Tunggu Awak Datang - Bab 14




“Sila ambil perhatian semua, hari ini kita ada kawan baru di sini”

“Kenalkan ini Nur Auni Saffiya, staff baru bahagian pentadbiran dan sumber manusia.”

“Dia yang akan mengganti kak Yati kita yang telah berhenti. Diharapkan kamu semua dapat memberikan kerjasama dengan beliau nanti” ujar Puan Sharifah Noor seraya pengurus di bahagian pentadbiran dan sumber manusia Suria Corporation.

Dengan memakai baju kurung moden berwarna latar merah terang dihiasi bunga-bunga kecil berwarna putih, dipadankan pula dengan shawl yang dililit kemas, dia tampak anggun dan menarik. Auni menguntum senyuman sambil bersalam dan memperkenalkan dirinya kepada kawan-kawan baru di situ. Mereka mengucapkan selamat datang dan bersikap mesra. Keresahan yang bersarang sejak melangkahkan kaki ke pejabat ini mula menghilang. Keramahan rakan-rakan baru membuatkan Auni mula terasa selesa. Inilah keluarga barunya.

Tidak banyak yang perlu dilakukan hari ini. Selepas diperkenalkan dengan staff di bahagian itu, dia diberi taklimat pula tentang tugasan yang akan dipertanggungjawabkan ke atasnya. tidak banyak perbezaan dengan kerja lamanya. Tetapi kali ini lebih mencabar sedikit kerana di samping itu dia perlu membuat penilaian ke atas pekerja-pekerja Suria Corporation ini sama ada mereka perlukan latihan dan kursus untuk memantapkan kemahiran mereka di dalam bidang mereka. Sebab itulah Auni perlu sentiasa mengemaskinikan laporan bulanan yang diterima daripada setiap jabatan.

Apa-apa cadangan yang dikemukakan oleh ketua jabatan perlu dinilai dan diambil perhatian. Jika ada ketua jabatan mengesyorkan staff mereka perlu menghadiri kursus maka Auni perlu mencari kursus yang dikehendaki daripada mana-mana syarikat yang mengendalikan kursus kemahiran bagi bidang kerja tersebut. Selepas itu dia perlu membuat kertas cadangan kepada pengurus Pentadbiran dan sumber manusia untuk dinilai. Dan jika cadangannya diterima, bolehlah dilaksanakannya.

Oleh sebab ini skop kerja barunya, dia perlu banyak bertanya dan belajar. Bagaimana membuat penilaian dan memastikan kursus yang sesuai untuk para pekerja syarikat ini. Lagipun sebelum ini, di syarikat lamanya dia hanya menguruskan pengiraan dan pembayaran gaji, EPF dan SOCSO sahaja. Ini merupakan cabaran baru bagi Auni. Sangat menarik dan memberikan pengalaman baru buat dirinya untuk terus maju di dalam kerjaya. Bertukar tempat kerja bererti memasuki keluarga baru yang mempunyai peraturannya tersendiri. Setiap syarikat lain dasar dan polisinya tetapi masih berpandukan akta syarikat 1965. Ada syarikat yang dasar polisinya mengikut saja apa yang ditetapkan di dalam akta Syarikat 1965, ada juga yang membuat beberapa perubahan demi yang lebih baik dan memberi banyak manafaat dan kemudahan kepada para pekerjanya.

Syarikat yang menjaga kebajikan para pekerjanya merupakan syarikat yang tidak mementingkan keuntungan semata-mata. Ini memberikan kelebihan kepada syarikat tersebut untuk menjana keuntungan berlipat kali ganda kerana adanya pekerja yang setia dan sanggup berkorban untuk syarikat. Itulah imbuhan yang dinikmati oleh pemilik apabila menjaga kepentingan pekerja. Namun sayang sekali, sikap pemilik berbangsa melayu yang lebih mementingkan keuntungan semata-mata dan mengetepikan hak pekerja mereka apabila syarikat semakin maju. Pekerja ditindas secara halus, hak mereka untuk mendapat bonus, kenaikan gaji, percutian tahunan diketepikan menyebabkan ada di antara mereka berhijrah ke syarikat lain. Ini akan merugikan syarikat, lambat-laun keuntungan yang tinggi semakin menyusut apabila tiada lagi pekerja yang berkebolehan dan dipercayai berkhidmat untuk syarikat. Banyak sebenarnya berlaku begini, lebih-lebih lagi syarikat milikan bumiputera. Jika mereka bersikap telus dan tidak tamak serta lupa diri dengan rezeki yang melimpah itu, Auni yakin orang melayu dapat memonopoli ekonomi negara.

“Hai Auni, asyik nampak, jom makan” ajak satu suara.

Terkejut dengan sapaan itu, terus diangkat kepalanya untuk melihat. Zara ke Sara..huhu lupa lak nama dia. Adoi. Inilah kelemahan Auni. Bab –bab mengingati nama ni dia fail dikit. Tambah pula apabila baru pertama kali berkenalan. Mahu menutupi kelemahan diri, Auni mengukir senyum.

“Hmmm, maaf. Nama apa ek, Zara ke Sara?” soal Auni

“Zara lah.. Isy baru pagi tadi kita berkenalan kan?” ujar Zara yang merupakan salah seorang daripada lima staff dibahagian ini. Paling senior setelah kak Yati berhenti kerja. Dia menguruskan bahagian pengurusan bekalan pejabat. Jadi jika sesiapa ingin mendapatkan komputer, alatulis dan lain-lain peralatan pejabat, perlu berjumpa dengannya. Dialah yang akan menguruskan segala pembelian tersebut.

“Saya ni memang macam tu, nama cepat sangat lupa, lagilah kalau fokus sangat pada kerja. Blurrr sekejap. Lama-lama sikit baru ingat balik, maaf ye” terang Auni.

“Eh..no hallah.. Dahla jom makan, diorang sedang tunggu kita tuh” tunjuk Zara ke arah pintu. Lantas Auni bangun dan mengambil dompetnya.

“Selalunya makan kat mana?” soal Auni sambil melangkah seiringan menuju ke lif.

“kami makan kat foodcourt di Suria KLCC jer. Tak pun kalau ramai orang, tapau dan makan kat pantry” beritahu Zara. Yang lain Cuma menganggukkan kepala sahaja.

Kelihatan ramai juga yang sedang menunggu untuk turun makan. Apabila ada orang yang memandangnya diberikan sebuah senyuman. Maklumlah orang baru, tidak nanti orang kata dia sombong pula. Sementara menanti lif sampai mereka berbual-bual sesame mereka. Secara tak langsung Auni diperkenalkan kepada mereka yang bekerja di tingkat 10, menara KLCC itu.

Sepasang mata memandang Auni dengan rasa tak percaya apa yang dipandangnya. Dia teragak-agak sama ada ingin menegur atau tidak. Jika di hari biasa Auni kelihatan seperti remaja lepasan sekolah, hari ini pula dia kelihatan cantik berbaju kurung dengna olesan mekap nipis. Lalu mata itu terus merenung dirinya. Auni langsung tak menyedari keadaan itu.

Sedang asyik dia mendengar kata-kata kawan sekerjanya itu, matanya terpandang sepasang mata sedang ralit merenungnya. Bibir terus mengukir senyum. Tak sangka pula boleh terjumpa di hari pertamanya di sini. Tentulah Aazad terperanjat melihat dirinya ketika ini. Memang Auni tidak memberitahu tentang pertukaran kerjanya. Untuk apakan? Bukannya penting sangat. Hanya senyuman dari jauh diberikan, hendak bersuara, lif padat dengan orang. Jadinya sekadar dihulurkan sebuah senyuman menyatakan dia perasan tentang kehadiran lelaki itu.

Sampai di lobi bangunan, barulah mereka dapat mendekati antara satu sama lain.

“Auni buat apa kat sini, hmmm hampir tak cam tadi. Cantik” tanya Aazad. Sempat lagi dia memuji. Dengupan jantungnya telah mula bertukar rentak. Mata tidak ingin lepas dari memandangnya. Hatinya berdebar-debar apabila mendengar bicaranya. Kenapa?

“Kerja, hari ini hari pertama saya kerja kat sini” beritahu Auni.

“Really? Tak cakap pun sebelum ini?”

“Dah awak tak tanya.”

Banyak lagi yang ingin ditanyakan oleh Aazad.

“Sorry kacau…Auni nak ikut kitaorang pergi makan ke tak nie?” celah Zara tiba-tiba.

“Makan dengan saya sajalah. Saya belanja” pelawa Aazad.

“Zara, maaf ya, saya ikut kawan saya ini, Aazad kenalkan?”

“siapa tak kenal, hot bachelor kat sini ni,” seloroh Zara.

Aazad tersenyum segaris. Lalu Zara meminta diri untuk menyertai rakan yang lain.

Mata Aazad ralit memerhati. Keanggunan Auni hari ini bagaikan magnet menarik hati dan matanya terus menatap.

‘Kau dah lupa ke pada bet hari tu? Dua puluh ribu beb. Fokus pada apa yang sebenarnya kau kena buat bukan hanyut dalam perasaan asmara kau tu. Ingat kau kena buatkan dia sangkut kat kau, bukan kau yang sangkut kat dia’

“Nak tanya sikit boleh”

“Hah..”Aazad tersedar dari renungannya. Auni tunduk menguis makanan di dalam pinggan. Suasana hening seketika sebelum Aazad bersuara.

“hmmmm, tanyalah.”

Auni menarik nafas. Segan apabila wajah tidak lepas dipandang oleh jejaka di hadapannya. Ada debar di hati namun Auni tidak pasti apa rasanya.

Ketika ini mereka sedang menikmati makan tengah hari. Auni perasan tidak jauh dari tempat mereka makan itu, rakan-rakan sekerja barunya sekejap-sekejap menjeling ke arah mereka.

“Popular jugak awak kat sini yerk. Terfamous plak saya hari ini” seloroh Auni. Aazad ketawa lepas.

“Itu ke soalan yang kau nak tanya, macam ayat penyata je” sindir Aazad setelah habis ketawanya.

Auni tersengih.

Kata ganti nama saya awak telah bertukar aku kau untuk menahan dirinya dari memikirkan sesuatu yang tidak diinginkan. Menyimpang jauh dari kehidupannya. Sebabnya, berada di samping Auni membuatkan dirinya terasa selesa dan menyenangkan. Auranya membuatkan naluri kelakiannya menonjol. Sikap dan gerak geri Auni menjadi santapan matanya, membuatkan hati sentiasa ingin bersama-samanya. Aazad bingung. Apakah perasaan ini, sedangkan cintanya telah menjadi kepunyaan orang lain. Bukankah dia teman yang bersumpah sehidup semati. Tetapi kenapa hati ini semenjak mengenali gadis ini, menghasilkan rentak yang mengasyikkan.

“Eh bukan, nak tanya tu. Rasa macam pelik sikit bila rasa ada orang perhati ni. Biasanya hujung minggu tak adalah kisah sangat.” jelas Auni.

“Biarkan mereka tu. Bekerja di sini, kau kena tahan dengan gossip. Lebih-lebih lagi kalau kau keluar makan dengan aku”

“Maklumlah aku kan kira popular juga kat sini.” Aazad tersengih.

Auni mencebik.

“Huh..kalau macam itu. Ini kali terakhir saya keluar makan dengan awak lah. Tak nak saya jadi mangsa gossip”.

“Kau tak nak kawan dengan aku ni?” soal Aazad terkejut.

“Bukanlah, Hari kerja tak perlulah makan sekali. Hujung minggu kalau ada masa, boleh je temankan,” ujar Auni. Menerangkan maksud sebenarnya sehinggakan dia terlupa dengan perkara yang ingin ditanyakan. Selang beberapa minit kemudian barulah teringat.

“Aish..lupa lak soalan yang saya nak tanya tadi, nasib baik ingat”

“Area sini ada tak orang nak sewakan bilik?”

“Hmmm…tak tahu pulak, kenapa?”

“Saya ingat nak cari bilik dekat-dekat area sinilah. Senang sikit. Tak adalah kena tukar 2 kali LRT baru sampai sini. Balik lewat pun tak adalah takut sangat” jelas Auni.

“Kau tak ada kereta ke?”

“Ada, tapi saya takut nak bawa sampai ke sini. Tinggal kat stesyen LRT Bandar tasik tu je”

“Apa kata kau tinggal dengan aku je” cadang Aazad. Seketika dia terdiam. Terkejut dengan saranan yang dikeluarkan oleh mulutnya sendiri.

Auni terkejut dengan cadangan yang dikemukakan oleh Aazad. Bulat matanya. Nasib baik makanan yang dikunyah tidak tersembur keluar. Terlebih moden ke apa mamat nih. Sudah tak kenal dosa pahala dan ingat tinggal bersama semudah ayat dituturkan.

“Isyyy…cik abang, sini Malaysia bukan London, UK atau Amerika tau” Perli Auni. Mengarut betul cadangan itu. takkanlah nak serumah dengan lelaki pula. Hati Auni tidak sudah-sudah bersungut.

“Dengar dulu apa yang aku nak cakap ini. Jangan buat kesimpulan melulu-lulu.” Aazad bersuara lagi.

Jelas terlihat di wajah Auni, ketidakpuas hati dengan cadangannya yang di anggap merepek. Bukan dia tidak tahu hukum hakam. Dia juga bukan buta undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia. Pada pendapatnya tidak salah mereka tinggal satu bumbung kerana dia bukan selalu ada dan dia ada banyak rumah untuk didiami. Bukan satu tetapi hampir sepuluh buah. Aazad menarik nafas sebelum menyambung kata-kata, manakala Auni diam menguis-nguis makanan yang masih berbaki di dalam pinggannya.

“Kondo aku tu, aku tinggal seorang dan aku pula bukan selalu ada kat sini. Aku selalu outstation, dalam sebulan mesti banyak kali aku kena travel. Kadang-kadang tu ke offshore, tiga bulan sekali baru balik. So kondo itu selalu kosong. Aku Cuma singgah bertukar pakaian, mandi atau tidur je. Kalau kau tinggal kat situ tak jadi hallah,” jelas Aazad











Tiada ulasan:

Catat Ulasan