mini cerpen : Kerna kau 4


“Hai… assamualaikum.. Aimi kan?”
Berkerut dahi Aimi apabila ditegur oleh seorang jejaka di saat dia menolak troli penuh dengan barang-barang dapur.
Tak kenal pun? Baik buat tak tahu je. Orang sekarang ni bukan boleh dilayan sangat, tak pasal-pasal kena pukau. Teringat pesan abah, jika ada orang tegur ketika tengah jalan dan orang tu tak kenal, jangan tunjuk baik nak jawab teguran tu. Jangan layan dan jangan sesekali pandang matanya. Tak selamat sebab sekarang ni berleluasa penggunaan pukau untuk menipu dan menyamun orang. Jadi lebih baik tak layan.
“Amboi sombongnya dia? Betullahkan awak Aimi, kawan dengan kak Jah saya”
Okeh.. Okeh yang ni pasti orang yang memang kenal dia. Lalu Aimi berpaling mahu melihat lebih teliti siapa dia ni? Yelah, dia bukannya jenis mudah ingat jika jumpa sekali, memang langsung tak kenal.
“Awak ni siapa?” Soal Aimi, matanya pula melilau mencari mama.
Mana pula mama ni pergi? Tinggal dia sorang-sorang kat sini.
“Laa minggu lepaskan kita jumpa. Takkan dah tak ingat.”
Aimi garu kepala yang berlapik tudung. Minggu lepas memang lah dia ada jumpa seorang kakak yang baik hati ni. Kak Jah namanya. Dan lelaki ni pula siapa? Seriusly dia tak ingat langsung.
“Aimi kan? Panjang jodoh kita, jumpa lagi kat sini. Hari tu kak Jah lupa nak minta nombor telefon.”
Aimi tersenyum-senyum apabila melihat kak Jah sampai di sisinya. Jejaka itu pula masih lagi terpacak di hadapannya.
“Siapa ni kak Jah” Soal Aimi tanpa tangguh.
“Laaa tak cam ke? Kan minggu lepas ada jumpa semasa kat rumah Kak Jah. Adik kak Jah ni, namanya Nasrul.” Kak Jah memperkenalkan mereka sekali lagi.
Demi Allah, dia memang tak ingat langsung. Memorinya hanya terjangkau setakat perkenalan mereka sahaja. Watak sampingan sebagai adik kak Jah tidak diingatinya. Merah wajah Aimi. Termalu. Kadang kala memorinya selalu gagal menyimpan kenangan. Lebih-lebih lagi hari di mana dia ditinggalkan oleh kekasih. Jadi harap-harap dia boleh faham. Jika tak faham pun, bukannya aku kisah sangat.  Sudah terang lagi bersuluh, adik kak Jah ni bukan watak penting di dalam hidup aku ni.
“Ooo minta maaflah. Memang Aimi tak ingat langsung kak jah.”
“tak pe, tak pe. Kak Jah faham. Banyak beli barang ni. Nak kenduri ke?” Soal Kak Jah ramah. Si adiknya pula telah jadi bisu dan pemerhati yang berjaya kerana mampu membuatkan dirinya resah.
“Taklah. Mama memang selalu macam ni, beli stok untuk sebulan terus. Senang katanya, setiap minggu beli barang basah je kat pasar minggu. Tak perlu berulang alik datang giant ni.”
“Oooh begitu rupanya. Mama mana?”
“Entahlah. Aimi pun sedang dok cari-carilah ni.”
“Aimi”
“Puas mama cari. Kat sini rupanya. Kan tadi mama pesan tunggu kat kaunter nombor lima”
“Bila pulak? Aimi tak dengar pun,” balas Aimi mempertahankan diri.
“Bagaimana nak dengar, kalau asyik melamun je, menonong tolak troli tu. Nasib baik tak terlanggar orang je,” Bebel Mama.
“Kak Ani kan?” Tegur Kak Jah.
“Laa Tijah ke? Maaf akak tak perasan tadi,” Balas mama dengan nada gembira.
“Aimi ni anak kak Ani ke?”
“A’aah anak sulung akak.”
Dalam diam-diam Nasrul menyimpan senyum. Dia pasti pencariannya bakal berakhir apabila melihat kemesraan tiga orang wanita di hadapannya.  

 


mini cerpen : Kerna kau 3


“Nah minum.. biar tenang sikit hati tu.”
Aimi mengangguk perlahan. Tangisannya telah reda. Walaupun begitu luka di hati pasti mengambil masa yang lama untuk sembuh. Diperhatikan keadaan di dalam rumah kak Khadijah. Wanita baik hati yang menegurnya di taman tadi. Rupa-rupanya mereka jiran satu taman, hanya dipisahkan oleh dua jalan.
“Minum Aimi. Jika sudah sejuk, tak berapa sedap pula teh tu,” Pelawanya lagi. Lalu Aimi menarik cawan berisi teh itu dekat padanya. Disentuh cawan itu seketika untuk merasa suhu. Kemudian barulah diangkat perlahan cawan tersebut ke mulut. Dihirup teh hijau itu perlahan-lahan. Kak Khadijah turut sama menghirup teh hijau tersebut.
“Assalamualaikum…”
“Waalaikumussalam..”
“Awal akak balik berjogging?” Soal seorang pemuda di dalam lingkuan 20an yang semakin melangkah menuju ke arah mereka.
 “dua round je petang ni. Dan kau tu awal balik hari ni? biasanya berdating tak ingat masa?”
“Dating apanya kak. Dah break. Sorang pergi, sepuluh datang. Tak heran pun kak” Balasnya selamba.
Kak Khadijah menggelengkan kepalanya.
“Siapa ni kak?” Soal pemuda itu apabila memandang Aimi di sisi kakaknya.
“Kawan akak. Aimi kenalkan, ni adik kak Jah. Nasrul.”
Senyuman nipis diberikan sebelum Aimi tunduk memandang cawannya.
Tanpa disedari Kak Khadijah dan adiknya bersoal jawab melalui mata. Aimi tiada mood untuk beramah mesra.
“Kak.. saya balik dululah”
“Hmmm.. baiklah. Jaga diri elok-elok. Jangan dok layan sangat perasaan tu” Nasihat Kak Khadijah sambil mengiringi Aimi ke pintu.
Kenapa dengan budak tu kak?” Soal Nasrul apabila kalibat Aimi hilang dari pandangan mereka.
“Macam kau lah baru putus cinta. Frust.”
“Hmmm patutlah monyok. Ada jugak lelaki yang bodoh tinggalkan dia ya. Dahlah cantik, pakaian pun sopan. Entah apa yang dicarinya.” Rungut Nasrul.
Kak Khadijah menjeling.
“Apa yang dicari? Haa.. Kau apa plak yang kau cari? Bercinta dua tiga bulan putus. Lepas tu couple pulak dengan orang lain. berapa lama kau nak bercinta dan putus cinta ni? Pening akak,” Leter Kak Khadijah.
Nasrul tersengih-sengih. Dia tidak punya jawapan untuk soalan-soalan tersebut kerana dia sendiri tidak tahu apa yang dicarinya. Hatinya mudah terpikat pada yang cantik dan seksi. Apabila bersama barulah dia tahu kecantikan dan keseksian itu adalah keindahan luaran semata-mata. Banyak perkara yang kureng enak di pandangan matanya terserlah menjadikan dia mula tawar hati. Suka yang berputik di hati mulai sirna dan tanpa menunggu lama baik diucapkan babai.
“Kalau aku dapat macam Aimi tu kak, confirm kau akan dapat adik ipar,” Ucap Nasrul tanpa berfikir.
Seketika dia terkenangkan Aimi. Comel dan manis. Tetapi wajahnya muram tak berseri. Kasihan. Siapalah lelaki yang tak tahu menilai kaca dan permata ini? Aku pasti suatu hari nanti dia akan menyesal mengecewakan Aimi.
“Kak Jah pun berkenan dengan si Aimi tu. Tapi kalau kau nak kat dia lepas tu tinggalkan dia, baik tak payah.” Tegas kak Khatijah.
Nasrul tersengih-sengih. Amboi kak jah ni, ambil berat nampak kat Aimi ni, padahal aku ni adiknya, bukan budak tu, rungut hatinya.
“Aku kata kalaulah. Tapi jika betul, apa salahnya. Aku bukan nak mainkan dia. Aku nak pinang dia terus.” Nasrul berkata dengan yakin.
Kak Khadijah menjeling. Malas mahu melayan kerana dia tahu sangat perangai adiknya yang cepat jatuh cinta dan cepat pula lafazkan talak cinta.
“Sudah-sudah Nasrul. Kau tu bukannya budak-budak lagi nak bercinta cintun ni. Baik cari gadis yang elok-elok buat isteri. Hidup pun terurus, fikiran pun tenang. Bukan macam sekarang ni, banyak main-main,” Nasihat Kak Khatijah lagi.
“Kau ni kak, selalu fikir yang bukan-bukan. Aku serius bukan main-main!”

Mini cerpen : Kerna kau 2

"Menangis tidak akan menyelesaikan masalah dik. tetapi menangis digalakkan untuk melepaskan perasaan sedih dan hiba. Tetapi jangan keterlaluan. Jangan menangis beriya-iya kerana insan lain. Tetapi menangislah kerana takutkan Allah s.w.t. Menangislah kerana menyesali dosa-dosa kita lakukan selama ini." Kata-kata nasihat itu diluahkan oleh seorang wanita bersuara lembut yang menegurnya tadi. Dia telah mengambil tempat di sisinya.

Aimi diam. Kekecewaan dan kesedihan masih lagi bersesak di dalam hatinya. Membuatkan dia tidak mampu bersuara. Dia takut, bukan suara yang keluar tetapi tangisan sayu.

"Manusia dengan kesedihan tidak dapat dipisahkan. Sedih dan kecewa itu perlu untuk mematangkan diri. membuatkan diri lebih cekal meniti kehidupan. Jangan terlalu bersedih dik. Tak elok." Nasihatnya.

"Hmmm... Sakit hati saya ni kak. Saya langsung tak pernah terfikir selama ini dia hanya berpura-pura cintakan saya sedangkan saya sangat-sangat sayangkan dia," Dalam sendu Aimi meluahkan rasanya.

"Sabar dik. Itu tandanya Allah s.w.t sayangkan adik. Dia menguji adik dalam bentuk putus cinta ini supaya adik jangan terlalu menyayangi seseorang melebihi sayangnya adik pada-NYA. Sebenarnya dugaan yang diberikan ini, adik mampu menghadapinya sebab DIA takkan pilih adik dengan ujian sebegini jika adik tak mampu mengatasinya," Nasihat wanita itu lagi.

"Tapi kak, saya rasa sakit sangat. macam nak mati." Aimi teresak-esak.

"Astaqfirullahal azim... Mengucap dik. ingat pada Allah. Ingat DIA yang Maha Menyayangi. Kasih sayang sesama makhluk ini hanya secebis kasih sayang yang diberikan. Padahal kasih sayang tak terjangkau dek fikiran kita. Jangan diikutkan hati sangat."

Air mata masih lagi laju membasahi pipi Aimi. Walaupun dia cuba bertahan dan menahan tangisan itu.

"Sudahlah dik. jom ikut akak balik. tak elok duduk di sini lama-lama," Ajak wanita itu sambil mendorong Aim bangun mengikutinya.

Mini cerpen : Kerna kau 1

psst.. saya tahu ramai yang dok tunggu cerita barukan.. ramai yang mengharap sambungan dari e-novel sayakan? Maaf ya.. tak de sambungan lagi.. tapi saya tulis cerita baru...mini novel je n akan habis di sini.. pendek dan ada beberapa episod kat blog ni.

Kecewa itu perlu untuk mematangkan diri dan mencekalkan hati menempuhi liku-liku hidup. Pernah dengar tak ungkapan ini... " Sebelum kita jumpa mr right, kita pasti berjumpa dengan orang yang salah dulu. bukan berkali malah berkali-kali.. percayalah kasih sayang Allah s.w.t itu terlalu banyak untuk kita dan pastinya DIA mahukan yang terbaik untuk kita. Jangan putus asa dan sentiasalah memuji dan mengingatinya.


"Kenapa menangis?" Satu suara lembut menyapanya.

Pantas Aimi menoleh dan pantas juga tangannya menyapu butiran air mata yang tidak berhenti mengalir sejak tadi. Sejak lelaki itu memberikan kata putus, hubungan mereka ternoktah di sini. lelaki yang disandarkan harapan agar memberikannya perlindungan dan kebahagiaan di masa depan. Namun tanpa sebarang riak dan alasan yang kukuh, dia memutuskan perhubungan yang telah menjangkau lima tahun ini. Nyilunya terasa di hati, hampir-hampir membuatnya hilang  arah.

Aimi terdiam. Namun sesiapa pun dapat mengesan bahunya masih lagi terhingguk-hingguk menahan tangis. Dia cuba sedaya upaya menahan diri dari menangis lagi. Pertemuan itu tidak pernah diduga akan berakhir dengan perit begini. Ia langsung tidak terjangkau dek fikirannya. Sangkanya mereka bahagia. Sangkanya lagi percintaan mereka telah ditakdirkan ternoktah di dalam ikatan perkahwinan bukannya berakhir dengan perpisahan yang tragis ini. 

Semalam, hatinya girang. Hampir dua bulan tidak berjumpa kerana dek kesibukan dan jarak yang memisahkan, pertemuan ini amat ditunggu-tunggu olehnya. Sudah dikarang banyak cerita di dalam hati dan ingin diceritakan kepada kekasih hati, namun belum sempat dia berbicara dan belum sempat dia membetulkan duduknya, kekasihnya melafazkan salam perpisahan.

"Selama ini saya cuba sedaya upaya menyayangi awak tapi cinta itu langsung tidak sampai di hati. Selama ini saya cuba meletakkan awak teratas di hati saya, namun tak pernah berjaya. Jadi, saya rasa setakat ini saja perhubungan kita. Lagi lama kita bersama semakin lama hati saya menderita. dan saya tak mahu awak juga menderita kerananya. Aimi.. awak baik. Terlalu baik, tapi awak tak pernah berada di dalam hati saya"

Usai berkata, dia melangkah pergi meninggalkan Aimi mencerna maksud di sebalik kata-katanya. terasa masa berhenti berdetik, suara alam serta merta sunyi. Aimi terduduk di situ. Tanpa sedar air matanya menitis, esakan mula kedengaran memecah kesunyian taman yang damai ini. Orang yang lalu lalang di hadapannya sesekali menoleh, namun tiada siapa pun yang mahu menegurnya. Biarkan. Hatinya luka. Jiwanya merana.

*******