Tunggu Awak Datang-Bab 16




Diperhati dan diteliti keadaan sekeliling. Hiasan yang serba ringkas dan menarik. Sesuai dengan citarasa pemiliknya seorang lelaki. Sebuah tv plasma berukuran 40 inci terletak elok di dinding, sofa berwarna merah hati tiga serangkai dan juga meja kopi diletak mengadap tv itu. Di satu sudut yang berdekatan dengan dapur pula, terdapat meja makan untuk empat orang. Pemilihan perabot yang simple dan kontemporari, sesuai dengan gaya hidup masa kini. Tidak nampak berserabut dan juga terlalu ringkas. Padanan warna merah terang, putih dan juga hitam mampu membuatkan hiasan dalam kondo ini kelihatan ceria dan menarik. Tidak perlu banyak perhiasan. Mungkin juga boleh ditambah satu dua gubahan bunga segar atau pun plastik agar nampak sedikit feminin dan tidak terlalu maskulin. Dan tentu sekali kondo ini kemas dan bersih, macam bukan rumah orang bujang.

“Bilik kau nanti aku bagi bilik tengah. Mari aku tunjukkan” Beritahu Aazad tiba – tiba, memecahkan lamunan Auni yang sedang leka memerhati dan menilai hiasan dalamannya. Auni tersenyum lalu membontoti lelaki itu.

Dipulas tombol pintu dan ditolak daun pintu luas-luas. Lalu diberikan laluan kepada Auni untuk memasukinya. Hmmm luas jugak. Segalanya ada. Cukup lengkap dan keluasan bilik tidur ini memberikan ruang persendirian yang cukup besar berbanding dengan bilik tidur di rumah sewa lamanya dan juga bilik kecilnya di kampung. Seakan-akan mimpi menjadi kenyataan. Dia bakal menjadi penghuni bilik seluas dan secantik ini.

“Aku telah buat selak dari dalam. Jadi kau akan rasa lebih selamatlah if kalau dalam hati itu masih terdapat keraguan.”jelas Aazad.

“Nanti aku akan berikan kunci yang telah siap diduplicate. Bila kau hendak pindah masuk?” soal Aazad.

Auni mendongakkan kepalanya untuk memandang wajah yakin Aazad di sisinya. Wajahnya jelas menggambarkan keyakinan bahawa Auni tidak akan sesekali menolak tawaran hebat ini. Terlalu yakin sehinggakan Auni juga merasa yakin bahawa jika dia berpindah ke sini, tiada apa yang akan berlaku. Nampaknya walaupun Auni selalu berjaga-jaga di dalam setiap keputusan dan perbuatannya, kali ini dia rasa ingin mengikut kata hati. Keselesaan dan kemewahan yang ditawarkan oleh Aazad terlalu menarik untuk ditolak. Lagipun Aazad telah memberi jaminan bahawa dia tidak selalu ada di sini dan Auni bebas melakukan apa sahaja di dalam kondo ini. Aura tamak dan materialistik mula bertapak di hatinya. bukan dia yang pinta, tetapi Aazad yang terlalu bermurah hati padanya. Entah di mana tarikan pada dirinya yang membuatkan Aazad tanpa ragu-ragu memberikannya sesuatu yang tidak pernah diimpikan.

Dibiarkan soalan Aazad berlalu tanpa jawapan. Sebenarnya dia telah terjatuh hati dengan bilik ini. Bilik air pula ada jakuzi, tab mandi yang diangankan oleh Auni apabila mempunyai rumah sendiri kelak. Dengan cermin besar di dalamnya, cukup membuatkan dirinya teruja. Wardrobe yang besar membuatkan Auni berfikir panjang, banyak mana baju boleh dimuatkan dalam satu masa. Dekorasinya ala-ala dekorasi yang dilihatnya di dalam majalah anjung seri. Serba lengkap dengan set tv plasma yang kecil sedikit daripada ruang tamu, lengkap dengan astro sekali. Jadi bilik ini menjadi ruang persendirian yang cukup lengkap dan dia tidak perlu ke ruang tamu untuk menonton tv. Segalanya telah tersedia di sini.

“So…macam mana? Kau setuju ke tidak menjadi housemate aku ni?”soal Aazad lagi.

Auni memandangnya sambil tersenyum dan kelihatan seolah oleh berfikir.

“Berapa sewa? Cantik dan mewah. Saya takut tak mampu hendak membayar sewa jer” jawab Auni.

“free of charge” jawab Aazad pula.

“Kan aku dah cakap hari tu lagi kan,” sambungnya lagi.

Auni mengerutkan dahinya. Biar betul. Ingatkan dia main-main hari tu. Takkanlah masih ada lagi orang yang tak kisah pasal duit ni, ataupun dia mahukan bayaran dibuat cara lain. Hati Auni seriau, jika begitu dia tidak rela untuk menyerahkan sesuatu yang berharga miliknya. Matanya tajam memandang Aazad yang berada di hadapannya yang sedang membelek-belek I-phone di tangannya.

“Janganlah macam tu, seganlah saya tinggal free je kat sini” Auni berbahasa. Padahal hati mula terasa cuak dan ingin cepat-cepat keluar dari situ.

‘Biar betul? Entah-entah cara ni senang dia nak ngap aku nih’ bisik akalnya.

Aazad masih bersikap bersahaja tanpa sebarang riak, biarpun di dalam hatinya mengharapkan agar Auni bersetuju tinggal di sini. Selain sebagai teman, sudah tentu sekali dia ingin menang pertaruhan tersebut. Mungkin juga dia boleh berubah sebagaimana pak cik Badrul dan Joe harapkan. Mungkin juga suatu hari nanti dia perlukan Auni lebih dari hartanya. Auni mungkin tidak tahu bahawa dia diperlukan untuk melakukan perubahan di dalam hidup seorang lelaki. Harapan tipikal Pak cik Badrul dan Joe lagi.

“Betul aku serius ni, kau just jaga kondo ini macam rumah kau sendiri. kemaskan dan buat apa yang patut. Aku tak selalu ada kat sini. Anggap ini kondo kau” terang Aazad ikhlas.

“Awak kerja apa sebenarnya?” soal Auni pelik.

“Sebenarnya kerja aku, kebanyakan masa berada di laut. Jadi dalam dua atau tiga bulan aku akan balik sesekali. tidak pun jika ada urusan dengan ibu pejabat. Jadi kondo ini kosong. Elok kalau ada orang yang boleh jaga dan uruskan ketika aku tidak ada di sini” terang Aazad lagi.

“Hmmm” Angguk Auni. Matanya masih lagi melilau di sekitarnya.

“So macam mana?”

“Nanti saya fikirkan. Berikan saya masa untuk pertimbangkan baik dan buruknya sebab....”Auni menjeling seketika.

“Tak pernah dibuat orang,” Disambung katanya.

“Silap tu” Bantah Aazad.

“Berkongsi rumah lelaki dan perempuan sudah menjadi perkara biasa di kota raya ini.” Apa yang hendak dihairankan, kemodenan boleh mengubah jati diri sesuatu bangsa.

“Orang Cina dan India memanglah biasa, tetapi orang Melayu mana biasa? Tak memasal kena tangkap khalwat” Sanggah Auni.

“Yang tulah aku kata kau silap. Ramai kawan aku selamba je berkongsi rumah dengan girlfriend diorang, macam laki bini.”

Auni berkerut dahi.

“Takkanlah. Tak pernah dengar pun” Sangkal Auni lagi.

Aazad tersenyum sinis. Auni... Auni... nama je telah lama menjadi penghuni ibu kota ni, tetapi pergaulan terbatas pada satu kelompok je. Bercampur dan bergaul dengan kelompok yang sama, yang baik-baik mestilah benda ini sesuatu yang luar biasa. Tidak pernah kedengaran sebab orang yang bersekedudukan ini takkan sesekali mencari pasal memberitahu perkara tersebut kepada orang lain. Bak kata pepatah, berani buat, berani tanggung, pandai-pandailah simpannya.

Kebanyakan mereka yang berkongsi rumah lelaki perempuan ni, adalah orang yang terlebih pandai dan di pandang tinggi di mata masyarat. Mereka tinggal di tempat eksklusif. Sudah tentunya tidak dapat dihidu oleh jabatan agama.

“Lama kelamaan nanti kau akan tahu. Kemodenan sebenarnya semakin membuatkan manusia hilang sikap malu dan jati diri mereka sendiri” Aazad berfalsafah.

Auni mencebik. Pandai pulak mamat ni berfalsafah sampah ni. Padahal manusia begini semakin kurang akalnya. Islam sesuai untuk sepanjang zaman. Tiada beza zaman dahulu kala ataupun zaman moden sampai manusia boleh tinggal di bulan. Ketaksuban orang islam pada gaya hidup yang semakin moden ini, tidak lain daripada terpengaruh dengan gaya hidup orang-orang barat. Semakin maju mereka semakin hilang norma-norma kemanusiaan di dalam diri. Mereka semakin jauh meninggalkan fitrah kehidupan manusia yang sebenar. Sebagai contohnya, mereka menghalalkan perhubungan sesama jenis, lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan. Mereka begitu bangga mengumumkan hubungan anak bapa yang melampau batas perhubungan. Hidup bagaikan suami isteri. Bukankah itu menunjukkan manusia semakin jahil. Gagal membezakan perkara buruk dan baik.

Mendengar hujah Aazad, Auni terasa sedih. Walaupun dia dapat merasakan Aazad bukanlah seseorang yang taksub dan terikut-ikut corak hidup orang barat, namun sikap keterbukaannya lambat laun akan memakan dirinya sendiri. Syaitan bisa sahaja menghasut dan meracun fikiran menjadikan perkara tersebut normal baginya. Jika tidak terikut akan digelar manusia kolot.

“Hakikatnya walau moden mana pun kita, walaupun tinggi mana pun taraf kita di mata umum, berjuta pun harta yang kita miliki, sebenarnya gaya hidup islam jauh lebih baik. Al-Quran telah terkehadapan dari kemodenan yang kita kecapi hari ini. Kalau awak nak tahu, dalam al-Quran telah diberikan gambaran bagaimana kehidupan umat akhir zaman.”

Aazad terkedu.

“Tak percaya?” Soal Auni dengan senyuman nipis. Kasihan lelaki ini. Miskinnya jiwa.

“Tak pernah baca tafsir Al-Quran?” Soal Auni pelik.

“Aku...” Belum sempat Aazad menjawab, deringan lagu I’m yours, Jason MArz mengganggu perbualan mereka. Aazad meminta diri untuk keluar menjawab panggilan tersebut. Auni tidak menghiraukannya.

‘Barangkali girlfriendnya telefon,’ telah Auni.

‘Agaknya kalau aku tinggal kat sini, kena serang tak?’ Omel hatinya lagi.



Ya tuhanku.. jika ada sebab yang tersembunyi engkau memberatkan hatinya supaya menerima pelawaan ini, maka KAU lindungilah aku dari umpatan dan celaan, Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan