Mini Cerita -Kebetulan yang Indah 1


p/s : ni cerita pendek yg saja2 shima tulis.. tak siap lagi.. so shima akan postkan skit2..coz dah seminggu blog ni kosong.. kena laa masuk entri ya...


Masak lemak daun kesum ikan keli dan puyu benar-benar membangkitkan seleranya. Telah lama dia tidak menikmati masakan ini. Jadi tanpa menoleh kiri dan kanan, Shaiful terus menarik kerusi dan duduk di meja makan itu. Tanpa menunggu orang lain, dia menceduk nasi ke dalam pinggannya.
“Anak bertuah ni, balik-balik kerja terus terkam ke meja makan. Kot iya pun pergi mandi dan solat maghrib dulu.” Tegur Puan Hasni yang menatang dulang minuman dari arah dapur.
“Laparlah umi. Sekejap lagilah. Kena makan dulu nanti tak kusyuk solat” usai berkata, tangan Shaiful pantas menceduk kuah lemak kuning itu tetapi tak sempat kerana tangannya dipegang kejap oleh Puan Hasni.
“Jangan nak mengada-ngada. Pergi solat dulu. Bukannya budak-budak lagi. Umur dah masuk 30 tahun kena tegur jugak ke?” Jegil Puan Hasni. Anak bertuah ni memang tak makan saman. Lebih-lebih lagi apabila ternampak lauk kegemarannya.
Kemarahan Puan Hasni tidak mendatangkan kesan pun ke atas Shaiful tetapi diturutkan juga arahan uminya. Dia bingkas bangun dan menuju ke tingkat atas untuk mandi dan bersolat. Sejak kebelakangan ini seleranya agak tumpul. Dia telah jemu menjamu selera di restoran mahupun gerai. Lidahnya teringin merasai masakan kampung seperti masak lemak daun kesum ikan keli dan puyu. Telah lama dia mengidam dan telah lama juga dia meminta umi masakkan untuknya. Baru hari ini lauk itu menjadi hidangan makan malam mereka. Dengan langkah yang besar-besar, Shaiful pantas memasuki biliknya dengan senyuman terus terukir di bibirnya.
.*****
Puan Hasni leka memerhati anak lelakinya menikmati hidangan. Nampak berselera dengan dua kali menambah nasi. Sejak berpisah dengan Suraya, selera Shaiful langsung tiada. Hidupnya pula merangkumi pejabat dan rumah sahaja. Wajahnya kian cengkung dan tidak berseri. Walaupun dia sentiasa tersenyum, namun sebagai ibu, Puan Hasni dapat melihat kedukaan dan kesedihan di sebalik senyuman itu. Hati ibu mana yang tidak bersedih dengan nasib yang menimpa anaknya itu.
Perpisahan kekal abadi itu telah meragut keceriaan di wajah Shaiful. Walaupun tidak kelihatan setitis air mata membasahi pipi itu, namun dia tahu, di jiwanya tetap merintih pilu. Siapa sangka, Suraya, menantu kesayangannya yang ceria dijemput terlebih dahulu oleh pencipta-Nya. Rupa-rupanya selama ini dia bijak menyembunyikan penyakitnya. Tidak seorang pun yang mengetahui bahawa dia mengidap barah usus. Patutlah Suraya amat memilih makanan. Hanya makan makanan yang direbus dan panggang sahaja. Hanya menggunakan rempah ratus tanpa perasa kimia di dalam apa juga masakan yang disediakan. Hati Puan Hasni bergetar. Hatinya juga disapa rindu apabila mengingati arwah menantunya.
Suraya seorang menantu yang baik. Amat menghormati dirinya dan juga seorang anak yang patuh. Isteri yang didambakan oleh seorang suami. Shaiful memang bertuah kerana memperisterikan Suraya. Dan dia juga menumpang tuah itu kerana dikurniakan seorang anak perempuan yang selama ini diidam-idamkan. Empat orang anaknya adalah lelaki. Jadi apabila Shaiful berkahwin dengan Suraya, Puan Hasni bagaikan dikurniakan seorang anak perempuan, apatah lagi Suraya yang pandai membawa diri dan mengambil hatinya.
“Nek.. nak nasik lagi” Pinta Suhaila sambil menggoncangkan tangan Puan Hasni.
Puan Hasni tersentak dari lamunan dan terus menoleh di sisi.
“Oooo nak nasi lagi. Sedap tak lauk hari ini?” Aju Puan Hasni kepada si kecil yang berusia lima tahun itu.
“Sedap nek. Hari-hari nenek masak lagi ya” Pintanya lagi.
“Hari-hari jemulah. Sesekali boleh.”
Suhaila menarik muncungnya. “ Hari-harilah nek. Ila nak makan dengan papa. Kalau nek tak masak macam hari ni, nanti papa tak nak makan sekali dengan Ila lagi” rayu Suhaila lagi. Suaranya kedengaran sayu.
Puan Hasni, Shaiful, Shahmi dan juga Encik Sahak tersentak. Permintaan tulus dari satu-satunya cucu mereka membuatkan yang lain terhenti menyuap makanan. Puan Hasni menjeling kepada Shaiful. Ada sayu menggigit tangkai hatinya. Sampai bila rumah ini akan terus berkabung. Suraya telah hampir dua tahun pergi meninggalkan mereka semua. Kehilangannya bagaikan baru semalam. Semenjak kehilangan itu, rumah ini kehilangan serinya. Segalanya kelihatan suram dan muram. Semuram hati mereka semua.
“Sudah sampai masanya kita berhenti meratapi pemergian Sue. Shaiful.. abah harap kau dapat luangkan masa bersama –sama dengan Ila. Kasihan dia. sikap acuh tak acuh kau ni membuatkan hatinya sedih dan terasing. Dia berharap sangat dapat makan bersama dengan papanya setiap hari” Ujar Encik Sahak.
Sudah sampai masanya dia bersuara. Bukan hanya Shaiful yang kehilangan isteri, malah dia turut sama merasai kehilangan menantunya itu. Lebih-lebih lagi isterinya yang rapat dengan arwah. Shaiful menundukkan kepalanya. Sebak terasa sesak di dada. Bagaimana dia boleh terlupa, permata hatinya itu. Kerana ingin merawat lara di hati, dia mengabaikan permata hatinya. Maafkan papa sayang. Matanya tunak merenung wajah polos anaknya yang sedang makan itu. Belas hatinya. Anak yatim yang kehilangan ibu dalam usia yang baru menjangkau lima tahun. Kasih papa pula turut menghilang sama dengan kehilangan kasih ibu. Namun nasib baiklah, di sisinya ada nenek dan datuk yang sentiasa mengambil berat dan mencurahkan kasih sayang mereka. Rasa sesal mula menguasai dirinya. dalam diam Shaiful berjanji akan memberikan lebih perhatian kepada anaknya itu. Ralit dia memerhati Suhaila yang makan dengan berselera. Tingkah lakunya amat mirip dengan sikap mamanya, dan pantas membuatkan hati Shaiful terus mengenang wanita kesayangannya itu.
*******
Shaiful mengusap kepala Suhaila yang sedang tidur berbantalkan pahanya. Belas melihat wajah polos anaknya itu. Wajah yang saling tidak tumpah wajah mamanya. Sedikit sebanyak mempengaruhi tingkah lakunya mengabaikan permata hati mereka.  Melihat wajahnya, membuatkan rindu kian berputik di hati. Sesak nafasnya. Rindu itu terlalu dalam sehingga dia mengabaikan diri sendiri. Terus bekerja tanpa memikirkan perkara lain kerana ingin dilenyapkan kesakitan yang mencengkam jiwanya.
Memori semalam bermain-main di pinggir memorinya. Masanya seperti ketika ini. Ketika itu, yang berbaring beralaskan pahanya adalah Suraya. Wajahnya asyik menatap wajah Shaiful yang sedang fokus membaca. Sesekali tangan halus itu sengaja mengusap lembut dadanya. Menggaru-garu di situ. Sengaja Shaiful mengabaikan biarpun ada rasa telah mengocak ketenangan hatinya. Ada keinginan yang timbul. Sesekali tangan itu mengusap perutnya yang sedikit tinggi dari dadanya. Senang hati kerana mengahwini Suraya membuatkan dia sentiasa berselera. Lebih-lebih lagi masakan isterinya, terutamanya masak lemak daun kesum ikan keli. Pertama kali merasai gulai lemak itu, dia mulai jatuh cinta pada masakan itu. Sebelum ini tidak pernah dia merasakan  itu dan Surayalah yang mengajarnya untuk merasai keenakkannya.
“Abang..”di tarik tangan Shaiful dan dikucup belakang telapak tangan itu.
“Kalau Sue pergi dulu, abang janji akan kahwin lain ya” pinta Suraya ikhlas. Dahi Shaiful berkerut.
“Kenapa cakap melalut ni. Sue nak pergi mana? Tempat Sue kan di sisi abang” Soal Shaiful lembut. Rambut isteri kesayangannya dibelai-belai.
“Abang salah. Tempat Sue di sisi abang hanyalah sementara. Tempat kekal Sue adalah di sisi Allah s.w.t” pintas suara halus itu. Shaiful tajam merenung wajah di atas pahanya. Ada rasa tidak enak mengetuk pintu hatinya. Dia tidak suka orang membicarakan tentang kematian, walaupun orang islam disarankan supaya sentiasa mengingati kematian.
Suraya tersenyum. Namun ada misteri di sebalik senyuman itu. Seringkali Shaiful tertanya-tanya. Puas sudah dia bertanya kepada isterinya, adakah perkara lain yang tidak diberitahu lagi. Apa juga perkara yang dia perlu tahu. Jawapannya hanyalah sebuah senyuman dan ciuman di pipinya. Dan persoalan yang sering bermain-main di fikirannya terus berlalu pergi biarpun sesekali ia datang mengetuk pintu hati dan inginkan jawapannya.
Suraya, seorang gadis yang penuh lemah lembut. Kerana senyuman yang sentiasa terukir di bibirnya membuatkan hati Shaiful jatuh kasih pada pandangan pertama ketika gadis itu datang untuk temuduga sebagai penyambut tetamu syarikatnya. Selepas temuduga, sebaliknya yang berlaku, Suraya lulus sebagai calon isterinya. Tanpa menunggu lama, dia terus meminta umi meminang Suraya untuknya. Pinangan pertama di tolak. Siapa yang tak kecewa. Namun dia tetap tidak berputus asa. Pinangan ke dua pula menyusul, Suraya tiada lagi alasan untuk menolaknya.
Tiga tahun hidup bersama, Shaiful terlalu bahagia. Suraya pandai mengambil hatinya dan juga hati kedua ibu bapanya. Dia disayangi oleh semua ahli keluarganya. Tapi hari yang indah tidak selamanya indah. Tiba-tiba Suraya jatuh pengsan dan koma. Saat itu barulah mereka mengetahui tentang penyakit barah usus yang dideritainya.
Ada air jernih bertakung di sudut matanya. Shaiful kembali ke alam realiti. Kenangan bersama Suraya terlalu indah sehinggakan kadang-kala dia tidak ingin kembali lagi. Ingin terus hidup bersamanya di dalam ilusi indahnya. Namun dia sedar, dia masih punya permata hati untuk diberi perhatian. Dia masih punya tanggungjawab sebagai insan di dunia ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan