Tunggu Awak Datang -bab 10


Perbualan ditamatkan dan Johan memandang wajah manis Rania.
“Aazad dah jumpa semula dengan Fiya,”beritahunya. Rancangan spontan di Pulau Perhentian dulu juga telah diceritakan sepenuhnya.
“Bagaimana dia jumpa?” Soal Rania ingin tahu.
“Aazad nampak Auni melepak di taman KLCC tu,” jelas Johan.
Rania terdiam. Dia tahu Fiya suka melepak di sana. Hujung minggu jika tiada aktiviti lain, di situlah Auni akan menghabiskan masa. Hobinya selain membaca adalah menjadi pemerhati tingkah laku orang ramai. Pernah dia bertanya apa yang dia suka sangat tengok orang ni.
Fiya akan menjawab, kelakar mereka ni, macam-macam ragam dan pakaian yang dipakai pula pelik-pelik. Lagi kelakar bila hendak bergambar, macam-macam possing yang mereka lakukan. Paling kelakar, pelancong Jepun ataupun Korea yang berusia pertengahan umur, akan berdiri tegak seperti lagu kebangsaan negara mereka sedang dimainkan. Tidak bergerak langsung sehinggalah jurugambar berkata ok,selesai.
"Abang yakin ke, apa yang abang buat tidak akan menyakitinya?" Soal Rania gusar.
Rancangan tanpa dirancang itu sedang berjalan. Rania memandang suaminya dengan seribu kerisauan. Fiya adalah sahabat baiknya dan amat disayangi. Perhubungan mereka kian erat apabila dia berkahwin dengan Johan. Melihat Fiya bahagia juga merupakan impiannya. Tapi… dia tidak yakin dengan rancangan spontan suaminya. Risikonya amat besar. Bagaimana jika Fiya mengetahui siapa Aazad yang sebenarnya? Kisah disebalik pertemuan itu? Adakah dia akan menerima dengan hati terbuka atau menyalahkan mereka?
“Tapi bang.. Aazad tu kan..” Rania tidak sanggup menghabiskan kata-katanya.
“Abang tahu sayang. Abang faham. Abang pun sayangkan Fiya dan abang juga sayangkan sahabat abang tu. Auni calon terbaik,”
“Tapi bang….” Pantas jari telunjuk diletakkan di bibir Rania.
Kata-kata suaminya tidak dapat memuaskan hatinya. Masih banyak keraguan dan persoalan di dalam hatinya. Jika boleh dia mahu suaminya menarik balik cabaran itu dan menjauhkan Fiya dengan Aazad. Mereka tidak padan dan tidak sesuai langsung. Fiya terlalu baik untuk lelaki seperti Aazad. Fiya berhak mendapat lelaki yang lebih baik. Johan menarik rapat tubuh isterinya sambil mengusap pipi isterinya.
"Tapi hati wanita ni sensitif. Bagaimana jika sepupu abang tu tahu yang abang mempergunakan dia, tidak ke jadi musuh nanti?" Rania menyoal lagi.
Johan tidak menjawab. Dia tersenyum. Dia bangga dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh isterinya terhadap Fiya. Persahabatan mereka terus terjalin erat dan saling mengambil berat. Ibarat persahabatannya dengan Aazad. Kerana sayangkan sahabatlah dia bertindak mencabar Aazad memikat Auni.
 Kemungkinan dikecewakan dan menderita itu, sebenarnya telah terlintas di dalam sanubarinya tetapi perasaan ingin melihat kawan baiknya ketika zaman sekolah itu berubah lebih kuat menyebabkan dia bertawakal dan berdoa agar tindakan ini memberi impak positif buat mereka berdua. Keraguan yang timbul dikambus dengan doa agar diri Aazad berubah. Doa dipanjatkan disetiap hujung solatnya apabila mengetahui siapa Aazad yang sebenarnya.
Baginya, Aazad tidak salah apabila mempunyai perasaan itu. Dia mangsa keadaan dan kekecelaruan di dalam jiwanya. Dia seorang yang baik dan pemurah. Sanggup menolong orang lain walaupun tidak kenal. Sentiasa bermurah hati menderma kepada badan-badan kebajikan dan amal. Namun satu sahaja kekurangannya, hati dan jiwanya bukan kepada wanita tetapi sebaliknya.
“Aazad tu boleh berubah ke bang?” Soal Rania lagi.
“InsyaAllah…”
“Hisy.. Abang pun tak yakin dia akan berubah kenapa cabar dia pikat sepupu abang tu? Jika dia terjatuh cinta bagaimana? Abang nak bertanggungjawab ke di atas penderitaannya?” Soal Rania bertalu-talu. Dia mahu melindungi Fiya daripada disakiti. Dia mahu Fiya bahagia sebagaimana dia berbahagia bersama Johan sekarang.
Mata Johan terus memanah ke dalam mata isterinya, membuatkan Rania terkedu.
“Bukan abang tak yakin. Rania jangan silap faham penggunaan perkataan InsyaAllah itu. InsyaAllah bermaksud dengan izin Allah s.w.t. Jadi apabila kita melafazkan perkataan insyaAllah ini maka kita perlu berusaha menunaikannya, bukannya tidak yakin atau tidak akan menunaikannya. Allah s.w.t telah menegaskan di dalam Al-Quran surah Al-Kahfi ayat 23 dan 24 bermaksud Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu : 'Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini besok pagi, kecuali dengan menyebut (Insya Allah).' Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah : 'Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya dari pada ini”
“InsyaAllah... Abang yakin dengan izin Allah s.w.t Aazad akan berubah. Cabaran itu abang jadikan penggerak untuk menyedarkan Aazad, menyelami isi hatinya yang paling dalam dan membawanya kepada Nur Ilahi.” Johan menyedarkan isterinya yang berfikiran skeptikal itu.
Rania terdiam, tahu dia salah beranggapan begitu namun hatinya masih berdegil. Fiya sahabat baiknya yang kini menjadi saudara rapatnya apabila dia berkahwin dengan Johan. Jadi bahagia atau deritanya, tempiasnya akan dirasai juga. 
“Abang, Aazad tu hensem, badannya tegap dan pendek kata menjadi igauan buat sekian wanitalah. Tapi kenapa dia ada nafsu pelik tu? Rasanya jika dia nak pikat ratu cantik pun akan dilayan…” Rania menyoal lagi.
Johan tersenyum sambil angkat bahu.
“Mungkin itu ujian dari Allah s.w.t. Apa sebab dan penyebabnya hanya Aazad sendiri yang tahu. Kita tidak boleh membuat kesimpulan dan menghukum dia dengan hanya melihat luaran sahaja. Macam abang pernah cakap, Aazad sahabat baik abang ketika zaman sekolah. Dia baik, pemurah dan tidak lokek dengan kelebihan dia ada. Dia tidak pernah menggunakan kesempatan untuk kepentingan dirinya. Cuma satu je, dia kalah dalam melawan nafsunya.”
“Abang yakin, di saat dirinya mula diterangi oleh Nur Ilahi segalanya pasti akan diatasi.”
“Eeei… geramnya..” Rania mengetap gigi sambil jemarinya mencubit pipi suaminya.
“Yang.. yang.. adui…”
“Kenapa tetiba je cubit pipi abang ni, tahulah geramkan pipi abang ni” Adu Johan sambil mengusap pipi sendiri. Bukannya sakit sangat.
“Saja nak uji abang, masih dengan saya atau kenangan manis di zaman sekolah dulu.”
Johan tersengih-sengih apabila Rania menolak badannya.
“Sayang doktor kan? Apa kata, cuba sayang fikir kenapa dia boleh ada perasaan itu dari sudut sains?” Soal Johan pula.
Sebagai seorang islam, dia tahu gay atau homoseksual ini haram di dalam islam. Perlakuan luar tabii ini adalah penyebab utama kaum nabi Luth a.s ditimpa bencana. Manusia dijadikan sebaik-baik kejadian. Dicipta oleh Allah s.w.t berpasang-pasangan. Bukan sahaja manusia tetapi juga makhluk lain yang diciptakan-Nya berpasang-pasangan. Jadi kenapa manusia yang dikurniakan akal ini hidup menentang asas kejadian ini? Pasti ada penyebabnya. Dia bukanlah seorang yang pandai menghukum dan dia juga bukan manusia sempurna. Oleh sebab itu dia berusaha memahami kenapa Aazad boleh terjebak di dalam homoseksual ini sedangkan dia seorang yang sempurna di mata masyarakat.
Rania terdiam dan berfikir.
"Saya risaulah. Fiya tu kawan saya, nampak je lembut tetapi keras kepalanya tak ada siapa boleh lawan." Luah Rania.
"Sebab tahu tentang sikap Fiya itulah abang rasa dialah orang yang paling tepat menjadi penyebab kawan abang tu berubah," tegas  Johan dengan penuh yakin.
"Tapi masalahnya kawan abang tu tak suka kat perempuan." Rania masih lagi mempertahankan pendapatnya.
Johan beralih duduk. Jika tadi lengannya melingkari bahu isterinya, kini dia menyelesakan diri dengan bersandar di sofa. Rania juga berganjak dan menyandarkan tubuh kecilnya di sisi suaminya. Rancangan 999 sudah tidak diberi tumpuan. Dia lebih tertarik dengan cerita yang disampaikan oleh suaminya.

"Untuk berubah ni memang susah. Apatah lagi berubah dari sifat semulajadi kita, lebih-lebih lagi perkara itu disukai oleh syaitan. Berubah menjadi baik ni, dugaannya lebih banyak. Sebab itu kita kena berdoa agar kawan abang tu terbuka hati untuk berubah. Auni abang jadikan pemangkin kepada perubahan Aazad nanti."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan