Mini cerpen : Kerana suaranya, aku jatuh cinta .. 2


Suhaila senyum-senyum setelah meletakkan gagang telefon. Dijeling Nissa di sebelah.

‘Nissa.. Nissa...’ senyuman masih lagi menghiasi bibirnya.

“Apa kak Sue ni.. senyum sorang-sorang. Tadi Pak we telefon ajak dating ek?” Soal Khairunissa bernada usikan.

Suhaila mencebik.

“Tak ada maknanya berdating jika kat rumah berderet tiga orang sedang menanti….”

‘Orang tu tanyakan awak…’ kata-kata itu hanya bergema di dalam hatinya sahaja. Teringat bagaimana si pemanggil tadi merisik tentang diri Nissa. Rasanya tak lama sangatlah si Nissa ni kerja di sini. Siapa yang tidak tertarik dan terpikat dengan wajah comel yang murah dengan senyuman ini. Sudahlah peramah, budi bahasa pun tinggi. Walaupun mereka baru bekerja bersama dalam beberapa minggu sahaja, Suhaila amat menyenangi dan menyukai keperibadian Nissa. Orangnya sentiasa merendah diri dan pergaulannya terjaga.

“Nissa orang susah kak. Mak sakit, ayah pun dah tak ada. Jika Nissa tak kerja siapa yang nak bagi makan minum kat mak dan adik.” Pernah Nissa bercerita serba sedikit mengenai dirinya ketika hari pertamanya dulu.

“Nissa kan boleh minta bantuan Zakat?  Bantuan biasiswa pun banyak boleh minta. Cubalah. Takkanlah Nissa tak teringin nak sambung belajar lagi. Nissa muda lagi.”

“Dapat juga bantuan Zakat tu tapi berapalah sangat dapat. Setakat lepas beli ubat mak je. Keinginan belajar lagi tu ada.. memang ada tapi bagi Nissa, pelajaran adik-adik lebih penting. Mak juga perlukan perhatian dan jagaan Nissa juga. Jika Nissa sambung belajar siapa yang akan jaga dia nanti.”

Dalam diam Suhaila memerhati Nissa yang sedang mengemaskini data di dalam computer di hadapannya. Tekun dia membuat kerja. Jika dia ada adik lelaki yang solo lagi, nak juga dipasang-pasangkan dengan Nissa ni. Mesti berseri rumah orang tuanya dengan kehadiran Nissa yang ceria. Walaupun susah Nissa tidak pernah mengeluh.

“Sedap Nissa masak… rasa nak lagi,” Pujinya ketika merasa bekal yang di bawa oleh Nissa.

“Sedap apanya kak. Gulai ikan kering dengan nenas dan telur dadar je. Tak ada istimewanya sangat,” jawab Nissa.

“Walaupun tak istimewa, tapi rasanya sangat sedap. Akak yang tak biasa makan gulai ikan kering ni pun boleh suka. Apa lagi yang dah suka,”
“Akak ni kan.. ada-ada je.” Cebik Nissa apabila tak tahu hendak membalas kata lagi. Dia segan apabila orang asyik memujinya sedangkan dia bukan sesiapa pun. Malah skill memasaknya pun tak sehandal mana.



Psst.. full cerpen ni saya upload kat ilham.. Dah lama tak buat cerpen ni... Untuk pengetahuan semua, salah sebuah cerpen yang saya upload diilham terpilih untuk antologi cerpen ilham yang akan dilancarkan di PBAKL nanti.. Nak tahu yang mana? Haaa.... jom-jom baca kat Ilham.. :) nanti tahulaa .....


Tiada ulasan:

Catat Ulasan