecewaan itu. Malam ini biar jadi milik mereka berdua,” bisik Aali. KAali ini betul-betul di lubang telinga Kirana. 

“Trust me. Mereka takkan kecewa!”

Kirana terdiam. Dia pandang Syida melalui cermin sisi. Nampak keruh wajah kawannya itu. Manakala Ami pula leka pandang di luar tingkap kereta yang bergerak laju itu. 

*********

Suasana malam minggu di jalan bukit bintang dan Pavilion amat meriah. Pertama kAali Ami keluar malam, dia merasa teruja. Sepanjang setahun belajar di KL, inilah kAali pertama dia berjalan di sini. Bagaikan siang hari, ramai orang berjalan-jalan di sini terutamanya pelancong asing. Lampu-lampu berwarna warni menghiasi jalan-jalan ini menjadikan sepanjang jalan terang benderang. Sungguh happening.

Patutlah Hafiz meninggalkan dia yang hanya tahu kolej dan dewan kuliah sahaja. Tempat-tempat seperti ini tidak pernah dijejakinya. Ah terasa mundurnya dia berbanding Lisa dan juga temannya yang dua orang ini. dia tidak pernah tahu malah tidak terdetik pun untuk keluar ke sini malam hari. Cuma apabila ditinggalkan barulah dia mengambil langkah drastik untuk keluar dari kepompong kebiasaannya mala mini.

Tidak lama kemudian kereta yang dinaiki oleh mereka berhenti di tempat letak kereta di belakang sebuah kelab malam. Keluar dari kereta Ami mengikuti Kirana dan Syida memasuki the beach club. Ami merasa takut-takut. Di dalam hati, penyesalan mula timbul. Bagaikan baru tersedar dari mimpi… Ya Allah apa yang aku sedang buat nih. Kenapa aku tidak terfikir sebelum ini. Ami memandang pakaian yang tersarung di tubuhnya itu, cukup membuatkan dia menjadi perhatian mata-mata keranjang. Hatinya mula menggigil takut. Dia jauh ditinggalkan di belakang, terpaksa pula menyelit-nyelit di celah orang ramai yang berada di dalam kelab itu. 

Sesekali berpapasan, mata-mata miang tidak lepas memerhati tubuhnya bagaikan ingin menelanjanginya di situ. Gulp. Dia terasa macam tak pakai apa-apa pun.Nafasnya dah sesak. Mampu ke dia bertahan beberapa jam dalam ni. Bunyi muzik terasa maacam nak pecah gegendang telinganya. Berdentum-dentum pula jantungnya mengikut irama tersebut. Manusia semakin hanya menggoyangkan tubuh mereka mengikut irama. 

Ami mengambil tempat di sisi Syida. Dia memesan jus oren. Manakala Syida dan Kirana tidak segan silu memesan tiger dan carlberg. Ami pandang sekali imbas lelaki yang duduk semeja dengan mereka. Tentunya kawan-kawan Kirana dan Syida. 

“Siapa dia ni?” tanya salah seorang lelaki yang berada bersama mereka yang Kirana kenalkan sebagai Khairi, yang pendiam itu pula, Amru Hafiz. 

“Roommates aku, dia tengah frust ni. Sebab itulah ikut korang ke mari.”

Ami diam dan tunduk. Dalam diam Amru perhati Ami dari atas ke bawah. Nampak sangat gadis ni jakun. Macam tak pernah datang ke tempat macam ni. 

Dia geleng kepala, kesal. Gadis ini tak patut masuk ke dalam kelab ni. Bukan di sini tempat dia. Mahu rasanya dia tarik tangan gadis itu keluar dari kelab ini. 

