mini cerita- Kebetulan yang indah- 4


“Kenapa nak bertunang lama. Setahun bagi mak lama. Macam-macam benda boleh jadi” Emak menyatakan ketidakpuasan hatinya setelah majlis pertunangan berlangsung.
Hasma diam. Dia pun berfikiran begitu juga sebenarnya tetapi Kamil ada alasan tersendiri dan dia menurut saja kerana tidak ingin bertengkar dengannya.
“Bukan tak kenal. Kenal sejak di bangku sekolah lagi. Dua-duanya kerja dah stabil, buat apa nak tangguh lagi” Emak berkata lagi.
“Bertunang setahun, kami ada masa untuk membuat persiapan mak. Kahwin nikah ni kan sekali seumur hidup. Mestilah nak sempurna segala segi” Hasma mempertahankan tunangnya.
Mak memandang wajah anak sulungnya dengan wajah yang serius. Hasma tidak berani bertentang mata. Dia tahu sebagai emak, mestilah mak mahukan yang terbaik untuk. Tentunya mak mahu melindungi dirinya dari dilukai, tetapi apa yang boleh dilakukannya. Sudah banyak kali Hasma memujuk Kamil agar memendekkan tempoh pertunangan mereka, namun Kamil tetap dengan pendiriannya. Macam-macam alasan yang keluar dari bibir pemuda itu, akhirnya Hasma mengalah. Dipujuk hatinya agar tidak memikirkan benda – benda yang bukan-bukan. Lagipun bukannya baru kenal, sudah bertahun tahun mereka kenal, sejak zaman masing-masing comot dan sememeh lagi. apa yang nak dirisaukan, Hasma yakin, cinta mereka amat kuat untuk mengatasi setiap halangan yang menghalang laluan mereka membina bahagia.
“Mak harap Has tahu apa yang Has buat ni. Mak takut Has kecewa di pertengahan jalan. Mak takut tak sampai ke matlamatnya saja. Kalau Has dah cakap macam tu, terpulanglah. Baik dan buruknya Has mestilah bersedia menanggungnya” Nasihat Mak. Begitulah mak biasanya, selalu beralah dengan kehendak anak-anaknya dengan diiringi dengan sedikit nasihat. Hasma tahu, Mak risaukan dirinya.
Hasma mengukir senyum dan kemudian beralih duduk di sisi mak. Dipeluk bahu mak dan dijatuhkan kepalanya di atas bahu Mak. Lagaknya memang manja. Anak sulung, mana tak manjanya, ditambah pula dengan jarak yang agak jauh dengan adik bawahnya. Enam tahun menjadi anak tunggal menjadikan Hasma anak yang manja. Lagipun memang emak memanjakannya lebih sikit dari adik-adik yang lain. Itu haknya sebagai anak sulung mak. Dan adik-adik tidak pernah mempertikaikannya walaupun seringkali dalam nada bergurau adik-adik memerlinya. Namun Hasma tidak kisah, lagipun walaupun kasih sayang emak lebih untuknya, kasih sayangnya pun lebih untuk adik-adiknya. Adik-adiknya memang beruntung mempunyai kakak sepertinya, sedangkan dia hanya punya emak untuk memanjakannya. Adillahkan, emak memanjakannya lebih sikit dari adik-adiknya.
“InsyaAllah, Mak doakan yang baik-baik untuk Has. Semoga ikatan ini berakhir dengan perkahwinan. Lagipun Has yakin Kamil sayangkan Has. Kami akan kahwin juga akhirnya. Mak jangan risau ya?” Pujuk Hasma.
Di dalam hatinya tetap ada rasa tidak enak. Biasanya naluri mak tidak pernah salah. Namun dia tetap cuba membina keyakinan di dalam hati bahawa Adamnya adalah Kamil. Kekasih hatinya sejak dibangku sekolah lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan