mini cerita : Kebetulan yang Indah -17


Mereka dibiarkan bersendirian untuk berbicara tidak jauh dari mak-mak yang sedang bersembang. Bukan main rancak lagi para mak berbual tentang macam-macam perkara dan dalam masa yang sama mata mereka mengawasi duda dan dara itu.

Ada bisik-bisik kedengaran.

“tak lama lagi makan kenduri pulak lah kita, Mak Hasma ya”

Senyum-senyum je jawapannya. Puan Hasni pun turut tersenyum. Dia memang berkenan sangat jadikan Hasma menantunya. Tetapi semua itu terpulang kepada anak lelakinya. Ribut yang berlaku semalam sedikit pun tidak memberi kesan kepada mereka. Melainkan hatinya kian bersungguh ingin menjadikan Hasma sebagai menantunya.

Janggal rasanya apabila berdua-duaan begini. Sebetulnya mereka tidak pernah berbual secara berdepan begini tanpa pihak ketiga. Mereka juga tidak pernah berbual mesra. Jadi apabila Puan Hasni menyatakan ada sesuatu yang ingin anaknya bicarakan dengan dengannya, dia berat hati untuk mengiyakannya. Namun dalam terpaksa digagahi juga berdepan dengan lelaki sombong ini.

“Saya minta maaf di atas kekasaran kata saya tempoh hari. Silap saya.”Shaiful memulakan bicara. 

Hasma tetap mendiamkan diri mendengar apa yang ingin dikatakannya.

“Sejak umi dan Ila mengenali awak, nama awak tidak putus-putus keluar dari mulut mereka. Menjadikan saya rimas. Saya tahu hasrat umi ingin melihat saya kembali berpasangan. Suhaila pula mendapat pengganti mamanya”

Dipandang wajah Hasma di sisi biarpun agak jauh jaraknya. Dia tetap memandang ke hadapan. Sayup –sayup kedengaran ombak menghempas pantai. Kedudukan rumah keluarga Hasma hanya lima ratus meter dari pantai. Angin pantai mendinginkan tubuh mereka, sama seperti suasana dingin dan beku yang berlaku di antara mereka sekarang.

Sikap membisu Hasma menjadikan Shaiful serba salah untuk terus berkata-kata, apatah lagi apabila dia teringatkan kisah di majlis perkahwinan semalam. Pertunangan itu terputus sedikit sebanyak dia adalah antara satu penyebabnya walaupun orang kata jodohnya bukanlah dengan bekas tunangnya.

“Saya minta maaf. Kejadian di pejabat hari itu, memang salah saya. Memandang awak masuk ke bilik temuduga itu bagaikan mengimbas kenangan saya dengan arwah. Penampilan awak sama dengan arwah, seolah-olah saya melihat arwah bukan awak.”

“Kemudian apabila saya sedar realitinya, saya tak dapat menahan perasaan saya sendiri. Terasa bagaikan dipermainkan.”

“Segalanya datang secara tiba-tiba. Umi yang selalu bercerita tentang awak, kebaikan awak, harapannya agar awak jadi pengganti Sue, cerita Ila tentang kakak yang rajin melayannya.. membuatkan saya rasa umi yang menyuruh awak datang temuduga pada hari itu. Bukan sebagai setiausaha tetapi sebagai pengganti Sue”

“Saya jadi marah. Tidak patut umi saya buat macam tu. Rupa-rupanya...”

“Umi langsung tiada kaitan. Awak memang tidak tahu syarikat itu milik saya. Umi sudah terangkan segalanya. Maafkan saya Hasma” tulus Shaiful mengaku.

“tiada apa yang perlu dimaafkan... semuanya sudah jelaskan. Jadi jangan awak risau atau fikir hubungan yang terjalin antara saya dengan Ila dan umi awak, semata-mata kerana saya nak goda awak. Nak pikat awak...”

“Dalam kamus hidup saya. Memikat lelaki tiada langsung perkataan itu. Saya di didik agar sentiasa jaga maruah diri. Menjauhkan diri dari berhubung secara rapat dengan seorang lelaki yang bukan muhrim saya”

Sekilas Hasma menjeling di sisinya. Tampak Shaiful sedang mendengar apa yang dia ingin katakan.

“Jangan awak salah faham pula. Hubungan saya dengan bekas tunang saya dulu sejak kami kecil lagi. keluarga saling kenal mengenali. Walaupun bertunang, perhubungan kami tetap berjarak. Mungkin sebab itulah dia berpaling kepada Zana. Saya tak pernah salahkannya”

“Yang haram tetap haram walaupun ada yang cuba menghalalkan caranya”

“Antara kita pula tidak pernah ada hubungan. Jika awak rasa awak salah dan minta maaf, saya telah maafkan. Hubungan saya dengan Mak Cik Hasni dan Ila adalah berdasarkan hubungan persaudaraan sesama islam.” Jelas Hasma panjang lebar sebelum meminta diri untuk masuk ke dalam rumah tanpa sempat ditahan oleh Shaiful.

Shaiful buntu. Belum sempat dia meluahkan hasratnya ingin mengenali diri gadis itu, dia telah pun meninggalkannya sendirian di situ. Surat tawaran kerja yang dibawa bersama pun tidak sempat diberikan. Shaiful menarik nafas panjang sebelum dilepaskan. Susah. Dia bukan seperti Suraya, walaupun nampak keras tetapi lembut hati. Hasma pula nampak lembut tetapi rupanya keras di dalam. Perlu diakuinya, mereka dua insan yang berbeza.

Petang itu, pasangan suami isteri yang baru selamat disandingkan semalam datang bertandang ke rumah keluarga Hasma. Kalau diikutkan hati ini, dia tidak mahu berjumpa dengan mereka lagi. pengkhianatan yang dilakukan, cubaan untuk memalukan dirinya sukar dinyahkan dari dalam hati biarpun mak telah menasihatkannya supaya perkara itu dibiarkan pergi, jangan dikenang lagi. Namun dia manusia biasa, ada seketul hati yang sudah lama dihiris-hiris, pedihnya bagaikan disimbah cuka, mengambil masa yang lama untuk baik.

Senyuman tawar lagi terpaksa dihadiahkan setelah dihidangkan minuman buat mereka.

“Jemputlah minum...” pelawanya.

Zana sekejap-kejap memandang dirinya, sekejap-kejap tunduk. Bibirnya bergerak-gerak tetapi tiada kata yang terluah.

“Kami datang ni, nak minta maaf dari kau....”

“Hmmmmm....”

“Aku tahu.. aku banyak buat silap. Aku tahu aku ni jahat. Kawan makan kawan... Tapi....”

“Hati aku sejak dulu sukakan Kamil. Dia pula sukakan kau. Bila korang bertunang tapi kau layan tak layan je.. Aku ambil kesempatan itu.. Aku berusaha membuatkan Kamil sayang dan berpaling kepada aku..”Luah Zana dalam suara yang tersekat-sekat.

“Sudahlah Zana... bukan salah kau sorang. Salah Kamil jugak.. Salah aku jugak.. Biarlah.. benda dah nak jadi. Kalau bukan kau buat pun, dah bukan jodoh aku dengan Kamil, ia takkan berlaku juga”

“Memang aku rasa sakit hati.. geram.. macam-macam perasaan ada. Tapi bila aku fikirkan semula.. mungkin ada hikmat di sebalik semua yang berlaku...”

“Aku dah maafkan korang.. tapi untuk mesra seperti dulu.. maaf aku tak mampu lakukan.”

“Masa dan keadaan telah mengubah segalanya... Harap korang faham.”

Kamil dan Zana terdiam. Kemaafan yang diberikan telah melegakan hati mereka biarpun ada juga rasa terkilan itu. Biarlah memang salah mereka. Pentingkan diri sendiri dan hanya memikirkan kebahagiaan diri tanpa menyedari kesannya ke atas orang lain.

p/s : Saya selalu ada problem apabila nak tamatkan cerita yang saya tulis.. mungkin ambil masa beberapa hari.. bila je nk sampai penamat, makin panjang pulak yang saya tulis... mcm mana nak buat ek??

Tiada ulasan:

Catat Ulasan