mini cerita- Kebetulan yang Indah -6


“Nek tadi masa jalan-jalan dengan papa, Ila jumpa kakak tu” Teruja Suhaila bercerita. Sebaik sahaja kereta papanya berhenti, terus dia membuka pintu dan berlari mencari neneknya untuk bercerita tentang pertemuan tanpa diduga tadi.

“Kakak? Kakak mana ni sayang?” Soal Puan Hasni sambil membelai rambut halus cucunya dihadapannya.

“Alaa kakak yang kita jumpa dekat kedai Tok Mat tu laa nek. Yang belanja Ila kit kat” Beritahu Suhaila lagi.

“Ooooo..Kak Hasma ya?”

“A’aah betul nek. Kak Hasma. Ila terlupalah nama dia tadi” Katanya sambil menggaru-garu kepala.

“Tapikan nek tadiiii, Ila nampak Kakak menangis. Tapi bila Ila tegur dia terus dikesat air matanya macam ni” Cerita Suhaila lagi sambil menunjukkan cara Hasma menyapu airmatanya. Sekilas Puan Hasni menjeling Shaiful yang baru sahaja melabuhkan punggungnya di salah sebuah rangkaian sofa di situ. Dia turut sama mendengar cerita yang disampaikan oleh anaknya itu. Namun tak terperasan pula perihal perkara ini. Kelihatan tadi gadis itu biasa-biasa je.

“Iya?”

“Betul nek. Tapikan bila Ila tanya dia cakap matanya masuk habuk. Alah macamlah Ila tak tahu, dia nangis. Alasan sama macam papa jugak. Senyap-senyap nangis. Bila Ila tanya kata mata masuk habuk” Sambung Suhaila lagi.

Mencerlung mata Shaiful mendengarnya. Tak di sangka selama ini anaknya seorang pemerhati yang berjaya. Mengetahui pembohongannya selama ini. Dalam masa yang sama Puan Hasni turut memandang wajah anaknya silih berganti dengan wajah cucunya.

“Habis tu Ila cakap apa lagi?”

“tak cakap apa dah. Lepas tu kakak tanya Ila datang dengan siapa?”

“Masa tu papa kat mana?”

“Papa sibuk berbual dengan kawan dia. Ila boringlah nek. Nasib baik nampak kakak tu. Tapi lepas papa datang dekat kami, cepat-cepat je kakak tu pergi. Papa laa tak pandai ngorat kakak tu. Kalau tak boleh kita jalan-jalan sekali”

“Eh..eh papa pulak yang disalahkan. Papa tak kenal pun dia dan Ila tak ada pula kenalkan kami. Macam mana papa nak ngorat dia” Selamba sahaja di balas kata anaknya.

Suhaila tersengih. “lepas ni kalau Ila jumpa lagi kakak tu, Ila kenalkan dengan papa ek. Nek! Kita selalu jumpa kakak tu kat kedai Tok mat kan?”

“A’aaah yela...”

“Dah dekat maghrib ni. Ila pergi mandi ya sayang. Nek nak cakap sikit dengan papa ni” Suruh Puan Hasni.

“Ok.. nek” dan pantas sahaja Ila berlari naik ke tingkat atas dengan diikuti oleh bibik yang setia menunggu sejak tadi.

“Apa dia umi?”Soal Shaiful setelah perasan yang uminya melihat dia tanpa berkelip sejak Suhaila beredar dari situ.

“Ful tak nak kenal dengan Hasma tu? Kawan-kawan dengan dia”

“Kenapa umi ni? Tiba-tiba je”

“yelaa.. sampai bila kamu nak macam ni. Sue dah pergi hampir 2 tahun. Dah sampai masanya kamu cari pengganti dia”

“Dia masih ada bersama saya umi. Tak pernah sesaat pun saya melupakannya”

“Macam nak lupa kalau bilik kamu penuh dengan gambarnya, penuh dengan barang-barang Sue. Sedarlah Ful, dia dah lama tak ada. Dah pergi mengadap tuhan. Kamu yang hidup ini kena teruskan kehidupan. Kamu masih muda”

Wajah Shaiful tegang. Ada kesedihan tergambar di situ.

“Umi dah mula lupakan Sue. Sampai hati umi”

“Su tetap selamanya di dalam hati umi. Sebab tak sampai hatilah umi nak kamu sedikit demi sedikit melepaskan dia pergi. Kamu tak kasihan kat arwahkah? Dia terseksa di alam sana sebab sikap kamu ni yang tidak mahu melepaskan dia. Sedarlah”

“Sedangkan rasullullah pun tidak suka umatnya bersedih berlebih-lebihan di atas kematian orang yang disayangi. Sebaliknya digalakkan memperbanyakkan sedekah bacaaan Al-Quran ke atasnya. Kamu kena sedar, kamu terlalu ikutkan perasaan sendiri. Terlalu ikutkan hasutan syaitan”

Shaiful terdiam. Tidak membalas apa yang dikatakan oleh uminya. Melihat wajah uminya ada rasa bersalah juga tetapi dia tidak mampu melupakan kasih sayang arwah isterinya. Terasa bagaikan baru semalam Arwah pergi meninggalkannya. Terasa bagaikan baru kelmarin mereka berkahwin dan hidup bahagia.

Selesai berkata, Puan Hasni bangun untuk melihat Suhaila. Maka tinggallah Shaiful termangu-mangu di situ. Disandarkan tubuhnya di sofa, ada resah bermukim di hati dan telah lama di situ. Apa yang dikatakan oleh Umi, benar-benar belaka. Dia sepatutnya belajar melupai sedikit demi sedikit arwah isterinya. Bukan bererti dia tak menyayanginya lagi tetapi kehidupannya perlu diteruskan. Namun begitu hati tetap sentiasa mahukan Suraya sentiasa dekat di sisinya. Dengan keadaan yang tidak berubah sejak Suraya masih ada, membuatkan Shaiful tetap merasakan Suraya berada di sisi. Sebab itulah dia kuat untuk meneruskan kehidupan ini.

Namun, mengenangkan anaknya, Suhaila, dia sepatutnya mengambil langkah yang wajar. Anaknya begitu bijak. Sikap memerhatinya membuatkan Shaiful risau. Dia ingatkan anaknya tidak tahu apa yang berlaku padanya dan juga keadaan sekeliling, ternyata dia silap. Suhaila masih lagi seorang kanak-kanak yang jernih hati dan naif. Apa yang dia lihat, itulah yang akan dikatakannya. Shaiful juga sedar, keadaan sekeliling akan mempengaruhi perkembang fizikal dan mentalnya. Dia tidak ingin apa yang sedang berlaku ke atas dirinya mempengaruhi perkembangan tumbersaran anaknya.

Shaiful mengeluh lagi. Ya sampai bila dia harus begini. Su... abang amat rindukan Su. Kalaulah Su masih ada, tentu keadaan abang takkan jadi begini. Tentunya Ila akan membesar menjadi seorang anak gadis yang bijak dan cantik macam mamanya. Su apa yang perlu abang lakukan, rintih hatinya.
@@@@@

Tiada ulasan:

Catat Ulasan