Teaser 1 - Hati Yang Kau Sakiti.

Baru merajinkan diri munculkan diri di sini. Maaf ya. Kadangkala saya tidak tahu apa yang perlu dicoretkan di sini. fokusnya tentang novel. tentang karya saya. Sebetulnya tidak ada manuskrip terbaru yang disiapkan jadinya bersawanglah di sini.

Untuk menulis merepek-repek rasa tak perlu. Sebab saya mahu fokuskan di blog ini tentang karya, novel dan juga cerpen saya...

Okey... kita layan iklan acah-acah novel yang terbit awal tahun ini. Ini adalah novel penuh ke 5 saya. Ke dua di bawah penerbitan anaasa.


“Putus lagi?” sindir Aali sambil tayang sengih.
Amru jeling tajam. Bukannya nak bersimpati. Menyindir lagi ada.
“Kau tak payah sedih sangat. Berlambak gadis macam Bella tu tengah beratur nak masuk dalam hati kau tu.”
“Cinta pertama tu beb!”
“Cinta pertama ke dua ke tiga, ada aku kesah?” Aali angkat kening. Dia peluk bahu Amru sambil dorongnya ke kereta.
“Putus cinta memang sakit. Tapi takkan jadi kudis bila kau putus dengan Bella tu. Dia tak sesuai dengan kau!”
“Tiga tahun aku dengan dia, tahu tak?”
“Tiga tahun yang sia-sia... Ini menunjukkan Bella tu bukan calon jodoh kau. Dia hanya layak jadi kekasih kau je.”
“Apasal kau anti sangat dengan Bella ni?” Amru tak faham.
Sejak awal dia bercinta dengan Bella, Aali dah tunjuk tak suka. Tak beri muka langsung dekat dia dulu. Nampak Bella ada, dia terus blah.
Aali tarik nafas. Rasanya rahsia yang dia simpan selama ini kena bocorkan. Biar Amru tahu siapa Bella yang sebenarnya.
Mereka tiba di Cafe. Waktu rehat  di tengah bulan ni tak ramai yang datang makan. Ikut saranan pak-pak menteri supaya berjimat cermat. Bawa bekal dari rumah. Nasiblah orang bujang macam mereka kena makan dekat Cafe. Itu pun tak selalu. Sebab Amru juga sahut seruan pak menteri itu.
"Kau kenal Ahmad, sepupu aku tu?"
Amru angguk. Dah macam kawan baik dia juga Ahmad tu. Tapi dah lama dia tak jumpa Ahmad tu. Sejak tak jadi kahwin, dia bawa diri bekerja di Dubai. Amru tunggu Aali meneruskan cerita. Dalam hati dah tertanya apa kaitannya dengan Ahmad.
“Bella, sebelum bercinta dengan kau, dia bercinta dengan Ahmad sejak zaman masa sekolah. Mereka hampir nak kahwin dah. Dua tiga hari sebelum majlis, Bella buat perangai. Tak suka bakal mak mertua dia masuk campur urusan majlis mereka. Biar keluarga dia yang uruskan semua termasuk majlis pihak lelaki. Bella bagi kata dua, mak atau dia. Kalau tak, tak payah kahwin. Terkejutlah Ahmad. Selama ni dia anggap Bella dapat terima mak dia. Bella juga bersikap kurang ajar dan lempar kata-kata yang menyakitkan hati bakal mak mertuanya depan muka Ahmad.”
“Hari itu juga Ahmad batalkan perkahwinan mereka. Dia tak boleh terima bakal isteri dia tak hormatkan mak dia.”
Amru terdiam dan berfikir. Sikap Bella yang terang-terangan tidak suka apabila dia bercakap tentang ibunya. Sikap jengkel Bella semakin terserlah apabila dia terlewat dan memberi alasan kerana ibunya.
Aali pandang Amru. “Kau dah nampak perangai dia sebenarkan?”
“Hmmm,” makanan yang dipesan tiba.
“Jadi tak guna kau bersedih sebab perempuan itu. Dia bukan isteri material yang sesuai untuk kau.”

Amru diam lagi. Tiga tahun bukan masa yang singkat. Melupakan momen indah mereka juga bukan mudah. Lagipun setiap manusia ada zaman gelap masing-masing. 



Pesan Puan Penulis Hidup ini terlalu singkat untuk dipersiakan. Jadi bacalah perkara yang bermanfaat. Semoga kebaikan yang diperolehi di sini dapat dikongsikan bersama. Hidup baik-baik. Islam itu Indah. Membaca jambatan Ilmu.