***********

Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Selasa, 3 Januari 2017

3:21:00 PTG

Bab 3 : Hati Yang Kau Sakiti



Assalamualaikum...
Sebab update guna phone..  Jadi tak leh up cover sekali..  Tak lepas..
Menyampah!
Berbulu mata tengok perangai tak berapa cerdik dua makhluk Allah tu. Sudah-sudahlah tu nak berkasih sayang pun. Orang lain pun bercinta juga. Tapi tak adalah macam belangkas plus ulat bulu naik ke daun!
Wawa siku lengan Ami.
“Apanya?” soal Ami malas.
“Kau dah putus ke dengan si Hafiz tu?”
Ami angguk. Malas nak jawab. Main angguk je laa. Ramai juga yang tahu dulu dia pernah bercouple dengan Hafiz ni. Walaupun dia cuba merahsiakannya. Malulah wei. Takkanlah nak buat perangai tak bertamadun macam contoh kat depan tu.
“Bila korang putus?”
“Baru dua hari lepas.”
Bulat mata Wawa mendengarnya.
“Sekarang mamat tu dah couple dengan Lisa? Jadi dia dah bermain kayu tiga dengan kau lah sebelum ni?”
Ami angkat bahu. Malas nak bagitahu. Padahal dah terang lagi bersuluh dia nampak makhluk dua orang tu makan bersuap di kedai mamak di Sri Serdang.
“Baguslah kau dah putus dengan dia. Aku memang dari awal lagi tak berkenan kau couple dengan dia. Tak sesuai langsung.”
Ami pula berkerut dahi dengan komen Wawa. Selama ni, wawa tak banyak cakap tentang hubungan dia dengan Hafiz. Tegur pun tidak, tanya pun tidak.
“Aku ni buruk sangat ke sampai tak sesuai couple dengan dia. Aku tahulah dia tu hensem. AJK MPP pulak tu.”
“Wei.. bukan itulah maksud aku.”
“Hafiz tu yang tak sesuai dengan kau. Dia takkan tahan dengan life style kau tu. Dia ni lelaki yang jenis sukakan perempuan yang manja-manja dan gedik-gedik macam Lisa tu.”
“Aku dah agak dah, mesti tak lama kau couple dengan dia...” Wawa sengih.
“Kau ni tak ada simpati dekat aku langsung. Aku ni baru putus cinta. Hati merana lagi,” balas Ami.
Wawa mencebik.
“Aku bersyukur lagi ada. Akhirnya celik juga mata kau tengok siapa si Hafiz tu yang sebenar. Ramai lagilah lelaki yang lebih baik yang kau boleh dapat di UPM ni lah Ami.”
Ami pula cemik mulut. Macamlah matlamat aku datang belajar ke UPM ni nak cari jodoh. Hari tu terterima dan tercouple tanpa sengaja dengan mamat tu. Kononnya nak bagi peluang pada dia dan peluang pada diri aku sendiri rasa apa itu cinta.
Wawa peluk bahu Ami. Dia tahu sikit sebanyak Ami terluka. Tapi dia juga tahu terluka sekarang lebih baik dari terluka kemudian. Cinta itu indah apabila datang pada tepat pada masanya. Bahagia bila terjatuh cinta tepat pada orangnya. Tapi buruk padahnya bila terjumpa dan terjatuh cinta pada masa dan orang yang salah.
“Aku minta maaf. Tapi aku betul-betul bersyukur kau telah putus dengan dia. Sebab korang nampak tak serasi pun. Nampak sangat si Hafiz tu paksa diri bercinta dengan kau. Kau pula nampak sangat tak selesanya bila dia dekat dengan kau.”
“Jika betul kau cinta dia, kau tak akan bagi syarat merepek kau tu...” sambung Wawa lagi.
Ami pandang Wawa. Berkerut dahi. “Apa syarat merepek yang aku bagi?”
“Dating dekat library. Tak boleh keluar malam. Tak boleh duduk rapat-rapat,” bilang Wawa satu persatu.
“Betullah syarat aku buat tu. Merepek apa?”
Wawa geleng kepala. Si Ami ni takkan tak boleh nak sedar semua syarat dia buat tu nampak sangat dia tak percayakan si Hafiz. Mana ada orang bercinta letak syarat bagai. Cinta punya pasal semua sanggup diredah.
“Kau ni..” Wawa tarik hujung tudung bawal Ami sampai tertarik kepala Ami ke belakang.
“Weh.. kau jangan main kasar pulak..” dengus Ami geram. Tangan Wawa ni macam tangan cipan. Cepat sangat tarik baju atau buku dia.
“Itu tandanya kau dari awal lagi tak percayakan dia. Kau sengaja letak syarat-syarat tu nak lindung diri sendiri. Mana ada weh, orang bercinta ni letak syarat. KecuAali cinta paksa je.”
Terdiam Ami mendengarnya. Dia pandang Wawa lama sambil fikir bAalik apa yang telah dia buat. Wawa jungkit kening. Dah nampak lah tu.
“Ahaa... betullah tu,” bisik Ami perlahan.
Wawa sengih.
“Tapi hati aku masih sakit jugak! PAaling menyakitkan hati aku ni dia tayang kemesraan mereka tu depan mata aku. Kononnya inilah yang dia nak buat bila bercinta!”
“Berbulu mata. Eiii...”
“Sakit sekejap je. Lepas ni normal bAalik. Ini tandanya Allah Taala sayangkan kau. Tak bagi kau merendahkan nilai diri dan maruah kepada lelaki itu.”
Dalam diam Ami setuju. Walaupun dia menyakiti hatinya, tapi hikmatnya lebih besar dari sakit itu.
“Sudahlah.. jom kita pergi makan dekat library tu. Aku nak makan ikan keli sambal dekat sana. Lama tak makan,” ajak Wawa.
“Kau pun tak ada nak sakitkan hati tengok adegan mesra diorang tu.”
***
“Putus lagi?” soal Aali sambil tayang sengih.
Amru jeling tajam. Bukannya nak bersimpati. Menyindir lagi ada.
“Kau tak payah sedih sangat. Berlambak gadis macam Bella tu tengah beratur nak masuk dalam hati kau tu.”
“Cinta pertama tu beb!”
“Cinta pertama ke dua ke tiga, ada aku kesah?” Aali angkat kening. Dia peluk bahu Amru sambil dorongnya ke kereta.
“Putus cinta memang sakit. Tapi takkan jadi kudis bila kau putus dengan Bella tu. Dia tak sesuai dengan kau!”
“Tiga tahun aku dengan dia, tahu tak?”
“Tiga tahun yang sia-sia... Ini menunjukkan Bella tu bukan calon jodoh kau. Dia hanya layak jadi kekasih kau je.”
“Apasal kau anti sangat dengan Bella ni?” soal Amru tak faham.
Sejak awal dia bercinta dengan Bella, Aali dah tunjuk tak suka. Tak beri muka langsung dekat dia dulu. Nampak Bella ada, dia terus blah.
Aali tarik nafas. Rasanya rahsia yang dia simpan selama ini kena bocorkan. Biar Amru tahu siapa Bella yang sebenarnya.
Mereka tiba di Cafe. Waktu rehat  di tengah bulan ni tak ramai yang datang makan. Ikut saranan pak-pak menteri supaya berjimat cermat. Bawa bekal dari rumah. Nasiblah orang bujang macam mereka kena makan dekat Cafe.
"Kau kenal Ahmad, sepupu aku tu?"
Amru angguk. Dah macam kawan baik dia juga Ahmad tu. Tapi dah lama dia tak jumpa Ahmad tu. Sejak tak jadi kahwin, dia bawa diri bekerja di Dubai. Amru tunggu Aali meneruskan cerita. Dalam hati dah tertanya apa kaitannya dengan Ahmad.
“Bella, sebelum bercinta dengan kau, dia bercinta dengan Ahmad, kawan baik aku masa sekolah dulu. Mereka hampir nak kahwin dah. Dua tiga hari sebelum majlis, Bella buat perangai. Tak suka bakal mak mertua dia masuk campur urusan majlis mereka. Biar keluarga dia yang uruskan semua termasuk majlis pihak lelaki. Bella bagi kata dua, mak atau dia. Kalau tak, tak jadi kahwin. Terkejutlah Ahmad. Selama ni dia anggap Bella dapat terima mak dia. Bella juga bersikap kurang ajar dan lempar kata-kata yang menyakitkan hati bakal mak mertuanya depan muka Ahmad.”
“Hari itu juga Ahmad batalkan perkahwinan mereka. Dia tak boleh terima bakal isteri dia tak hormatkan mak dia.”
Amru terdiam dan berfikir. Sikap Bella yang terang-terangan tidak suka apabila dia bercakap tentang ibunya. Sikap jengkel Bella semakin terserlah apabila dia terlewat dan memberi alasan kerana ibunya.
Aali pandang Amru.
“Kau dah nampak true blue dia?”
“Hmmm” makanan yang dipesan tiba.
“Jadi tak guna kau bersedih sebab perempuan itu. Dia bukan isteri material yang sesuai untuk kau.”
Amru diam lagi. Tiga tahun bukan masa yang singkat. Melupakan momen indah mereka juga bukan mudah. Lagipun setiap manusia ada zaman gelap masing-masing.

Isnin, 2 Januari 2017

10:44:00 PTG

Cabaran 2017

Selamat malam... 
Petang tadi hujan lebat dengan ribut dan guruh, jadinya line streamyx lari lagi..  Entah berapa hari pulak kena tunggu ia datang balik..  Bilalah ia nak jadi budak baik ni..  Ini cabaran pertama.

Cabaran kedua..  Konsep berjimat cermat menghadapi peningkatan barang keperluan hidup.  Tak tahu nak jimat tang mana dah.. Minyak naik lagi.. Tapi saya ada DIA untuk mengadu.. 

'Ya Allah..  Lapangkanlah dadaku untuk menghadapi setiap ujian yang engkau turunkan agar aku sentiasa mensyukuri rezeki yang engkau berikan. Amin.'

Cabaran ketiga..  Menulis dan terus menulis.  Bukan sekadar menghasilkan cerita cinta yang manis-manis..  Tetapi kisah masyarakat yang menberi teladan.  Kisah remaja mengejar impian dan cita-cita.  Kisah anak-anak kecil yang ceria.  Suka belajar..  Ini cabaran paling besar.

Cabaran ke empat..  Nak amalkan gaya hidup sihat.  Kuruskan badan.  Cergaskan minda.  Mencegah lebih baik dari merawat. 

Cabaran ke lima..  Istiqamah. Fikirkan yang positif.  Berusaha tinggalkan perkara yang negatif.
Semoga saya baik-baik sahaja.

Ahad, 1 Januari 2017

12:05:00 PTG

Entri Pertama di Tahun 2017

Assalamualaikum dan selamat tengahari semua... Ini bukan posting enovel ya..  Ini adalah intro sikit.  Permulaan tahun baru ni kena ada semangat baru..  Hahaha...  In Shaa Allah.

Macam tahun-tahun sudah.  Bila masuk aja tahun baru, saya seperti anda-anda semua juga pasang azam baru.  Tapi azam kali ini bawa ke depan azam tahun lepas iaitu nak update blog setiap hari..  Haha..  Tahun lepas bertahan berapa bulan aja.  Tahun ini saya mulakan dengan hari pertama update blog. Sebabnya susah nak kekal dengan idea dan semangat yang penuh untuk update.  Ada idea tapi tak ada kemudahan nak tulis.  Contohnya tak ada line internet.  Sibuk melayan anak dan kerja rumah. 
Kali ini,  tahun 2017 in shaa allah akan ada update blog walaupun bukan setiap hari..  Saya akan kongsikan cerita yang sedang saya tukangkan..  Untuk tahun ini saya akan aktif menulis..  In shaa allah ada sesuatu untuk anda semua.., jika ada seorang peminat novel.

Doa untuk hari ini.. 
*1.JANNUARY.2017*
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ.
                                                           
بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ وَلاَ عُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى ءَالِهِ 
وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْن

Ya Allah, kami memohon ke hadrat-Mu, berilah kami kekuatan , taufik dan hidayah supaya kami 
dapat memperbaiki diri kami, menambahkan ilmu, iman dan amal kami.
Ya Allah, permudahkanlah segala urusan kami.

Ya Allah Ya Ghaffar, ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa kedua ibubapa kami, pasangan kami, anak-anak kami, kaum keluarga kami, guru-guru kami, sahabat-sahabat kami serta sekalian muslimin muslimat di mana saja mereka berada. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarga dan para sahabatnya. Segala puji pujian hanya utkMu Ya Allah.                                                      

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَّمْ تَغْفِرْلَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخَاسِرِيْنَ
رَبَّنَا ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
وَصَلَّى الله ُعَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ
وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.
آمِّيْنَ, آمِّيْن, آمِّيْن,َ يا رَبَّ الْعَالَمِيْن  َ


(copy paste daripada whatapps)