Tunggu Awak Datang - Bab 11







Hari minggu muncul lagi. Auni dengan rutin hujung minggunya, melepak di Taman Petronas. Ada ketika dia teringatkan lelaki bernama Aazad yang ditemui minggu lepas. Hatinya pantas berteka teki sendiri. Mungkinkah Aazad datang bertemu dengannya lagi? Atau mungkinkah lelaki itu sudah melupakan pertemuan singkat mereka minggu lepas? ‘Lelaki kacak sepertinya manakan hendak memberi perhatian lebih pada gadis sederhana sepertinya. Jangan mimpi di siang harilah Auni, dia takkan terhegeh-hegeh jumpa kau lagi,’ akan ditemui juga hari ini.


Walaupun begitu, ada secebis rasa mengharap pertemuan kedua. Namun begitu hatinya tetap berdolak dalik, berhempas pulas memberikan alasan demi alasan. Lelaki sepertinya kebangkali memandangnya dengan rasa indah itu nipis sangat. Mungkin tak sampai tiga puluh peratus pun. Jadi jangan berharap dan jangan memasang angan-angan yang tinggi melangit.


Minggu lepas tu hanya kebetulan dan mungkin dia ditinggalkan oleh temannya membuatkan dia mengambil angin di teman ini. Dan terpandang pula dirinya sendirian. Dari berjalan sendirian, lebih baik berteman. Itu sebabnya dia menyapa. Hati Auni terus dengan andaian bernasnya. Lagipun kita perlu ukur baju di badan sendiri Auni, kita bukan cantik pun, tak sepadan untuk bergandingan dengannya. Kenalah sedar diri.


Siapa yang mahukan dia sebagai teman, apatah lagi mengangkat sedarjat sebagai teman teristimewa. Dia? Teman setianya adalah buku-buku. Sejak dulu lagi, bertahun dulu. Auni termenung seketika, ada senyuman tercetus, cepat-cepat dihilangkan. Tak habis-habis beranganlah aku ni, desisnya.


Ah lupakan. Anggap sahaja sebagai kenalan biasa yang hadir dan pergi di dalam kehidupan ini. Hari ini Auni merancang mahu membeli sehelai dua baju kurung. Telah lama dia tidak membeli baju. Yang berada di dalam simpanannya, yang paling baru 5 bulan lepas. Sempena memulakan kerja ditempat baru, wajarlah dia membeli baju baru. Lagi pun memang patut pun dibeli baju baru. Oleh itu, selepas ini destinasinya adalah pasar malam di Jalan TAR itu. Tentu banyak pilihan untuknya pilih. Harga pula murah.


Setelah siap berkemas buku yang ingin dibawanya, dia melangkah ke arah pintu. Di kunci dan dimanggakan gril rumah. Setelah berpuas hati dia melangkah pergi. Hari ini dia akan membawa kereta sampai ke Stesyen LRT Bandar Tasik Selatan. Kebiasaannya dia lebih suka menaiki bas menuju ke sana. Oleh kerana mungkin dia akan lewat balik hari ini, takut bas pula tidak ada, maka lebih selamat dia membawa kereta. Senang begitu, tidaklah dia menambahkan kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur ini.


Auni mengambil tempatnya seperti biasa. Berdekatan dengan kolam air. Dibelakangnya pula kelihatan tempat kanak-kanak bermain. Terdengar jerit pekik kanak-kanak yang seronok bermain. Tidak kira mereka kenal atau tidak, mereka boleh terus menjadi kawan. Bukan memilih kawan seperti orang-orang dewasa. Yang penting mereka ingin bermain apa yang mereka suka. Senangkan menjadi kanak-kanak ini, tak suka menangis, suka ketawa riang. Bukan seperti dunia orang dewasa yang kadang kala sukar untuk diduga. Kadang kala teruji dengan pilihan yang menjadi dilema.


Dalam menungan itu, Auni teringat Hasif, lelaki yang disukai dalam diam. Kerana inginkan Hasif perasaan kewujudannya, Auni berubah cara pemakaiannya. Dia mula pandai bergaya walaupun kekok. Dia cuba mengubah sikapnya yang pendiam supaya menjadi lebih peramah. Dia mula aktif menyertai kelab-kelab dan persatuan yang disertai oleh Hasif.


Dalam tidak sedar Auni menyebut nama Hasif. Pertama kali memandang, hatinya jatuh tergolek, padahal dia bukanlah senang-senang jatuh hati. Kejernihan wajahnya dan bibir sentiasa tersenyum membuatkan dirinya menyimpan angan-angan ingin menjadi teman paling rapat dengan lelaki itu. Sebenarnya bukan dia seorang yang memuja Hasif di dalam diam, bahkan ramai. Sebab itulah Hasif boleh kelihatan tenang dan melayan mereka-mereka yang ingin berkenalan tanpa bias.


Usahanya ternyata berhasil. Dia dan Hasif mula berkawan baik. Auni cuba tidak menonjolkan sangat perasaannya. Dipujuk hati, menjadi salah seorang teman rapat Hasif sudah menjadi satu kemujuran yang calang-calang orang mendapatnya. Oleh sebab itu, dia lebih suka berhubung menerusi sms sahaja dengan Hasif. Bukan mencari peluang menempel di sebelah lelaki itu. Cuma kadang-kala sahaja meminta Hasif memberi tunjuk ajar di dala subjek yang sukar kerana Hasif adalah senior satu semester walaupun usia mereka sebaya.


“Apakah ciri-ciri gadis idaman awak?” Soalnya ketika mereka sedang melangkah pulang ke kolej. Auni perasan Hasif memandangnya sekilas sebelum menjawab.


“Kenapa awak nak tahu?” Soal Hasif pula.


“Saja... sebab saya tengok awak tak melayan lebih-lebih pun mereka yang ingin menjadi teman wanita awak”


Hasif kelihatan menahan senyum.


“Salahkah kalau saya tak melayan lebih-lebih. Layanan yang saya berikan rasanya sudah berlebihan Auni. Tak elok pergaulan terlalu mesra sehingga mengundang rasa di dalam hati seseorang dan kita tahu kita tidak mampu memberikan apa yang mereka harapkan. Jadi setiap persahabatan itu perlu ada batasan Auni” Terang Hasif tenang.


“Hmmm... awak tak jawab soalan saya tadi Hasif” Auni bertanya lagi.


“Entah saya pun tak tahu tetapi saya menyenang seorang wanita yang bersederhana di dalam pemakaiannya, tidak terlalu menonjol dan tidak juga terlalu nampak kolot. Sedang-sedang je kot”


“Itu je?” Soal Auni lagi. Jadinya perubahan yang aku lakukan selama ini sia-sia je, keluh hati kecilnya ketika itu.


“Sikap dan sifatnya pula?” Auni tidak berpuas hati. Takkanlah Hasif tidak ada ciri-ciri khusus yang disukainya”


“Tentunya bagi seorang lelaki mengimpikan seorang gadis yang lemah lembut, sopan santun, berakhlak baik, tahu agama serba sedikit dan paling penting pandai mengambil hati orang tua” Jelas Hasif dengan lebih jelas.


Auni mengangguk-angguk. Koman... ciri-ciri begitu memang menjadi trade mark lelaki baik seperti Hasif ni, bisik hati Auni lagi.


“Kenapa awak tanya? Awak nak jadi teman wanita sayakah?” Soal cepumas tiba-tiba muncul di bibir Hasif, menjadikan wajah Auni merona merah.


Sejak itu dia menjauhkan diri dari Hasif. Segan sebab Hasif bagaikan dapat meneka isi hatinya. oleh itu dia mula mengelak dari bertemu dengan Hasif. Tidak lagi dia rajin menghantar SMS kepada Hasif. Ada juga Hasif menghantar SMS kepada bertanya khabar, dilayan seadanya. Dia kembali menjadi dirinya yang asal. Tamat pengajian mereka langsung tidak bertemu, nombor telefonnya juga telah ditukar. Walaupun begitu sesekali hatinya teringatkan Hasif. Itulah kali pertama dia merasa begitu, sedangkan selama ini tidak ada orang yang boleh memberi kesan sebegitu dihatinya.


Dan dia sendiri tidak mengerti mengapa dia bertindak menjauhkan diri sedangkan peluangnya menjadi seseorang yang istimewa di sisi Hasif terbuka luas. Huh ada jugak bab bodohnya dirinya ya. Kerana pertanyaan Hasif itu dia bertindak melarikan diri, padahal kalau diikutkan pertanyaan itu tidak bermaksud apa-apa. Normallah Hasif bertanya begitu kerana dia yang memulakan dulu, pertanyaan-pertanyaan sensitif itu. Jadi tak patutlah dia merasa malukan? Hmmm segalanya telah terlambat. Hasif hilang entah ke mana. Mungkin kini telah pun berkahwin dan mempunyai anak-anak yang comel.


“Assalamualaikum” suatu suara memberi salam.


Diangkatkan kepalanya. Tertangkap di kornea matanya figura seorang lelaki. Auni cuba-cuba mengingati wajah lelaki di hadapannya. kenapa pula dia ternampak Hasif yang sedang tersenyum. Dalam tengah mengingatinya, dia telah muncul di hadapan mata. Ewah hebat ni mcam tahu –tahu saja ada hati yang sedang merindu. Auni memejam mata seketika sambil menarik nafas panjang. Dia masih lagi keliru. Betul ke tak betul. Takut pula hendak membuka mata. Tapi takkanlah hendak tutup mata lama-lama pula. Jadi perlahan-lahan dia membuka matanya. Oooh.. lelaki minggu lepas. Bukan Hasif, aku je yang mamai. Terlebih-lebih aksi pula sedangkan Hasif entah di hujung dunia mana. Lalu perlahan-lahan Auni menarik sebuah senyuman.


“Waalaikumussalam” Usai menjawab salam lelaki itu telah mengambil tempat di sisinya.


Jumpa lagi, ingatkan pertemuan minggu lepas setakat pertemuan biasa. Perkenalan biasa yang tidak memberi kesan kepada dirinya dan lelaki ini. Namun tanggapannya salah. Aazad tanpa segan telah mengambil tempat di sebelahnya bagaikan telah biasa berjumpa dan lama berkawan.


“Nasib baik kita jumpa lagi. Seminggu saya tertunggu-tunggu awak muncul?”


“Kenapa” soal Auni pelik. Takkanlah lelaki sekacak ini mengharapkan pertemuan dengan dirinya. aku bukanlah jenis gadis yang menjadi idaman para pemuda. Aku juga bukanlah tergolong di dalam golongan mudah mesra. Bahkan aku merasakan aku adalah seorang yang sombong dan boleh dikatakan anti lelaki. Tapi bukan anti lelaki jenis songsang ya, sebaliknya jenis yang tidak mudah mesra kerana aku menjadi kehormatan diriku agar sentiasa terletak tinggi. Hanya lelaki yang benar-benar ingin mendampingiku sahaja yang dapat memahaminya, desis hati kecil Auni.


Aazad memberikan senyuman memikat.


“Entah.. Hati saya bagaikan ternanti-nanti awak di sini. Tak puas rasanya berborak minggu lepas. Honestly hati saya telah tertarik dengan awak,” jawabnya jujur.





Auni tergelak kecil. Hairan. Ada juga orang yang tertarik dengannya. Sedangkan dia tidak pernah membuatkan orang tertarik. Ooopps ada dahulu, tika dia berpakaian up to date mengikut perkembangan fesyen terkini. Memang dia buat kerja gila kerana inginkan perhatian dari Hasif. Ketika itu ternyata dia mampu menarik perhatian lelaki –lelaki lain untuk berkenalan dengan dirinya, namun bukan Hasif. Hasif hanya memandangnya dengan pandangan biasa tanpa pesona. Sebab itulah, tidak lama dia berpakaian begitu. Dia merasa rimas dengan keadaan itu. Dia tidak mahu menjadi seperti gula yang dikerumuni oleh semut-semut yang ingin mencuri kemanisannya. Lantas, tanpa sesal, dia bertukar rupa. Menjadi Nur Auni Saffiya yang biasa-biasa. Hasif bukan lagi keutamaannya. Dia menjadi dirinya yang kolot, yang tak bisa didekati. Yang tidak lagi menjadi perhatian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan