Bab 1 Cinta Si Adik Manja


Note : Cerita lama diberi nafas baru.. Semoga lebih menarik dan terhibur pembacanya...


“Adik balik nanti, jangan bagitahu abah sakit.” Pesanan itu telah berkali-kali diulangi. Namun hati masih juga mahu pesan.

Dr Nur Hasni pandang abahnya. Dia geleng kepala. Asyik itulah yang abah ulang. Takut sangat si adik bongsunya tahu.

“Ya. Kami takkan bagitahu adik. Abah janganlah risau. Nanti BP naik lagi.”

Buat sekian kali, diulang lagi, jawapan yang sama untuk pesanan yang sama. Gamaknya abah masih tak percaya mereka tidak akan terlepas cakap. Risau abah kalau adik tahu yang dia sakit. Dia jeling angah yang sedang mengurut kaki abah. Sejak abah keluar hospital, inilah rutinnya setiap hari. Memantau tekanan darah dan kesihatan abah. Dia sanggup ambil cuti lama demi menumpukan perhatian merawat abah.

Angah sengih. tak kata apa. kalau dia jawap pun, jawapan yang sama juga. Bukan mereka tak tahu, abah susah hati takut adik tahu dia sakit. Abah dan adik sangat rapat. Sebab itulah abah tidak mahu adik tahu. Dia masih ingat lagi ketika abah terkena demam denggi. Ketika itu dia masih dalam tempoh housemanship di Hospital Sultanah Zainab 2. Adik sikit pun tidak mahu berganjak dari sisi abah. Sanggup menunggu abah di hospital. Itu baru demam. Kalaulah adik tahu abah terkena minor attack ni, terus mahu berhenti belajar, gamaknya.

“Kalau abah tak mahu adik tahu, kena dengar nasihat kak long. Makan kena pantang,” akhirnya angah mencelah. Sejak tadi, dia hanya menjadi pendengar. Bila abah diam buat tak dengar cakap kak long, dia pula sambung nasihat. Mengharap tak banyak, sedikit dari nasihat mereka abah akan dengar. Bukannya mereka tak tahu, abah ni keras hati, degil. Mana nak dengar cakap atau nasihat anak ni. Padahal apa yang mereka nasihatkan adalah untuk kesihatan abah juga. Supaya cepat sembuh.

“Aku tahulah! Tak payah nak ajar aku ni,” dengus abah. Tak suka dengar teguran satu-satunya anak lelakinya.

Angah pandang kak longnya, kan dah cakap? Itulah telepati ke dua beradik itu. Mulut tak bergerak tapi hati masing-masing sudah memahami apa yang mahu dikatakan. Angah angkat bahu. Perlahan kepalanya bergerak kiri dan kanan. Abah dalam sakit pun masih berdegil. Dia terus meneruskan kerjanya mengurut abah.

“Kau cuti berapa lama angah?” abah beralih topik. Teringatkan si bongsu yang akan pulang bercuti jumaat ini.

“Sebulan abah,” jawab Angah atau namanya Thaqif Iman. Anak ke dua dan satu-satunya anak lelaki yang Pak Teh ada.

Dia pandang anak lelakinya seketika, sebelum bersuara, “ jumaat depan adik balik. Nanti kau pergi ambil dia.”

“Baik,” balas angah sambil angguk. Tak suruh pun, memang dia akan ambil adik.

******

Hisyam menghela nafas. Sesekali ada rasa rindu singgah di hatinya. Tujuh tahun masa menjarakkan mereka. Wajah comel Nur, anak bongsu Pak Teh sentiasa bermain di mata hatinya. Selari dengan masa yang berlalu, Nur telah tumbuh menjadi seorang gadis pingitan yang cantik. Acapkali adiknya, Nisa berkongsi gambar Nur dengannya. Menatapi wajah itu, dia menjadi semakin rindu. Tidak mahu terus hanyut, gambar itu dipadamkan daripada telefon pintarnya. Bukan mahu menghilangkan rindu itu tapi mahu hati tidak terlampau hanyut di dalam gelora rindunya sendiri.

Matanya dipejam seketika, cuba dilupakan apa yang bergayutan di hati saat ini. Namun memori indah bersama Nur lewat tujuh tahun lepas terus berlegar-legar. Itulah yang menjadi ubat kala hatinya merindui kampung halaman. Rindu sentiasa sarat. Namun dek kerana janji, dia bertahan sehingga hari ini. Mindanya terus bekerja menyelak setiap kenangan lalu. Dia larut di dalam kenangan bersama Nur, tanpa sedar bibirnya menguntum senyum. Dia dan Nur mempunyai ikatan hati yang istimewa. Entah mengapa sejak dia terpandangkan wajah comel Nur yang berusia tiga bulan, hatinya terpaut kasih. Jadi setiap kali ada kesempatan, digunakan sebaiknya melayan Nur bermain. Mereka serasi bersama dan masanya banyak dihabiskan bersama Nur berbanding dengan Nisa, adiknya. Mujurlah Nisa tidak pernah cemburu walaupun adakalanya bermasam muka juga.

Setelah melanjutkan pelajaran, dia diserang demam rindu. Hampir-hampir saja dia mengalah dengan hatinya dan pulang ke kampung. Namun, dikuatkan semangat. Janji perlu dipegang. Amanah seorang bapa perlu ditunaikan. Jadi dikuatkan semangat, dia bangkit menentang rasa yang menggunung di hati. Demi masa depan. Demi kasihnya, dia terus berjuang menimba ilmu di sini.

Ralat dan terkilan. Ada rasa sukar dijelaskan. Namun Nur sentiasa ada di dalam setiap doanya. Kesejahteraan Nur selalu didoakan. Setiap kali rindu meresap di hatinya, dia bermunajat kepada Allah taala. Berserah diri kepada DIA agar hatinya redha dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya

Diri Hisyam jauh terbang ke dalam kenangan silam.

Wajah Nur masam apabila tumpuannya membuat kerja sekolah diganggu. Setiap petang mereka akan menghabiskan masa bersama. Dia akan menemani Nur membuat kerja sekolah. Kadang kala angah datang mengacau adiknya.

"Abang Syam ni dah sewel agaknya, senyum sorang. Eeii... Tak nak kawan dengan Abang Syam lagi" Nur merajuk dengannya apabila dia tidak dapat menahan gelak. Geli hati melihat angah lari lintang pukang dikejar oleh Nur dengan sebatang ranting. Boleh tahan lajunya Nur berlari ketika itu.

'Nur... Nur ....' Makin hampir tarikh kepulangannya, makin rancak kenangan manis bermain di fikirannya.

Bibirnya tanpa sedar tersenyum manis.

Tok... Tok...

Bertebaran kenangan manisnya dibawa hembusan bayu dingin melalui jendela yang terbuka luas. Cuaca walaupun agak panas kebelakangan ini, namun sesekali hembusan bayu yang bertiup mendinginkan suasana. Menghalau jauh haba panas itu. Dia berpaling dan menuju ke pintu biliknya.

Sebaik sahaja pintu dibuka, terpacak tubuh sederhana milik Azrul, sahabatnya yang sama-sama berjuang menuntut ilmu di bumi anbiya ini.

"Assalamualaikum, Syam," sapa Azrul sambil menghulurkan tangan bersalaman. Mereka berpelukan seketika sebelum Hisyam mengajak Azrul masuk.

"Dah siap kemas?” soal Azrul berbasa basi.

Hisyam angguk. "Sudah. Semuanya aku dah hantar naik kargo semalam. Tinggal beg pakaian ni je.”

Azrul angguk. Sepintas lalu, matanya melihat sekeliling. Rumah sewa Hisyam sunyi. Rakan serumahnya tentu sedang mengikuti kuliah sekarang.

"Aku datang bawa hajat besar," lalu mata Azrul singgah di wajah Hisyam.

"Hajat apa?" Hisyam bertanya tenang.

Azrul pula berasa gementar di dalam hati. Mereka teman seperjuangan di sini. Banyak berkongsi susah senang di rantau orang. Dia yakin Hisyam adalah jodoh terbaik untuk adiknya. Kala dia meluahkan hasrat hati kepada adiknya, Ayuni tiada bantahan. Mujurlah kali ini pilihannya sama dengan pilihan hati Ayuni.

"Aku mahu meminang kau untuk adik aku," beritahu Azrul dalam senafas.

Hisyam angkat wajah. Matanya bertembung dengan mata Azrul. Ada harapan besar di dalam mata sahabatnya itu. Hisyam tarik nafas. Dia larikan matanya melihat sekitar ruang tamu rumahnya. Mencari kata yang terbaik untuk diberitahu supaya Azrul tidak tersinggung dengan penolakannya.

Dia ambil masa. Padahal jawapan di dalam hatinya telah ada sejak dulu. Bukan sekali, seorang wanita meluahkan perasaan melalui orang tengah. Bukan juga kali ini dia berdepan dengan hajat orang untuk membantunya membina masjid. Sedangkan di dalam hatinya telah terpasak satu nama, terpahat di situ sejak dulu. Sejak dia memahami erti kasih sayang.

"Aku tak perlukan jawapan itu sekarang. Ambil masa kau. Lakukan solat istikharah. Minta petunjuk dari Allah taala," ujar Azrul dengan penuh harapan. Dia harap sangat agar Hisyam menerima hasratnya kali ini.

"Aku sebenarnya telah bertunang sebelum sambung belajar ke sini."

Kenyataan itu mengejutkan Azrul. Tak mungkin. Tujuh tahun tempoh yang amat panjang untuk satu ikatan pertunangan. Dia tidak percaya.

"Syam, aku tak paksa kau terima lamaran aku ni. Tapi aku nak kau minta petunjuk dari Allah dulu. Aku yakin hati kau akan memilih adik aku. Dia sesuai jadi isteri kau. Aku yakin kau akan bahagia nanti," tekan Azrul. Dia amat berharap Hisyam jadi adik iparnya. Nanti mereka boleh sama-sama berjuang berdakwah.

Hisyam geleng kepala. Wajahnya tenang. Ditentang mata Azrul. Mereka mungkin sahabat baik. Berminat sama-sama mahu terus menebarkan ilmu yang ada di dalam dada mereka. Namun matlamat dan cita-cita mereka berbeza. Cara mereka berdakwah pun berbeza. Dia ada impian dan cita-cita lebih besar. Tidak mahu terikat dengan hanya satu jalan sahaja.

"Sejak dulu hati aku telah memilih tunang aku tu Rul. Lagipun aku kena pegang pada janji dengan orang tuanya," tegasnya. Janji yang diikat bukan untuk dimungkiri biarpun dia terpaksa memungkiri janjinya dengan Nur.

Azrul tersentak. Seketika dia hilang kata dengan ketegasan suara Hisyam. Kemudian dia ketawa.

"Tujuh tahun Syam. Tidak mungkin perempuan sanggup tunggu selama selama itu. Kau pun tak pernah balik. Aku rasa tunang kau tu dah kahwin," Azrul cuba menyedarkan Hisyam dengan hakikat sebenar yang dirasakan betul. Dia yakin tekaannya tak salah. Lagipun dia pasti Hisyam terpaksa menerima pertunangan itu. Jika tidak tentu Hisyam terus balik setelah tamat belajar tiga tahun lepas.

Hisyam geleng kepala. Azrul tidak tahu apa-apa. Sudah tentu dia anggap tujuh tahun itu tempoh yang amat lama untuk ikatan pertunangan. Sedangkan selama tempoh itu adalah tempoh menunggu bunga pilihan hatinya mekar indah di taman orang tuanya.

“Kau tidak tahu apa-apa tentang tunang aku Rul, jadi jangan yakin sangat apa yang kau rasa itu betul. Sedangkan hakikatnya kau tidak akan jangka sama sekali. Pertunangan ini adalah kehendak hati aku. Memberi aku keyakinan untuk datang menuntut ilmu di sini tanpa risaukan dia terjumpa pilihan hati yang lain. Ia juga jaminan orang tuanya, yang kami akan disatukan apabila aku pulang nanti. Lagipun…” Hisyam tarik nafas, dia melirik ke arah temannya yang tertunggu kata-katanya.

“Tidak balik tak semestinya tidak tahu apa yang berlaku di tanah air sendiri. Setiap perkembangan tunang aku, aku tahu walaupun aku telah berjanji dengan orang tuanya untuk tidak mengganggunya dalam tempoh ini.”

Azrul terus terdiam. Ketegasan Hisyam mematikan kata-katanya. Dia teringatkan wajah penuh harapan Ayuni.



‘Ayu.. kau buat abang rasa bersalah.’










Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.

Ulasan