Mini cerita : Kebetulan Yang Indah 16


Mata pasangan pengantin pada hari ini tidak terlepas memandang Hasma yang datang ke majlis mereka. Dua senyuman yang terukir ternyata berbeza. Ada yang sinis dan juga terpaksa. Gadis itu kelihatan tenang berbual mesra dengan mereka yang mengenalinya. Maklumlah sekampung dan penduduknya saling kenal mengenali. Berita tentang pertunangan yang terputus itu pun diketahui oleh sesetengah penduduknya. Dan ada juga yang mengetahui cerita di sebalik terputusnya hubungan itu. Ada yang percaya, ada yang mencebik tak percaya dan ada juga yang buat-buat tak kisah. Sebab mereka mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Tahu siapa yang salah, siapa yang betul. Masing-masing ada penilaiannya sendiri. Yang lepas, dibiarkan berlalu pergi.

Pengantin perempuan dari tadi terasa rimas dan berbahang badannya. Ada juga rasa bersalah menghimpit di hati, tetapi rasa ingin memiliki lebih kuat mengcengkam di hati. Dia menang dalam erti kata yang sebenar. Kisah cinta lebih sepuluh tahun hancur kerananya, tapi hatinya tetap gelisah kerana sesekali dia dapat merasakan suaminya masih lagi mengenang cinta lama.

Dipandang suami arwah sepupunya, dia bagaikan memikirkan sesuatu. cuba mengingati di manakah mereka bertemu selain di sini. Tidak lama meneroka memori lalu, apatah lagi jika ia berkait dengan pesaing yang telah ditewaskannya. Ada senyuman jahat tiba-tiba muncul di bibirnya.

Orang semakin kurang, menjadikan dia bebas untuk berehat seketika. Diheret suaminya ke tempat mak saudaranya sedang berbual-bual. Digamit juga ibunya sekali.

“apa dianya Zana.. orang ramai lagi yang datang ni”

“Alaa kejaplah mak. Kita pergi kat tempat mak ngah nuh, ada benda orang nak bagitahu ni” Jelas Zana merangkap pengantin pada hari ini tidak sabar-sabar. Yang pastinya inilah peluang untuk memalukan Hasma. Telah lama dia membenci kawannya yang sentiasa mendapat apa yang diinginkannya.

Hendak tak hendak, ibunya menuruti langkah anak gadisnya. Kamil pula tidak berkata apa, hanya mengikuti langkah isterinya.

“Wah... seronoknya mak ngah bersembang.... tengah bincang pasal majlis kawin bekas menantu ke mak ngah” sinis Zana bertanya membuatkan mereka di situ terpinga-pinga kehairanan.

“Majlis apa pula? Bukan ke ni majlis kawin kamu?” Soal Mak Mertua Shaiful.

“Majlis menantu mak ngahlah. Buat apa majlis saya pulak. Aik takkanlah mak ngah tak tahu. Bukan main rancak lagi beramah mesra dengan bakal isterinya ni” sambil matanya menjamah wajah Hasma dengan pandangan sinis. Puashatiku.

“ Siapa? Mak ngah tak tahu pun. Betul ke Kak Has?” Soal Mak Ngah kepada besannya.

Puan Hasni terdiam. Tidak tahu apa yang perlu dijelaskan. Tetapi dia tahu dia perlu lakukan sesuatu. Jelas wajah mendung Hasma di ruangan matanya.

“Sebetulnya Ros... Hasma ni menyewa rumah satu taman dengan rumah saya. Selalunya terjumpa dengan dia kat kedai hujung minggu. Memang ada keinginan nak jadikan dia menantu saya pun. Tapi biarkanlah mereka berkawan dulu” Jelas Puan Hasni.

“Oooo.. macam tu ke? Elok sangatlah, Suraya pun dah lebih dua tahun perginya. Eloklah Shaiful tu mencari pengganti dia. Suhaila pun, saya tengok bukan main manja lagi dengan Has ni” Senyuman terukir di bibirnya.

Hasma pula, wajah telah bertukar merah kerana segan dengan apa yang mereka perkatakan. Bukankah Shaiful telah awal-awal lagi menyatakan dia seorang penggoda dan tidak sukakannya. Tetapi kenapa Puan Hasni menyatakan sebaliknya.

“Bagus apa bendanya Mak Ngah. Dia ni tak setia, mata duitan, mentang-mentang suami kak Aya tu orang kaya, boleh dia curang dengan Kamil ni. Nasib baik saya ada nak ubati hatinya” Tabur Zana cerita yang direkanya. Marah mula menguasai hatinya. lain yang difikirkannya. Lain pula yang terjadi.

Suaranya yang kuat itu membuatkan orang –orang yang sedang menjamu selera berdekatan menoleh ke arah mereka. Kamil telah merah padam mukanya.

“Sudahlah. Jangan nak buat hal di majlis kahwin kita pula” bisik Kamil ditelinga isterinya.

“Hal apa pula. Memang benda betul kan? Abang putuskan pertunangan dengan dia sebab dia curang kat abang kan? Mata kita ni jadi saksi” Zana tetap tidak mahu mengalah.

Ada rasa pedih bagaikan terkena pisau tajam di tangkai hatinya.

“Bila masa saya curang. Cuba bagitahu, bila korang nampak aku berdua dengan lelaki lain?” Soal Hasma tegas.

Cukuplah dengan cerita yang direka ketika keluarga Kamil datang memutuskan pertunangan mereka. Ingatkan benda itu telah lama berlalu dan dia sedikit pun tidak cuba menyimpannya di dalam hati. Tetapi ternyata dia silap, ada orang yang kejap menyimpan di dalam hati dan menjadikan senjata untuk menjatuhkan maruahnya.

“Semasa di Mid Valley hari tu. Bukan main mesra lagi dengan bapa dan anaknya. Malu aku tengok tau”

“Oooo... semasa aku terjumpa korang berpegangan tangan sedang bershopping di sana ke?” Soal Hasma inginkan kepastian.

“Jangan nak mereka cerita pula ya. Bila masa kami berpegangan tangan macam korang yang sibuk bercerekarama. Aku Cuma temankan Kamil beli kasut dia je.” Jelas Zana tidak mahu mengalah. Kamil Cuma berdiam diri.

Hasma tersenyum sinis. menarik nafas sebelum berkata.

“Hari itu aku keluar bersendirian memandang tunang aku sibuk. Mana tahu aku terserempak dengan dia yang sibuk bershopping dengan orang lain. Kebetulan pula Suhaila nampak aku. Bapanya pula sibuk bersembang dengan kawan dia. masa tu aku tak kenal pun bapa Suhaila ni. Nak dijadikan cerita, bapanya perasan anaknya tidak ada di sisinya, dia pun carilah dan jumpa kami berdua. Jumpa tak sampai lima minit sebelum aku meminta diri untuk pulang...”

“Betul tu.”

“Kami tak kenal pun tapi anak saya kenal dengan kakak yang selalu belanja dia makan aiskrim... Maaflah kalau kebetulan ini mendatangkan masalah pada orang lain” Sambung Shaiful yang dalam diam mendekati mereka semua. Dan dia mengingati peristiwa yang diperkatakan itu.

Dalam hati Hasma mengucapkan syukur dengan sokongan yang diberikan.

Mereka yang berada di situ mula berpandangan antara satu sama lain. Ada cerita yang tidak beres lagi ni. Timbul pula persoalan lain. Kenapa pula Zana dan Kamil membeli belah bersama? Apa hubungan mereka sedangkan mereka semua tahu Kamil dan Hasma telah pun mengikat tali pertunang sejak lapan bulan yang lepas.

“dan kamu, kenapa pula boleh membeli belah bersama? Sedangkan Zana kau tahu Kamil ni tunang Hasma. Siapa yang curangi siapa ni?” Soal Mak Suraya tegas.

Ibu Zana pula mencerlung ke arah anaknya.

“Kamil.. apa semua ni. Apa yang terjadi sebenarnya?”

“Kau cakap kat mak Hasma yang curang. Ada lelaki lain!” Soal Ibu Zana.

Zana pula, tadi lancang bersuara kini menikus dan mendiamkan diri. Wajahnya pucat. Niatnya yang ingin memalukan orang mula memakan dirinya sendiri.

Mata mereka semua tertumpu ke arah Kamil yang telah merah padam wajahnya.

“Sebenarnya......”Kamil menarik nafas panjang. Berat untuknya membuat pengakuan yang mengaibkan diri...

“Saya minta maaf.. Has.. Sebenarnya..” dia terhenti lagi.

“Yang lepas tu sudahlah. Kamil dah pun berkahwin dengan Zana. Anak saya tak apa-apa. Dia pun dah lupakan kisah dulu. Dia datang ni pun sebab turut sama mendoakan kebahagiaan mereka berdua. Manalah tahu ada orang tak suka. Kalau tahu macam tu, tak adalah saya suruh dia datang ke mari” Sampuk Mak Hasma sebelum Kamil sempat menerangkan perkara yang sebenar. Baginya, tak perlulah membuka aib diri sendiri. Biarlah masing-masing faham sendiri kesalahan mereka dan memperbetulkannya.

“Kami balik dululah. Minta maaflah atas benda yang terjadi ni. Marilah Has kita balik” Ajak Mak Hasma.

“Kami pun nak balik jugaklah. Hari pun dah petang. Asar pun dah nak habis ni” Sahut Mak Suraya seraya mahu beredar dari situ dan diikuti yang lain.

Mak Zana merah padam memandang wajah ke dua anak menantunya. Ada mara berbekam di hati. Malu yang tertepek di wajahnya pada hari ini akan dibawanya sampai bila-bila. Tanpa menunggu lama, dia menonong masuk ke dalam rumah. Tidak dikisahkan lagi orang ramai yang masih lagi menjamu selera. Perbuatan anaknya memang tidak dapat dimaafkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan