Tunggu Awak Datang- Bab 15




Penjelasan yang diberikan tidak memuaskan hati Auni. Terlalu mudah dan nampak macam senang mengikut pertimbangan Aazad padahal di dalam hubungan lelaki perempuan tidak semudah A, B, C... sebab ia akan menjadi lebih rumit kerana lama kelamaan akan melibatkan perasaan.

‘Inilah lelaki, bab-bab perhubungan ini selalu sangat memandang enteng sahaja. nam Islam tapi hukum hakam tak tahu. Haram lelaki dan wanita tinggal serumah’ bebel hati kecil Auni.

“Mesti kau tengah kutuk aku tu kan?” Sergah Aazad tiba-tiba.

Auni terkulat-kulat menarik sengih.

“Memang tengah mengutuk pun,” spontan tanpa dirancang, terkeluar kata-kata itu dari bibirnya. Terus dia menekup mulutnya dan hendak tak hendak Auni terpaksa melebarkan senyuman.

Aazad ketawa berdekah-dekah. Geli hatinya. Sergah sikit, terus terlompat kata-kata spontan, lurus dari hatinya.

“Jangan risaulah, aku pun masih tahu hukum agama. Kita kongsi rumah bukan kongsi bilik. Lagipun kau tinggal kat situ free of charge. Tak payah bayar apa-apa. Cuma tolong kemas sikit-sikit je” jelas Aazad lagi. Walaupun sebenarnya aku telah jauh dari-Nya sejak bertahun-tahun dulu, sambung Aazad di dalam hati.

“Dan memudahkan kau jugak, jimat kos. Senang nak datang lepak kat Taman Petronas tuh” Aazad berterusan memberikan fakta-fakta yang dapat menguatkan hujahnya.

Perasaan mengambil berat dan ingin melindungi gadis ini terasa kuat di dalam hati. Kalau boleh dia ingin curahkan segala miliknya untuk kesenangan Auni. dia kepingin mahu melihat senyuman mekar sentiasa di bibir Auni. Dia mahu menyenangkan Auni dan tidak sedikit pun Auni merasa kesusahan.

Auni termenung seketika. Kejap dipandang wajah Aazad, kejap dialihkan ke tempat lain. Kepalanya ligat berfikir, menimbang tara kebaikan dan keburukannya tapi hati tetap berkata terlebih dahulu.

‘Hmmmm..betul juga. Menarik cadangan itu. tapi yang tak menariknya, housemate lelaki’

“Kondo tu 24 hour security, hanya penghuni yang boleh keluar masuk. Kalau orang luar kena dapatkan kebenaran dulu. Selagi tak ada orang yang tinggal kat situ sahkan tetamu diorang, orang luar takkan dibenarkan masuk. Kondo tu memang exclusive”jelas Aazad lagi apabila melihat Auni ragu-ragu dan keliru.

Ok dia boleh faham kenapa Auni berkeadaan begitu. Auni bukan macam perempuan lain yang dia jumpa, belum dipelawa sudah menjemput diri sendiri. Jika dipelawa lagilah, mahunya melompat dan menerkam dirinya, kononnya terexcited sangat dengan tawaran menarik ini. Tapi Auni, jelas keliru. Menimbang tara bagaikan hendak masuk ke kandang harimau!

Aazad tenang mengunyah makanannya, Auni pula mengais-ngais makanan di dalam pinggan, mindanya terus berfikir. Dipandang wajah Aazad lagi. Dia tidak mendesak malah kelihatan menikmati makanannya. Auni menghela nafas. Tawaran menarik tetapi?

“Habis tuh kalau-kalau kawan awak datang macam mana, famili ke? Hisy apa kata mereka nanti?” Auni inginkan kepastian. Dia terfikirkan maruah dirinya. Di Malaysia, serumah dengan lelaki, orang dah pandang lain walaupun tidak lakukan apa-apa. Lagipun di sini, agama rasminya islam. Soal pergaulan amat dititik beratkan. Namun orang berfikiran moden mengambil mudah tentang perkara ini. Dan nampaknya dia pun turut terpengaruh.

“Hmmm..So far kawan-kawan aku jarang lepak kat rumah aku, lagipun aku tak suka mereka buat sepah. Bagi aku rumah untuk berehat. Kalau nak hang out ke, bual-bual ke kami lebih suka lepak kat kelab je, tak pun kat kedai mamak. Famili aku, kau jangan risau, aku anak tunggal, mama dan papa pulak tak ada kat sini, mereka dah pergi jauh tinggalkan aku” terang Aazad. Riaknya tenang. Jika dulu berbicara tentang kedua orang tuanya, membuatkan dirinya sedih. Dia akan menyalahkan takdir. Tetapi hari ini, bicaranya biasa, bagaikan peninggalan mereka tidak memberi sebarang kesan kepadanya.

“Maksud awak?”

“Mereka dah tiada.. tinggal aku seorang saja dalam famili aku, saudara mara aku tak berapa rapat sangat,” Terang Aazad.

