Tunggu Awak datang - Bab 1





“Kau rasa hidup kau lebih baik apabila belajar di sana?” Soal Johan sambil menepuk bahu Aazad.

Aazad terdiam. Johan memerhati keadaan sekeliling. Kuala Lumpur International Airport sentiasa dipenuhi oleh orang ramai. Pintu masuk utama negara ini tidak pernah sunyi dengan kehadiran pelancong asing. Sebagai sebuah negara membangun yang berwawasan menjadi negara maju pada tahun 2020 ini, Malaysia semakin mendapat tempat di hati pelancong asing sebagai salah sebuah destinasi yang wajib dilawati. Keamanan, kemakmuran masyarakat yang berbilang kaum ini menarik minat pelancong berkunjung ke negara ini. Jadi, sebagai anak Malaysia, Aazad sepatutnya berbangga dan bersyukur menjadi rakyat Malaysia.

Namun sebaliknya, tanahair sendiri dianggap sebagai tempat musuh. Padahal, baginya jika hujan emas di negara orang, adalah lebih baik hujan batu di negara sendiri. Sebab, walaupun seburuk manapun tanggapan terhadap negara sendiri, sebenarnya ia adalah lambang keperibadian diri kita sebagai warganya. Sepatutnya sebagai rakyatnya kita patut berbangga.dilahirkan di negara ini. Itulah pendapatnya. Semangat cintakan tanahair telah tertanam di dalam hatinya semenjak dia tahu erti kemerdekaan dan asal usulnya. Namun begitu, sebagai seorang sahabat tentunya dia mahu Aazad bahagia dan gembira. Jadi, walaupun hatinya tidak menyokong keputusan Aazad yang dianggapnya kebudak-budakan, dia tetap hari ini memberi sokongan. Dia mahu Aazad berubah dan lebih menghargai apa yang dimilikinya. Jika benar, di sana nanti kegembiraan dapat dikecapinya, dia tidak akan sekali-kali mempersoalkannya.

“Aku tak ada sesiapa pun lagi di sini, sudah sampai masanya aku berdikari tanpa menyusahkan pak cik Bad. Lagipun apa yang tinggal di sini melainkan kepahitan dan kesedihan.”

Johan geleng kepala. Semenjak Aazad kehilangan kedua orang tuanya, sikap pasifnya semakin teruk, seolah-olah dunianya telah berakhir. Berbagai cara telah digunakan untuk mengembalikan semangat dan kegembiraan sahabatnya itu, namun tidak berjaya.

“Kau yang tak nak berusaha mengubah sikap kau, sentiasa melihat dari sudut negatif, padahal jika kau buka mata luas-luas, aku yakin kau akan lebih bahagia.”

“Kau tak faham Johan, aku mahu menjadi diri aku sendiri. Di sini aku terbelenggu dan tiada kebebasan. Orang memandang sinis keadaan aku. Aku tertekan!”

Johan geleng kepala. Cukup tidak faham dengan apa yang Aazad fikirkan.

“Siapa yang pandang sinis? Cakap! Nanti aku pergi belasah orang tu,” ucap Johan geram.

Segaris senyuman terukir di bibir Aazad. ‘Johan, kau memang sahabat baik. Sentiasa berusaha gembirakan hati aku ni. Tapi sampai bila kau akan menjadi sahabatku? Kau tidak faham perasaan aku dan sayangnya aku pada kau. Kau juga menjadi salah satu sebab mengapa aku ingin pergi dari sini. Aku tidak sanggup melihat wajah kau yang penuh dengan kebencian setelah tahu perasaan aku yang sebenarnya,’ Monolog Aazad.

“Ada ke masyarakat kita memandang lelaki macam aku ni? Semua tengok aku seolah-olah aku ni jijik sangat sedangkan aku tak pernah mengada-ngadakannya. Ia naluri semulajadi. Bukan sengaja dicipta.” Keluh Aazad. Dia bukan lembik tetapi sedikit lembut tingkah lakunya. Tidak pandai melawan dan selalunya menyendiri.

“Aku faham Zad, kau kena kuat dan buktikan pada mereka yang memandang rendah itu bahawa kau sebenarnya lelaki normal,” Pujuk Johan.

Aazad ketawa kecil. “Jika apa yang mereka lihat dan kata itu betul. Kau nak kawan dengan aku lagi ke?” Soal Aazad tanpa dirancang. Ingin juga dia mengetahui isi hati Johan yang sebenar.

Selama ini Johan melayannya tanpa bias. Sentiasa ringan tulang menolong ketika dirinya dalam kesusahan. Dialah yang selalu mempertahankan dirinya apabila dibuli sedangkan dia hanya tunduk dan menerima sindiran dan cacian daripada rakan-rakan mereka. Dia takut mempertahankan diri dan terasa tidak terdaya. Lagipun sejak kecil lagi mama selalu berpesan, jangan bergaduh dan jangan sesekali membalas apa yang orang katakan kepada diri kita kerana itu sifat orang jahat. Mama sentiasa berpesan agar dia pandai membawa diri dan mengelakkan daripada bergaduh. Oleh sebab berpegang teguh kepada pesanan mamalah dia menjadi seorang lelaki berpewatakan lembut dan tidak pandai mempertahankan diri. Nasib baik dikurniakan seorang sahabat seperti Johan.

“Zad, kita kenal hampir lima tahun. Kau ingat tak kali pertama kita berjumpa, ketika itu mama dan papa kau, mak dan ayah aku hantar kita ke asrama. Mama kau siap pesan lagi kat aku supaya layan kau baik-baik. Kawan dengan kau. Sejak hari itu aku pegang amanah mama kau,” Tegas Johan.

“Jika aku kata aku jatuh cinta dengan kau, sanggup kau pegang lagi amanah itu?” Duga Aazad.

Johan menghela nafas. Bukan dia tak faham maksud renungan yang kadang kala sempat ditangkapnya, namun dia buat-buat tidak faham. Dan kini apabila Aazad membangkitkan soal hatinya dia tidak akan mengelak.

“Aku dah lama perasaan. Bagi aku kau tetap kawan baik aku.. Jadi apa pun perasaan kau, itu hak kau. Aku tidak boleh paksa supaya kau rasa apa yang aku nak rasa. Aku sayangkan kau sebagai sahabat dan saudara seagama.”Johan berterus terang.

Segaris senyuman terukir di bibir Aazad apabila mendengar pengakuan itu. Terharu.

“Terima kasih Joe. Kau memang sahabat yang baik. Tapi aku dah bertekad. Aku perlu pergi mencari identiti aku sendiri. Mungkin ya, mungkin tidak, aku akan kembali ke sini lagi.” tekad Aazad. Dia perlukan suasana baru dan tempat baru agar jiwanya kembali bernafas seperti dulu.

Johan diam mendengarnya. Jauh di sudut hati, dia tidak nampak apa perlunya Aazad ke sana. Sedangkan mencari identiti diri, di tanahair sendiri pun boleh. Tak perlu merantau jauh. Tak perlu membawa diri dengan alasan rapuh.

“Pedulikan mereka, jika kau hendak ambil kira apa yang masyarakat kata, lambat laun kau sendiri akan jadi giler. Aku pun jika aku asyik dengar apa yang mereka umpatkan persahabatan kita ini, boleh naik sehh.. Tapi aku tak pernah pedulikan semua itu. Kau sahabat paling baik yang pernah aku kenal. Tidak pernah berkira. Jadi biarkan mereka.” Pujuk Johan tak berputus asa.

“Kau tahu apa yang kawan-kawan kita gossipkan?” Soal Aazad sambil merenung wajah Johan. Johan bertubuh tegap dan menjadi kegilaan pelajar perempuan di sekolah mereka. Tetapi oleh kerana persahabatan mereka, bermacam-macam fitnah dilontarkan dan dia juga dipulaukan. Namun Johan tetap tenang. Manakala dia yang lebih terasa hati. Kasihan Johan.

“Aku tahu dan aku juga tahu perasaan kau terhadap aku sebelum kau mengaku tadi. Tapi bagi aku itu hak kau. Aku tak boleh melarang, tak boleh marah kat kau. Terus terang aku cakap, aku sayangkan kau sebagai seorang sahabat. Perasaan itu tak pernah berubah walaupun apa orang nak kata. Aku yakin dengan keikhlasan dan ketulusan dalam persahabatan akan mendiamkan mulut orang dan cerita itu lama kelamaan akan lenyap dengan sendirinya.”

Aazad diam. Johan memang seorang sahabat yang baik. Tapi hatinya telah bertekad. Tanahair perlu ditinggalkan buat sementara waktu. Di sini ada banyak kenangan duka. Hatinya tidak kuat melawan rindu buat kedua orang tuanya. Di matanya masih lagi terbayang-bayang senyuman manis mamanya ketika kali terakhir pertemuan mereka. Usapan lembut mama masih terasa hangat. Tidurnya selalu terganggu dek kerinduan kepada mereka. Jadi mungkin dengan pergi jauh buat seketika mampu mengubati kesedihan hati. Lagipun takkan selamanya dia perlu bergantung harap kepada Encik Badrul dan juga Johan walaupun dia tahu keduanya tidak akan mengetepikan dirinya. Akan sentiasa bersama ketika dia menghadapi kesukaran.

Walaupun nalurinya ke arah kewanitaan, namun ego seorang lelaki tetap utuh di dalam hati. Dia perlu perkukuhkan keyakinan diri. Mungkin di sana, negara yang mengamalkan konsep kebebasan berfikir ini akan memberi inspirasi baru di dalam hidupnya. Mungkin juga dia mampu menerima takdir kehilangan itu dengan penuh redha. Lagipun bukan selamanya dia menetap di sana, sampai masa, dia pasti kembali.

Aazad tersenyum.

“Terima kasih Joe. Tapi aku tetap dengan pendirian aku. Aku pergi mencari identiti diri dan mengubat kedukaan. Doakan semoga aku sentiasa berada di bawah perlindungan-Nya.” Lontar Aazad.

Johan terdiam, dipandang Encik Badrul yang semakin mendekati mereka. Usahanya telah menemui jalan buntu. Buat ketika ini Johan mengalah, namun di dalam hati dia sentiasa berdoa agar sahabatnya tidak memilih jalan yang salah. Kehidupan di sana terlalu bebas. Dia takut jika suatu hati nanti Aazad sudah tidak menemui jalan pulang.

Encik Badrul memandang wajah Johan. Perlahan-lahan Johan geleng kepala menunjukkan dia gagal memujuk Aazad.



******

Tiada ulasan:

Catat Ulasan