Post Top Ad

Post Top Ad

Custom Search

Jumaat, 24 Mac 2017

9:01:00 PG

Bab 20 : Hati Yang Kau Sakiti (bab akhir di blog)

Assalamualaikum semua.. Ini adalah bab terakhir di blog. Manuskrip ini saya telah hantar kepada penerbit untuk penilaian. Doakan semoga ada rezeki manuskrip ini diterbitkan..
Salam sayang....





“Acu panggil achik keluar. Jangan nak berkubang atas katil lagi. Matahari dah setinggi galah ni,” arah Puan Habsah. 

Hari ini bakal besannya akan datang ke rumah. Merisik secara rasmi anak gadisnya. Jadi dia perlukan pertolongan achik dan acu untuk menolongnya masak makan tengahari. Menurut along ada lebih kurang lapan orang yang akan datang nanti termasuk bakal menantunya.

Acu pandang maknya dengan muka blur. Dalam bilik tu dah kosong. Achik subuh-subuh lagi dah keluar, balik ke UPM. Takkanlah mak tak tahu.

“Achik mana ada dalam bilik tu mak. Dia dah balik UPMlah,” beritahu Acu.

Terhenti tangan Puan Habsah yang sedang memotong ayam. Lepas subuh tadi dia ke pasar bersama suaminya membeli barang untuk masak tengahari.

“Bila dia pergi?”

“Lepas mak dan ayah pergi pasar. Acu ingatkan mak tahu,” balas Acu.

Puan Habsah mengeluh. Teringat perbincangan keluarga malam tadi. Terlupa pula nak beritahu achik yang hari ini pihak keluarga belah sana datang nak merisik dan berbincang. Dia jadi kasihan dengan achik tapi dalam masa yang sama dia tetap dengan keputusannya. Ini adalah untuk masa depan achik juga.

 “Malam tadi masuk bilik, achik tak bercakap langsung. Terus tidur. Acu tanya pun dia buat tak tahu. Kasihan achik mak.”

“Tak boleh ke kalau achik tak payah kahwin lagi? Kalau acu pun, tak nak kahwin dengan orang yang tak kenal. Walaupun orang tu kacak dan macho sekali pun. Nak juga rasa bercinta dulu sebelum kahwin.”

“Acu jangan masuk campur urusan orang tua. Sampai giliran acu nanti pun, acu akan kahwin dengan pilihan mak. Jangan sesekali gatal nak bercinta pula.” Puan Habsah memberi amaran.

“Kupas bawang kemudian potong sayur tu. Achik tak ada, acu kena tolong mak masak sampai habis. Jangan nak lari masuk bilik pula.”

Acu pandang mak dengan wajah tak puashati. Sebab achik, dia pulak kena jadi galang gantinya.

“Achik mana,’ soal along dan angah serentak. Masing-masing tarik kerusi nak makan. Mereka baru sahaja balik berjogging.  

“Dah balik UPM. Ini semua sebab along dengan angahlah. Gatal nak kahwin cepat, achik jadi mangsa,” marah acu.

“Achik tak tahu ke hari orang datang merisik secara rasmi mak,” tanya along tanpa menghiraukan kata-kata acu.

“Tak. Mak lupa nak cakap semalam. Ingatkan pagi ni dia ada lagi dekat sini,” keluh Puan Habsah. Achik ada kalanya jadi anak degil yang memberontak dalam diam. Biasanya dia suka bawa diri sorang-sorang sehinggalah hatinya sejuk.

“Tak apalah. Dia tak ada pun tak ada masalah,” sambungnya lagi. Merisik dan bertunang, achik tak ada pun tetap boleh dijalankan dengan sempurna.

“Kalau tak dia boleh kenal bakal suaminya hari ni. Mungkin tak adalah dia marah sangat nanti. Mana tahu boleh jatuh hati pandang pertama,” balas along pula. Rasa kasihan pulak kepada bakal adik iparnya itu, tak dapat melihat bakal isteri hari ini.

Acu cemik bibir. Iyalah sangat. Ingat hati achik ni mudah sangat berubah. Senang-senang nak terima orang macam petik jari aje?

“Achik tu baru lepas kecewalah along. Takkanlah secepat itu hatinya terubat. Ini pula dipaksa kahwin. Kalau acu pun tak boleh nak terima orang lain lagi. Lainlah kalau diberi masa kenal dan kawan-kawan dulu.” Macam bertih jagung acu bercakap bagi pihak achik. Kasihan achik.
Terdiam kedua abangnya. Puan Habsah pun turut terdiam. Mengakui kebenaran kata-kata anak bongsunya. Tapi kata putus telah diambil. Dia dan suaminya tidak akan sesekali mengubahnya. Lagipun dia yakin ini adalah yang terbaik untuk achik.

“Baguslah. Mana tahu kekecewaan achik tu bakal terubat,” suara angah. Acu jegil mata pandang angah. Manusia pentingkan diri sendiri!

*****

“Awak dah giler ke?” jerkah Ami sebaik sahaja panggilannya dijawab. Hatinya benar-benar kena rasuk angin puting beliung.

“Assalamualaikum Amina Nabila,” jawab Amru tenang. Dia dah agak dalam masa terdekat akan dapat panggilan daripada Ami. Tapi tak sangka secepat ini.

Huh... sakitnya hati. Boleh lagi lelaki ni berlagak tenang. Sukalah dapat paksa dia ikut kehendaknya.

“Awak ni kenapa? Tak faham bahasa ke? Kan saya dah cakap tak nak jumpa awak. Tak nak ada kaitan dengan awak lagi. Kenapa awak buat saya macam ni?” Suara Ami tertahan-tahan menahan rasa. Dia ketap gigi. Marah sangat sampaikan menggigil badannya.

Baru sekejap tadi acu whatapps gambar majlis merisik sekali bertunang dalam group keluarga. Dia tak tahu pun hari ni dia akan dirisik secara rasmi. Namun hatinya lega. Tak perlu ditayang muka plastik di depan bakal mertuanya. Acu siap tunjukkan dua bentuk cincin yang diberikan. Bila acu muatnaikkan gambar bakal suaminya dia terkaku. Tidak percaya lelaki itu rupanya abang kepada Ain Najwa. Matanya panas. Hatinya meluap marah. Dia teresak sendiri. Tak mampu nak gambarkan apa yang dirasakan di dalam ini. Sakit sangat. Mainan apakah ini? Menguji dan terus menguji ketahanan mentalnya.

Amru diam menadah telinga mendengar Ami memarahinya. Dibiarkan gadis itu melepaskan perasaan. Dia dah bersedia menghadapinya.

“Tolonglah.. Saya rayu kat awak, jangan ganggu hidup saya. Kita lupakan kisah malam tu. Kita jalani hidup masing-masing seperti biasa. Awak tak perlu nak bertanggungjawab. Saya dah maafkan awak. Tolonglah,” rayu Ami dalam tersedu-sedu.

Amru tarik nafas panjang sebelum menjawabnya, “tak semudah itu. Saya tetap nak bertanggungjawab, Ami. Apa yang terjadi malam tu bukan mimpi dan bukan boleh dilupakan begitu aje. Ia melibatkan maruah awak, juga maruah saya. Apa kata keluarga kita bila tahu perkara semua. Banyak awak kena fikirkan sebelum buat keputusan.”

“Mereka takkan tahu kalau awak tak bagitahu. Cukuplah kita aje yang tahu dan lupakan.”

“Habis awak ingat Allah taala tak tahu? Boleh sembunyikan dari Allah?” tempelak Amru.

Ami terkedu. Serta merta dia memutuskan talian. Dia jatuh terduduk di sisi katil. Kata-kata Amru tadi benar-benar memukul hati dan kesedarannya. Allah taala tahu apa yang telah mereka lakukan. Bertaubat dan meminta ampun dari-Nya yang paling penting. Walaupun solat taubat telah dilakukan namun, hatinya tetap juga tidak tenang. Dirinya juga masih lagi terasa kotor.

Telefon berdering tidak dihiraukan. Dia sibuk layan lara hati. Dia pandang sekilas nama yang keluar di skrin telefon. Mak? Tentu sekali mak nak pujuk dia. Kemudian cerita apa yang mereka bincangkan tengahari tadi. Dia tidak mahu tahu. buat masa sekarang dia mahu pujuk hatinya dulu supaya redha. Tapi susahnya nak pujuk. Menerima lelaki itu bererti mengulangi peristiwa hitam itu. Tak cukup lagikah apa yang dia ambil malam itu?

“Kau ni kenapa?” Wawa terus menerpa Ami yang menangis di sisi katil sebaik sahaja dia buka pintu bilik.

“Kau okey ke tak ni?” soal Wawa. Wajah merah dan muka sembap Ami memberiahunya Ami dah lama menangis tanpa henti.

Soalannya membuatkan tangisan Ami semakin kuat. Hatinya belas, akhirnya dia tarik Ami ke dalam pelukannya. Dia peluk Ami kuat. Dia biarkan Ami melepaskan perasaannya. Hampir sejam duduk di sisi katil, akhirnya tangisan Ami semakin surut. Wawa tolak bahu Ami. Dia kesat air mata yang bersisa di pipi Ami.

“Dah lega ke belum? Kalau tak lega lagi aku nak pergi ambil baldi, tadah airmata kau,” Wawa mengusik.

Ami ketawa dalam tangisan. Dia angguk.

“Bangunlah. Sakit bontot aku ni duduk lama-lama atas simen sejuk ni,” Wawa tarik tangan Ami supaya mereka dapat bangun bersama-sama.

“Kau nak cerita dekat aku sekarang ke nak tunggu perasaan kau okey dulu,” soal Wawa prihatin. 

Kasihan sahabatnya ini, mesti hatinya sedih sangat. Baru semalam balik ke rumah keluarga, hari ni dah balik sini. Tentu ada sesuatu yang terjadi. Kalau tak, Ami takkan balik secepat ini.
Ami diam. Wawa faham maksudnya itu. Jadi dia tidak akan bertanya lagi sehinggalah Ami buka mulut bercerita sendiri.

“Kau dah makan ke belum?” Ami geleng kepala.

“Aku pun tak makan lagi. Nasib baik aku tapau nasi lebih tadi. Boleh kita makan sama-sama.”

Ami pandang Wawa. Dia terharu.”Aku pergi basuh muka sekejap.”

Mereka makan tanpa suara. Ami makan perlahan. Dia sebenarnya tak ada selera nak makan. Tapi perutnya dah terasa pedih. Nak tak nak kena makan juga.

“Terima kasih Wawa,” perlahan Ami menuturkannya.

“Terima kasih buat apa? Aku tak ada buat apa-apa pun,” balas Wawa.

“Sebab tumpangkan aku dekat sini. Berkongsi makanan dengan aku. Pujuk aku bila menangis,” Ami bilang satu persatu apa yang Wawa telah lakukan untuknya. Dia bertuah kerana memiliki sahabat sebaik Wawa.

“Laa biasalah tu. Kita kan kawan. Apa gunanya kawan kalau tak dapat membantu antara satu sama lain. Hari ini hari kau, mungkin esok-esok hari kau pulak.”

Telefon Ami berbunyi lagi. Wawa pandang skrin telefon itu.

“Mak kau telefon tu, angkatlah.”

Ami geleng kepala. “Nanti-nanti aku telefon balik. Aku tak nak bercakap dengan mak aku buat masa sekarang. Aku takut nanti aku terlepas cakap.” Ami ketap bibir kuat. Dia terasa mahu menangis lagi.

“Tak baik kau. Mesti mak kau tengah risaukan kau tu. Kalau tak, takkanlah banyak panggilan tak dijawab dari keluarga kau ni. Sekurang-kurangnya jawablah. Bagitahu kau baik-baik dekat sini. Nanti bila hati dah tenang semula, kau telefon balik.” Ami diam. Masuk juga nasihat Wawa ke dalam hatinya. Walaupun marah sangat, dia tetap sangat sayangkan mak, ayah dan adik beradiknya.
Sekali lagi telefon berbunyi. Kali ini jari tangannya menekan butang ikon gambar telefon hijau.

“Alhamdulillah...” berkali-kali kalimah alhmadulillah maknya ucapkan.

“Achik pergi mana? Kenapa tak angkat telefon. Kalau tak angkat lagi telefon ni, mak nak ajak ayah pergi buat laporan polis dah. Achik hilang,” Puan Habsah meluahkan kerisauannya. Sejak petang tadi mereka sekeluarga cuba menghubungi achik. Namun tak dapat. Dia dah susah hati. Takut berlaku perkara buruk kepada anak gadisnya itu.

“Achik minta maaf buat mak dan ayah risau.”

“Kami semua risaulah. Buat lagi perangai budak-budak tak cukup umur lagi, angah jumpa siaplah,” terdengar rungutan angah dari corong telefon mak. Ami menahan sendu.

“Achik tak apa-apa mak. Achik tengah makan dengan Wawa ni. Nanti achik telefon mak semula.”

“Lega hati mak. Lain kali jangan buat lagi. Kalau marah sekali pun angkat telefon tu. Nasib baik mak tak naik darah sebab risaukan achik.”

“Achik minta maaf mak. Achik janji tak buat lagi.”

“Mak tak marah. Mak risau. Nanti bila hati achik dah tenang telefon mak. Jangan pendam semuanya dalam hati. Marah, tak puashati dengan tindakan mak ni, luahkan dekat mak. Mak sentiasa ada untuk achik. Achik anak mak. Untuk anak-anak mak, mak mahukan yang terbaik.”

“Mak jumpa bakal suami achik petang tadi. Mak percaya dia adalah calon menantu yang terbaik untuk achik. Jangan ikut kata hati sangat. Mengadu pada Allah agar lembut hati achik menerimanya.”

“Achik tahu mak..” Ami dah sebak. Air matanya kembali gugur. Wawa pandang Ami. Dia tepuk belakang Ami perlahan, memberikannya semangat. Dia tidak tahu apa yang berlaku.

“Jangan lupa telefon mak.”

“Baik mak. Assalamualaikum..”

“Waalaikumussalam.”

Ami kesat air mata.

“Makhluk perosak tu bakal jadi suami aku!”

“Dalam masa terdekat ini.”


Wawa pandang wajah basah Ami tanpa berkelip. Tak percaya. 


Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Rabu, 22 Mac 2017

8:48:00 PG

Bab 19 : Hati Yang kau Sakiti



Tok

Tok..

Tombol pintu dipulas apabila mendengar suara abangnya.

“Ain kacau ke?”

Amru senyum dan geleng. Kopiah di kepala diambil dan diletakkan atas meja solek.  

“Ain nak cakap dengan Abang Am sikit, boleh?”

Amru ketawa. “Bila masa pulak Ain jadi skema ni? Selalunya main redah je.”
Masam muka Ain. Amru sengih. Tak boleh nak usik sikit, mula panjang muncung itik tu. Ain ni, selagi apa yang ada dalamnya hati tak terluah, dia takkan senang duduk. Mesti datang mengacaunya.

“Nak cakap apa ni?” Amru duduk di atas katil, manakala Ain pula ambil tempat di sofabed bertentangan dengan katil. Amru angkat kening.

“Pasal bakal adik ipar Ain dan bakal kakak ipar Ain tu lah.”

“Hmmm... kenapa pulak?” Amru belek telefonnya. Diperiksa whatapps.

“Betul ke abang nak kahwin dengan achik ni? Tak main-main?” soal Ain Najwa inginkan kepastian lagi. Mendengar cerita Rafiq tadi, dia berasa belas. Kasihan achik kena paksa terima perjodohan ini semata-mata mahu memberikan laluan kepada mereka.

“Ada nampak abang main-main ke?” Amru pandang adiknya. Serious.

Ain Najwa gigit bibir. Terasa bersalah pula. Dia mengeluh perlahan. Dia pandang abangnya seketika kemudian matanya melilau sekeliling bilik. Kemas dan tersusun. Memang Abang Amnya tidak suka bilik bersepah. Semuanya tersusun elok. Walaupun sudah tak tinggal di sini lagi, bilik ini tetap kemas.

“Tadi Rafiq telefon, dia kata achik tak setuju. Dia tak nak kahwin lagi. Ain rasa kasihan pula.”

Amru tarik nafas panjang. Dipandang Ain Najwa yang masih lagi mahu bercerita.

“Sebut aje pasal kahwin, terus cakap tak nak kahwin. Iyalah.. kena paksa terima orang tak kenal, siapa yang nak.” Ain Najwa berhenti seketika. Dia pandang abangnya yang tekun mendengar. Tidak ada apa-apa reaksi, lalu disambung kembali.

“Merayu-rayu dia tak nak kahwin. Sampaikan dia kata, kalau jadi apa-apa selepas kahwin jangan salahkan dia.”

“Jadi Ain nak tanya abang, abang betul ke nak kahwin dengan achik? Sebab lepas kahwin nanti Ain yakin tak mudah abang Am nak pikat hati achik tu?” Ain inginkan kepastian. Dia tidak mahu abangnya menjadikan perkahwinan ini bidang terjun untuk membolehkannya berkahwin. Dia mahu abangnya juga mengecapi bahagia selepas berkahwin nanti.

“In Shaa Allah. Abang Am akan berusaha menjayakan perkahwinan kami nanti. Nikah kahwin ni hanya sekali dalam hidup Abang Am. Keputusan yang Abang Am buat ini adalah tepat dan muktamad. Amina Nabila adalah pilihan hati abang Am. Bukan sebab kena paksa kahwin cepat.”

“Betul ke achik dah kenal abang?”

Amru angguk. “Kalau dia tengok abang, mesti dia terima kot,” Ain Najwa membuat andaian. Amru cuma senyum.

 “Macam mana abang kenal achik?”

Amru senyum tawar.  Teringat pertemuan pertama dia dan Ami. Malam yang mengikat dirinya dengan rasa bersalah dan tanggungjawab.

“Kenal tapi tak berapa kenal sangat. Dia student Uncle Yusuf. Kawan kepada kekasih Aali. Kami pernah keluar beramai-ramai sekali.”

Ain Najwa angguk.

“Kiranya ini cinta pandang pertamalah? Cepat abang lupakan Bella tu?”

Amru senyum. Biarlah cerita sebetulnya menjadi rahsianya.

“Dia tahu tak abang jatuh cinta dekat dia.”

Amru geleng kepala. “Tak tahu lagi. Lepas kahwin nanti baru abang nak berterus terang.”
Ain Najwa akhirnya mampu senyum. Dia lega. Rasanya tindakannya tak salah. Abang Am sendiri yang betul-betul jatuh cinta dengan achik.

*****

“Dah lama Ami tak balik ke bilik ni,” keluh Syida perlahan. Terhenti tangan Kirana yang sedang menulis nota kuliahnya. Dalam diam dia mengeluh. Rasa bersalah semakin menghantui diri.

“Kau tak rasa apa yang aku rasa ni?” soal Syida pula. Sejak Ami tak balik ke bilik ini, dia tidak dapat tidur lena. Rasa bersalah membuatkan dia selalu terjaga di tengah malam.

“Selagi dia tidak maafkan aku, selagi itu hidup aku tak tenang.” Sebak mula mencengkam dadanya.

“Aku pun sama. Kerana perbuatan bodoh kita malam itu, kita kehilangan rakan sebilik dan kawan yang baik.” Kirana kesal. Kerana akal sejengkal itulah bilik ini semakin dingin dan kaku. Dia dan Syida juga semakin kurang bercakap.

“Kau tak nak pergi cari dia dan minta maaf, beb?”

“Dah berpuluh kali kita minta maaf, tapi dia tetap tak maafkan. Sabarlah dulu. Tunggu dia sejuk dulu. Nanti-nanti... In Shaa Allah dia akan maafkan kita,” pujuk Kirana.

Syida terdiam. Meminta maaf itu mudah. Memaafkan pun mudah. Tapi mengikhlaskan diri memaafkan orang itulah yang payah. Menyahkan rasa terkilan, terluka, marah dan kecewa itu akan mengambil masa mungkin bertahun lamanya. Apatah lagi kesalahan yang mereka lakukan itu amat besar dosanya.

“Lepas dia tidak ada di sini baru aku sedar bahawa aku sayangkan dia sebagai sahabat yang baik. Tak pandang serong dengan kehidupan malam kita. Tapi kita yang memusnahkan persahabatan ini. Patutnya kita jaga dia. Jangan biarkan dia apa yang tak baik berlaku kepadanya. Tapi kita yang buatkan dia lakukan sesuatu diluar kerelaan hatinya.”

Laju airmata Kirana turun ke pipi. Mengingatkan malam itu, kalau boleh diputarkan kembali dia tidak akan setuju Ami ikut. Teringatkan kekasihnya, hatinya sakit. Tapi tak mampu nak berpisah dengannya.

“Bila kau nak berpisah dengan malaun tu? Kalau bukan sebab idea giler dia, kita takkan kehilangan kawan baik.”

 Kirana diam. “Aku tak mampu nak berpisah dengan dia. Aku perlukan dia,” rintihnya.

Syida mencemik. “Dia pun tak mampu berpisah dengan kau ke?” sinisnya.
Kirana diam. Tak mampu menjawab soalan itu sebab dia sendiri tak pasti sama ada Aali ikhlas mencintainya atau tidak.

“Sedarlah diri tu sikit Kira, Aali tu hanya nak mempergunakan kau. Dah bosan nanti dia buanglah macam sampah. Dia akan pilih perempuan yang baik-baik untuk menjadi isterinya nanti.” Syida tarik nafas. Dia dah luahkan apa yang dia rasakan. Jadi terpulanglah kepada Kirana untuk menilainya.

“Nilai cinta dia guna akal fikiran Kira. Bukan nafsu. Kalau dia ikhlas sayang dan cintakan kau, pasti dia tidak akan tunggu lama jadikan kau bini dia.”

“Susah nak cakap Syida. Aku dah cuba nak putus dengan dia. Tapi dia juga yang aku cari bila susah hati. Dia juga yang aku telefon bila nak meluahkan perasaan. Lagipun selama ini, dia yang bagi duit sara hidup dekat aku.”

“Huh.. Khairi juga bagi duit. Tapi bila aku minta putus, laju dia bersetuju. Macam tak ada perasaan langsung. Padahal setiap hujung minggu dia yang ulit tubuh aku,” ujar Syida, kesal. Menyesal kerana terperangkap dengan mainan nafsu sendiri. Selepas malam itu, dia insaf. Bila Khairi ajak jumpa, dia tolak mentah-mentah. Saat itu baru dia terasa yang dirinya menjadi alat untuk memuaskan nafsu sahaja.

Kirana terdiam. Apa yang Syida cakapkan itu betul. Dia tak nafikannya. Tapi hatinya telah jauh menyintai lelaki itu. Dia tidak mampu kehilangan lelaki itu. Sebab itulah dia sanggup menelan kesakitan ini.


“Aku nak pergi surau. Kalau kau nak ikut marilah,” ajak Syida. Entah bila dia bangun dari katilnya. 


Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Isnin, 20 Mac 2017

8:35:00 PG

Bab 18 : HaTI Yang Kau Sakiti



“Kenapa tiba-tiba minta achik balik?” Baru minggu lepas dia balik Puncak Alam. Kebiasaannya setiap dua minggu, kalau tak sibuk dengan aktiviti kolej dia akan pulang ke rumah keluarganya.

“Minggu depan achik ada kuiz berderet,” keluhnya pula. Dia baring di sofa panjang tanpa membuka tudung. Penat berkejar komuter tadi. Dia hampir pengsan, lemas dengan segala bau dalam bas menuju ke komuter tadi. Kemudian hampir ditinggalkan. Nasib baik kakinya masih lagi pantas berlari, sempatlah dia pecut masuk sebelum pintu ditutup.

“Ada mesyuarat keluarga,” beritahu acu. Matanya tak beralih langsung melihat televisyen. Suka sangat layan sinetron Indonesia tu. Dia pula, tak suka. Cerita meleret-leret sampai beratus episod. Tak larat nak dera hati apabila tidak dapat ikut setiap hari.

“Pasal apa?”

Acu angkat bahu. “Entah. Mungkin pasal along kot.”

“Along? Nak pergi meminang?”

“Mana acu tahu. tunggulah malam nanti,” balas acu, bosan. Kacau orang tengok ceritalah.
Ami pandang adiknya, ditarik rambut yang diikat ekor kuda itu.

“Sakitlah!”

Achik sengih. Suka bila dapat mengusik acu.

“Along dan angah mana? Tak balik lagi?” soal achik lagi.

Acu jeling achik.

“Kacaulah!” dengus acu.

“Nampak ke tak kereta mereka kat luar tu? Tak nampak kan? Maknanya mereka tak sampai lagilah. Itu pun orang kena cakap ke?” gerutu acu. Geram.

Achik sengih.

“Sengaja nak dengar suara acu yang lemak merdu tu. Tengok sinetron tak habis-habis. Tak bosan ke dik?” ‘Aku yang tengok ni pun stress. Berbelit-belit jalan ceritanya. Nasib pelakonnya cantik – cantik dan kacak.’

“Suka hatilah. Tak suka tengok pergi jauh-jauh!” marah acu.

“Achik, jangan nak baring terus situ. Pergi masuk bilik,” sergah Puan Habsah apabila melihat mata achik hampir tertutup.

Terbuka luas mata achik apabila dengar suara maknya. Kemudian tertutup semula.

“Kejap lagilah mak. Achik penat ni. Lima minit,” achik minta tangguh.

“Lima minit achik tu boleh jadi lima puluh minit. Bangunlah. Lepas ni masak untuk makan malam. Mak dah siap perapkan ayam dan masak nasi. Achik buat ayam masak merah, sayur campur dan telur dadar. Cukuplah untuk makan malam ni.”

“Hmmm...” balas achik. Suara mak dah tenggelam timbul dipendengarannya. Dia semakin hanyut dibawa arus mimpi.

Pap..

Pap.. tepukan kuat dipahanya membuatkan achik tersentak.

“Bangun! Kalau tak mak simbah dengan air ni,” acah Puan Habsah dengan menunjukkan gelas kaca ditangannya.

Achik terus terbangun. Matanya terbuka luas tapi kelat pedih. Mulut ternganga luas, menguap. Nak tak nak terpaksa bangun juga. Nanti tak ada pasal, cari pasal kena mandi di tengah ruang tamu ni.

“Padan muka!” ejek acu.

Geram diejek, achik tarik rambut acu kuat sebelum dia berlari masuk ke dalam bilik.

“Achiiikkk!”

Hahaha... Achik gelak kuat. Padan muka!

*****

“Nak bincang pasal apa?” risik achik. Dia berdiri rapat dengan angah yang sedang basuh pinggan. Malam ni giliran angah kemas dan cuci pinggan selepas makan. Mak tidak pernah membezakan layanan terhadap anak-anak lelaki dan perempuannya. Setiap orang wajib buat kerja rumah mengikut giliran. Jadi memang bertuahlah sesiapa yang jadi isteri along dan angah, sebab mereka berdua pandai kemas rumah dan memasak juga.  

“Mana angah tahu. Cuba tanya along?”

“Along?” Achik kalih pandang kepada along yang sedang buka pintu peti ais. Nak ambil jus yang dia sediakan petang tadi.

“Kejap lagi achik tahulah.” Sengih along. Tak berani nak pandang lama adik perempuannya ini sebab terselit rasa bersalah. Kerana masalahnya, achik bakal terlibat sama.

“Alaa.. itu pun nak berahsia ke?” cemik achik, tak puashati. Bila melihat reaksi along, dia tahu mesti mesyuarat keluarga ini ada kena mengena juga dengan dirinya. Hatinya semakin berdebar kuat. Dia pandang angah tajam setelah along berlalu ke ruang tamu.

“Masalahnya angah pun tak tahu,” jawab angah. Dia pun pelik sebenarnya. Kalau nak bincang pasal along, mereka semua suka dengan pilihan along tu. Bukannya jauh mana pun kalau nak pergi meminang, jadi bila-bila masa sahaja tidak ada masalah.

Mereka duduk santai di depan televisyen. Tayangan drama di skrin televisyen tidak diendahkan. Masing-masing bersedia menadah telinga mendengar apa yang mak dan ayah ingin katakan.

“Begini...” Encik Ruslan pandang wajah anak-anaknya di hadapannya. Masing-masing menunggu kata-kata seterusnya. Dia pandang achik yang duduk bersimpuh di bawah sambil tongkat dagu di sofa.

“Along kamu nak kahwin hujung tahun ni. Tapi ada masalah sikit dengan keluarga sebelah sana, mama si Ain tu mahu abang Ain kahwin dulu, barulah dia benarkan Ain kahwin.”

Mereka semua angguk. Menunggu lagi kata-kata seterusnya. Ayah pandang lama wajah achik. Achik berkerut dahi. Lama sangat ayah memandangnya.

“Kenapa ayah?” achik dah mula tak sedap hati. Masalah along bukan masalah dia. Tapi kenapa dia pula terasa bermasalah apabila ayah dan mak silih berganti pandangnya.

“Masa Ain datang rumah kita hari itu, dia ada ambil gambar kita sekeluarga. Ditunjukkan kepada mama dan abang dia tu. Dan...” Puan Habsah pandang anak perempuan sulungnya.

“Kenapa mak? Jangan kata dia tersuka kat achik pulak,” serkap achik.

Puan Habsah, Encik Ruslan dan along angguk.

“TAK NAK!” pantas achik menjawab.

“Achik tak nak kahwin lagi. Achikkan belum habis belajar lagi,” kendur suaranya apabila melihat wajah garang ayahnya. Pantang ayah apabila anaknya tinggikan suara apabila bercakap.

“Mak!”

“Mak dah lihat gambar abang Ain tu, kacak tinggi. Memang taste achik dah,” umpan Puan Habsah.
Achik mendengus. Dia geleng kepala. Duduknya dah kembali tegak. Saat perkataan kahwin dan nikah cuba dihapuskan dari kamus hidupnya, ini pula yang jadi. Ami resah. Dia yakin sangat, siapa pun bakal suaminya, tidak akan mampu terima gadis yang bukan gadis lagi ni. Jadi lebih baik dia menolak awal-awal daripada ditinggalkan sebelum habisnya bulan madu. Ami tunduk mencari kata. Kemudian dia berpaling memandang along.

“Along.. tolonglah. Suruhlah bakal abang ipar along tu cari perempuan lain. Takkanlah tak ada teman wanita lagi. Kalau mak cakap dia tu kacak tinggi, mesti perempuan keliling pinggang. Kenapa nak sibuk pilih achik pulak,”

“Dia baru kecewa achik. Lagipun bukan Ain yang cadangkan achik. Dia sendiri yang cakap kalau nak dia kahwin cepat, dia nak kahwin dengan achik,” jelas along. Dia pun tak sangka abang Ain mahukan achik. Tapi jika ini caranya mempercepatkan pernikahannya, dia akan pujuk achik supaya terima lamaran ini.

“Poyolah mamat tu. Tak pasal petik nama achik,” achik ketap bibir. Sebal dan sakit hati.

“Achik!” tegur ayah. Tegas suaranya. Dia tak suka anak-anaknya gunakan perkataan kesat.

“Ayah, mak.. achik tak nak kahwin lagi. Belajar pun tak habis lagi ni. Sekurang-kurang tunggulah achik habis belajar dulu. Lepaskan along kahwin dulu.”

“Mak tolonglah pujuk bakal besan mak tu. Bertolak ansurlah sikit. Takkan tak nak anak kahwin kot,” rayu achik lagi.

Puan Habsah geleng kepala. Kalau ikutkan hatinya, dia pun berat hati nak benarkan achik kahwin dulu. Tapi salah satu keluarga kena beralah. Jika tidak, tak kahwinlah anak-anak mereka nanti.

“Mak rasa, abang Ain tu pilihan terbaik achik. Dekat dengan mak ayah. Nanti satu keluarga dengan along,” ujar Puan Habsah.

“Kalau iya pun, tak boleh ke tunggu lepas achik habis belajar. Berkawan dulu, kalau serasi baru bincang pasal kahwin,” achik memberi cadangan. Dia pandang wajah mak dan ayah mengharapkan simpati.

“Lama mana pulak tu? Berapa lama angah kena tunggu ni? Angah tak kira tahun depan giliran angah kahwin!” celah angah. Dia tak mampu nak tangguhkan hasrat hati lagi. Lagipun bakal mak mertuanya pun dah sibuk menanya bila nak masuk meminang Maryam.

“Along pun tak dapat nak tunggu lama lagi dah achik. Takut cerita lama berulang lagi. Along dah serik bercinta bertahun-tahun, akhirnya tak jadi,” kata along pula.

Achik terdiam. Simpati menyesak dadanya. Tapi dia lebih kasihan dengan dirinya sendiri. “Achik tak kenal pun abang kak Ain tu, along ingat sekarang ni macam zaman dulu-dulu ke, boleh bahagia bercinta selepas kahwin ni?” Ada sebak membekam di dalam dadanya.

Tak boleh ke along dan angah bertolak ansur sikit. Kenapa dia pula kena jadi penyelesai masalah mereka? Kena kahwin dengan lelaki yang langsung tak kenal.

“Abang Am tu pilihan terbaik untuk achik. Along yakin achik akan hidup bahagia nanti,” pujuk along.

Achik jeling along. Bila nak pujuk semuanya cakap yang baik-baik. Kalau bermasalah nanti, yang kena tanggungnya dia.  

“Mak yakin achik akan bahagia. Mak akan sentiasa doakan achik, along, angah dan acu hidup bahagia bersama pasangan nanti. Achik kena fikir positif.”

“Ayah?” dia cuba tarik perhatian ayahnya pula. Walaupun ayah tak banyak cakap tapi biasanya ayahlah paling memahami isi hatinya.

“Ayah pun bersetuju dengan jodoh ini, achik. Umur achik pun dah 23 tahun. Tahun depan dah habis belajar. Ataupun achik dah ada kawan lelaki?” soal Encik Ruslan berdiplomasi.

Achik geleng kepala. Teringatkan Hafiz. Lelaki itu dah terkeluar dari menjadi lelaki pilihannya. Teringat pula lelaki itu, hmmm.. tak mahu dia berlakikan lelaki yang menjadi makluk perosaknya. Apa lagi pilihan yang dia ada selain terpaksa terima.

Dia pandang wajah berharap along dan angah. Dia pandang wajah kasih mak dan wajah tenang ayah. Acu disebelah genggam tangannya. Wajah itu nampak bersimpati dengan nasibnya. Tanpa sedar air matanya mengalir. Pedih.

“Achik terima. Tapi kalau berlaku sesuatu dalam perkahwinan achik ni jangan tanya apa-apa. Jangan salahkan achik. Sebab achik terima kerana along dan angah yang tak sabar nak kahwin!” Dia bingkas berdiri dan berlalu ke biliknya. Tak guna berada lama di situ.






Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Sabtu, 18 Mac 2017

8:26:00 PG

Bab 17 : Hati Yang Kau Sakiti



“Ami.. boleh tak saya nak jumpa awak sekejap?” soal Hafiz sebaik sahaja Prof. Madya Solehah keluar dari dewan kuliah.

“Awak nak cakap apa? Lepas ni saya ada tutorial costing,” balas Ami.

“Baik awak cakap sekarang,” sambung Ami lagi.

Hafiz pandang Wawa sebelah Ami. Setia menunggu dan melihatnya.

“Err.. Saya nak cakap dengan awak sahaja,” pinta Hafiz.

“Nak cakap apa lagi?”

“Ami.. aku gerak dululah. Nanti aku chop tempat kau,” beritahu Wawa sebelum bergerak ke pintu dewan.

“Wawa.. tungguu!” Ami pandang Hafiz tapi sedetik sahaja. Sebelum dia pandang semula ke pintu dewan. Wawa tercegat di situ, menanti.

“Cepatlah cakap!” gesa Ami. Rimas pulak dengan mata Hafiz yang merenungnya.

“Saya minta maaf!”

“Saya dah maafkan.” Ami mula bergerak.

“Eh, Ami...”

“Apa lagi? Saya dah lambat ni.” Ami pandang Hafiz semula.

“Sebenarnya saya dah putus dengan Lisa,” perlahan Hafiz mengaku.

“Oh.. Takziah!” tanpa nada Ami ucapkannya. Padan muka!, bisik hatinya.

“Dah?” soal Ami lagi. Dia pandang jam ditangan kanannya.

Hafiz pandang Ami. Cantik, detik hatinya. Kali ini baru hatinya tak buta. Ami cantik. Wajahnya tanpa senyuman pun menarik. Apatah lagi bila tersenyum menampakkan ke dua lesung pipitnya.

“Dia cakap, dia goda saya sebab bertaruh dengan Kirana dan Syida. Mereka rancang pisahkan kita,” Hafiz cerita apa yang diberitahu oleh Lisa kepadanya.

Langkah Ami terhenti. Dia berpaling pandang Hafiz. Tak percaya.

“Awak buat cerita. Mereka tidak akan khianati saya.” Pertahan Ami. Tak percaya.

“Saya cakap betul. Kalau awak tak percaya, tanya Lisa.” Bersungguh Hafiz menerangkannya. Dia mahu Ami tahu bahawa dia tak terniat hendak memutuskan perhubungan mereka. Dia menyesal di atas apa yang telah dilakukannya.

Ami tak tahu nak rasa apa. Percaya atau tidak. Marah atau tidak. Kecewa atau tidak. Dia dalam keadaan pasif.

“Ami!” panggil Wawa bila dia nampak Ami macam patung. Tegak berdiri tanpa bereaksi.
Terkejut. Dia pandang Hafiz. Kata-kata Hafiz tadi macam mimpi. Ataupun macam bisikan angin, menyapa dan terus berlalu.

“Saya tak tahu apa yang awak cakap. Bagi saya, selepas awak kata kita putus, maka awak telah tidak ada dalam hidup saya. Tak kisahlah apa penyebabnya.” Usai kata, dia terus mendapatkan Wawa di pintu dewan. Keluar dan meninggalkan Hafiz sendirian.

Jalannya macam tak jejak ke bumi. Dia ikut langkah kaki Wawa tanpa sepatah kata. Wawa jeling Ami. Dia tarik tangan Ami apabila melihatnya hampir langgar orang.

“Kau ni okey ke tak okey ni?” soal Wawa.

“Kalau rasa tak sihat, kau tak payah masuk tutorial. Pergi berehat dekat surau. Habis tutorial nanti aku cari kau.”

Ami geleng kepala.

“Aku okey.” Lagipun tak guna juga dia berehat di surau sedangkan hati dan perasaannya melayang dan merayau di alam lain.

“Aku risau tengok kau begini.” Wawa pandang Ami, kasihan. Lepas satu, satu masalah menimpa sahabatnya itu. Lebih tak sangka perangai jahat rakan sebilik Ami. Kenapa mereka dengki sangat sehingga sanggup mengkhianati Ami. Berpura-pura baik di hadapan. Kemudian tikam di belakang. Bersikap manis dan prihatin di hadapan, padahal menjadi penyebab hubungan Ami dan Hafiz terputus.

Namun begitu Wawa ucap syukur di dalam hati. Hafiz bukan lelaki baik. Dia tak sesuai dengan Ami. Barangkali Kirana dan Syida sependapat dengannya. Sebab itulah mereka bertaruh supaya Hafiz tinggalkan Ami.

Tanpa sedar, air matanya turun. Apa salah aku? Kenapa mereka buat begini?

*****

“Aku dah putuskan hubungan dengan Hafiz,” umum Lisa.

“Eh, bila korang nak kenalkan aku dengan kawan Aali tu?” Dia teruja. Terbayang-bayang wajah kacak lelaki itu.

Syida dan Kirana pandang Lisa tengah senyum. Gedik.

“Aku tak rasa dia nak kenal dengan kau pun. Baik kau tak payah berangan,” sindir Syida.

“Dia belum lagi jumpa aku. Aku yakin bila dah jumpa mesti jatuh hati,” balas Lisa bongkak. Dia pasti sangat. Rekodnya tak ada yang gagal sebelum ini. Senyum, geser-geser sikit dan lemah. Belum lagi bagi peluang jamah tempat kesukaan kaum adam tu. Pasti terus jatuh hati. Dia pandai gunakan kelebihan dirinya. Dia juga tahu kelemahan kaum lelaki ini. Sebab itulah dia tak pernah gagal menggoda.

“Tolonglah. Aku rasa aku dah jatuh cinta pandang pertama. Setiap malam mimpi dia datang temankan tidur. Bukan setakat tidur je,” mengekek ketawa Lisa mengingati mimpi basahnya.

“Tak malu. Gatal,”kutuk Kirana pula.

Lisa sengih. Dia memang tak faham bahasa. Bila dia telah meletakkan targetnya, hatinya takkan berpaling. Dia akan berusaha dapatkan apa yang dikehendakinya.

“Kau aturkan perjumpaan aku dengan dia je. Selebihnya aku pandailah guna peluang.”
Kirana geleng kepala kepada Syida. Dia pandang pula Lisa yang masih lagi berangan. Senyum sambil pandang mereka berdua.

“Maaf. Aku tak dapat janji apa-apa pun dengan kau. Lagipun aku ada buat salah. Sampai sekarang Amru tak dapat maafkan aku. Dengan Aali pun aku dah jarang jumpa.”

“Betul tu Lisa. Aku pulak dah putus dengan Khairi. Hujung minggu kami dah tak keluar lagi.”
Lisa pandang pelik.

“Korang boleh hidup ke kalau tak keluar malam minggu? Apa yang korang buat?”

“Aku ikut aktiviti kolej.”

“Aku balik kampung,”jawab Kirana.

“Membosankan!” bukannya ada yang menarik pun. Dia sejak masuk universiti tak pernah menyertai mana-mana aktiviti kolej mahupun universiti. Kalau ada pun sebab wajib. Itu pun kedatangannya sekadar memenuhkan kedatangan sahaja.

“Rasa macam seronok pula. Cuti semester ni aku ikut program ke Taman Negara Tasik Chini,” beritahu Syida.

“Habis tu rancangan kita nak ke Krabi, tak jadilah,” soal Lisa inginkan kepastian.

“Aku tak minat nak ke sana dah,” jawab Kirana.

“Aku pun sama,” jawab Syida pula.

“Lor.. korang ni kenapa? Tiba-tiba berubah?” Lisa pandang Kirana dan Syida. Terasa sangat mereka dah tak seperti dulu lagi.”

“Takkan selamanya kita nak menongkat langit, Lisa?”

Lisa angkat ke dua belah bahunya. Dia tak rasa pun apa sebabnya perlu berubah. Dia menikmati kehidupannya sekarang. Seronok dan mengujakan.

“Habis tu tak dapatlah korang tolong aku ni?”

Keduanya angguk.

“Ok, tak apa. Nanti aku akan cari jalan sendiri. Hari tu nampak dia jumpa Prof. Yusuf.” Dalam kepalanya dah rangka apa yang ingin ditanya Prof. Yusuf nanti. Harap memberi sinar harapan baru.

“Aku balik kolej aku dululah...”

“Oppss.. sebelum lupa, aku cakap dekat Hafiz perkara sebenar. Yang kita bertaruh dia tinggalkan Ami
dalam masa dua minggu aku goda dia.” Pintu ditutup. Lisa tersenyum lebar.

*****

“Apa!”

“Biar betul kau ni? Aali ketawa.

“Aku dah agak dah. Dari awal lagi aku dah cakap, Yana tu sukakan kau.”

“Tapi kau pula masa tu tengah masuk dengan Bella tu...” sambungnya lagi.

“Kau cakap apa dekat dia?”

“Aku akan kahwin tak lama.” Selamba Amru ucapkannya.

Burrr.... Habis keluar jus epal asam boi yang baru diminum Aali. Pantas ditekup mulut dengan tisu. Dia pandang wajah Amru yang terjungkit sengih di sebelahnya. Nasib baik duduk di sebelah. Kalau tidak bermandikan asam boi lah tengahari ni.

“Kau cakap apa? Kahwin?”

Amru angguk. Mee Hailam disuap laju ke mulutnya.

“Dia percaya ke?”

“Terkejut. Tapi aku tak rasa semudah itu dia akan percaya.”

“Aku pun tak percaya. Kau nak kahwin dengan siapa?”

“Ami?”

Amru angguk.

“Ok, aku faham kau nak lari dari Yana tu. Tapi fikirlah jugak, Ami tu takkan mudah terima kau macam petik jari!”

“Nak raih kepercayaan dia semula, mungkin makan bertahun. Sekarang ni dah lama dia tak balik ke bilik. Marah dan benci sangat.”

“Habis tu kau ingat aku tak marah?”

“Jika bukan sebab kau kawan kau, dah lama aku buat laporan polis! Belajar sampai master tapi otak tak reti nak pakai. Kau ingat aku dan Ami ni macam kau. Main redah ikut suka tanpa fikir dosa pahala?” Panas hati Amru. Selama ini dia bersabar. Tapi bila kata-kata Aali tadi macam memperlekehkannya, tidak boleh sabar.

Aali angkat ke dua belah tangan separa bahu. “ Maafkan aku. Ya, aku yang silap. Aku yang buat palit tahi dekat kau. Sebab akulah kau terikat dengan Ami,” akui Aali.

Amru diam. Dia berzikir di dalam hati. Cuba menenangkan gelora perasaannnya sendiri. Orang tak tahu apa yang dialaminya sejak malam itu. Aali tak pernah tahu, sejak malam itu dia tidak dapat tidur lena. Wajah Ami selalu bergayut di matanya.

“Abang sulung Ami bercinta dengan Ain. Mama aku tak benarkan mereka kahwin selagi aku tak kahwin. Takdir Allah taala memudahkan urusan jodoh aku ni.”
Aali hilang kata.

“Jadi memang betullah kau nak kahwin!”

Amru angguk.


Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Khamis, 16 Mac 2017

8:20:00 PG

Bab 16 : Hati Yang Kau Sakiti



“Prof, saya nak tukar tempat praktikal,” beritahu Ami tanpa ragu. Semata-mata perkara ini, dia sanggup tunggu Prof. Yusuf selepas habis kuliah.

“Kenapa? Tanpa alasan kukuh saya takkan benarkan,” tegas Prof Yusuf.

“Saya ada alasan peribadi yang kukuh, Prof!” tekan Ami.

Prof. Yusuf pandang Ami. Dia teringatkan Amru, kata-katanya.

“Lepas ni Ami akan datang jumpa uncle, nak tukar tempat praktikal.”

“Kenapa pulak? Firma kita tu ramai yang nak praktikal dekat sana.”

“Sebab dia bencikan saya. Kalau boleh tak nak tengok muka saya ni.”

“Apa yang kau dah buat ni Am? Setahu uncle Ami ni tak ada masalah dengan orang. Ini kali pertama uncle dengar dia benci orang. Itu pun dari kau.”

Amru senyum kelat. Dah kesalahannya besar. Memang patut pun gadis itu bencikannya. Kalau boleh nak bunuh dia kot.

“Jadinya, kau nak uncle buat apa,” soal Prof. Yusuf setelah soalannya tadi dibiarkan tidak terjawab.

Uncle jangan bagi dia tukar. Saya nak dekat dengan dia.”

“Dia pula nak jauhkan diri dari kau?” Prof. Yusuf geleng kepala. Macam-macam anak muda sekarang ni.

“Saya nak jadikan dia isteri saya. Senang sikit bila dekat dengan saya nanti.”

“Bila pula kau bercinta dengan dia?”

Amru sengih. Tak sempat nak bercinta pun. Harapnya boleh bercinta selepas kahwin.

“Belum lagilah uncle. Baru nak pikat.”

“Tapi dah yakin dia tu jodoh kau?”

Pantas Amru angguk. Dulu tak fikir pun. Tak terlintas pun. Disebabkan malam itu, Amina Nabila menjadi satu-satunya calon isterinya. Sekeras mana pun hati Ami, dia akan tetap bersabar untuk melembutkannya. Cinta akan dipupuk perlahan-lahan.

“Prof!”

Ehem... Prof. Yusuf pandang Ami.

“Tak boleh!”

“Tapi..”

“Saya tak terima alasan peribadi. Tabiat memberi alasan peribadi ni, tak boleh diamalkan. Sebagai bakal akauntan, awak kena tahu asingkan masalah peribadi dengan kerja. Jangan biarkan masalah peribadi mempengaruhi kerja awak. Masalah besarlah awak nanti.”

“Kalau saya cari pelajar lain, tukar suka sama suka, boleh tak prof?” Ami tetap tak berputus asa.
Prof. Yusuf pandang Ami, “saya tetap tak benarkan.”

Ami tarik nafas. Hati dah mendongkol geram. Matanya diredupkan. Mukanya sengaja dibuat-buat sedih. Dia pandang Prof. Yusuf dengan belas ehsan. Sungguh dia tidak mampu berdepan dengan lelaki itu lagi. Teringat peristiwa hitam. Teringat kelamnya masa depan.

“Tapi prof., ini melibatkan masa depan saya.”

“Sebab itulah saya tak benarkan awak tukar kerana ia melibatkan masa depan awak,” tekan Prof. Yusuf.

Dia tidak tahu apa masalah mereka berdua. Keduanya bercakap tentang masa depan tetapi arah bertentangan. Amru dengan keyakinannya Amina ini akan menjadi isterinya. Manakala Amina, dilihatnya sedaya upaya mengelakkan diri. Tak tahu yang mana satu betul. Mana yang perlu diberikan kepercayaan.

“Percayalah, kerjaya awak akan bermula dari firma itu. Awak ada peluang cerah untuk mendaki kerjaya awak nanti,” nasihat Prof. Yusuf.

Ami tak puashati. “Tapi prof..”

“Saya tetap dengan keputusan saya. Saya juga tidak suka pelajar saya pertikaikan apa yang telah saya buat!” pintas Prof. Yusuf sebelum Ami sempat menghabiskan kata-katanya.

“Saya ada meeting jabatan sekejap lagi. Kalau tak ada apa-apa, baik awak keluar,” halau Prof. Yusuf.

“Tapi prof...”

“Keputusan saya muktamad!” tinggi nada suara Prof. Yusuf. Direnung tajam Amina yang tegak dihadapannya.

Ami mengeluh. Tak puashati. Nak tak nak dia menapak keluar juga.

“Macam mana? Dapat tukar?” soal Wawa apabila dia mendekatinya.

Ami buat buka toya. Geram!

“Dia tak layan.”

Wawa sengih sambil tunjuk ibu jari ke atas. “Aku dah cakap dah. Tak ada masanya dia nak layan permintaan banyak songeh kau tu.”

“Hurghhh!”

“Macam mana aku nak kerja nanti dengan makhluk perosak tu?” Hati mendongkol marah. Macam ternampak-nampak senyum mengejek lelaki itu.

Hidupnya pasti dalam neraka tak lama lagi. Ami terasa mahu menangis. Setiap perkara yang berlaku semakin mendekatkan dia kepada lelaki itu. Semakin dia berusaha melupakannya, semakin dia melekat di dalam kepalanya.

“Eh..” sigung lengan Ami.

“Apanya?”

Dahlah dia tengah bengang, Wawa pulak main sigung lengannya. Sakit siot.

“Tuh..” Wawa jeling sebelah kiri Ami.

“Cakaplah apa dia, main siku pulak. Sakitlah,” marah Ami. Dia masih lagi tunduk tengok nota kuliahnya. Tak ambil pusing langsung keadaan sekeliling.

“Hafiz! Dari tadi pandang kau,”

“Biarlah. Dia ada mata.”

“Tak ada pulak minah gedik di sebelah dia,” beritahu Wawa lagi.

“Alhamdulillah.. Tak adalah pahala percuma aku bagi dekat dia lagi,” balas Ami sambil lewa. Sakit hati dengan keputusan Prof. Yusuf masih lagi berbekas dijiwanya.

“Tandas kot!”

“Eh, takkan sejam ke tandas?”

“Biarlah dia. Buat apa kau nak sibuk pasal diorang tu.” Ami kemas nota-notanya. Serabut duduk kat 

sini. Baik pergi ke surau.

“Aku ke surau.”

*****

Uncle Yusuf : Assalam...

Uncle Yusuf : Amina baru datang jumpa uncle minta tukar tempat praktikal. Macam yang kau kata. Apa kes ni? Bersungguh-sungguh dia minta tukar.

Abang Am : Wasalam. Betul ke uncle? Jadi uncle bagi dia tukar tak? Janganlah uncle, nanti susah pulak saya nak pikat dia.

Uncle Yusuf : Hmmm... uncle bertegas cakap tak boleh tukar.

Abang Am : Terima kasih uncle. Nanti Am belanja uncle nasi kandar.

Uncle Yusuf : Tekak uncle terasa nak makan stik pulak. Me’nate Steak House ada buat promsi tu.

Uhuk..huk... Mencekik betul uncle ni. Nasib baiklah uncle kesayangannya.

Abang Am : Terbaik punya pilihan. Okeh. Tapi Am belanja uncle dengan auntie Su je. Rakyat dua orang tu tinggal dekat rumah.

Uncle Yusuf : Hahaha.. okey.. 

Dia pun tak adalah sampai hati nak mencekik si Amru ni. Sesekali teringin juga merasa dia belanja.

Abang Am : Nanti uncle cakap je bila free, kita pergi.

Uncle Yusuf : In Shaa Allah. Nanti uncle telefon.

Telefon diletakkan setelah membaca whatapps terakhir uncle Yusufnya. Amru bersandar di kerusi, pen ditangan sengaja diputar-putarkan. Di dalam hatinya terlihat wajah Ami. Pelbagai mimik muka. Banyaknya garang dan masam. Selepas malam itu, wajah itu telah payah nak senyum. Pandangnya pun terpaksa. Sekarang dia guna kuasa veto uncle Yusufnya untuk paksa lagi Ami. Dia akan buat apa sahaja asalkan Amina Nabila itu menjadi isterinya.

Marah, benci dan terluka sekalipun dia tidak akan berganjak daripada keputusannya. Gadis itu mesti menjadi isterinya. Setebal mana pun kebencian gadis itu akan ditelannya walaupun payah. Kesilapannya perlu ditebus. Amina Nabila perlu dilindungi dan disayanginya. Itulah nekadnya.
Tok.. tok..

“Boleh I masuk?” Amru tersentak. Dipandang ke pintu pejabatnya. Melihat orang yang mengetuk pintu biliknya, bibirnya ukir senyum. Tak sempat nak jawab, Yana telah melangkah masuk.
Yana menghulurkan folder plastik tranparent kepada Amru. Tanpa soal Amru mengambil dan melihat isi kandungan. Surat penerimaan pelajar praktikal.

“Salinan I punya?”

Yana angguk.

“Terima kasih. Menyusahkan you je naik ke atas. Jika you interkom I boleh minta Tiqah ambilkan.”
Yana cemik bibir. Menghantar salinan ini hanyalah alasan. Dia sebenarnya mahu berjumpa dengan Amru. Hampir tiga hari tak jumpa, hatinya rindu. Mendengar cerita Amru telah putus cinta dengan Bella, hatinya melompat kesukaan. Akhirnya peluang untuk dia mendekati Amru telah tiba. Sesekali kesempatan ini tidak akan dipersiakan. Amru adalah miliknya.

“I sengaja datang jumpa you,” ujar Yana. Dia pandang wajah kacak di hadapannya. Wajah inilah yang saban malam menemaninya tidur, dalam mimpi.

“Kenapa?”

“Dengar cerita, you dah putus dengan Bella. Betul ke?”
Amru senyum tawar. Dia picit pelipis kanannya. Dia pandang Yana sepintas lalu. Perlahan dia angguk.

“Tak ada jodoh.”

“Baguslah. Ada peluang I.” Yana tersenyum menggoda. Matanya jatuh ke bibir merah Amru. Kemudian turun ke dadanya. Lama matanya menatap di situ.

‘Suatu hari nanti, aku akan pastikan hanya wajah dan nama aku sahaja berada di hati Amru,’ monolog hatinya.

Amru geleng kepala. Yana, si gadis cantik, berkeyakinan tinggi. Tak takut memburu dan berusaha mendapatkan apa yang dimahukan. Komited pada kerjaya. Tegas pada anak-anak buahnya. Tapi dia tak perlukan wanita yang bersikap dominasi. Sebaliknya dia perlukan wanita tegas dalam lembut. Tidak meletakkan kerjaya sebagai nombor satu.

“I akan kahwin tak lama lagi. In Shaa Allah.

Kenyataan itu membuatkan Yana ternganga. Kemudian dia ketawa. Tak percaya apa yang dikatakannya.

“Betul.. Nikah gantung dulu. Majlis akan dibuat sekali dengan majlis adik I.”



Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.