Kasihan... Hati Auni cepat sayu apabila mengenangkan mereka yang sendirian tanpa orang tua. Walaupun begitu dia bersyukur kerana kedua ibu bapanya masih ada.

“Ooo…Sorry.. Saya tak bermaksud nak buat awak sedih.”

Aazad tersenyum menggeleng memandang Auni.

“Tak apa, lagipun benda ni dah lama berlalu, dah tak memberi kesan pada aku dah.” Tipu Aazad. Padahal kerana tidak dapat menerima kenyataan tentang kematian mereka, dia hanyut dalam noda-noda hitam.

“Sebab itulah aku ajak kau tinggal dengan aku, ada teman di rumah.”

“Kau tak payah banyak fikir. Trust me, aku janji aku takkan usik kau.”

Mungkin aku perlukan sebab untuk berubah. Aku gembira apabila bersama dengan kau. Lagipun kau lain dari yang lain. sambungnya lagi di dalam hati.

“Nantilah saya fikirkan”

“Sudah ke belum? Kalau sudah jomlah”

“Jom”.

Seminggu Auni mengambil masa menimbangkan tawaran Aazad. Baik dan buruk. Daripada pemerhatian, Aazad seorang yang baik dan menghormati dirinya. Tapi boleh ke kebaikan luaran dijadikan pengukurnya? Lagipun apabila tinggal serumah dengan lelaki ini macam-macam boleh jadi. Macam masuk mulut harimau je. Kononnya hendak melepaskan diri daripada masalah tetapi pergi cari masalah lain pulak. Serba salah dibuatnya.

Nak ke tak nak ni? Nak tanya mak, pasti awal-awal lagi kena leter. Silap haribulan kena paksa letak jawatan, balik kampung tanam anggur. Ooooh tidak! Buat apa nak susahkan orang tua lagi. Aku dah besar panjang, kenalah pandai uruskan diri sendiri. Timbang baik dan buruk.

Lagipun Aazad baikkan? Segak dan mengancam! Tang kata MENGANCAM tu boleh buat hati biul jap. Wuit.. Kau nak jadi perempuan tak tahu malu ke hah? Sedar diri tu sikit. Mungkin sebab dia kasihankan kau, sebab tu ajak tinggal sekali. Kan dia dah cakap hari tu... dia bukan selalu ada pun.

Cuba fikir lagi.. sementara je kan? Tunggu iklan permohonan KPLI keluar, kemudian M-test lepas tu ada rezeki dapat temuduga dan insyaAllah tercapailah cita-cita tu. Yang pentingnya kenalah berkorban prinsip. Tutup mata dan pepandailah jaga diri.

Timbang tara sedang berjalan di dalam diri Auni. ada yang baik dan ada yang buruk tetapi nampak gayanya banyak fikiran positif dari negatif.

Tak ada ke rumah sewa lain. Nak juga hati bertanya padahal jawapannya dah ada.

Dia sudah bertanya dengan kawan-kawan sepejabat kot-kot mereka tahu mana rumah sewa yang dekat dengan tempat kerja barunya itu. tetapi rata-rata mereka tinggal jauh jugak daripada situ. ada yang duduk Ampang, Batu Caves malah Serdang pun ada. Lagi jauh kan. Padahal tempat dia tinggal sekarang ini pun kira dah bagus.

Tapi masalahnya kalau dilihat daripada keselamatan dirinya, dia tak berapa yakin sangat, memandangkan kerja baru ini mungkin akan mengambil kebanyakan masanya di pejabat. Mungkin dia perlu kerja lebih masa. Dan sebab itulah dia akan balik malam-malam. Dan jika malam-malam dia sememangnya penakut. Padahal dia telah lama menjadi penghuni Kota Metropolitan ini hampir 8 tahun dah.

Hakikatnya walau lama manapun dia tinggal dia masih lagi dia yang dulu. Dia yang baru menjejakkan kaki di sini. Dia yang sentiasa beringat-ingat dan menepati peraturan yang ditetapkan oleh mak dan ayah di kampung. Anak-anak mesti berada di rumah sebelum pukul 7 malam. Begitulah peraturannya. Jadi sudah menjadi tabiatnya andai dia terpaksa balik selepas jam tujuh malam, maka secara automatik dia akan teringat mak dan terus menelefon ke kampung memberitahu tentang kelewatannya. Padahal jika dia tidak memberitahu pun tentunya mak tidak akan tahu kan. Oleh kerana sudah menjadi habitnya begitu maka dia tetap setia menelefon maknya.

Dia berfikir lagi. Tawaran Aazad memang menarik. Selain menjimat kos. Setiap hari dia perlu berjalan kaki sahaja untuk ke pejabat. Memang banyak yang boleh dijimatkan. Di dalam hatinya 70% seakan mahu dia menerima tawaran itu. 30% masih lagi berdolak dalik. Mencari bermacam-macam alasan.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan