Review CInta Perigi dan Timba

Assalamualaikum wbt.
Kak shima, saya dah habis baca novel sulung akak.
Apa yang saya boleh kata, best juga ceritanya walaupun saya tak baca masa di blog. Hihi. 

Masa part Shareen tu kat hospital je saya geram dengan Khalisa. Baik sangat bagi Naim jaga. Hish! Lepas tu cemburu sendiri. Tak beragak-agak pun baiknya. Saya rasa lagi best kalau Khalisa yang offer untuk jaga Shareen dari awal sebab tak bagi Naim jaga. Hihi. 
Lagi komen saya, saya juga dengan  watak Naim! Saya rasa watak dia lain daripada yang lain. Taklah romantik yang nampak sangat sayang dia mcm novel2 lain. Tapi watak Naim tu macam lainlah. More kepada prihatin dan ambil berat. Sayang yang betul-betul ikhlas. En entahlah, tak reti saya nak describe. Ada sesetengah novel saya baca, bila hero dah mula suka pada heroin, romantiknya ya Allah, macam dunia tu dia yang punya. Hihi. Ini pendapat sayalah. 

Sedikit kritikan untuk improvement novel kak Shima yang akan datang yang saya perasanlah, ada statement bercanggah. Contoh: ada satu part tu, Darren kata Shareen accident muka terseret atas jalan. Tapi bila Khalisa jaga Shareen, dia tengok muka Reen dia cakap macam syukurlah muka tak apa-apa.
Lagi satu, masa dalam surat khabar, nama Shareen Nur Shareena Abdullah, tapi masa dia kenalkan diri pada Adam, dia sebut Siti Bur Shareen Anuar.
Jadi statement yang bercanggah ni mungkin Kak Shima kena lebih berhati2lah. walaupun kecil, kalau pembaca yang cerewet, terus hilang mood. ^^,

Apa-apa pun saya faham perkara ni berlaku sebab Kak Shima menaip bukan berterusan. Jadi ada masanya kita mudah terlupa. Lagipun, manalah ada buku tulisan manusia yang sesempurna Al-Quran, kalam Allah kan?
Hrm... tu sajalah komen saya. Membebel panjang pulak. All the best untuk novel-novel akak yang akan datang. Saya sekarang tertunggu-tunggu SAMDMPA dengan Kembalikan Maruahku. Ok kak. TQ sudi baca komen panjang2 ni. Maaf juga kalau ada kata-kata saya yang buat akak tersinggung.

Regards.



Terima kasih, Seronok akak baca komen awak...kritikan awak akak hargai. hehehe... akak pun perasan kelemahan tersebut... . Betul kata awak Al-Quranlah yang paling sempurna.  Akak masih lagi hijau dalam bidang ni... Banyak kena perbaiki lagi... InsyaAllah novel-novel akan datang pasti lebih baik dari yang pertama...

Menulis manuskip dan menulis di blog jauh bezanya. Fuh jenuh jugak hendak menamatkan sebuah manuskrip yang setebal lebih 400ms ni, Saya tabik pada penulis-penulis senior yang mampu menggarapkan manuskrip yang tebal-tebal. 

Apabila menulis manuskrip penuh baru saya sedar cabarannya, (semasa menulis untuk blog, saya tak pernah serius dan tidak pernah buat plot-plotnya, saya menulis apabila idea datang) Dan apabila disuruh siapkan sebuah manuskip haru biru jugak jadinya, Jadi tunggang langgang...(hehehhehe, garu kepala.. tulis, padam, tulis lagi, sini kena tambah, sana kena edit.. hahahaa) Cabaran. Itupun saya boleh menulis apabila kena tinggal sorang kat rumah. Masa pulak terbatas. Ada tu idea ada tetapi bila nak tulis blank. Sebab itulah mengambil masa yang lama.

p/s : Komen-komen positif dan negatif yang diterima, menguatkan semangat untuk terus menulis. Terima kasih kerana membaca novel ni, terima kasih di atas sokongan. 

Jom pakat-pakat hantarkan komen, review @ kritikan mengenai novel pertama saya di shimah81@fantasiceritaku.com 




mini cerita : kebetulan yang Indah-20 akhir


p/s : akhirnya tamat.. tak puas hati endingnya? huhuhu.. janganlaa cam tu ek.. bab-bab romantika de amour tak perlulah kot. masing-masing dah boleh imaginasikan sendiri kan... ini cebisan kisah terilham.. insyaallah lepas ni akan muncul kisah lain pula.... selamat membaca.. ya? pendapt dan komen dialu-alukan.. ek 

Telah dua bulan berlalu sejak peristiwa itu. Hasma menjalani kehidupannya seperti biasa. Hubungannya dengan Puan Hasni dan Suhaila cuba dijarakkan. Jika dulu setiap hujung minggu dia akan membeli barang basah di kedai Pak Mat, kini dia membeli sebulan sekali. Sengaja dirancangkan begitu agar Mak Cik Hasni tidak terasa atau perasan dia cuba mengelak berjumpa mereka. Apabila berjumpa mereka tetap mesra dan Suhaila tetap manja dengannya. Walaupun dia cuba menutup kejanggalan yang terasa, Puan Hasni sebagai orang tua yang terlebih dulu merasai hidup ini, tetap merasa ada yang tidak kena. Dia mengambil sikap memerhati dan melihat sahaja.

Bukan dia tidak mahu campur tangan, perjanjian secara lisan dengan mak Hasma pun telah terpatri, namun tidak diketahui oleh keduanya. Dia mahu melihat sejauh mana kesungguhan anaknya ingin mendekati dan mendamping Hasma. Di dalam masa yang sama berusaha untuk melupakan Suraya yang telah pergi. Bukan kerana dia tidak sayangkan arwah tetapi kerana sayanglah, dia mahukan Shaiful melupakan sedikit demi sedikit arwah Suraya. Yang hidup perlu meneruskan kehidupan ini. Yang pergi harus dikenang tetapi dengan cara menghadiahkannya bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Dia ada bertanyakan Shaiful tentang perkembangannya dengan Hasma, namun jawapannya negatif. Menurut Shaiful, Hasma bagaikan mengelakkan diri darinya. Kalibatnya langsung tidak kelihatan paga-pagi menunggu bas. Shaiful juga membuat pengakuan, dia sayangkan gadis itu dan Suraya telah mula dilupai. Dia telah bersedia untuk memulakan kehidupan baru.

Puan Hasni berpuas hati dengan kemajuan yang ditunjukkan oleh Shaiful. Dia yakin kini telah sampai masanya dia bertindak. Hasma bukan seperti gadis-gadis lain. Jadi sebagai orang tua, kini tugasnya menyatukan mereka berdua.

Senyuman Hasma dibalas dengan penuh kasih. Dia benar-benar berharap agar Hasma menjadi menantunya. Telah dua bulan berlalu, baru dua kali mereka berjumpa di sini. Ada juga dia bertanya kenapa jarang nampaknya di hujung minggu. Alasannya, sejak kebelakangan ini dia sibuk sikit kerana menyambung pelajaran separuh masa.

“Rindu sangat kat kakak. Kakak tak rindukan Ila ke?” Soal Suhaila polos.

“Yelaa.. mak cik pun rindu jugak kat Has. Nak jumpa sekarang bukan main payah lagi” adunya juga.

Hasma tersenyum lalu berkata “ Kakak pun rindu kat Ila juga tapi kakak sekarang belajar semula. Masa terhad. Nanti bila kakak ada masa lapang kita pergi jalan-jalan nak?” Pujuk Hasma sambil mengusap kepala Suhaila.

Mereka kini berada di rumah Puan Hasni setelah terserempak di kedai Pak Mat. Tak sampai hati pula menolak, apatah lagi melihat wajah sayu Suhaila yang sejak berjumpa langsung tidak berenggan dengannya.

“Maafkan saya mak cik sebab lama tak jumpa. Sambung belajar separuh masa ni penat sikit. Jadual padat hujung minggu. Hari ni je lapang sebab kelas batal. Mak cik apa khabar? Sihat?” beritahu Hasma sambil menyoal Puan Hasni. Dia perasan yang wanita hampir sebaya maknya kelihatan kurus sikit.

“Mak cik baru je sihat Has, dah seminggu mak cik demam.”

“Oooo... mak cik janganlah lasak sangat buat kerja. Banyakkan berehat. Biar je pembantu rumah buat segala kerja rumah tu” Nasihat Hasma.

“tulah.. mak cik ni sejak dari dulu memang tak boleh duduk diam. Lagipun mak cik tak harap sangat pembantu rumah masak ni. Tak boleh masuk. Kalau kemas-kemas rumah, memang mak cik serahkan kepada mereka”

“Alangkah baiknya kalau ada mak cik ada menantu. Adalah yang boleh diharap dan tolong mak cik uruskan rumah ni” Keluh Mak cik Hasni.

Hasma terdiam mendengar. Dia terus melayan karenah Suhaila.

“Apa pendapat Has tentang Shaiful” tiba-tiba soalan cepumas terpancul dari bibir Puan Hasni.

Hasma terdiam mendengarnya. Apa jawapannya? Dia sendiri pun kurang pasti. Lagipun sejak perbualan mereka di dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur, mereka belum lagi bersua, apatah lagi berbual-bual. Dia memang sengaja mengelakkan diri. Bukannya dia tak perasan dengan kereta CR-V yang menantinya setiap pagi sejak mereka pulang. Dia mengambil langkah lain dengan menumpang teman serumah ke tempat kerja.

“Pendapat macam mana mak cik. Saya bukannya kenal dia sangat. Setahu saya dia bapa Ila.   Seorang bapa yang baik” tulus jawapannya. Harap-harap tiada soalan susulan yang lain.

Puan Hasni tersenyum. Soalannya tidak mendapat jawapan yang memuaskan hatinya.

“Sebenarnya dah lama mak cik nak tanya ni. Anak mak cik ada cakap dengan mak cik dia ingin berkawan dengan Has. Nak kenal-kenal lebih rapat. Kalau boleh nak rapatkan lagi. Has macam mana?” Soal Puan Hasni berterus terang.

Merah wajahnya. Dia tidak tahu apa yang perlu dijawab. Memang ada dia terfikirkan perkara ini sejak luahan Shaiful tempoh hari. Adakala terselit juga keinginan untuk menyambut salam persahabatan itu tetapi malu dan maruah diri menjadi bentengnya.Hasma mengambil sedikit masa sebelum tersenyum.

“dalam bab-bab berkawan ni, saya tidak ada masalah. Cuma.. yelaa takut orang bosan dengan saya. Mak selalu berpesan agar jaga pergaulan elok-elok. Sebab itulah saya segan dan tak berapa nak berkawan dengan lelaki ni.”

“Lagipun di dalam islam, tiada istilah berkawan di antara lelaki dan perempuan ni” Jelas Hasma tentang pendiriannya. Dia bukan seorang yang alim atau warak. Tetapi dia seorang yang amat mementingkan batas pergaulannya. Bukan tidak boleh berbual dan bercakap dengan lelaki tetapi biarlah perbualan itu berisi dengan benda-benda yang bermanafaat.

Mak cik Hasni tersenyum.

“Kalau macam tu, kalau mak cik panjangkan hasrat persahabatan yang diminta oleh anak mak cik kepada mak Has, setuju tak?”

Hasma berkerut dahi. Tak faham.

“Apa maksud mak cik?”

“Mak cik pinangkan Has untuk Shaiful. Jadi menantu mak cik”

Hasma tergamam. Dia kelu. Pertanyaan itu membuatkan wajahnya merah. Lama dia mengambil masa untuk memberikan jawapannya. Dipandang wajah Suhaila di sisinya. Di usap rerambut anak itu. Wajahnya seiras wajah mamanya.

Rupa-rupanya, arwah isteri Shaiful, Suraya pernah rapat dengannya dulu. Ketika kecil Suraya rajin melayannya sehinggalah dia berumur lima tahun, apabila Suraya berpindah ke Besut untuk tinggal bersama nenek sebelah ayahnya di sana. Sejak itu hubungan mereka terputus. Menurut mak, setiap kali Suraya pulang ke kampung, dia selalu bertanyakan dirinya. sedangkan dia tidak mengingati langsung kewujudan Suraya di dalam hidupnya. Lebih-lebih lagi keakraban mereka dulu.

“Shaiful nak ke kat saya mak cik. Saya rasa dia masih lagi sayangkan arwah isterinya. Saya tak nak dia terpaksa terima saya pula. Saya tak nak dikatakan perampas atau pengganti tempat isteri dia”

“Sebab dia minta mak cik tanyakanlah, mak cik tanya Has ni. Memang mak cik tak nafikan, dia masih lagi sayangkan arwah isterinya, tetapi sejak dia mengenali Has, dia sudah banyak berubah. Kenangan itu tetap ada, tapi dia nampaknya sudah mula mampu menerima orang lain di dalam hidupnya. Mak cik minta Has fikirkanlah dulu. Ambil masa, lama pun tak apa. Nanti mak cik minta Shaiful hubungi Has, macam mana?”

“erk... tak payah mak cik. Jangan” cepat-cepat Hasma menegah.

“Mak cik tanyalah mak saya. Apa sahaja jawapan mak, itulah jawapan saya. Mak lebih memahami diri saya berbanding diri saya sendiri.” Jawab Hasma perlahan.

Puan Hasni mula tersenyum lebar. Begitu juga dengan seseorang yang berada tidak berapa jauh dari ruang rehat keluarga itu. Setiap patah bicara antara maknya dengan Hasma didengarinya.

Dalam diam dia berjanji untuk mengasihi gadis itu lebih dari dia mengasihi arwah isterinya dulu.

*********

Enam bulan kemudian

Mereka diraikan secara sederhana. Tiada majlis persandingan. Cuma makan beradat dengan disertai ahli keluarga terdekat. Suhail menjadi pengapit mereka. Dalam malu-malu Hasma membiarkan tangannya digenggam erat oleh Shaiful. Ada senyuman di hati juga di bibir. Ada cinta yang mengalir laju di sungai kasih sayang di dalam hatinya.

Malam kian menginjak ke tengah malam. Suhaila lena keletihan di atas katil pengantin mereka. Hasma tidak kisah. Di saat dia bersedia menerima Shaiful, dia sudah mula menerima Suhaila akan sentiasa ada di tengah-tengah mereka.

“Terima kasih Has kerana menerima abang dan Suhaila” ujar Shaiful perlahan.

“terima kasih juga pada abang yang sudi mengangkat diri Has sebagai isteri abang...”

“Maafkan Has di atas segala kesilapan Has sebelum kita kawin, selepas kita diijabkabulkan dan pada hari-hari yang mendatang. Has akan cuba menjadi seorang isteri yang baik, taat pada abang. Tegurlah Has jika Has ada membuat kesilapan.” Ujar Hasma syahdu.

“Begitu juga dengan abang. Terima kasih kerana sudi terima abang sebagai suami Has. Abang akan bahagiakan hidup Has. Abang akan cuba menjadi seorang suami yang baik lagiiii.. romantik..” bisik Shaiful nakal.

Hasma tertunduk. Dia segan mahu bertentang mata. Perlahan Shaiful meraih kedua tangannya ke dalam genggaman.

“Insyaallah kita akan sama-sama membina bahagia. Mencipta memori indah bersama. Abang sayangkan Has sebab Has adalah wanita yang dipilih oleh Allah s.w.t menjadi isteri abang”

Hasma tersenyum. Ada linangan air mata di hujung matanya. Siapa sangka akhirnya jodoh dia bersama dengan Shaiful. Betul kata mak... pasti dia bertemu dengan seseorang yang lebih menyayangi dan menghargainya. Siapa sangka, perkenalan dengan Mak cik Hasni menemukan dia dengan jodohnya.

Benarlah kata Suraya... akan muncul seseorang yang hampir sama tetapi berbeza sebagai pengganti dan akan menemani menjalani kehidupan ini. Menyayanginya seperti mana dia menyayanginya.

“Kalau abang nak tau, Kak Su dulu rajin melayan Has ketika masih kecil. Tapi Has tak ingat pun pasal dia. mak yang cerita kat Has” beritahu Hasma ketika dia bersandar di bahu suaminya.

Indahnya takdir ini, apabila kebetulan-kebetulan yang terjadi menemukan jodoh mereka. Siapa sangka... antara Suraya dengan Hasma rupanya mempunyai ikatan yang istimewa. 


mini cerita : Kebetulan yang Indah-19


Tawaran kerja diterima dari syarikat Shaiful dibiarkan sepi. Dia tidak ingin bekerja di situ lagi. Putusnya.

“Esok Has ikut diorang balik sekalilah. Tak payah naik bas. Mak pun tak adalah risau nanti” Arah Mak.

“Seganlah mak. Lagipun anak mak cik Hasni tu bukannya sukakan Has pun. Dituduh Has nak goda dia adalah. Tak mahulah..”

“Salah faham je tu. Dia pun dah jelaskan kat Has kan? Mak dia pun dah cerita kat mak. Jangan dok simpan dalam hati pulak...” Pujuk Mak Hasma.

Hmmmm... pokok pangkalnya, ada rasa segan di hati. Dalam masa yang sama ada keinginan lain juga. Macam mana ni, Shaiful pula memandangnya dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Apa maknanya. Nak kata tak suka, rasanya pandangan itu sebaliknya. Macam pagi tadi, dia tahu ada benda lain lagi nak dikatakan. Tapi dia segan untuk berlama-lama berduaan dengan lelaki itu. Apatah lagi dengan mata- mata yang mengawasi mereka.

“Tapi mak....tiket dah beli ni. Has balik naik bas je laa”

“Tak payah.. diorang dah pelawa tu. Senang sikit nanti bila dah sampai sana. Tak perlu naik teksi ataupun tunggu bas lagi, terus boleh sampai depan rumah”

Hasma terdiam. Menjawab lagi pun tak berguna juga. Bila dah itu arahan maknya, kena ikutlah.

Mak Hasma memerhatikan tingkah anaknya itu. Pagi tadi, semasa anaknya sedang bercakap Shaiful, si maknya telah pun bertanyakan tentang Hasma. Tentang hasratnya ingin bermenantukan anaknya itu. Hati ibu mana yang tidak gembirakan, apabila anaknya dirisik. Dan perkara itu tidak lagi diberitahu kepada Hasma, biarkan dulu. Bagi dirinya, dia tiada halangan, malah bersyukur lagi. melihat Shaiful, dia yakin Shaiful dapat membahagiakan hidup anaknya.

Suasana di dalam Honda CR-V milik Shaiful dikuasai penuh dengan suara Suhaila. Bukan main gembira lagi dia dengan kehadiran kakak yang disukainya. Tidak putus-putus mulutnya berceloteh. Hasma melayan je cakapnya. Ada-ada je soalan yang ditanya dan Hasma tidak jemu melayannya. Sesekali dia dapat merasakan ada orang memerhatikan dirinya, tetapi sengaja tidak diendahkan. Puan Hasni pula sejak menaiki kereta tadi, bibir terus terukir senyuman.

Walaupun dia meletakkan syarat kepada Shaiful, tetapi sebenarnya dia telah pun merisik Hasma. Cuma masa sahaja yang menentukan cepat atau lambat keduanya akan disatukan. Itu pun terpulang pada tindakan Shaiful mendekati Hasma.

Mereka berhenti di hentian Gua Musang. Tidak banyak kenderaan yang singgah memandangkan sekarang bukan musim cuti. Hasma menemani Suhaila ke bilik air, manakala Shaiful dan Puan Hasni menunggu mereka di medan makan. Sementara menanti mereka memesan minuman dan juga membuka kuih yang dibekalkan oleh Mak Mertua Shaiful.

“ambil kesempatan ini untuk bercakap dengan Hasma. Cakap hasrat Ful untuk berkawan dengan dia. Mulakan sebagai kawan.. tak lama selepas itu boleh masuk ke langkah seterusnya..” Nasihat Puan Hasni. Macamlah Shaiful tidak tahu apa yang perlu dilakukannya.

Memang betul pun. Sikap tertutup Hasma membuatkan dia tidak tahu apakah langkah pertama yang perlu diambil.

“Macam mana? Nak pandang Ful pun dia tak nak. Inikan pula nak bercakap dengan Ful. Tawaran kerja tu pun dia tolak”

“Kena usaha sikit. Bukan senang nak mengambil hati orang apabila kita melukakannya. Menuduh benda yang bukan-bukan sedangkan dia tak bersalah. Kena buktikan Ful ikhlas nak berkawan dengannya.” Nasihat Puan Hasni lagi.

Mata mereka menangkap kemesraan di antara Suhaila dan Hasma yang sedang melangkah menuju ke arah mereka. Persis ibu dan anak. Dan ada bunga senang hati melihat mereka berdua.

“Bolehkan kita berkawan?” Soal Shaiful apabila dia dibiarkan bersendirian dengan Hasma.

“Bukan ke kita tengah bercakap sekarang. Saya pun menumpang kereta encik balik ke KL, kiranya berkawankan?” Soal Hasma pelik. Itu definisinya sebagai berkawan, walaupun tak rapat, tidak berbual mesra.

“Kalau itu yang awak kata berkawan. Panggil je nama saya, Shaiful, bukan encik”

“tapi... maksud saya berkawan tu.. Saya ingin mengenali awak dengan lebih rapat. Ada maksud untuk menjalin hubungan dengan lebih erat”

Hasma menunduk. Ada segan menerpa dirinya. dia rasakan dia tahu maksud berkawan yang dikatakan oleh Shaiful. Tapi kenapa dia?

“Kenapa saya. Sedangkan hari itu awak tuduh saya cuba menggoda awak. Hari ini lain pulak cakapnya”Tegas suaranya tanpa menunjukkan sebarang kemesraan.

Shaiful terkelu seketika sebelum menarik nafas panjang. Alang-alang sudah ada peluang bercakap berduaan ini, lebih baik digunakan sepenuhnya.

“Hari tu saya terlalu ikutkan perasaan, sedangkan suara hati saya lain.”

“Hari ini, semalam dan esok tetap sama je bagi saya. Saya hormat awak sebagai bapa kepada Suhaila, anak mak cik Hasni. Lebih dari itu? Maaf hati saya tak terima.”

Selesai berkata begitu, Hasma bergerak menghampiri Puan Hasni dan Suhaila. Diukir senyuman pada mereka berdua. Lain pula dengan Puan Hasni yang sempat memandang anaknya seketika. Terlihat gelengan kepalanya. dan dia turut tergeleng sama.

p/s : esok last episod ya.. rasanya tak boleh nk dipanjangkan lagi.. kena tamatkan jugak... ada projek lain nak buat pulak ni... 

mini cerita : Kebetulan yang Indah - 18


p/s : betul2 pendek kali ini...psstttt nak kena settle keje dulu.. baru boleh bertapa mencari ilham. mana tau ilham muncul... petang nnt ada entri lagi ek :D


“Macam mana?”

“Lepas minta maaf, tak sempat nak cakap pasal tawaran kerja tu, terus dia angkat punggung masuk ke dalam rumah, umi”Keluh Shaiful.

“Tak ajak balik sama ke KL nanti?”

“Tak sempat umi.. dia macam nak tak nak je cakap dengan Ful. Pasal peristiwa kat pejabat tu pun. Dia kata dah maafkan. Tu je” Keluhnya lagi. Susah juga berkomunikasi dengan orang yang bersikap tertutup ni. Macam mana ya nak mendekati dirinya.

Puan Hasni menggelengkan kepala.

“Kalau umi cakap, umi dah risik dia untuk Ful, macam mana? Terima?” Duga Puan Hasni.

“Nak ke dia tu. Duda yang sombong macam Ful ni?” Luah Shaiful pula.

“Maknanya Ful nakkan dialah?” Soal Puan Hasni inginkan kepastian. Dia hanya menduga je, bukan betul-betul lagi. Kalau Shaiful nyalakan lampu hijau padanya, pasti esok jugak dia akan tanyakan.

“Kalau umi rasa dia yang sesuai untuk Ful, dapat sayang Suhaila seperti mamanya sayangkan dia, Ful tak ada bantahan umi. Semuanya Ful serahkan pada umi”Putus Shaiful akhirnya.

Tak perlu berdolak dalik lagi. Hatinya juga telah mula sukakan gadis itu. Untuk menerjah berkawan-kawan dahulu, Shaiful rasa sukar untuknya mendekatinya. Jadi mungkin ada baiknya diserahkan perkara itu kepada uminya.

“Tapi dengan syarat...”

“Syarat apa pulak umi?” Berkerut dahi Shaiful.

“Umi nak.. balik nanti, segala barang kenangan Suraya, Ful simpan. Simpan kenangan bersamanya di dalam hati Ful je. Cipta kebahagiaan baru dengan orang baru. Jangan biarkan dia merasa Ful pergunakan dia kepentingan diri.” Tegas Puan Hasni memberikan kata amarannya. Dia tidak mahu, kemudian hari Hasma menderita dengan tindak tanduk Shaiful nanti.

“Sekarang ni pun Ful dah simpan sikit demi sikit barang-barang Sue mi, ada yang Ful bawa balik ke sini hari tu. Ful dah sedar umi.. tapi berikan Ful sedikit masa lagi..”

“Jadi umi pun akan amik sedikit masa jugaklah untuk menguruskan hal ini. Tak jadilah esok...” Kata Puan Hasni pula.

“Mana boleh.. alang-alang kita dah ada di sini, umi buatlah apa yang patut mi” tanpa berfikir, Shaiful meluahkannya.

“Habis tu kamu boleh pula ambil masa... dua tahun lebih tu, tak cukup-cukup lagi ke?”

“Hmmmmm.....”Lama Shaiful terdiam.

“Sekarang ni Ful berusaha melupakan Sue umi.. tapi bukan terus je boleh lupa”

“takkan umi tak faham....”

“Umi faham sebab itulah umi buat syarat tu. Untuk kepentingan Ful jugak”

mini cerita : Kebetulan yang Indah -17


Mereka dibiarkan bersendirian untuk berbicara tidak jauh dari mak-mak yang sedang bersembang. Bukan main rancak lagi para mak berbual tentang macam-macam perkara dan dalam masa yang sama mata mereka mengawasi duda dan dara itu.

Ada bisik-bisik kedengaran.

“tak lama lagi makan kenduri pulak lah kita, Mak Hasma ya”

Senyum-senyum je jawapannya. Puan Hasni pun turut tersenyum. Dia memang berkenan sangat jadikan Hasma menantunya. Tetapi semua itu terpulang kepada anak lelakinya. Ribut yang berlaku semalam sedikit pun tidak memberi kesan kepada mereka. Melainkan hatinya kian bersungguh ingin menjadikan Hasma sebagai menantunya.

Janggal rasanya apabila berdua-duaan begini. Sebetulnya mereka tidak pernah berbual secara berdepan begini tanpa pihak ketiga. Mereka juga tidak pernah berbual mesra. Jadi apabila Puan Hasni menyatakan ada sesuatu yang ingin anaknya bicarakan dengan dengannya, dia berat hati untuk mengiyakannya. Namun dalam terpaksa digagahi juga berdepan dengan lelaki sombong ini.

“Saya minta maaf di atas kekasaran kata saya tempoh hari. Silap saya.”Shaiful memulakan bicara. 

Hasma tetap mendiamkan diri mendengar apa yang ingin dikatakannya.

“Sejak umi dan Ila mengenali awak, nama awak tidak putus-putus keluar dari mulut mereka. Menjadikan saya rimas. Saya tahu hasrat umi ingin melihat saya kembali berpasangan. Suhaila pula mendapat pengganti mamanya”

Dipandang wajah Hasma di sisi biarpun agak jauh jaraknya. Dia tetap memandang ke hadapan. Sayup –sayup kedengaran ombak menghempas pantai. Kedudukan rumah keluarga Hasma hanya lima ratus meter dari pantai. Angin pantai mendinginkan tubuh mereka, sama seperti suasana dingin dan beku yang berlaku di antara mereka sekarang.

Sikap membisu Hasma menjadikan Shaiful serba salah untuk terus berkata-kata, apatah lagi apabila dia teringatkan kisah di majlis perkahwinan semalam. Pertunangan itu terputus sedikit sebanyak dia adalah antara satu penyebabnya walaupun orang kata jodohnya bukanlah dengan bekas tunangnya.

“Saya minta maaf. Kejadian di pejabat hari itu, memang salah saya. Memandang awak masuk ke bilik temuduga itu bagaikan mengimbas kenangan saya dengan arwah. Penampilan awak sama dengan arwah, seolah-olah saya melihat arwah bukan awak.”

“Kemudian apabila saya sedar realitinya, saya tak dapat menahan perasaan saya sendiri. Terasa bagaikan dipermainkan.”

“Segalanya datang secara tiba-tiba. Umi yang selalu bercerita tentang awak, kebaikan awak, harapannya agar awak jadi pengganti Sue, cerita Ila tentang kakak yang rajin melayannya.. membuatkan saya rasa umi yang menyuruh awak datang temuduga pada hari itu. Bukan sebagai setiausaha tetapi sebagai pengganti Sue”

“Saya jadi marah. Tidak patut umi saya buat macam tu. Rupa-rupanya...”

“Umi langsung tiada kaitan. Awak memang tidak tahu syarikat itu milik saya. Umi sudah terangkan segalanya. Maafkan saya Hasma” tulus Shaiful mengaku.

“tiada apa yang perlu dimaafkan... semuanya sudah jelaskan. Jadi jangan awak risau atau fikir hubungan yang terjalin antara saya dengan Ila dan umi awak, semata-mata kerana saya nak goda awak. Nak pikat awak...”

“Dalam kamus hidup saya. Memikat lelaki tiada langsung perkataan itu. Saya di didik agar sentiasa jaga maruah diri. Menjauhkan diri dari berhubung secara rapat dengan seorang lelaki yang bukan muhrim saya”

Sekilas Hasma menjeling di sisinya. Tampak Shaiful sedang mendengar apa yang dia ingin katakan.

“Jangan awak salah faham pula. Hubungan saya dengan bekas tunang saya dulu sejak kami kecil lagi. keluarga saling kenal mengenali. Walaupun bertunang, perhubungan kami tetap berjarak. Mungkin sebab itulah dia berpaling kepada Zana. Saya tak pernah salahkannya”

“Yang haram tetap haram walaupun ada yang cuba menghalalkan caranya”

“Antara kita pula tidak pernah ada hubungan. Jika awak rasa awak salah dan minta maaf, saya telah maafkan. Hubungan saya dengan Mak Cik Hasni dan Ila adalah berdasarkan hubungan persaudaraan sesama islam.” Jelas Hasma panjang lebar sebelum meminta diri untuk masuk ke dalam rumah tanpa sempat ditahan oleh Shaiful.

Shaiful buntu. Belum sempat dia meluahkan hasratnya ingin mengenali diri gadis itu, dia telah pun meninggalkannya sendirian di situ. Surat tawaran kerja yang dibawa bersama pun tidak sempat diberikan. Shaiful menarik nafas panjang sebelum dilepaskan. Susah. Dia bukan seperti Suraya, walaupun nampak keras tetapi lembut hati. Hasma pula nampak lembut tetapi rupanya keras di dalam. Perlu diakuinya, mereka dua insan yang berbeza.

Petang itu, pasangan suami isteri yang baru selamat disandingkan semalam datang bertandang ke rumah keluarga Hasma. Kalau diikutkan hati ini, dia tidak mahu berjumpa dengan mereka lagi. pengkhianatan yang dilakukan, cubaan untuk memalukan dirinya sukar dinyahkan dari dalam hati biarpun mak telah menasihatkannya supaya perkara itu dibiarkan pergi, jangan dikenang lagi. Namun dia manusia biasa, ada seketul hati yang sudah lama dihiris-hiris, pedihnya bagaikan disimbah cuka, mengambil masa yang lama untuk baik.

Senyuman tawar lagi terpaksa dihadiahkan setelah dihidangkan minuman buat mereka.

“Jemputlah minum...” pelawanya.

Zana sekejap-kejap memandang dirinya, sekejap-kejap tunduk. Bibirnya bergerak-gerak tetapi tiada kata yang terluah.

“Kami datang ni, nak minta maaf dari kau....”

“Hmmmmm....”

“Aku tahu.. aku banyak buat silap. Aku tahu aku ni jahat. Kawan makan kawan... Tapi....”

“Hati aku sejak dulu sukakan Kamil. Dia pula sukakan kau. Bila korang bertunang tapi kau layan tak layan je.. Aku ambil kesempatan itu.. Aku berusaha membuatkan Kamil sayang dan berpaling kepada aku..”Luah Zana dalam suara yang tersekat-sekat.

“Sudahlah Zana... bukan salah kau sorang. Salah Kamil jugak.. Salah aku jugak.. Biarlah.. benda dah nak jadi. Kalau bukan kau buat pun, dah bukan jodoh aku dengan Kamil, ia takkan berlaku juga”

“Memang aku rasa sakit hati.. geram.. macam-macam perasaan ada. Tapi bila aku fikirkan semula.. mungkin ada hikmat di sebalik semua yang berlaku...”

“Aku dah maafkan korang.. tapi untuk mesra seperti dulu.. maaf aku tak mampu lakukan.”

“Masa dan keadaan telah mengubah segalanya... Harap korang faham.”

Kamil dan Zana terdiam. Kemaafan yang diberikan telah melegakan hati mereka biarpun ada juga rasa terkilan itu. Biarlah memang salah mereka. Pentingkan diri sendiri dan hanya memikirkan kebahagiaan diri tanpa menyedari kesannya ke atas orang lain.

p/s : Saya selalu ada problem apabila nak tamatkan cerita yang saya tulis.. mungkin ambil masa beberapa hari.. bila je nk sampai penamat, makin panjang pulak yang saya tulis... mcm mana nak buat ek??

Mini cerita : Kebetulan Yang Indah 16


Mata pasangan pengantin pada hari ini tidak terlepas memandang Hasma yang datang ke majlis mereka. Dua senyuman yang terukir ternyata berbeza. Ada yang sinis dan juga terpaksa. Gadis itu kelihatan tenang berbual mesra dengan mereka yang mengenalinya. Maklumlah sekampung dan penduduknya saling kenal mengenali. Berita tentang pertunangan yang terputus itu pun diketahui oleh sesetengah penduduknya. Dan ada juga yang mengetahui cerita di sebalik terputusnya hubungan itu. Ada yang percaya, ada yang mencebik tak percaya dan ada juga yang buat-buat tak kisah. Sebab mereka mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Tahu siapa yang salah, siapa yang betul. Masing-masing ada penilaiannya sendiri. Yang lepas, dibiarkan berlalu pergi.

Pengantin perempuan dari tadi terasa rimas dan berbahang badannya. Ada juga rasa bersalah menghimpit di hati, tetapi rasa ingin memiliki lebih kuat mengcengkam di hati. Dia menang dalam erti kata yang sebenar. Kisah cinta lebih sepuluh tahun hancur kerananya, tapi hatinya tetap gelisah kerana sesekali dia dapat merasakan suaminya masih lagi mengenang cinta lama.

Dipandang suami arwah sepupunya, dia bagaikan memikirkan sesuatu. cuba mengingati di manakah mereka bertemu selain di sini. Tidak lama meneroka memori lalu, apatah lagi jika ia berkait dengan pesaing yang telah ditewaskannya. Ada senyuman jahat tiba-tiba muncul di bibirnya.

Orang semakin kurang, menjadikan dia bebas untuk berehat seketika. Diheret suaminya ke tempat mak saudaranya sedang berbual-bual. Digamit juga ibunya sekali.

“apa dianya Zana.. orang ramai lagi yang datang ni”

“Alaa kejaplah mak. Kita pergi kat tempat mak ngah nuh, ada benda orang nak bagitahu ni” Jelas Zana merangkap pengantin pada hari ini tidak sabar-sabar. Yang pastinya inilah peluang untuk memalukan Hasma. Telah lama dia membenci kawannya yang sentiasa mendapat apa yang diinginkannya.

Hendak tak hendak, ibunya menuruti langkah anak gadisnya. Kamil pula tidak berkata apa, hanya mengikuti langkah isterinya.

“Wah... seronoknya mak ngah bersembang.... tengah bincang pasal majlis kawin bekas menantu ke mak ngah” sinis Zana bertanya membuatkan mereka di situ terpinga-pinga kehairanan.

“Majlis apa pula? Bukan ke ni majlis kawin kamu?” Soal Mak Mertua Shaiful.

“Majlis menantu mak ngahlah. Buat apa majlis saya pulak. Aik takkanlah mak ngah tak tahu. Bukan main rancak lagi beramah mesra dengan bakal isterinya ni” sambil matanya menjamah wajah Hasma dengan pandangan sinis. Puashatiku.

“ Siapa? Mak ngah tak tahu pun. Betul ke Kak Has?” Soal Mak Ngah kepada besannya.

Puan Hasni terdiam. Tidak tahu apa yang perlu dijelaskan. Tetapi dia tahu dia perlu lakukan sesuatu. Jelas wajah mendung Hasma di ruangan matanya.

“Sebetulnya Ros... Hasma ni menyewa rumah satu taman dengan rumah saya. Selalunya terjumpa dengan dia kat kedai hujung minggu. Memang ada keinginan nak jadikan dia menantu saya pun. Tapi biarkanlah mereka berkawan dulu” Jelas Puan Hasni.

“Oooo.. macam tu ke? Elok sangatlah, Suraya pun dah lebih dua tahun perginya. Eloklah Shaiful tu mencari pengganti dia. Suhaila pun, saya tengok bukan main manja lagi dengan Has ni” Senyuman terukir di bibirnya.

Hasma pula, wajah telah bertukar merah kerana segan dengan apa yang mereka perkatakan. Bukankah Shaiful telah awal-awal lagi menyatakan dia seorang penggoda dan tidak sukakannya. Tetapi kenapa Puan Hasni menyatakan sebaliknya.

“Bagus apa bendanya Mak Ngah. Dia ni tak setia, mata duitan, mentang-mentang suami kak Aya tu orang kaya, boleh dia curang dengan Kamil ni. Nasib baik saya ada nak ubati hatinya” Tabur Zana cerita yang direkanya. Marah mula menguasai hatinya. lain yang difikirkannya. Lain pula yang terjadi.

Suaranya yang kuat itu membuatkan orang –orang yang sedang menjamu selera berdekatan menoleh ke arah mereka. Kamil telah merah padam mukanya.

“Sudahlah. Jangan nak buat hal di majlis kahwin kita pula” bisik Kamil ditelinga isterinya.

“Hal apa pula. Memang benda betul kan? Abang putuskan pertunangan dengan dia sebab dia curang kat abang kan? Mata kita ni jadi saksi” Zana tetap tidak mahu mengalah.

Ada rasa pedih bagaikan terkena pisau tajam di tangkai hatinya.

“Bila masa saya curang. Cuba bagitahu, bila korang nampak aku berdua dengan lelaki lain?” Soal Hasma tegas.

Cukuplah dengan cerita yang direka ketika keluarga Kamil datang memutuskan pertunangan mereka. Ingatkan benda itu telah lama berlalu dan dia sedikit pun tidak cuba menyimpannya di dalam hati. Tetapi ternyata dia silap, ada orang yang kejap menyimpan di dalam hati dan menjadikan senjata untuk menjatuhkan maruahnya.

“Semasa di Mid Valley hari tu. Bukan main mesra lagi dengan bapa dan anaknya. Malu aku tengok tau”

“Oooo... semasa aku terjumpa korang berpegangan tangan sedang bershopping di sana ke?” Soal Hasma inginkan kepastian.

“Jangan nak mereka cerita pula ya. Bila masa kami berpegangan tangan macam korang yang sibuk bercerekarama. Aku Cuma temankan Kamil beli kasut dia je.” Jelas Zana tidak mahu mengalah. Kamil Cuma berdiam diri.

Hasma tersenyum sinis. menarik nafas sebelum berkata.

“Hari itu aku keluar bersendirian memandang tunang aku sibuk. Mana tahu aku terserempak dengan dia yang sibuk bershopping dengan orang lain. Kebetulan pula Suhaila nampak aku. Bapanya pula sibuk bersembang dengan kawan dia. masa tu aku tak kenal pun bapa Suhaila ni. Nak dijadikan cerita, bapanya perasan anaknya tidak ada di sisinya, dia pun carilah dan jumpa kami berdua. Jumpa tak sampai lima minit sebelum aku meminta diri untuk pulang...”

“Betul tu.”

“Kami tak kenal pun tapi anak saya kenal dengan kakak yang selalu belanja dia makan aiskrim... Maaflah kalau kebetulan ini mendatangkan masalah pada orang lain” Sambung Shaiful yang dalam diam mendekati mereka semua. Dan dia mengingati peristiwa yang diperkatakan itu.

Dalam hati Hasma mengucapkan syukur dengan sokongan yang diberikan.

Mereka yang berada di situ mula berpandangan antara satu sama lain. Ada cerita yang tidak beres lagi ni. Timbul pula persoalan lain. Kenapa pula Zana dan Kamil membeli belah bersama? Apa hubungan mereka sedangkan mereka semua tahu Kamil dan Hasma telah pun mengikat tali pertunang sejak lapan bulan yang lepas.

“dan kamu, kenapa pula boleh membeli belah bersama? Sedangkan Zana kau tahu Kamil ni tunang Hasma. Siapa yang curangi siapa ni?” Soal Mak Suraya tegas.

Ibu Zana pula mencerlung ke arah anaknya.

“Kamil.. apa semua ni. Apa yang terjadi sebenarnya?”

“Kau cakap kat mak Hasma yang curang. Ada lelaki lain!” Soal Ibu Zana.

Zana pula, tadi lancang bersuara kini menikus dan mendiamkan diri. Wajahnya pucat. Niatnya yang ingin memalukan orang mula memakan dirinya sendiri.

Mata mereka semua tertumpu ke arah Kamil yang telah merah padam wajahnya.

“Sebenarnya......”Kamil menarik nafas panjang. Berat untuknya membuat pengakuan yang mengaibkan diri...

“Saya minta maaf.. Has.. Sebenarnya..” dia terhenti lagi.

“Yang lepas tu sudahlah. Kamil dah pun berkahwin dengan Zana. Anak saya tak apa-apa. Dia pun dah lupakan kisah dulu. Dia datang ni pun sebab turut sama mendoakan kebahagiaan mereka berdua. Manalah tahu ada orang tak suka. Kalau tahu macam tu, tak adalah saya suruh dia datang ke mari” Sampuk Mak Hasma sebelum Kamil sempat menerangkan perkara yang sebenar. Baginya, tak perlulah membuka aib diri sendiri. Biarlah masing-masing faham sendiri kesalahan mereka dan memperbetulkannya.

“Kami balik dululah. Minta maaflah atas benda yang terjadi ni. Marilah Has kita balik” Ajak Mak Hasma.

“Kami pun nak balik jugaklah. Hari pun dah petang. Asar pun dah nak habis ni” Sahut Mak Suraya seraya mahu beredar dari situ dan diikuti yang lain.

Mak Zana merah padam memandang wajah ke dua anak menantunya. Ada mara berbekam di hati. Malu yang tertepek di wajahnya pada hari ini akan dibawanya sampai bila-bila. Tanpa menunggu lama, dia menonong masuk ke dalam rumah. Tidak dikisahkan lagi orang ramai yang masih lagi menjamu selera. Perbuatan anaknya memang tidak dapat dimaafkan.

mini cerita : Kebetulan Yang Indah- 15


ihsan encik google

Pasangan itu sama cantik dan sama padan. Teringat memorinya ketika majlis perkahwinannya dulu. Dia dan Suraya juga diraikan dalam keadaan meriah begini. Majlis perkahwinan di kampung dan di bandar lain suasananya. Di kampung majlisnya kelihatan hidup dan meriah. Manakala di bandar, terhad masanya. Kemeriahan hanya terasa di kemuncak majlis perkahwinan itu dan biasanya dilangsungkan di dewan dengan aturcara majlis yang telah disusun terlebih dahulu. Manakala di kampung susun atur majlisnya walaupun telah disusun juga, tapi suasananya lebih bebas dan meriah.
(cari gambar kenduri.. jupe yang ni je dlm lappy ni.. huhuhuhu)

Sesekali Shaiful tersenyum apabila disapa oleh mereka yang mengenalinya. Kepulangannya ke kampung Suraya bersama anak dan uminya di sambut dengan penuh mesra. Mertuanya tetap seperti dulu. Dan kebetulannya ada majlis perkahwinan sepupu isterinya, membuatkan Shaiful kembali mengimbau kebahagiaan yang dikecapi dulu.

Suhaila bukan main seronok lagi dikelilingi mereka yang merinduinya. Dia pun turut tumpang gembira melihat anaknya tidak putus-putus ketawa dan aktif berjalan ke sana ke mari dilayan oleh bapa dan mak saudaranya. Begitu juga dengan uminya, bukan main suka lagi dapat berjumpa dengan besannya. Cuma dia yang sedikit keresahan, bagaikan ada sesuatu yang akan terjadi.

Berada di tengah-tengah keluarga Suraya, tidak menjadikannya cangung. Sejak dulu, dia amat menyenangi peribadi yang ditunjukkan oleh ahli keluarga Arwah isterinya ini. Shaiful dan keluarga dilayan bagaikan ahli keluarga mereka sendiri. Apatah lagi dengan adanya Suhaila sebagai penghubung persaudaraan mereka. Ralit dia memerhatikan gelagat tetamu yang datang memeriahkan majlis perkahwinan ini. Shaiful sebenarnya tidak berapa ingat rupa sepupu Suraya yang kahwin pada hari ini. Mungkin mereka pernah berbual mesra dulu, tetapi dia mesra dengan kedua ibu bapanya.

Sekilas matanya terpandang figura seseorang yang dirasakan dikenalinya. Dia berkerut dahi...Macam dia. tetapi tak nampak pula wajahnya yang terlindung dek tudung yang dipakai. Dari jauh dia memerhati, sehinggalah dia ternampak Suhaila mendekati dia yang ralit diperhatikannya tadi. Bukan main gembira lagi anaknya itu. Siap berpelukan dan erat memegang tangan gadis itu.


Beberapa minit kemudian, kelihatan umi, mak mertuanya dan seorang wanita yang sebaya dengan uminya menghampiri gadis itu. Dilihat sopan dia menyalami umi dan mak mertuanya. Matanya sudah dapat mengecam siapa dia. Perlahan ada senyuman mula terukir di bibirnya. Jumpa juga akhirnya.

Rasanya dia patut melakukan apa yang patut dilakukannya sejak empat lima hari yang lepas. Rasa bersalah dihati ini perlu dilepaskan. Maaf perlu diucapkan. Sedikit rindu ini perlu dileraikan. Mana tahu ada sesuatu untuknya.

Tapi masa masih ada. Biarlah selepas majlis ini, akan ditanya uminya tentang dia. akan dia berterus terang tentang apa yang bermain dijiwanya. Rasanya cukuplah dua tahun hidupnya dibayangi Suraya. Kebahagiaan perlu diraih kembali. Keindahan hidup berumahtangga mahu dikecapinya semula dengan mencipta saat-saat yang lebih indah bersama seseorang yang mampu disayangi dan dicintai seperti bersama Suraya dulu.


p/s : pendekkan? petang nnt plak ek.. panjang skit.. ada konflik skit.. ngeh.. ngeh....


mini cerita : Kebetulan yang Indah - 14


p/s : macam yang dijanjikan pagi tadi ek.. satu lagi entri untuk kebetulan yang Indah..

Setiap hari dia melalui hentian bas yang sama, pada waktu yang sama berjumpa dulu, namun dia tiada. Orang yang dicarinya bagaikan ghaib tanpa dapat dikesan. Panggilan telefon juga tidak terangkat. Shaiful resah, ada rasa bersalah kian mengular di dalam hatinya. sesekali hatinya memarahi diri sendiri yang amat pantas bertindak tanpa berfikir terlebih dahulu. Natijahnya dia kini sukar ditemui.

Ada juga dirisik uminya, namun jawapannya menghampakan. Hanya hujung minggu sahaja uminya bertemu dengan gadis itu dan pada penghujung minggu lepas, gadis itu tidak datang membeli seperti biasa. Pastinya dia sedang mengelakkan diri. Dalam diam ada rindu mula meresap di hatinya. sesekali wajah itu bermain di kolam hatinya.

Shaiful mengeluh lagi untuk kali yang entah ke berapa. Ketenangan hati tidak dapat dirasakan lagi, selagi belum berjumpa dengan Hasma untuk meminta maaf di atas kesilapfahamnya.

Kasihan pula Puan Hasni melihat wajah muram anaknya. Hendak menolong pun tak mampu. Dia ada juga menelefon Hasma namun tidak berangkat. Cuma sms yang diterimanya menyatakan dia berada di kampung bercuti. Ada baiknya juga begitu. Tapi hati seorang ibu, melihat kemuraman anaknya membuatkan dia rasa serba salah.

Puan Hasni mendekati Shaiful yang sedang duduk bertongkat dagu di tempat rehat di taman mininya. Ditepuk perlahan bahunya, seraya mengambil tempat di sisi.

“tak perlu menekan diri sendiri. Insyaallah si Hasma tu takkan ke mana-mana. Sudah-sudahlah termenung sana, termenung sini Ful” Nasihat Puan Hasni.

“Ful rasa bersalahlah mi.. tak patut Ful tuduh dia macam tu.”Keluh Shaiful pula.

“Benda nak jadi. Nak buat macam mana. Lainkali kena fikir dulu sebelum berkata apa-apa. Sudahlah...Hasma tu tak ke mana-mana pun, dia sms kat umi cakap balik kampung seminggu ni” Jelas Puan Hasni pula.

“oooo... patutlah” barulah ternampak sedikit senyuman di wajah Shaiful.

“tapi umi tengok.. resah kamu ni macam luar biasa sikit. Kenapa?” Soal Puan Hasni pelik.
“Luar biasa apa? Rasa bersalah ni hah.. selagi tak jumpa dia, selagi tu Ful rasa tak boleh nak buat apa-apa kerja umi”

“Selalunya tak adalah Ful terbawa-bawa macam ni. Ataupun Ful sudah mula sukakan dia?” Serkap Puan Hasni dalam senyuman meleret.

“Isssyyy.. mana ada umi.. Suraya tetap di hati saya” Nafi Shaiful tetapi hatinya tetap berdebar juga. Betul ke apa yang dikatakan oleh uminya. Apa yang pelik dengan kelakuannya dua tiga hari ini? Rasanya biasa je, Cuma perasaan bersalah itu bagaikan membelenggu dirinya selagi dia tidak meminta maaf dengan gadis itu.

Puan Hasni tersenyum tanpa mengulas lagi. Hatinya tetap merasakan ada sesuatu yang Shaiful sembunyikan ataupun dia tidak sedar apa yang sedang terjadi pada dirinya sekarang ni. Tak apalah lambat laun, dia akan tahu sendiri.

“Semalam mak mertua kamu telefon, dia rindukan Suhaila ni, apa kata kita bawa Suhaila jumpa tok manya”

“Hmmmm... pergi kelantan? Tengoklah dulu umi, kerja Ful di pejabat tu siapa nak buat kalau tetiba je  Ful bercuti” balas Shaiful malas.

“Kasihan pula umi dengar suara mak mertua kamu tu. Dah lama dia tak jumpa dengan cucu tunggalnya ni. Apa salahnya bawa Suhaila berjumpa dengan neneknya” Beritahu Puan Hasni lagi. matanya lembut memandang wajah sugul Shaiful yang dirasakan masih memikirkan soal dia dan Hasma.

“Lagipun manalaa tau terjumpa Hasma di sana ke. Setahu umi, dia pun berasal daerah yang sama dengan Suraya, kampung pun sama. Tak adalah kamu macam kucing kehilangan anak lagi” dalam lembut dia menyindir.

Shaiful terus memandang wajah uminya apabila mendengar apa yang dia cakapkan.

“Betul ke umi?”

“Betullah, buat apa nak tipu pula. Ada dia bercerita hari tu apabila umi tanya. Dia pun suka makan gulai lemak daun kesum ikan keli yang selalu Suraya buat tu. Masak pun pandai. Umi kenal dengan dia pun sebab umi terdengar dia cakap-cakap nak masak gulai tu” terang Puan Hasni lagi.

Kebetulankah atau ini yang telah ditakdirkan untuknya? Mendengar kata-kata uminya membuatkan Shaiful termenung lagi.

Puan Hasni pula pelik melihat Shaiful yang tiba-tiba mendiamkan diri, seolah-olah memikirkan sesuatu yang berat di dalam kepalanya. Lalu ditepuk lengan anaknya itu.

“Nak pergi ke tidak ni?”

“Haahh... nanti Ful tanya Zahir dulu macam mana. Kalau tak ada kerja penting yang perlukan Ful berapa di pejabat, kita pergilah” putus Shaiful. Tanpa disedarinya Puan Hasni tersenyum senang hati lalu meninggalkan Shaiful sendirian melayan perasaan.

Sue.. adakah ini satu kebetulan atau memang telah ditakdirkan? Monolog Shaiful sendiri. Dia teringat kata-kata yang sering diulang oleh Suraya beberapa minggu sebelum dia pergi meninggalkannya.

‘Sue yakin akan ada wanita lain yang menanti abang dan akan menyayangi abang seperti mana Sue menyayangi abang. Jadi Sue harap sangat agar abang juga menyayanginya walau siapapun dia’

Adakah Hasma orangnya yang akan menggantikan Sue di hati abang?