Mini cerita -Kebetulan yang Indah - 2


Hari minggu datang lagi. Seperti biasa, Hasma akan berjalan ke pasar mini di Jalan Laksamana untuk membeli barang dapur. Lima belas minit berjalan kaki dari rumah sewanya. Kadang kala dia berteman dan kadang kala dia bersendirian. Untuk sampai ke kedai tersebut, Hasma akan melalui hadapan sebuah banglo yang dibina daripada kayu. Dia cukup mengagumi keindahan banglo tersebut. Pintu pagarnya juga daripada kayu yang di bina tinggi untuk mengelakkan halaman rumah daripada di lihat dari luar. Setiap minggu Hasma akan melalui banglo tersebut dan mata nakalnya akan sentiasa mencari peluang untuk mengamati dan mengintai melalui celah-celah pagar itu. Dia selalu berangan-angan, kalaulah dia mempunyai wang yang cukup nanti, akan di bina banglo seperti ini. cantik penuh dengan nilai-nilai seni ukir melayu.
Tak ramai orang pagi ini. Hasma lagi suka sebab dia bebas memilih lama-lama. Bebas hendak bergerak pun satu perkara juga. Dia tidak suka berhimpit-himpit di tempat ayam dan ikan ni. Tersilap pijak habis bajunya terkena air ikan yang hanyir. Matanya melilau melihat deretan ikan yang berada di situ. Ikan kerapu, siakap, kembung, merah, pari dan banyak lagi. Dan tiba-tiba matanya terlihat ikan keli, ikan haruan dan juga puyu. Pantas bibirnya mengukir senyuman.
‘Kalau buat masak lemak daun kesum best ni. Dah lama tak makan. Teringat masakan mak kat kampung’ katanya sendirian.
Tanpa disedari kata-katanya itu turut didengari oleh Puan Hasni. Pantas Puan Hasn menoleh, ingin melihat siapa yang bercakap itu. Bibirnya tersenyum. Seorang gadis mungkin di awal 20an sedang membelek-belek ikan keli yang telah siap disiang itu.
“Beli ikan ke dik?” Tanyanya tanpa bertangguh.
Hasma berpaling dan tersenyum. Selalu terjumpa mak cik ni di sini. Selalunya mereka hanya berbalas senyuman.
“Aaah.. mak cik. Hujung minggu ni terasa nak makan makanan yang dimasak kat rumah pulak. Asyik kat kedai je. Jemulah” balasnya sopan.
“Ooooo suka ke makan ikan keli ni?”
“kesukaan saya tu.. kalau dibuat masak lemak daun kesum lagi best” jawabnya ikhlas.
Kebetulan yang indah. Shaiful pun suka makan ikan keli masak lemak daun kesum ni. Dia tersenyum. Ada bunga-bunga harapan di dalam hatinya untuk melihat anak lelakinya bernyawa kembali. Bernafas dan hidup seperti orang lain. Dan banglo mereka berseri kembali.
“Mak cik pun suka. Dulu menantu mak cik suka masak lemak daun kesum ikan keli ni.” Beritahunya. Mereka sama-sama memilih ikan di hadapan.
“Ooo mesti menantu mak cik orang kelantan kan? Hanya orang kelantan je tahu masak lemak daun kesum ni. Tapi tak ramai yang tahu.”
“A’aaah orang pasir puteh.”Seketika wajah Suraya menyapa hatinya. Pantas disedekahkan Al-Fatihah buat arwah.
“Oooo saya orang tok bali. Dekat dah tu mak cik.”
“tok bali? Laaa.. keluarga arwah tinggal dekat-dekat situ jugak. Dekatlah dekat jambatan tinggi tok bali tu” jelas Puan Hasni.
Hasma terdiam seketika. Arwah? Menantu mak cik ni dah meninggal ke?”
“Mak cik.. minta maaf ya.. menantu mak cik dah tak ada ke?” Soal Hasma ingin tahu.
Puan Hasni mengangguk perlahan. “dah dekat 2 tahun dah” perlahan sahaja suaranya. Ada kesedihan tersimpan di dalam suara yang kedengaran dalam itu. Pastinya dia seorang wanita yang istimewa. Masakan tidak, mak mertuanya kelihatan amat menyayanginya. Menyebut namanya pun membuatkan wajah itu terlukis kedukaan akibat kehilangannya.
Hasma terdiam. Tidak tahu hendak berkata apa lagi. Ada rasa bersalah mengusik hatinya. Namun senyuman ikhlas yang dilemparkan oleh mak cik ini melegakan hatinya. lalu dia membuang jauh-jauh rasa bersalah itu.
“Adik nama apa ya? Selalu sangat terserempak tapi tak tertegur sapa lagi” Soal Puan Hasni ramah.
“Saya Hasmahani Mak cik. Panggil Hasma je” Beritahu Hasma.
“Ooo... dekat-dekat je nama kita ya.. kebetulan pula, nama makcik Hasni.” Balasnya ramah.
“Nek.. nak aiskrim” suara si cilik tiba-tiba mencelah.
“Ila kan batuk. Mana boleh makan aiskrim pagi-pagi ni. Nanti ajak minta papa belikan tengahari nanti ya” pujuk Puan Hasni.
Hasma diam memerhati. Comelnya dia dengan t-shirt pink dan seluar jeans biru. Rambut pula ditocang dua dan berkulit putih gebu. Wajahnya muram kerana tidak dapat memujuk neneknya supaya membelikannya aiskrim. Tangannya tetap menarik-narik baju kurung neneknya bagaikan merayu supaya dibelikan aiskrim idamannya.
“Sayang.. nanti Ila batuk. Sejuk pagi-pagi makan aiskrim” pujuk Puan Hasni lagi. Hasma tersenyum. Dia tidak pandai memujuk kanak-kanak. Dia Cuma boleh menjadi pemerhati sahaja.
“Sakit.. makan ubatlah. Ubat batuk kan ada” pandai dia menjawab.
“Iyalah makan ubat. Nek ambil ubat, satu rumah Ila berlari sebab tak nak makan. pujuk macam mana pun, nenek tak benarkan. Kalau nak makan sangat, cakap kat papa. Minta papa belikan” Tegas Puan Hasni. Wajah kecil itu mendung. Matanya berkaca.
“Nak gula-gula tak? Kakak belanja. Nak?” Pujuk Hasma tiba-tiba. Kasihan pula si kecil ini. neneknya pula buat selamba sahaja.
Dalam malu-malu gadis cilik itu mengangguk. Hasma terus menghulurkan tangan dan disambut oleh tangan kecil itu. Lalu mereka berpegangan tangan menuju ke rak yang mempamerkan gula-gula pelbagai jenama dan warna.
“Adik nak gula-gula apa?” Soalnya rendah. Dari jauh Puan Hasni memerhati gelagat mereka. Ada senyuman terukir. Mereka nampak serasi bersama. Cucunya pula walaupun kelihatan malu-malu dan segan, tapi tidak kekok untuk bermesra dengan gadis itu. ‘Cantik juga si Hasma ni, kalaulah dibuat calon mama Suhaila pun ok juga’ detika hatinya.
‘tapi mahukah si Shaiful nanti. Sedangkan di dalam bilik tidurnya penuh sarat dengan gambar-gambar isterinya. Segalanya masih tidak berubah. Pakaian dan segala peralatan arwah isteri tetap berada di tempat biasa, bagaikan dia masih ada bersamanya.
Puan Hasni mengeluh. Dia perlu melakukan sesuatu. Sudah sampai masanya, Shaiful keluar dari bayang-bayang arwah isterinya. Dia perlu menghadapi realiti kehidupan ini. Perginya takkan kembali. Shaiful perlu mencari pengganti Suraya. Suhaila perlukan perhatian seorang ibu untuk mendidiknya menjadi seorang gadis yang baik. Puan Hasni tahu, dia bukan selama-lamanya akan berada di sisi cucunya. Lambat laun dia juga akan turut dijemput oleh pencipta-Nya.
“Nek.. tengok kakak belanja Ila kit kat” Beritahu Suhaila sambil menunjukkan sebungku coklat kit kat. Hasma tersenyum. Wajah si cilik senyum kembali dan turut membuatkan hatinya tersenyum. Entah mengapa dia mula merasa sayang pada kanak-kanak di hadapannya ini.
Setelah selesai membeli barang dapur, mereka bertiga berjalan seiringan untuk pulang ke rumah. Kebetulan yang dilalui adalah sama sehinggalah sampai di hadapan rumah banglo yang amat disukai oleh Hasma.
“Singgahlaa dulu Hasma. Minum teh ke dulu”
“Tak apalah mak cik. Nanti busuk pulak ikan yang saya beli ni. Lain kalilah” Tolak Hasma dengan sopan. Tapi kalau diikutkan hatinya, ingin sekali dia menerima pelawaan itu dan menjelajarah rumah yang menjadi idamannya. Tak apa, lainkali masih lagi ada peluang untuknya menjadi tetamu banglo ini.
Puan Hasni tersenyum. Suhaila yang tadi berpegangan tangan dengan Hasma mula muram.
“kakak tak nak kawan dengan Ila ke? Jomlah main dengan Ila” sedih bunyinya.
“Mestilah nak. Tapi lainkali ya. Nanti busuk pula ikan yang kakak beli ni. Boleh? Ila kan baik, comel lagi” pujuk Hasma sambil diperhatikan oleh Puan Hasni sambil tersenyum.
“Kakak janji tau!”
“Iya, kakak janji sayang” lalu mereka mengaitkan jari kelingking menandakan janji telah terpatri.
“Saya balik dululah mak cik.” Pinta Hasma sambil menyalami Puan Hasni.
“Yalaah. Jalan elok-elok. Jaga diri”