mini cerita- Kebetulan Yang Indah-5


“kakak...kakak!!!”
Panggilan itu menyedarkannya dari lamunan. Kebimbangan emak dulu kini telah menjadi kenyataan. Airmata yang cuba ditahan di hadapan tunangnya, kini sudah mengalir keluar tanpa mampu ditahan lagi.
“kakak..Kenapa kakak nangis?” Soal seorang kanak-kanak tiba-tiba. Dia tercegat di hadapan Hasma dengan wajah kehairanan.
“Ada orang marah kakak ya?”Soalnya lagi.
Hasma tersenyum tawar. Dia menarik nafas panjang dan cuba mengusir hiba di hatinya.
“Ila datang dengan siapa ni? Comelnya dia” Soal Hasma sambil memuji. Matanya juga melilau mencari Mak Cik Hasni di sekelilingnya.
“Nenek mana?” Soalnya lagi. ditarik Suhaila supaya duduk di atas ribanya.
“Ila dengan papa. Nuh papa kat sana, tengah berbual dengan kawan dia. Ila bosanlah. Nasib baik nampak kakak kat sini. Kenapa kakak nangis tadi?”
Lalu Hasma memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Suhaila. Dilihat Papa Suhaila asyik bersembang dan mungkin tidak menyedari tentang kehilangan Suhaila itu.
“taklah mana ada kakak menangis. Mata kakak masuk habuklah”
“Sama macam papa. Mata papa selalu juga masuk habuk bila dok sorang-sorang. Tapi Ila tahu papa nangis. Sama macam kakak jugak”
Hasma terdiam. Dia tahu Suhaila menyatakan apa yang dia lihat dan perhati. Hatinya polos dan tidak pandai berbohong. Apa yang dia lihat dan rasa itulah yang dikatakannya.
“Ada orang tinggalkan kakak ya?”Soalnya lagi. Hasma berkerut dahi.
“Kenapa Ila tanya macam tu?”
“Papa pun selalu nangis sebab mama tinggalkan papa dan Ila. Mama dah pergi jumpa Allah.”Beritahunya lagi.
“taklah. Kakak tak kahwin lagi, macam mana orang nak tinggalkan kakak” Rasanya dia tidak perlu bercerita perihal tunangnya yang curang. Suhaila masih lagi kanak-kanak yang tidak memahami kompleknya dunia orang dewasa. Pancaroba kehidupan yang perlu dilalui. Suhaila akan belajar sedikit demi sedikit menghadapi cabaran hidup ini. Ceritanya tidak perlu diketahui oleh budak sekecil Suhaila.
“Kalau macam tu, kakak kahwinlah dengan papa. Nanti tiap hari Ila dapat jumpa kakak dan mata papa takkan masuk habuk lagi” Pinta Suhaila lagi.
Hasma tersenyum. Senangnya dia bercakap. Permintaan itu nampak mudah tetapi payah sebenarnya seperti mana mencari jawapan yang sesuai untuk permintaan yang lurus itu.
“Papa Ila dan kakak tak kenal pun. Macam mana nak kawin?”
“Tadi kan Ila dan tunjukkan kat kakak papa Ila, jadi dah kenallah. Kenapa kakak cakap tak kenal lagi?” Soal Ila bingung.
“Sayang.. tadi Ila Cuma tunjukkan kat kakak papa Ila. Jadi kakak tahu Ila datang sini dengan siapa. Kenal maksud kakak, macam kita sekarang ni. Berbual-bual di sini”
Oooooo... Suhaila mengangguk walaupun padahalnya dia tak faham.
“Ilaaa.. kat sini rupanya sayang. Kenapa tak beritahu papa. Ila dah takutkan papa tadi”tiba-tiba seorang lelaki menerjah mereka. Kedua-duanya terkejut.
“Ila boring. Papa asyik cakap dengan kawan papa je. Nasib baik Ila nampak kakak ni” petah Suhaila membalas.
Hasma melemparkan senyuman dan menurunkan Suhaila dari ribanya. Wajah papa Suhaila masih lagi serius dan memandang anaknya.
“Lainkali kalau nak ke mana-mana beritahu papa dulu. Jangan buatkan papa risau”
“Baik papa. Ila minta maaf. Tadi Ila tengok kakak ni matanya masuk habuk macam papa juga.”Terang Suhaila. Spontan keduanya saling bertentang mata. Pantas Hasma melarikan matanya.
“Maaflah Ila ni terlebih bijak memerhati. Awak tak apa-apa ke? Soal lelaki itu.
“eh.. tak apa-apa.”Hasma menafikannya.
“Betul... Ila tak tipu” sampuk Suhaila lagi.
“Er.. Kakak tak cakap Ila menipu. Kakak cakap kakak tak apa-apalah sayang” Kata Hasma sambil mencuit pipi gebu Suhaila.
“Kakak pergi dulu ya. Kakak ada barang sikit nak beli” Hasma meminta izin untuk berlalu dari situ.
“Alaaa Ila nak ikut” rengek Suhaila lagi.
“Ila...”tegas papanya memanggil.
“Lainkali ya. Nanti kita jumpa kat kedai dengan nenek ya. Nanti kakak belanja Ila makan aiskrim pula. Ok sayang?”
“Kakak janji tau”
“Ia.. kakak janji” lalu dikaitkan jari kelingking dan ditemukan ibu jari menandakan janji dipatrikan. Papa Suhaila diam memerhati tingkah laku mereka berdua dengan rasa ingin tahu.
“Awak kenal umi saya?”Soal Papa Ila sebelum Hasma berlalu dari situ.
“Kami selalu terserempak di kedai setiap pagi sabtu”jawab Hasma sebelum melarikan langkahnya berlalu dari situ. Dia tidak ingin berlama-lama. Manakala Suhaila dan papanya terus memerhati langkahnya yang kian jauh.
Tanpa disedari oleh mereka, dua pasang mata sedang memerhati dengan dua pandangan yang berbeza. Satunya terukir senyuman sinis dan ada niat tersendiri di hati. Satu lagi dengan pandangan yang sukar ditafsirkan di antara cemburu dan marah. Ada juga rasa kesal kerana melakukan sesuatu yang membuatkan mereka kian terpisah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan