Mini Cerita : Kebetulan yang Indah - 11


“dia masih lagi single..baru putus tunang” selamba Puan Hasni menuturkan. Shaiful yang bersandar di sofa sambil menutup mata itu tidak memberikan apa-apa reaksi.

“Umi berkenan dengan dia. Cubalah kawan-kawan dan kenal-kenal dengan Hasma tu”

“Kalau ada keserasian boleh diteruskan. Kalau Ful rasa dia tidak sesuai dan tidak mampu menggantikan Sue, umi takkan paksa Ful lagi. Hiduplah dengan cara hidup Ful sendiri. Umi takkan campur tangan lagi”

Shaiful mengeluh. Uminya tidak habis-habis memaksa. Walaupun cakapnya lembut namun setiap patah yang diucapkan ada maksud yang mendalam.

“Umi berdoalah. Jika ada jodoh Ful lagi.. Ful takkan menolak umi. Tapi tolong jangan mendesak Ful. Benda ini bukan sehari dua dapat dipupuk. Bukan sehari dua dapat dilupai. Ful cuba.. sedaya upaya Ful akan mencubanya. Jadi umi tolong doakan untuk Ful ya” ucap Shaiful perlahan tetap jelas dipendengaran uminya.
********
Pastinya Kamil dan Zana sedang merancang hari bahagia mereka. Pastinya mereka sedang meniti musim-musim bunga yang indah.  Teringat kata-kata Mak Cik Hasni siang tadi “Ini Cuma ujian kecil sebelum Allah hadirkan seorang lelaki yang akan membahagiakan Has. Mak cik yakin selepas ini Has akan menemui kebahagiaan”

Betul, ini satu dugaan dan ujian daripada-Nya. Pastinya ada bahagia menantiku di hadapan. Aku redha dengan setiap apa yang berlaku. Aku bersyukur, walaupun aku kehilangan kasih Kamil, Allah telah hadirkan di dalam hidupku dua orang yang mampu membuatkan aku bahagia. Perkenalan dengan Mak Cik Hasni dan Suhaila membuatkan hatinya tidak terasa kosong. Karenah Suhaila menghiburkan hatinya. lagi hatinya simpati dengan dugaan yang menimpa anak kecil itu. Masih lagi kecil dan memerlukan kasih dan perhatian seorang ibu, dia telah ditinggalkan. Jadi apalah sangat aku ni yang baru ditinggalkan oleh tunang. Sedangkan aku masih lagi ada mak yang sentiasa bersamaku. Mengasihi ku tanpa bersyarat. Mempercayaiku lebih dari orang lain. Sentiasa mendoakan kebahagiaan diriku. Sentiasa percaya bahagia pasti menjadi milikku.

Dia sebenarnya telah jatuh kasih dengan Suhaila. Keletehnya membuatkan Hasma terasa amat dekat dihatinya. Tetapi papanya terlalu sombong. Senyum pun susah. Macamlah orang nak sangat mendekatinya. Walhal anaknya sahaja yang memikat hati ini. Senyuman Hasma bertambah lebar apabila terpampang di depan mata, dia menerima email memberitahu tentang panggilan temuduga. Nampak menarik.

Hasma menarik nafas, ditilik penampilannya pada hari ini, dia memakai sepasang baju kurung moden yang berbunga halus berwarna merah dan berlatar belakangkan warna putih. Dipadankan pula dengan tudung warna merah senada dengan warna bunga dibajunya. Ada 5 orang dipanggil untuk menghadiri temuduga ini. Dia teringat tip-tip ketika menghadiri temuduga. Salah satunya hendaklah kelihatan berkeyakinan dan mencari sedikit maklumat tentang syarikat yang memanggilnya. Apa yang sempat dicarinya di dalam google adalah syarikat ini merupakan sebuah syarikat perunding arkitek yang telah beroperasi hampir 10 tahun yang semakin meningkat naik. Ia telah terlibat dengan beberapa projek perumahan dan juga pembinaan infrastruktur di Selangor, Kuala Lumpur dan juga Negeri Sembilan. Kedudukan kewangannya juga kelihatan kukuh. Jaminan seperti itulah yang sentiasa dicari oleh pencari kerja. Salah seorangnya adalah dia.

Tiga orang yang bersama dengannya telah dipanggil untuk ditemuduga. Hasma mendapat giliran yang terakhir. Ketika dia sampai tadi, ingatkan dialah yang paling awal, rupanya mereka lagi awal. Debaran di dalam dadanya kian hebat. Temuduga sebagai setiausaha adalah kali pertama untuknya. Memandangkan ketika melihat iklan untuk jawatan ini, gaji yang ditawarkan agak lumayan, jadi tidak salah untuk dia mencubanya. Lagipun kursus yang diambilnya dulu adalah berkaitan dengan pengurusan pertadbiran, jadi ia juga merangkumi aspek kesetiausahaan ini. Tidak salah mencubakan, lagipun dia sedang meniti langkah meningkatkan kerjayanya.

Akhirnya Hasma dipanggil, dia tenang melangkah dan berselawat sebanyak tiga kali sebelum membuka pintu bilik temuduga. Sekilas dipandang terdapat dua orang lelaki, penemuduga.

Bagi Shaiful pula, apabila pintu dibuka dari luar, dejavu.. itulah yang dirasakannya. Dirasakan saat ini pernah terjadi dulu, pertemuan rasmi di antaranya dan Suraya. Dipandang wajah gadis yang datang untuk ditemuduga. Ada riak terkejut di wajahnya. Gadis inilah yang sentiasa menjadi sebutan umi dan anaknya. Terus dilihat data peribadi yang berada ditangannya. Ijazah pengurusan pentadbiran? Tetapi kenapa pula memohon untuk menjadi setiausaha. Adakah ini pakatan yang dibuat oleh uminya. Shaiful terus meneliti biodata gadis dihadapannya tanpa sedikit pun mengangkat wajahnya. Ada rasa marah mula berputik dihati. Gadis ini macam terhegeh-hegeh ingin mendekati dirinya sehingga sanggup memohon untuk menjadi setiausahanya.

Salam diberikan. Kemudian Hasma mengambil tempat di hadapan mereka. Dia baru perasan yang salah seorang daripada mereka adalah papa Suhaila. Huh.. kecilnya dunia. Dia tidak pernah termimpikan pertemuan ini.

“kenalkan diri anda dulu”

“Nama saya Hasmahani binti Muhamad. Berasal dari Kelantan, berusia 25 tahun. Memperolehi ijazah pentadbiran perniagaan dari UKM. Sekarang ini saya masih bekerja sebagai pembantu tadbir di KLK Contruction Sdn BHd selama 3 tahun.”

“Kenapa memohon jawatan ini sedangkan saudari mempunyai Ijazah di dalam pentadbiran perniagaan?”

“Kerana saya mahu mencari pengalaman di dalam pelbagai cabang pengurusan. Lagipun gaji yang ditawarkan amat menarik. Memiliki Ijazah di dalam bidang pentadbiran tidak semestinya tidak boleh memohon untuk jawatan setiausaha bukan. Lagipun antara pentadbiran dan setiausaha, ia berkait antara satu sama lain”

“Ataupun sebab saudari mempunyai agenda peribadi di sini” terus Shaiful mencelah. Hasma jelas terkejut.

“Agenda apa? Saya tak faham” Soal Hasma jujur

“Mendekati saya.. menggoda saya supaya saya sukakan awak” lancang Shaiful bersuara.

Wajah Hasma merona merah.

“Saya tidak faham apa yang encik merepekkan ini. Saya datang sini untuk temuduga. Tetapi jika encik beranggapan demikian, rasanya temuduga ini telah tamat. Saya tak berminat lagi. terima kasih” setelah berkata demikian, Hasma terus bangun. Tanpa berlengah lagi dia terus keluar dari situ. Lelaki giler...

Zahir pula terpinga-pinga seketika. Dipandang wajah Shaiful dan dipandang juga pintu yang ditutup oleh gadis itu.

“Apa yang kau merepekkan ni? Siapa gadis itu? Kau kenal ke?” Soalnya ingin tahu.

Shaiful menguak rambutnya ke belakang. Badannya disandarkan pada belakang kerusi.

“Dialah yang umi nak kenenkan kat aku” jelasnya perlahan. Ada rasa kesal pula berputik di dalam hatinya. betul ke apa yang dia buat ni?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan